Saturday, January 30, 2016

Saya sudah lama tak percaya pada SPRM.

Beberapa bulan dulu saya didatangi di pejabat oleh seorang yang mengaku dirinya seorang penuntut universiti. Saya tidak kuasa untuk meminta identitinya setelah sedar apa yang dia mahu dari saya tidak akan menjejaskan kedudukan saya sebagai seorang pesara kerajaan,

Dia sedang membuat kajian mengenai keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM. Dia pun menanyakan beberapa soalan yang bagi saya seorang pesara kerajaan ini adalah soalan-soalan bodoh belaka. Saya pun menjawab dengan jawapan-jawapan bodoh pula.

Cuma diakhir sessi dia menyoal satu soalan yang membawa kenangan mengusik jiwa bagi saya. Soalannya adalah 'Pernahkan anda memberi rasuah?. Saya terus menjawab 'Ya'. Oleh kerana tiada soalan lain berkenaan perkara 'memberi rasuah' itu, dia tidak menyoal apa-apa lagi.

Kemudian giliran saya pula untuk menyoalnya. Saya tanya 'Adakah awak ingin tahu kepada siapa saya memberi rasuah?' Dia menjawab ingin tahu. Saya terus menambah 'Saya memberi rasuah kepada seorang pegawai SPRM', (dulu dipanggil Badan Pencegah Rasuah atau BPR.) Untuk tidak mengeruhkan keadaan saya tidak menceritaka apa-apa mengenai pemberian rasuah saya itu.

Ia berlaku lebih 20 yang lalu semasa saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban. Sebelum itu saya merobohkan sebuah gerai peniaga bangsa China yang dibina secara haram dan itu merupakan antara berpuluh gerai yang telah saya robohkan. Peniaga itu ada cuba merasuah saya supaya gerainya tidak dirobohkan tetapi saya menolaknya.

Selepas itu saya ditugaskan untuk menjaga Pasar Besar Seremban. Tidak sampai sebulan saya di situ pejabat saya menerima satu surat layang yang saya percaya ditulis oleh peniaga China itu. Dia mengadu kenapa gerainya dirobohkan sedangkan dia telah merasuah saya. 

Saya pun dipanggil oleh ketua jabatan saya dan saya menerangkan memang benar merobohkan gerai yang dimaksudkan, tetapi tidak pernah meminta atau diberi rasuah oleh sesiapa. 

Rupa-rupanya peniaga China itu menghantar surat yang sama kepada Badan Pencegah Rasuah, Negeri Sembilan. Saya tidak tahu sama ada terdapat dalang di pejabat saya di belakang isu ini kerana saya tahu ramai kakitangan pejabat saya tidak senang dengan saya.

Sebelum itu ingin saya ceritakan mengenai situasi di Pasar Besar Seremban dan juga pasar-pasar dibawahnya. Dari dulu hingga sekarang pengurusan pasar di MPS diketuai oleh seorang Inspektor Kesihatan (sekarang dipanggil Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau PPKP). Dia dibantu oleh beberapa orang Pengawas, Mandur dan Pekerja Am.

Di masa saya dulu ada seorang Pengawas yang setahu saya berpuluh tahun sehingga bersara cuma bekerja di Pasar Besar Seremban. Kerana memegang jawatan dalam parti UMNO dan dari itu sering berganding bahu dengan ADUN, ahli EXCO dan Menteri Besar sendiri dia seolah-olah menjadi 'untouchable' dan tidak boleh ditukar ke mana-mana.

Tidak sampai sebulan saya bertugas di Pasar Besar Seremban, Pengawas tadi memberitahu seorang pegawai BPR hendak berjumpa saya. Pengawas itu terus memberitahu bahawa pegawai BPR itu memberitahunya satu fail telah dibuka untuk saya di pejabat BPR. Saya pun hairan kalaulah benar saya sedang disiasat oleh BPR, mengapa pegawainya sanggup membocor rahsia itu kepada kakitangan bawahan saya.

Saya pun memanggil pegawai itu masuk ke pajabat saya di pasar itu. Saya bertanya adakah saya sedang disiasat? Dia tidak menjawab ya atau tidak tetapi mengatakan BPR ada menerima surat aduan mengenai saya sama seperti yang diterima oleh pejabat saya.

Dari pengalaman sebelum itu berdepan dengan peniaga-peniaga yang ingin merasuah saya, dia juga seolah-olah ingin sesuatu dari saya supaya dia boleh menutup kes itu. Saya pun memberi jawapan yang sama seperti yang saya berikan kepada ketua jabatan saya. Saya menambah jika dia ingin membiat siasatan lanjut saya tidak ada halangan. Dia boleh ke pejabat saya jika dia mahu. 

Beberapa hari kemudian dia datang lagi ke Pasar Besar Seremban dan berjumpa dengan Pengawas 'untouchable' tadi. Kemudian Pengawas itu datang berjumpa saya dan berkata adalah 'sial' jika seorang pegawai BPR datang ke mana-mana, termasuk datang ke pasar di mana kita bekerja. Dia pun meminta saya menutup 'sial' itu dengan 'menghulur' kepada pegawai BPR itu.

Tanpa memikir apa-apa saya pun mengeluarkan RM 200 dari dompet saya untuk 'dihulur; kepada pegawai BPR itu. Sejak itu saya tidak nampak muka pegawai BPR itu di mana-mana.

Beberapa minggu dan bulan selepas itu barulah saya sedar telah membuat satu kesilapan besar. Saya tidak takut kepada BPR tetapi saya sedar rasa hormat kakitangan bawah saya telah kurang. Si 'untouchable' tentu berfikir jika saya boleh memberi rasuah tentu saya juga menerima rasuah. 

Saya dari dulu lagi memang syak bahawa si 'untouchable' menerima rasuah secara berkala. Jika tidak bagaimana dia yang berjawatan rendah sanggup mempunyai tiga isteri? Saya juga telah banyak menutup 'lubang-lubang'nya di Pasar Besar itu. Dia jugalah yang bimbang akan 'sial' yang datang bersama mana-mana pegawai BPR.

Tidak hairanlah tidak sampai satu tahun saya ditugaskan di Pasar Besar Seremban saya telah ditukarkan. Saya mendapat tahu si 'untouchable'lah menjadi dalang penukaran saya itu dengan menggunakan pengaruh politiknya.

Si 'untouchable' meninggal dunia dua tiga tahun setelah bersara. Saya tidak tahu sama ada pegawai BPR itu masih hidup atau tidak. Tetapi dia telah membuatkan saya tidak percaya kepada BPR dan seterusnya SPRM. 

Wednesday, January 20, 2016

Panggil saja 'The Pink Warriors'.

Memanggil diri mereka 'The Red Warriors' tetapi memakai jersi berwarna 'pink'.

Masanya di hujung tahun 1970an kalau tak salah. Dua pasukan bolasepak negeri turun ke padang untuk satu perlawanan Piala Malaysia. Tiba-tiba didapati kedua-duanya memakai jersi berwarna sama, merah kalau tak salah. 

Mengikut peraturan perlawanan pasukan tuan rumah (home team) kena tukar jersi warna lain. Mula-mulanya mereka bertegas tidak mahu tukar dengan mengatakan itulah warna jersi mereka di tempat sendiri. Pasukan pelawat pula merujuk kepada peraturan perlawanan sambil berkata tidak ada hitam putih menentukan warna mana-mana pasukan baik  di tempat sendiri atau di tempat lawan. 

Akhirnya pasukan tuan rumah mengalah, tetapi menunjukkan ego mereka dengan tidak menanggalkan jersi yang sudah dipakai. Mereka mengenakan jersi kedua dengan warna lain di atas jersi yang sudah sedia dipakai. Ini bermakna mereka memakai baju dua lapis.

(Tulisan saya di atas terbuka kepada pembetulan jika fakta salah)

Itu semasa pasukan kebangsaan kita digeruni di Asia walau pun pentadbiran pasukan-pasukan negeri dan kelab tidaklah  kemas seperti sekarang. Di hari ini lain pula ceritanya. Walau pun pasukan kebangsaan jatuh merudum 'ranking'nya, pentadbiran pasukan-pasukan negeri dan kelab pula agak kemas sehingga ada pasukan kelab telah memenangi pertandingan antarabanngsa seperti pasukan JDT memenangi Piala Kelab AFC baru-baru ini.

Saya kata begitu kerana hari ini tidak ada lagi kekeliruan mengenai jersi mana-mana pasukan terutama bila pasukan itu main di tempat sendiri. Sudah tentu pasukan pelawat tidak akan membawa jersi yang sama warna dengan pasukan tuan rumah.

Saya sudah lama tidak mengikuti bolasepak tanah air sejak prestasi pasukan kebangsaan merudum. Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu pasukan negeri saya Negeri Sembilan memakai warna kuning di tempat sendiri. Tetapi syukur juga mereka tidak menamakan pasukan mereka 'The Yellow.....(apa-apalah)' kerana perkataan Inggeris 'yellow' boleh memberi makna negatif.

Ini membawa saya kepada pasukan yang menggelar diri mereka 'The Red Warriors' atau Pahlawan Merah. Itulah panggilan kepada pasukan bolasepak negeri Kelantan. Saya tahu orang Kelantan fanatik terhadap pasukan mereka kerana saya pernah tinggal di negeri itu semasa bujang.

Sekarang usahawan glamour yang dipanggil Dr. Vida ingin menaja pasukan 'The Red Warriors'. Tetapi Dr. Vida memberi beberapa syarat, antaranya jersi pertama atau jersi di tempat sendiri hendaklah berwarna merah jambu atau 'pink'.

Saya tidaklah berperasangka terhadap apa-apa warna walau pun saya tidak akan memakai pakaian berwarna 'pink'. Tetapi memakai jersi warna 'pink dengan mengekalkan nama 'The Red Warriors' adalah janggal.

Oleh itu saya cadangkan pasukan bolasepak Kelantan dipanggil 'The Pink Warriors'.

Tuesday, January 12, 2016

Duka selepas suka.

Dengan kawan-kawan sekolah di Kajang pada 3 Januari 2016.


Allahyarham Borhan Bulat dengan isteri dan anak datang ke majlis kahwin anak saya  pada 8 September 2012 

Di masa saya kecil dulu nenek saya sering menegur kami adik beradik bila kami terlalu suka sehingga ketawa berdekah-dekah. 'Jangan suko bona, nanti luko' katanya. Perkataan 'duka' tidak ada dalam perbendaharaan katanya.

Saya amatlah suka pada 3 Januari 2016 yang lepas. Pertama saya mencapai umur 66 tahun di hari itu. Kedua saya berjumpa dengan kawan-kawan sekolah saya di Kg. Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Kami dijamu minum pagi dan makan buah-buhan oleh seorang senior, Professor Hamid Mahmud yang menetap di situ, walau pun beliau berasal dari Kelantan.

Tidak hairanlah ramai kawan-kawan saya yang berasal dari Kelantan datang ke rumah Prof. Hamid. Seperti Prof. Hamid mereka sekarang menetap di Lembah Kelang. Selepas minum pagi kami diminta memetik rambutan dan pulasan di dusun Prof. di belakang rumahnya. Kami yang datang dengan keluarga berjumlah lebih 50 orang tidak termakan buah-buahan hari itu, apa tah lagi keluarga Prof. Hamid.

Tetapi dua hari selepas itu saya menerima berita sedih iaitu seorang kawan sekelas saya Hj. Borhan Bulat meninggal dunia di rumahnya di Jasin, Melaka. Nasihat nenek saya itu telah menampakkan kebenarannya.

Saya mula kenal dengan Borhan pada tahun 1962 semasa kami berumur 12 tahun. Kami antara budak-budak kampung yang terpilih memasuki satu sekolah asrama penuh, Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak. Sekarang sekolah itu telah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

SDAR di masa itu tidaklah seperti SDAR sekarang. Di Tanjong Malim tidak ramai guru berijazah mengajar kami. Kemudahan lain seperti perpustakaan, makmal dan bengkel juga kurang. Tiap-tiap tahun ada sahaja antara kami yang gagal peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE).

Di masa itu juga ada peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Ada murid yang dapat keputusan MCE yang baik tetapi gagal dalam peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Ini bermakna persekolahan mereka terhenti. Ada pula yang lulus peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam walau pun keputusan MCE mereka tidaklah cemerlang.

Saya dan Borhan menerima nasib yang berbeza selepas Tingkatan Lima. Saya gagal dalam peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam, walau pun keputusan MCE saya agak baik. Oleh itu saya terpaksa mencari kerja. Borhan pula berjaya ke Tingkatan Enam.

Allah telah menemukan saya dan Borhan semula di Kelantan pada tahun 1972. Saya ke sana setelah tamat latihan sebagai seorang Inspektor Kesihatan dan ditempatkan di Pasir Puteh. Borhan pula ditempatkan di Machang setelah tamat kursus perguruan.

Di masa itu menjadi dasar Kementerian-kementerian Kesihatan dan Pelajaran menghantar pegawai-pegawainya yang terpilih dan baru sahaja tamat latihan untuk bertugas di pantai timur. Saya dan Borhan adalah antara pegawai yang terpilih itu dan sehingga hari ini saya bangga menjadi sebahagian dari mereka yang terpilih untuk melaksanakan dasar kerajaan itu.

Saya sendiri mencari Borhan di Machang. Di masa itu jalan antara Pasir Puteh dengan Machang tidaklah sebaik sekarang. Di sana saya mendapat tahu walau pun Borhan berjaya masuk ke Tingkatan Enam sebelumnya, beliau gagal masuk ke universiti. Beliau sendiri mencurahkan kepada saya perasaan gagalnya itu.

Saya cuma setahun di Kelantan kerana berjaya mendapat kerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tetapi Borhan berada di sana untuk beberapa tahun sebelum bertukar ke Melaka, negeri tumpah darahnya. Walau pun kami tinggal berjiran negeri dan saya pula berkahwin dengan orang Melaka kami tidak lagi berjumpa selepas itu kerana sibuk dengan tugas dan keluarga.

Saya hanya berjumpa Borhan kembali pada tahun 2009 apabila kami sama-sama sudah pencen walau pun di masa itu saya diminta bertugas semula oleh MPS. Saya ke rumahnya di Jasin semasa perkahwinan anak lelakinya.

Selepas itu kami telah berjumpa beberapa kali semasa perjumpaan kawan-kawan sekolah dan di majlis kahwin anak saya sendiri.  

Al Fatihah untuk sahabatku Hj. Borhan bin Bulat.

Friday, January 1, 2016

Takziah Dato'.

Dato' Ibrahim Che' Mat bersama isteri semasa Persidangan Perwakilan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Kuala Lumpur pada bulan Julai 2015.


Saya mula mendengar nama Dato' Ibrahim Che' Mat (di masa itu beliau belum bergelar Dato') semasa beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Utama Rais Yatim, yang semasa itu menjadi seorang Menteri kabinet Malaysia berpuluh tahun yang lalu. Lepas ini saya akan menyebut Dato' Ibahim Che' Mat sebagai Dato' sahaja.

Saya mula bertemu muka dengan Dato' lebih empat tahun yang lalu semasa saya mula-mula menjadi ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Sembilan. Saya mengikuti lawatan persatuan ke Kuala Klawang, Jelebu. SILA KLIK DI SINI untuk cerita lawatan itu. Di masa itu saya langsung tidak tahu apa peranan Dato' dalam persatuan tersebut.

Cuma di pertengahan tahun 2013 baharu saya tahu Dato' sebenarnya Pengerusi persatuan untuk Daerah Jelebu (dipanggil Cawangan). Ini semasa saya dipelawa menjadi pemerhati di Mesyuarat Agung persatuan untuk peringkat Negeri Sembilan (dipanggil Bahagian). Di pemilihan yang diadakan pada Mesyuarat Agung itu Dato' berjaya dipilih sebagai Timbalan Yang Di Pertua Bahagian.

Selepas Mesyuarat Agung, Yang Di Pertua persatuan pula melantik saya menjadi Setiausaha untuk Bahagian Negeri Sembilan. Mulai hari itulah saya rapat dengan Dato' dan sering bersama di aktiviti persatuan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Saya tidak mahu menulis biografi Dato' dan isteri di sini, yang sudah pasti panjang. Saya hanya ingin menulis Dato' seperti yang saya kenal.

Apa yang istimewa pada Dato' ialah ke mana beliau pergi beliau akan membawa isterinya Datin Siti Zaharah bersamanya. Sehinggakan pernah Datin menunggunya di pejabat persaatuan semasa kami mengadakan mesyuarat jawatankuasa. Berani saya katakan belum pernah berjumpa pasangan suami isteri yang begitu rapat, apa lagi di usia emas.

Oleh itu apabila saya mendengar berita pemergian kerahmatullah Datin Siti Zaharah, isteri kepada Dato' Ibrahim Che' Mat, pagi semalam (31 Disember 2015) saya sendiri terasa akan kehilangannya. Apabila saya pergi menziarahnya dengan Yang Di Pertua yang sudah pasti rapat dengannya, jelas sangat kesedihan di muka Dato'. Saya percaya tangisannya bukan dibuat-buat.

Sudah tentu kehidupan Dato' tidak seperti dulu lagi selepas ini. Hari terakhir tiap-tiap tahun akan menjadi kenangan kepada Dato' kerana dihari itulah beliau kehilangan isteri tersayangnya. Saya hanya dapat mengucapkan takziah kepada beliau.