Friday, July 4, 2014

Mengata dulang paku serpih....

Mengata dulang, paku serpih
Mengata orang, aku yang lebih

Itulah satu peribahasa Melayu menasihatkan supaya kita melihat diri kita dulu sebelum mengata orang. Semasa saya bekerja dulu saya sering teringatkan peribahasa itu semasa menjalankan tugas, terutama jika ia melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

Semalam saya mengalami sendiri peribahasa itu. Ceritanya begini:

Saya sekarang menjadi setiausaha kepada satu pertubuhan bukan kerajaan atau NGO. Dua bulan lepas saya membuat silap dengan menghantar notis mesyuarat tidak dalam tempoh masanya. Saya sedar akan kesilapan itu dan berharap tidak ada orang membangkitkannya. Kerana sekarang zaman email, fax, sms, facebook, whatapps dan entah apa lagi. Surat notis adalah satu syarat sahaja. Tetapi saya silap kerana ada orang telah mengadu kepada pihak berkuasa. 

Beberapa hari yang lepas saya menerima panggilan telefon dari pihak berkuasa tersebut. Arahanya ialah seorang pegawai ingin berjumpa saya. Tidak disebut kenapa ia ingin berjumpa saya dan juga tidak dinyatakan untuk saya membawa apa-apa.

Pagi semalam saya pun pergi ke pejabat itu hanya berbekalkan buku perlembagaan NGO saya dibantu dengan apa yang ada dalam kepala saya. Apabila saja saya berjumpa dengan pegawai berkenaan dia pun menyerahkan kepada saya surat rasmi meminta saya berjumpanya. Untuk menyelamatkan dirinya saya lihat tarikhnya sudah dikebelakangkan ke tarikh bila saya menerima panggilan telefon sebelumnya.

Dia terus bertanya kenapa saya menghantar notis lewat untuk mensyuarat yang dimaksudkan. Saya pun terus memberikan alasan saya dan tidak payahlah saya menceritakan apakah alasan saya. Tetapi apa yang saya cakapkan direkodnya di komputer dan kemudian dia mencetak laporan saya dan meminta saya mengesahkannya.

Saya ada terfikir hendak menggunakan peribahasa Melayu lama itu kepadanya. Dia memanggil saya untuk menyiasat kes saya lewat menghantar satu surat notis mesyuarat. Tetapi dia tidak sedar dia juga membuat kesilapan seperti apa yang saya buat. Dia juga lewat menyerahkan surat memanggil saya berjumpanya. 

Cuma dalam kes ini saya tidak boleh menggunakan peribahasa Inggeris 'The customer is always right'. Saya terpaksa menggunakan peribahasa Melayu 'Seperti durian dengan timun'. Dialah durian dan saya timun.

Saya dulu bekerja dengan kerajaan. Kita hanya membunuh diri sendiri jika melemparkan peribahasa 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih' kepada pihak kerajaan. 

Sekian.

1 comment:

Abdul Hamid Hussin said...

Belombut bukan berarti kito lomah....ini ari dio.sok...sok..ari kito pulak.....tapi bodondam tak baik,kan?6700