Saturday, July 25, 2015

Bila masuk pintu belakang adalah jalan terbaik.

Sudah beberapa tahun saya tidak melepaskan peluang berhari raya di rumah kampung Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad bin Hassan di Rantau, Seremban. Mula-mula dulu tidak ada khidmat bas 'shuttle' disediakan, jadi saya terpaksa meletak kereta jauh dari rumahnya. Kemudian apabila disediakan khidmat tersebut saya pun naik bas ke rumahnya setelah meletak kereta dengan selesa di pekan Rantau.

Masalah naik bas ialah terpaksa menunggu untuk pergi dan balik. Bas juga terpaksa sama-sama terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dari itu pagi tadi saya memutuskan untuk membawa kereta terus ke rumahnya. Kebetulan disediakan satu lapangan letak kereta di kawasan yang saya fikir asalnya sawah sebelum rumahnya. Saya dengan senang meletak kereta disitu.   

Secara kebetulan lapangan letak kereta ini cuma bersebelahan dengan satu khemah tambahan yang juga dibina di kawasan bekas sawah tersebut. Tapi jika masuk dari hadapan jauh juga hendak sampai ke khemah ini. Saya memutuskan untuk terus makan di khemah belakang ini dan bersalam dengan tuan rumah kemudian. Rupa-rupanya keputusan saya ini adalah terbaik dan gambar-gambar berikut membuktikannya.

 Makanan masih banyak, walau pun di khemah belakang.

 Tempat duduk pun banyak yang kosong di khemah belakang ini.

Tetamu selesa. 

 Walau pun beratur, tapi tidak bersesak.

Makanan di mana-mana khemah sama sahaja.

 Kami tidak perlu meninggalkan meja selepas sahaja makan. Boleh relaks sekejap.

Wednesday, July 22, 2015

Kecurian semasa berbuka puasa.

Kekecohan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru yang bermula dengan satu kes kecurian membawa ingatan saya hampir 50 tahun yang lalu apabila berlaku satu kecurian semasa saya sekeluarga berbuka puasa.


Saya di tingkatan empat satu sekolah berasrama penuh di masa itu dan bercuti di hujung tahun yang kebetulan termasuk bulan puasa. Arwah abang saya yang baru sahaja masuk universiti pun bercuti sama.


Abang saya ini minat dengan alat-alat elektronik dan semasa sekolah sudah mempunyai satu radio transistor yang dibeli dari duit biasiswanya, Semasa masuk universiti dia juga membeli satu alat elektronik, kali ini satu tape-recorder jenis 'spool'. Di masa itu tape recorder jenis kaset belum ada di pasaran.

Jenama tape-recordernya ialah STANDARD dan 'spool'nya kecil, agaknya diameter dua inci sahaja. Dia mula-mula merakam lagu-lagu dari dari radio transistornya melalui mikrofon. Kemudian dengan ilmu elektroniknya dia dapat merakam terus melalui wayar tanpa mikrofon. Kali ini mutu rakaman lebih baik.

Masa itu kampung kami belum ada bekalan elektrik. Jadi abang banyak juga menghabiskan duit biasiswanya untuk membeli bateri. Tape recorder itu pula guna bateri saiz AA yang cepat habis. Jadi abang guna bateri saiz besar (UM-1 kalau tak salah) dan letak di luar tape recorder itu.  Ini menjimatkan duit sedikit.

Di rumah kami pula ada satu speaker lama yang masih baik peninggalan arwah abah kami. Abang letakkan speaker ni di dapur dan disambung dengan wayar ke tape recordernya yang diletak diserambi. Bila masa kami berkumpul di dapur untuk makan abang akan mainkan lagu-lagu dari tape recordernya dan kami mendengarnya melalui speaker di dapur itu. 

Selain dari kami sekeluarga ada juga jiran-jiran dan saudara yang datang ke rumah dan hairan melihat alat yang boleh merakamkan suara ini. Ini termasuk seorang dua pupu kami, walau pun sebaya dengan abang (umur 18 tahun masa tu) sudah berkahwin dan punya seorang anak.

Emak saya mempelawa dua pupu kami dan keluarga untuk berbuka puasa di rumah kami. Ini kerana dua pupu kami itu baru sahaja kematian emak (sepupu emak saya) dan emak saya berasa bertanggung jawab terhadapnya. 

Dua pupu saya ini betul-betul menunjukkan minat kepada tape recorder ini. Dia bertanyakan macam mana hendak rekod, play, rewind dan fast forward dan abang saya menunjukkannya.

Biasanya abang saya akan memainkan lagu-lagu dari tape recordernya semasa kami berbuka puasa di dapur. Tetapi entah macam mana di hari yang malang itu abang saya tidak berbuat demikian. Adik perempuan saya yang berumur lebih kurang enam tahun juga nyenyak tidur di serambi. Tak apalah, dia tidak berpuasa. 

Tiba-tiba emak saya bertanya kenapa tak mainkan lagu? Abang saya pun bergegas ke serambi untuk memainkan tape recordernya. Tiba-tiba abang balik ke dapur dan bertanya kepada saya 'Maarof, tape recorder mana?' Saya jawab tentulah di tempat biasa di serambi. Kami pun semua keluar ke serambi dan melihat tape recorder beserta pek bateri di luar sudah lesap. Plug untuk wayar speaker ke dapur siap ditanggalkan.

Adik perempuan kami masih tidur dan kami pun mengejutkannya dan bertanya adakah dia nampak sesiapa yang naik ke rumah. Dia menjawab tak tahu. (Sehingga hari ini saya fikir nasib baik adik saya tidak bangun dari tidur semasa kejadian itu, jika tidak tak tahulah apa akan jadi padanya. Sejak kejadian itu juga kami mengunci pintu di serambi apabila berkumpul di dapur.)

Kami pun hilang selera untuk meneruskan berbuka puasa. Kami tidak mengsyaki sesiapa kerana terlalu ramai jiran-jiran dan saudara mara yang datang melihat 'alat ajaib' yang dibawa balik oleh abang itu.

Kebetulan wakil rakyat kawasan kami tinggal sekampung dengan kami. Abang dan arwah bapa tiri kami terus pergi ke rumahnya untuk mendapat pertolongan. Sudah tentu dia menalipon polis yang terletak lebih kurang 6 km dari rumah kami. Polis berkata ini bukan jenayah berat seperti bunuh atau rompak, oleh itu mereka tidak akan datang, melainkan pihak yang kecurian datang ke balai dan membuat aduan.

Abang dan bapa tiri pun naik basikal malam itu juga ke balai polis untuk membuat laporan. Beberapa jam kemudian mereka pun balik dan berkata tidak lama lagi polis akan datang.

Betul, pihak polis datang lebih kurang satu jam lepas itu (lepas tengah malam). Setelah melihat kesan jenayah seorang pegawai yang tidak beruniform mengumpulkan kami sekeluarga. Kemudian dia bertanya adakah sesiapa yang datang ke rumah kami yang menunjukkan minat kepada tape recorder itu, contohnya menanya bagaimana hendak play, record, rewind dan fast forward. 

Tiba-tiba kami teringat kepada dua pupu kami itu (selepas ini saya panggil suspek). Kami pun memberi namanya. Kemudian sudah tentu pegawai itu bertanya di mana suspek tinggal. Abang berkata dia akan menunjukkannya. Abang kemudian pergi bersama Land Rover polis. Setelah menunjukkan rumah suspek, abang dihantar pulang.  

Hampir Subuh polis datang ke rumah kami semula dengan membawa tape recorder itu. Kami bertanya bagaimana mereka dapat menyelesaikan kes itu dengan cepat? Mereka jawab dengan bertanya kepada keluarga suspek adakah mereka berbuka puasa bersama suspek pada hari itu? Jawapannya tidak, kata mereka suspek ingin berbuka puasa di kedai. Mereka pun menangkap suspek.

Sekian,

Sunday, July 19, 2015

Berdosakah saya kalau berterus terang?

Di dua hari raya saya dituduh melakukan satu dosa. Dosa saya ialah kerana menulis mengenai pengalaman buruk berbuka puasa di satu dewan di pertengahan bulan Ramadan. Sila klik di sini untuk mengetahunya.

Sama ada saya berdosa atau tidak biarlah Allah yang memutuskannya. Tetapi saya cuma ingin berterus terang. Untuk pengetahuan semua, beberapa hari selepas saya menulis itu seorang pegawai dewan itu telah menalipon saya meminta maaf kerana diberi layanan yang tidak sepatutnya. 

Dia menawarkan untuk membayar balik atau 'refund' wang RM 60.00 yang saya dan isteri telah keluarkan untuk 'buffet Ramadan' tersebut. Sebagai alternatif kami ditawarkan untuk datang semula menikmati 'buffet Ramadan' mereka secara percuma. Kali ini kami akan diberi tempat paling hampir dengan 'food stations' untuk mendapatkan layanan yang istemewa.

Saya menolak kedua-dua tawaran tersebut. Bagi saya yang sudah tu sudahlah. Biarlah saya belajar dari pengalaman yang agak negatif itu. Saya pun telah memaafkan pihak dewan itu dan mereka pun telah belajar dari kesalahan mereka. Tetapi yang penting bagi saya ialah mereka mengaku akan kesalahan mereka dan tidak bersifat angkuh. Jadi pihak ketiga yang menuduh saya berdosa ini apa hal?

Lebih dua puluh tahun dulu saya mempunyai seorang boss yang suka berterus terang. Jika dia dapati seorang pegawai atau kakitangan telah melakukan satu inovatif diluar bidang kuasanya boss ini akan memujinya di perhimpunan bulanan kami dan diberi hadiah saguhati. Ada kalanya saguhati itu datang dari duit poketnya sendiri.

Tetapi jika ada mana-mana pegawai dan kakitangan membuat kesalahan dia pula dikutuk dan namanya disebut di bilik mesyuarat atau di perhimpunan bulanan. Walau pun ramai diantara kami yang tidak menyenangi sikap boss kami ini, saya tidak berfikiran begitu.

Bagi saya boss ini ingin berterus terang dan tidak ingin kami bertanya-tanya siapa yang salah dan siapa pula yang betul.      
 

Monday, July 13, 2015

Ada kemungkinan saya akan mengamuk.

Saya tertarik dengan cerita kekecohan yang berlaku di Low Yat Plaza, Kuala Lumpur dua malam berturut-turut baru-baru ini, Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberikan pendapat saya mengenai perkara itu.

Saya telah mula bergaul dengan masyarakat Cina Malaysia sejak beberapa lama. Contohnya selepas peristiwa 13 Mei 1969 saya telah berpindah ke Flet Tun Dr. Ismail, Seremban yang banyak diskosongkan oleh orang Melayu. Di situ saya berjiran kiri, kanan, atas dan bawah dengan masyarakat Cina. Sila lihat di sini. Ini saya lakukan walau pun sebelumnya saya bersekolah rendah di kampung dan kemudian masuk ke satu sekolah berasrama penuh yang pelajarnya 99% Melayu.

Kemudian apabila saya ditukarkan ke Kelantan pada tahun 1972 seorang kawan sejabatan saya berbangsa Cina memilih untuk tidur di rumah saya pada hujung-hujung minggu walau pun tempat tidur rasmi disediakan untuknya. Di Kelantan juga walau pun kompleks jabatan saya dikelilingi oleh kampung-kampung Melayu saya berjiran dengan seorang staff berbangsa Cina. Sila juga lihat di sini.

Dari itu apabila saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mulai tahun 1973 saya tidak mempunyai masalah bergaul dengan staff dan pelanggan berbangsa Cina walau pun ramai staff saya yang kuat sifat perkauman mereka. Sila juga lihat di sini. 

Entah macam mana saya berkawan baik dengan seorang penjual aksesori kereta berbangsa Cina dan ini tidak disenangi oleh boss saya. Boss saya ini, seorang 'racist' pernah mengarahkan saya memutuskan hubungan dengan kawan ini dengan alasan kawan saya menjadi pengantara saya menerima rasuah. Saya terus menolak arahan boss saya dengan jawapan jika saya menerima rasuah sudah tentu kereta saya penuh dengan aksesori. Pada hal tiada.

Untuk pengetahuan, jiran belakang rumah saya juga berbangsa Cina. Jika saya seorang racist sudah tentu saya tidak mahu membeli rumah saya sekarang. Juga saya tidak akan mempelawa jiran saya ke majlis Hari Raya, kenduri pertunangan dan perkahwinan anak saya dan akhirnya aqiqah cucu saya Sg. Buloh, Selangor baru-baru ini.

Mereka juga tudak akan memberi saya satu kotak lima mandarin dan mempelawa saya melihat tarian singa di rumah mereka tiap-tiap Tahun Baru Cina.

Sehingga pencen pun saya masih berkawan dengan kawan Cina saya ini dan kebetulan pula kami telah berpindah rumah yang menyebabkan kami tinggal berhampiran. Sudah menjadi perkara biasa bagi kami mengeteh dengan saya memakai kain sarung, berbaju Melayu dan berketayap selepas solat Isyak di surau dan dia berseluar pendek sahaja. 

Dari kawan saya ini saya belajar bagaimana orang Cina membeli barang dibandingkan dengan orang Melayu. Ini dari pengalamannya sebagai seorang peniaga. Katanya orang Cina akan pergi ke beberapa kedai untuk membandingkan harga dan kemudian membeli dari kedai yang menawarkan harga paling murah. Sedangkan orang Melayu akan hanya singgah di satu kedai dan cuba tawar menawar di situ.

Ini saya alami baru-baru ini apabila saya bertanyakan harga skrin Samsung Galaxy Tab saya yang retak. Kedai pertama menawarkan harga seratus ringgit lebih untuk skrin tersebut. Tetapi kedai kedua menawarkan harga lebih dua ratus ringgit. Tetapi saya fikir tidak perlu menukar skrin tersebut sekarang kerana Tab itu masih boleh digunakan. 

Bayangkan saya terus pergi ke dedai kedua dan menukar skrin itu dengan harga yang ditawarkan. Kemudian saya dapat tahu dari kedai pertama bahawa harga sebenar ialah setengah dari itu.

Ada kemungkinan saya akan mengamuk.   

Thursday, July 9, 2015

Notis yang punya dua makna.

Awas kolam, orang ini nak mencemar kamu!

Kalau kolam ini tidak berhati-hati orang-orang yang tidur itu akan mencemarnya.


Dua hari lepas saya dijemput ke satu majlis berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Kalau nak tahu cerita penuh sila lihat pos saya sebelum ini di sini.

Apa yang menarik saya kepada masjid ini ialah ruang solatnya di tingkat atas dikelilingi 75%  air. Angin yang bertiup di atas air itu membawa kesejukan kedalam ruang solat. Dari itu masjid ini tidak memerlukan pendingin hawa atau air-conditioning dalam Bahasa Inggeris dan AC dalam Bahasa Indonesia.   

Tetapi air dalam kolam itu boleh menimbulkan satu illusi yang mengelirukan. Siapa yang tidak sedar boleh jatuh ke dalamnya, tetapi tidaklah membahayakan kerana dalamnya tidak sampai satu meter. Dari itu pihak berkuasa telah meletakkan beberapa notis yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti gambar-gambar di atas.

Saya yang tahu sedikit Bahasa Inggeris ini sedar bahawa notis dalam bahasa itu sepatutnya 'BEWARE OF POOL'  dan bukan 'BEWARE POOL'.

Tetapi setelah berfikir dua kali rupa-rupanya notis itu ada betulnya, Kerana ia memberi notis kepada kolam itu (BEWARE POOL) supaya berjaga-jaga. Kalau kolam itu tidak berjaga-jaga orang akan masuk atau jatuh kedalamnya dan mencemarkannya.

Ini ditambah lagi bila notis dalam Melayu AWAS KOLAM boleh bermakna dua, Ia boleh ditujukan kepada pengunjung dan boleh jadi juga kepada kolam itu sendiri.

Sekian.

Wednesday, July 8, 2015

Buka puasa di Putrajaya.

Semalam 7 Julai 2015 saya dipelawa oleh Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia untuk berbuka puasa di Putrajaya. Berikut adalah gambar-gambar yang menceritakan pergerakan saya pergi dan balik.


Berkumpul di sini.

Menyemak senarai nama yang sama-sama pergi.

Tempatnya bangunan Rukun Tetangga (B) Taman Paroi Jaya, Seremban.

Ketua rombongan memberi taklimat.

 Baca doa sebelum bergerak

Dalam bas.

Saya dalam bas.

Pemandangan dalam bas.

Dah sampai. Bas datang dari Putrajaya.

Inilah programnya.

Di sini tempatnya.

Bumbung masjid dari dalam.

Pandangan dari dalam masjid.

Di tepi kolam keliling masjid. Sepatutnya 'BEWARE OF POOL'.

 Once a Sdarian, Always a Sdarian. Terserempak junior saya di sekolah, Abu Fatah Sanusi. Dia datang dari Shah Alam.

 Khemah berbuka puasa di kawasan lapang masjid.

Menunggu waktu berbuka puasa sambil mendengar ucapan demi ucapan.

Juga menunggu.

Pun menunggu.

Inilah suasana berbuka puasa hari-hari di masjid ini.

Juruacara majlis.

Imam besar masjid memberi tazkirah sebelum berbuka puasa.

Bila makanan terhidang seperti ini ia tidaklah membazir.

Nak pulang. 

 Dalam perjalanan pulang.

Sekian cerita bergambar saya.

Saturday, July 4, 2015

Farewell, my friend. I will miss your smile.

Professor Dr. Jamaludin Md. Jahi in 2010, smiling the way I first met him.

I was sitting at extreme left, Jamaludin sitting 5th from left. This was 1966 when we were in Form 4.

Jamaludin was sitting 3rd from left. I was squatting at extreme right. This was 2010 when we were 60 year old grandfathers.

Today I received news that one of of classmates in secondary school passed away due to cancer. Like me, he was 65 years old. He was a retired professor with a doctorate degree.

I remember my friend Jamaludin Md. Jahi the first day we entered a fully residential secondary school. The school was Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak. The date was 14th February 1962 when lovers around the world were celebrating Valentine's Day. The school had since been shifted to Seremban in 1972, first at Sikamat and then Sungai Gadut since 2002.

We came from contrasting backgrounds, all of us in the class. I was then a scared kampung boy from the remote district of Jelebu, Negeri Sembilan. In contrast Jamaludin came from Merlimau, a sub-urban area in Melaka. I can confirm that because eventually I married a girl from there. 

I was an orphan then, since my father died when I was three years old and I was raised purely in the kampung way, like I said in a remote area of Negeri Sembilan. But Jamaludin was brought up in middle class. His father was a teacher. 

In those days the children of teachers living in a kampung anywhere in Malaya (as the country was called then) led different lives compared to other kampung boys and girls. Again I can this, because my late father-in-law was a teacher too. In fact my late father-in-law and Jamaludin' late father were friends and colleagues. 

So when Jamaludin entered secondary school, even though it was hundreds of miles (as we measured distance then) away from home, he was just like a duck entering a pond. He did not show any nerves. He was talking and mixing easily to every one of us in the class room. 

He was very unlike me who was thinking of my mother and siblings I left in the kampung. I was always in the verge of crying and scared to talk to anybody, when Jamaludin was always smiling all the time. It is ironic that the last photograph of him which I took in 2010 was of him smiling. It was almost the same smile that he gave me and our friends on that Valentine's Day in 1962.

I found it tiresome to shift talking from my Negeri Sembilan dialect to the way urban Malays talk. But to Jamaludin this was no problem, since the Melaka dialect is almost the same to the 'Melayu bandar' dialect. 

Jamaludin was in the A class in the six years we were in secondary school (the first year was the Remove Class). But I was demoted to the B class in Forms 2 and 3 for being naughty. But after Lower Cercificate of Education (LCE) I was back in the A class and together with Jamaludin again.

As the say, we choose friends. So in school we chose our friends. I had my friends and Jamaludin had his. This also meant that I and Jamaludin were not close friends. 

After Form Five and passing the Malaysia Certificate of Education I had to look for a job but Jamaludin entered Form Six and then the University where he eventually was awarded a doctorate and became a professor. Before our final meeting in 2010 we only met once after that, although there were times when we were close by, for example during Hari Raya time when we were both in Merlimau, Melaka.

So farewell, my friend. I will miss your smile.

Thursday, July 2, 2015

Terkena tiga kali di tengah Ramadhan.



Buffet Ramadhan RM 60 untuk dua orang dewasa.

Beriani kambing yang tinggal kuah.

Mana mayonnaise dan sayur?

Makanan yang sudah licin dikebas.

Mungkin apabila pos saya ini tersebar pengurusan KRS Event Management Sdn. Bhd. sedang mengira pungutan yang mereka dapat dari apa yang dikatakan Buffet Ramadhan di kompleks mereka di Warisan Puteri, Jalan Sikamat, Seremban. Mungkin pekerja-pekerja mereka sedang mengemaskan pinggan mangkuk tanpa banyak kerenah. 

Saya kata tanpa banyak kerenah kerana makanan dalam pinggan mangkuk di 'food station' sudah licin. Cuma makanan di pinggan mangkuk di atas meja hidangan banyak yang ditinggal membazir. 

Isteri saya Salmah mencadangkan kami berbuka puasa di luar hari ini. Mula-mula saya bercadang hendak ke restoran yang kami sudah biasa. Kemudian saya terfikir ternampak iklan Buffet Ramadhan di satu dewan yang hampir dengan rumah saya. Kebetulan pengurusan dewan itu ada akaun di laman sosial Facebook.

Saya pun menalipon satu nombor yang tertera di laman itu dan memesan untuk makan dua orang. Tetapi saya agak kesal juga kerana dikenakan bayaran penuh RM 30.00 seorang walau pun saya jelaskan kami warga emas yang tidak makan banyak. Sedangkan untuk tiket keretapi kami dikenakan setengah harga.

Saya dan isteri sampai ke dewan tersebut lebih kurang pukul 7.10 minit iaitu 15 minit dari waktu berbuka. Saya perhatikan ada deretan panjang di luar dewan untuk mendapatkan apa yang dipanggil kambing golek. Saya fikir jika turut beratur sama belum tentu saya dapat berbuka puasa tepat pada waktunya.

Saya pun terus ke kaunter sambutan untuk melihat di mana kami ditempatkan. Rupa-rupanya hampir dengan pentas di hujung sana. Staff di kaunter terus meminta bayaran RM 60.00 untuk dua orang dan saya menjelaskannya.

Sebelah kaunter sambutan ialah lobi dewan yang dijadikan 'food station'. Ini bermakna makanan terletak jauh dari meja-meja makan. Tidak hairanlah semua tetamu memenuhkan pinggan mereka dengan apa makanan yang ada, kerana tidak mahu berulang alik untuk menambah makanan. Ini berbeza dengan majlis kahwin di dewan, contohnya di mana 'food stations' di letak di dalam dewan.

Di sinilah saya terkena kali pertama. Makanan adalah ala Arab, tetapi bila saya sampai ke dulang yang ditulis 'Beriani Kambing' yang tinggal hanya kuah. Saya memerhati sekeliling jika ada pekerja-pekerja yang dapat menambah bekalan daging kambing. Tetapi saya perhatikan seorang pun tidak ada. 

Saya membuat kesimpulan apa-apa makanan yang ada di 'food station' tidak akan ditambah. Beruntunglah mereka yang datang awal, kerana dapat membolot segala makanan yang ada di situ. Tetapi malang bagi mereka yang tiba agak lewat seperti saya kerana banyak makanan sudah dikebas. 

Gelas minuman yang dibekakan ialah saiz mini. Saya perhatikan pasangan di hadapan saya sudah bersedia dengan lima gelas minuman. Untuk berbuka puasa di musim panas ini mana cukup satu gelas saiz mini untuk seorang?

Ekoran itu, bila sedang makan saya pergi semula ke 'food station' untuk minum dan minum. Kemudian saya terfikir akan 'kambing golek' tadi. Walau pun saya tidak perlu beratur untuk mendapatkan beberapa cebis daging kambing (dan terubat kerana tidak merasa Beriani Kambing), tetapi aksesori seperti mayonnaise dan sayur-sayuran sudah habis. Saya terkena kali kedua.

Saya kembali ke meja saya (setelah berjalan jauh) untuk menghabiskan makanan bersama isteri dengan membawa kambing golek dengan sos cili. Saya perhatikan isteri saya sudah mengambil beberapa keping kuih. Katanya jenis kuih amat terhad.  

Setelah habis makan nasi, kambing golek dan kuih-kuih, saya ingat hendak mencuba makanan ringan seperi mee dan nasi goreng. Di sini saya terkena kali ketiga, kerana kebanyakan makanan itu sudah licin.

Saya pun mengajak isteri saya pulang sambil berfikir ini sebab pengurusan meminta kami membayar dulu sebelum makan. Jika bayar sesudah makan mungkin ada yang merungut kerana memikirkan bayaran RM 30.00 itu walau pun murah dibandingkan dengan makanan di hotel contohnya, tidak berbaloi. 

Saya tidak meminta pembaca supaya tidak pergi berbuka puasa di dewan ini. Tetapi jika mahu pergi juga jangan lupa datang awal-awal. Jika tidak jangan marah jika terkena seperti saya.

Saya nak pergi lagi? Minta maaf. Cukuplah terkena di tengah-tengah bulan Ramadhan ini. Harap tidak terkena lagi.