Monday, April 18, 2016

Jejak kasih saya juga rupanya.

Saya dan abang Halim Aziz yang berpisah sejak hujung tahun 1962

Mukanya sudah banyak berubah tetapi lemah lembutnya masih tinggal.

Abang Halim menerima cenderamata dari Zainuddin, ketua rombongan diperhatikan oleh Dato' Ghani Sulaiman, classmate abang Halim.

Kami bergambar ramai dengan rumah tuan (yang memegang tongkat) di depn rumahnya.

Saya menyertai rombongan kawan-kawan sekolah ke Terengganu, Kelantan dan Perak beberapa hari lepas. Program utama ialah 'reunion' kami di Kota Bharu, Kelantan. Saya akan cuba menceritakan mengenai program itu nanti. 

Selepas 'reunion' di Kelantan kami pergi ke Perak melalui Lebuhraya Timur - Barat untuk program jejak kasih pula. Yang ingin sangat menjejak kasih ini ialah Dato' Ghani Sulaiman yang senior lima tahun di sekolah. 

Sejak kebelakangan ini saya biasa berjumpa dengan Dato' Ghani ini bukan sahaja di program-program reunion, tetapi juga di program satu badan bukan kerajaan atau NGO di mana kami sama-sama aktif. Tetapi saya langsung tidak menduga program jejak kasih Dato' Ghani menjadi program jejak kasih saya pula. Ini kerana saya bertemu kembali dengan seorang senior yang terpisah sejak penghujung tahun 1962.

Dato' Ghani ingin berjumpa dengan dua orang kawan lamanya yang tinggal di laluan kami pulang ke Kuala Lumpur, Shah Alam dan Seremban. Mereka juga senior saya di sekolah dan tinggal di Kuala Kangsar. Salah seorang dari mereka menjemput orang yang ingin sangat saya berjumpa, yang sudah tentu ingin berjumpa dengan Dato' Ghani juga.

Orang yang saya maksudkan ialah Abdul Halim Aziz yang lepas ini saya panggil abang Halim sahaja. Abang Halim juga berasal dari Kuala Kangsar Perak, tetapi sekarang menetap di Taiping setelah bersara dari menjadi guru.

Abang Halim tinggal sebilik dengan saya di Bilik Empat asrama Rumah Laksamana Sekolah Dato'Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak pada tahun 1962. Tetapi oleh kerana itulah tahun terakhir bagi abang Aziz di sekolah itu, saya hanya sempat tinggal bersamanya selama satu tahun.

Abang Halim ialah antara seniors yang banyak membimbing saya bertukar cara hidup dari seorang budak kampung yang penakut dan pemalu kepada seorang yang boleh hidup berdikari. Walau pun aktif di bidang sukan di sekolah ia mempunyai watak berlemah lembut.

Saya sering ditanya mengenai cerita buli membuli yang sering dikaitkan dengan asrama sekolah. Saya jawab tidak tahu kerana tidak pernah dibuli dan membuli. Salah satu sebabnya ialah bimbingan yang diberi oleh seniors saya seperti abang Halim dan ini tidak diajar dalam kelas.

Oleh kerana bukan saya sahaja yang dibimbing oleh abang Halim, dia tidak ingat kepada saya bila berjumpa semalam. Tetapi dia begitu bangga bila saya kata yang saya sentiasa mengingatinya.   

Semuga Allah menjaga kesihatan abang Abang Halim Aziz dan keluarga.

No comments: