Tuesday, December 30, 2014

Bencana yang sudah dijangka.



Satu deret bangunan lama di Kuala Krai pada bulan Mac 2014. Keadaannya tidak sama hari ini (30 Disember 2014).


Saya menutup tirai blog saya untuk tahun 2014 dengan menyentuh sedikit mengenai banjir yang melanda negara kita baru-baru ini.


Selain dari pekan kecil Tanjong Malim di Perak, negeri Kelantan sentiasa berada dalam hati saya. Pertama saya sudah bergaul dengan budak-budak Kelantan semasa saya bersekolah asrama penuh di Tanjong Malim pada awal tahun-tahun enam-puluhan. Kedua saya pernah ditugaskan di Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan pada tahun-tahun 1972. Setelah itu saya telah berkali-kali pergi ke negeri itu bersama keluarga.

Kali kedua terakhir saya ke Kelantan ialah bersama rombongan menaiki kereta api dan bas pada bulan Mac tahun ini. Saya ada menceritakan pengalaman saya dalam blog saya ini. Tetapi oleh kerana pergerakan saya dikawal maklumlah bila bersama rombongan, saya berekad untuk ke sana sekali lagi, kali ini dengan kereta.

Peluang itu saya ambil pada awal bulan lepas (November 2014) apabila anak-anak mengajak saya bercuti di Cameron Highlands, Pahang. Kebetulan di masa itu Cameron Highlands baru sahaja dilanda banjir lumpur yang menyebabkan beberapa kematian.

Oleh itu apabila anak-anak saya balik ke rumah masing-masing di Selangor dan Negeri Sembilan, saya dan isteri meneruskan perjalanan ke Kelantan melalui Lojing dan Gua Musang. 

Saya pernah melalui Lebuhraya Timur - Barat dari Jeli ke Gerik pada tahun 1990. Dari itu saya jangka perjalanan saya dari Cameron Highlands ke Gua Musang juga akan menempuh situasi yang sama, iaitu dikelilingi hutan belantara. Tetapi apa yang saya alami amat mengejutkan. Apa yang saya nampak bukan hutan belantara, tetapi bukit bukau yang sudah gondol. 

Sehingga saya berkata kepada isteri "Kalau turun hujan seperti di Cameron Highlands baru-baru ini Kelantan teruk kali ini". Apabila lalu sebelah Sungai Kelantan berhampiran Manik Urai saya sekali lagi berkata "Jika banjir sungai itu akan melimpah". 

Tidak payahlah saya ceritkakan seterusnya apa yang sudah dan sedang berlaku di Negeri Kelantan. Yang berani saya katakan ialah bencana yang berlaku itu sudah dijangka.  

Thursday, December 25, 2014

Agaknya mereka tak reti bahasa!

Sekarang bila kita berurusan dengan bank, syarikat telefon  atau syarikat utiliti melalui telefon, biasanya  kita diminta memilih bahasa dahulu. Saya selalu memilih bahasa Melayu walau pun saya boleh berbahasa Inggeris. Tapi dari pengalaman saya dalam berapa minggu ini nampaknya saya terpaksa berfikir dua kali bila memilih bahasa.

Lebih sebulan lepas saya membuat keputusan untuk beralih ke syarikat telefon bimbit yang baru dengan mengekalkan nombor telefon yang ada. Oleh kerana nombor telefon saya berkait dengan nombor telefon anak saya Anis saya memutuskan telefonnya juga akan beralih syarikat.

Pemindahan nombor telefon saya tidak ada masalah. Tetapi pemindahan nombor telefon Anis bermasalah sedikit. Pertama oleh kerana akaunnya berupa anak akaun saya ia terpaksa dipisahkan untuk menjadi akaun biasa. Untuk tujuan tersebut saya dikehendaki membayar RM 40.00 kepada syarikat asal dan dijanjikan nombor itu akan beralih dalam beberapa hari.

Selang beberapa hari telefon Anis (dengan akaun masih nama saya) masih belum beralih ke syarikat baru. Syarikat baru menyatakan nombor itu masih belum diserahkan kepada mereka. 

Sudah tentu saya menghubungi syarikat telefon lama. Saya telah menghubungi apa yang dipanggil 'customer service' mereka. Saya telah memilih bahasa Melayu apabila diminta memilih bahasa dan saya juga telah bercakap dengan 'customer service consultants' yang saya percaya berbangsa Melayu.

Sekurang-kurangnya saya telah bercakap Melayu tiga kali dengan tiga orang Melayu. Janji mereka kepada saya tetap sama iaitu mereka akan memajukan permintaan saya ke jabatan-jabatan tertentu. Malah 'customer service consultant' yang pertama bercakap dengan saya berjanji masalah saya akan selesai dalam 24 jam. 

24 jam telah berubah menjadi 48 jam, seterusnya 96 jam dan hari berganti minggu tetapi permohonan saya masih belum diluluskan. Saya telah bercakap dengan sekurang-kurang dua lagi 'customer service cunsultants' berbangsa Melayu dan dalam bahasa Melayu. Seorang itu menyatakan ada masalah teknikal kepada nombor telefon itu dan jabatan teknikal sedang mengambil perhatian. Bila saya tanya apa masalah teknikalnya dia yang berjawatan 'consultant' tidak boleh memberi jawapan kerana tidak tahu tentang bidang teknikal.

'Consultant' ketiga pula memberitahu permohonan saya berada di jabatan 'IT' untuk tindakan. Saya pun hairan apa bezanya jabatan-jabatan teknikal dengan 'IT'? Tetapi permohonan saya masih belum diluluskan.

Setelah tiga minggu dari tarikh permohonan asal saya untuk beralih syarikat telefon, saya menerima panggilan telefon dari syarikat kedua yang mengatakan mereka diberitahu oleh syarikat pertama yang saya masih belum lagi menghubungi mereka untuk apa-apa permintaan.           

Ini menaikkan darah saya seketika dan saya pun menghubungi sayarikat telefon pertama. Kali ini saya memilih bahasa Inggeris apabila diminta pilihan bahasa. Saya bercakap dengan seorang bukan Melayu dan pada mulanya dia juga menyatakan tidak nampak apa-apa rekod menyatakan saya telah menghubungi mereka. Kemudian saya berikan tarikh dan tempat di mana saya membuat permohonan menukar status akaun nombor telefon anak saya itu. Saya juga menyatakan telah membayar RM 40.00 untuk tujuan tersebut.

Kemudian barulah rekod saya ditemui. Mengikut 'customer service consultant' yang berbahasa Inggeris ini permohonan saya telah disalurkan ke jabatan yang salah. Mungkin maksudnya ia tidak patut disalurkan ke jabatan teknikal dan 'IT'.

Tetapi kali ini 'consultant' ini memberikan saya nombor rujukan aduan saya dan berjanji masalah saya akan selesai dalam tempoh tiga hari bekerja. Kenapa 'consultants' sebelum ini tidak memberikan apa-apa nombor rujukan?

Tidak sampai tiga hari bekerja masalah nombor telefon saya telah selesai, terima kasih kepada pemilihan bahasa saya. Agaknya tiga orang 'costumer service consultants' sebelum itu tidak reti bahasa.   

Saturday, December 13, 2014

Mengapa dia memilih jalan yang lebih jauh?

Entah kenapa saya seolah-olah tak idea untuk menulis apa-apa di bulan Disember 2014 ini. Tetapi saya harap pos saya kali ini tidak membosankan sesiapa.

Sejak saya remaja lagi ramai orang salah sangka terhadap saya. Semasa saya bersekolah menengah di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal di seluruh Malaysia ramai kawan-kawan saya menyangka saya dari keluarga kaya. Jawapannya tidak dan saya bersusah payah menyatakan saya datang dari satu keluarga miskin di daerah paling mundur di Negeri Sembilan. 

Begitu juga apabila saya mula bekerja. Ramai kawan-kawan saya ingat saya datang dari keluarga kaya. Bila saya nafikan ramai yang tidak percaya. Saya juga sempat bertanya mengapa mereka menganggap begitu. Jawapannya dari air muka saya, sehingga ada yang bertanya adakah saya mengamalkan apa-apa ilmu sehingga mempunyai air muka sebegini. Saya nyatakan tidak mengamalkan apa-apa ilmu melainkan saya suka membaca segala ilmu yang terdapat dalam dunia.

Saya fikir sangkaan salah orang itu akan berakhir apabila saya bersara. Contohnya walau pun saya bekerja selepas bersara saya berpakaian biasa sahaja. Hari-hari saya pergi kerja dengan memakai selipar dan baju T mengelebeh keluar. Kadang-kadang saya tidak bercukur untuk beberapa hari. Tetapi anggapan saya itu terbukti salah dua hari yang lepas,

Dua kali seminggu saya akan singgah ke pasar raya yang terletak dalam satu konpleks perniagaan beberapa ratus meter dari pejabat saya untuk mengintai jika ada tawaran barang-barang murah untuk kegunaan rumah dan pejabat saya. Dua hari yang lepas saya datang beberapa minit sebelum kompleks itu itu dibuka. Untuk membuang masa saya pun masuk ke kedai 7-Eleven di depan pasar raya itu sambil mendapatkan satu akhbar percuma.

Apabila saja saya keluar dari kedai 7-Eleven itu seorang lelaki Melayu berumur lebih kurang 45 tahun, bercukur rapi, berkasut, berseluar jeans dan memakai baju T masuk ke dalam (tucked in) terus meminta saya wang dua ringgit. Katanya dia mahu makan di restoran sebelah kedai 7-Eleven itu. 

Saya hairan bagaimana orang yang lebih bergaya dari saya ini tidak mempunyai wang untuk minum pagi. Saya menjawab tidak mempunyai wang dan menyuruhnya meminta makanan pecuma dari restoran itu. 

Tanpa memperdulikannya saya terus masuk ke kompleks perniagaan yang baru dibuka dan kemudian ke pasar raya. Betul, ada tawaran barang murah pada hari itu berupa minuman jus buah-buahan dan saya terus membelinya untuk disimpan di peti sejuk pejabat.

Setelah membayar di kaunter dan keluar dari pasar raya saya terperanjat mendapati lelaki tadi menunggu saya di ruang legar kompleks perniagaan itu. Sekali lagi dia meminta wang dari saya. Baru saya sedar rupa-rupanya dia mengekor saya masuk kompleks perniagaan tadi dan memerhati saya masuk ke pasar raya. Kemudian dia menunggu saya keluar di ruang legar. Sekali lagi saya jawab saya tidak mempunyai wang.

Kemudian saya pun berjalan cepat menuju ke skuter saya yang saya letak di hadapan kompleks. Lelaki tadi mengikut saya keluar. Dia berjalan kaki arah ke Bandar Seremban. Oleh kerana jalan-jalan di kompleks itu jalan sehala semuanya saya terpaksa memotong lelaki itu, jika tidak saya akan memandu melanggar arus.

Bimbang dia akan melihat ke mana saya menuju, saya menunggang skuter saya ke arah lain dari pejabat saya. Tetapi dari cermin skuter saya nampak dia berjalan ke arah rumah-rumah kedai di mana pejabat saya berada. Jika ia hendak ke Bandar Seremban atau ke stesen bas jalan itu tentu jauh dari biasa.

Setelah mengikut jalan jauh dan yakin saya telah hilang dari pandangannya saya pun terus ke pejabat. Setelah meletak skuter dan naik tangga ke pejabat baru saya sedar sebenarnya saya telah membuat tindakan bodoh. Dengan dia berjalan kaki ke arah bangunan pejabat saya dengan laluan yang biasa saya tempoh sedangkan saya menunggang skuter jauh kononnya untuk lari darinya dia boleh nampak di mana saya meletak skuter dan ke bangunan mana saya masuk.

Saya terfikir jika turun kembali saya mungkin terserempak dengannya sambil mendedahkan di bangunan mana saya bekerja (atau tinggal). Saya terus membuka pejabat (dengan tiga kunci) sambil berdoa dia tidak tiba-tiba menerpa saya. Selepas itu saya mengunci pejabat kembali dan terus ke tingkap untuk meninjaunya. 

Dia berjalan kaki di depan pejabat saya arah ke Bandar Seremban dengan tidak memandang ke bangunan pejabat saya. Seperti saya kata tadi dia boleh mengikut jalan singkat jika hendak ke Bandar Seremban, tetapi dia memilih jalan jauh. 

Mengapa dia memilih begitu saya tidak tahu.

Sunday, December 7, 2014

Thirteen wrongs do not make one right.



 I count one lorry and seven cars parked along the double yellow lines.


I count five cars parked along the double yellow lines. 


Thirteen, that's the number of vehicles, consisting of one small lorry and twelve cars parked illegally along both sides of Jalan Lintang in Seremban three days ago as my photos above show. Most of the vehicle owners were filling up their BR1M forms at the nearby LHDN office. What BR1M and LHDN are you can seek from the internet.

While during normal days nobody dared to park along this busy road, the authorities seem to close their eyes since the beginning of the month. I pass this area every day on my way to and fro my office. When in the past months the presence of a few traffic cops holding their summons books were a common sight here, I saw none of them for the past week. Where they've gone I never know. 

Still thirteen wrongs do not make one right.