Sunday, June 22, 2014

Komat Jolobu



Sungai Teriang, di Jelebu, Negeri Sembilan. Sungai ini mengalir melalui pekan Triang di Pahang, kemudian ke Sungai Pahang dan seterusnya ke Laut China Selatan. Di masa dulu-dulu orang-orang dari Pahang yang tidak percaya dengan 'Komat Jolobu' menyusur ke hulu sungai untuk menetap di Jelebu.

Ko Jolobak ko Jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalao kono komat Jolobu
Tak mati badan meghasai

Gurindan dulu-dulu jangan ponah dipotikai
Tak tahu tanyo dulu jangan goma momandai-mandai

Saya telah mendengar sebutan 'komat Jolobu' sejak saya kecil lagi. Maklum sajalah saya dilahirkan di Jelebu dan bersekolah rendah di sana. Sekarang tiba-tiba sebutan itu menjadi terkenal seluruh Malaysia kerana penyanyi Hattan, orang Kuala Pilah dan Waghih, orang Rembau menjadikannya sebahagian lagu mereka 'Gadis Jolobu'.

Jika sebutan 'komat Jolobu' dijadikan sebahagian senikata lagu lima puluh tahun yang lalu tentu ramai orang Jelebu yang marah. Sudah tentu ramai yang meminta lagu itu diharamkan. Tetapi tidak lagi sekarang, malah kami anak-anak Jelebu merasa bangga sebab nama daerah kami disebut dalam lagu.

Untuk mereka yang belum kenal Jelebu saya ingin menerangkan mengenainya secara ringkas. Daerah Jelebu terletak di utara Negeri Sembilan. Banyak keunikan Jelebu, antaranya bandar utamanya tidak dipanggil 'Jelebu' tetapi Kuala Klawang. Kepada mereka yang masih kurang jelas saya sering memberitahu mereka 'Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang'.

Jelebu bersempadan dengan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Bentong di Pahang. Ini satu lagu keunikan yang tidak dikongsi oleh daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, iaitu kami bersempadan dengan dua negeri.

Jelebu pula daerah yang paling kurang pembangunan di Negeri Sembilan. Perkara ini mungkin menyebabkan rasa rendah diri orang-orang Jelebu di masa dulu, sehinggakan ada orang Jelebu yang tidak mengaku orang Jelebu. Tetapi perkara ini tak jadi hal lagi sekarang.

Apa dia 'komat Jolobu?'. Mungkin dalam Bahasa Melayu maknanya 'Hikmat Jelebu'. Saya ada mendengar beberapa penjelasan mengenainya. Tetapi di sini saya cuba menerangkan dua daripadanya.


Teori pertama: Dulu kebanyakan daerah Jelebu belum diteroka. Tentulah mengikut kepercayaan kawasan-kawasan yang belum diteroka ramai 'penunggu'nya. 'Penunggu' ini akan mengenakan 'komat' mereka kepada penceroboh yang datang. Mereka yang kena 'komat' ini sama ada akan mati atau badan mereka 'meghasai' atau merana sepanjang hayat'. 

Tetapi mereka yang tidak percayakan 'komat' ini tetap datang meneroka ke Jelebu. Contohnya orang dari Pahang menaiki sampan menyusur ke hulu sungai dan menetap di Simpang Durian, Peradong dan Kenaboi. Orang dari Kuala Pilah pula akan merentas hutan untuk menetap di Geylang, Petaseh dan Peradong. Nenek moyang saya ialah contoh pendatang dari Kuala Pilah itu. Alhamdulillah saya tak kena 'komat Jolobu'.

Kalau dibanci asal-usul mereka penduduk pendatang Melayu di Jelebu mengatasi penduduk asal. Tidak ada pula yang mati atau meghasai kena 'komat Jolobu'.

Teori kedua: Kerana kedudukannya yang jauh dari tamadun, ramai orang yang takut atau ditakutkan apabila diperintah bertugas di Jelebu. Ibu-bapa takut anak-anak bujang mereka yang dihantar bertugas di Jelebu akan lupa kampung halaman mereka. Lebih-lebih lagi jika mereka 'menyomondo' atau kahwin dengan orang Jelebu. Sekali lagi 'komat Jolobu' digunakan sebagai alat untuk menakutkan.

Tetapi terbukti itu cerita dongeng juga. Ramai kakitangan kerajaan seperti anggota Polis dan kakitangan Kesihatan ditugaskan di Jelebu. Belum ada saya dengar antara mereka terkena 'komat Jolobu'. Malah apabila mereka meninggalkan Jelebu tidak ada cerita lain melainkan kenangan manis yang mereka ceritakan kepada ibu bapa dan kawan-kawan mereka.

Mungkin pembaca-pembaca yang berasal dari Jelebu ada teori-teori lain. Saya mengalu-alukannya. 

6 comments:

Monalita Mansor said...

terjawab pertanyaan saya, kenapa ada dialek Pahang di dalam bahasa harian masyarakat Ulu Jelebu

monalita mansor

Unknown said...

Sbb abah sy crt dlu2 org pahang bnyk meneroka tanah kat sana. Kirenye bhijrah la

Anonymous said...

Sebelah emak saya dr bentong, pahang. Orang bentong bercakap lbh mirip dialek nogori. Bunyi "a" menjadi "o" spt mana>mano, apa>apo, dsbnya. Di daerah lain di pahang tidak berlaku spt itu. Adakah ia dipengaruhi dialek jelebu?

Unknown said...

Teori saya komat jelebu bermaksud siapa siapa pernah mengunjungi jelebu akan ingin datang lagi ker jelebu walau pun tiada apa di sana kerana kedamaian suasana kampungnya

Atiey nye said...

Sy org jelobu...suami org kelantan dtg jelobu terus jatuh hati ibarst dah kono komat jelobu. Adik dia pulak dtg bekerja dijelobu terus kawen org jelobu x smpai 3 bulan koje dah sgkut org jelobu hehehhehehehe... Jelobu skrg hebat x mcm dulu2 laluan org psntai timur nk blk kg masing2... Org jelobu bukan nk ckp apo laa gurau kasar hati baik in sha allah.....

Deen said...

Emm menarik.. sampai ke sini saya nak cari maksud meghasai tu.. Sebab ayah pernah cakap ada kawan dia orang N9 cakap mcm tu.. Bunyik dia mcm seakan2 teruk laa kena santau.. So maksud yang awak bagi, badan merana tu memang masuk lah.. terima kasih