Tuesday, June 16, 2015

Peraturan Pos Malaysia yang tidak masuk akal.

Sampul surat ini 'tidak standard' kata Pos Malaysia.


Semasa saya bekerja dulu saya tidak kisah berapa jabatan saya membayar setem untuk setiap surat yang dipos keluar. Yang saya tahu surat-surat disekitar Bandar Seremban dihantar sendiri oleh staff kami yang dipanggil Penyerah Notis. 

Jabatan saya menggunakan sampul surat bertingkap atau 'window envelopes' di mana penghantar tidak payah menulis apa-apa di sampul surat. Ini kerana alamat yang sudah dicetak di surat dapat dibaca melalui tingkap atau 'window' tersebut. Bagi saya ini menyenangkan bukan sahaja penulis surat tetapi kakitangan pos. Jika ada kakitangan pos yang tidak boleh membaca tulisan atau cetakan melalui tingkap tersebut, lebih baik dia berhenti sahaja.

Saya perhatikan bank-bank dan syarikat utiliti seperti Indah Water Consortium (IWK) juga menggunakan sampul bertingkap. Tetapi apabila saya mula bekerja di pejabat NGO saya sekarang saya perhatikan stok sampul surat yang ada ialah saiz 1/2 A4 dan tidak bertingkap. Saya pun pada mulanya menggunakan sampul tidak bertingkap tersebut walau pun terpaksa membayar setem sekurang-kurangnya .80 sen untuk setiap surat. Juga saya terpaksa menulis atau mencetak alamat di tiap-tiap sampul. 

Kemudian saya berkata kenapa tidak guna idea sama yang diguna oleh jabatan saya dulu dan bank-bank tersebut. Saya perhatikan sampul bertingkap yang ada dijual dikedai-kedai hanya bersaiz 4" x 9" iaitu saiz surat biasa. Saya pun tanya di Pos Malaysia berapa harga setem untuk sampul 4" x 9". Jawapannya ialah .60 sen. Tetapi saya tidak ceritakan yang sampul yang ingin saya beli dan guna ialah sampul bertingkap kerana saya langsung tidak tahu menahu yang harga setem untuk sampul bertingkap adalah lebih dari sampul biasa.

Saya pun mula guna sampul bertingkap dengan harga setem .60 sen. Tetapi saya merasa curiga baru-baru ini bila satu surat yang saya hantar dengan sampul bertingkap tidak sampai. Baru tadi saya dapat jawapannya.

Apabila saya membeli beberapa setem .60 sen tengah hari tadi, dengan tidak sengaja saya menunjukkan surat-surat yang saya hendak pos kepada kerani di kaunter Pos Malaysia tersebut. Kerani tersebut terus berkata untuk sampul surat bertingkap setemnya ialah .80 sen dan bukan .60 sen. Bila saya tanya kenapa jawapannya ialah sampul surat saya 'tidak standard'. Apa yang 'tidak standard' saya tidak tahu.

Saya telah menalipon ibu pejabat Pos Malaysia di Seremban dan jawapannya ialah sama, iaitu sampul surat bertingkap 'tidak standard'. Saya hairan jika satu situasi yang menyenangkan kedua-dua pihak atau dipanggil 'win-win situation', dalam kes ini penulis surat dan penghantar surat, sebenarnya 'tidak standard'. 

Itulah agaknya kenapa bank-bank di mana saya ada akaun sudah mula memberhentikan menghantar surat melalui Pos Malaysia kepada saya. Mereka gunakan mel elektronik atau email. Juga sekarang baru saya tahu mengapa jabatan saya dulu menggunakan staff sendiri untuk menghantar surat.

Saya katakan di sini bahawa peraturan Pos Malaysia itu tidak masuk akal.



2 comments:

Anonymous said...

Ikut sampul Surat juge,warna coklat n putih brbeza harga stemnya,60sen & 80sen,xingt mane satu hrga tuk kedua2nye,itu yg diberitahu Kakak sedara hubby yg brkerja d pos msia

Anonymous said...

Salam,
Mungkin boleh rujuk blog di link dibawah untuk mengetahui ciri2 surat standard dan bukan standard.
Apa yg saya faham, pihak pos malaysia menggunakan mesin untuk mengasingkan surat2 utk dihantar ke penerima. Seperti apa yg kita tahu, mesin mempunyai kelemahan dan fungsi yg telah ditetapkan. Harap membantu. Terima kasih.

https://ohmyfariza.blogspot.my/2011/10/pos-kad-setem-60-sen-70-sen-atau-80-sen.html