Bila tidak ada OKU di atas tren, apa salahnya orang biasa duduk di sini?
Biasanya perkataan atau ayat dalam Bahasa Melayu lebih panjang dari terjemahannya dalam Bahasa Inggeris. Saya mencari terjemahan untuk 'common sense' dan saya terjumpa 'akal'. Tepat sekali, 'common sense' dalam Bahasa Melayu ialah 'akal'.
Kisah bermula apabila seorang kawan saya di laman sosial menghantar gambar seorang bukan OKU duduk di tempat duduk bersimbol OKU dalam tren KTM Komuter. Saya terus komen 'Apa salahnya, saya pum selalu duduk di situ apabila tiada OKU atas tren'. Kemudian timbullah komen-komen yang menentang dan menyokong tindakan saya itu.
Memang saya pernah duduk di tempat duduk bersimbol OKU di KTM Komuter. Ini setelah memastikan tiada OKU sepanjang tren tersebut. Saya rasa bodoh jika membiarkan saja tempat duduk itu kosong sedangkan saya terpaksa berdiri. Saya senaraikan di sini beberapa kes dalam ingatan saya di mana saya memilih akal dari mematuhi peraturan.
- Semasa baru mempunyai kereta, dua pupu saya mengajar saya menggunakan akal semasa memandu. Di selekoh yang kita pasti tiada kereta di hadapan, kita boleh melanggar peraturan dengan melintasi garisan berkembar, dengan syarat tiada polis berhampiran. Dengan cara itu kita memendekkan perjalanan tanpa banyak memusing roda steering. Saya pun menggunakan kaedah ini apabila berada di selekoh yang banyak terdapat di daerah saya di Jelebu, Negeri Sembilan. Malangnya banyak selekoh di Jelebu sekarang sudah diluruskan.
- Pernah beberapa kali saya dapat tempat duduk menghala ke belakang di keretapi. Saya pun gunakan akal dan mencari tempat duduk menghala hadapan yang kosong. Orang KTM tak marah pun bila saya jelaskan kenapa.
- Beberapa tahun lalu saya ditempatkan di tempat duduk paling hadapan di dalam koc tren ke Johor Baharu. Walau pun menghadap hadapan, tiada tingkap di tepi saya. Saya pun beralih ke tempat duduk bertingkap walau pun terpaksa berpindah beberapa kali. Bagi saya tidak guna naik tren jika tidak menikmati pandangan luar.
- Lebih setahun yang lepas saya naik tren malam dari Tumpat ke Bahau. Di stesen Tumpat kawan-kawan rombongan saya beratur hendak mandi di bilik air. Saya perhatikan bilik air untuk OKU tidak digunakan dan juga tiada OKU antara penumpang. Saya pun mandi di situ, diikuti oleh kawan-kawan lain. Tidak ada pegawai KTM yang menegur.
- Baru dua minggu lepas dalam tren ETS dari Kuala Lumpur ke Butterworth saya perhatikan dua tempat duduk bersebelahan di hadapan saya kosong. Saya pun pindah ke situ menjadikan saya dan isteri duduk selesa di dua kerusi tiap-tiap seorang. Saya terasa bodoh membiarkan tempat duduk itu kosong.
Dalam kes di KTM Komuter tadi bila saya kata pernah duduk di kerusi untuk OKU seorang kawan Facebook saya berkata dia tidak sangka yang saya ni yang difikirnya berpelajaran tinggi berperangai begitu. Saya jawab saya tidak berpelajaran tinggi, tetapi saya menggunakan akal atau 'common sense'.
Sekian.
No comments:
Post a Comment