Banyak perkara yang mengubah hidup saya bermula di bulan puasa atau bulan Ramadan. Contoh pertama, saya masuk sekolah berasrama penuh (SBP) di bulan puasa. Di masa dulu-dulu memang menjadi idaman mana-mana budak kampung untuk masuk ke SBP. Maklumlah dia akan berubah dari persekitaran yang serba kurang kepada yang boleh dikatakan semua ada. Ini berbeza dengan keadaan sekarang di mana ramai yang sudah dipilih masuk ke SBP menolaknya. Maklumlah di rumah sendiri segala-galanya sudah ada, dari telefon bimbit, komputer riba, bilik tidur berhawa dingin kepada kereta keluarga.
Di bulan puasa juga saya mula bekerja. Sudah tentu hidup seorang itu berubah bila dia mula bekerja dan tidak payahlah saya menceritakannya secara panjang lebar. Di bulan puasa tiga tahun kemudiannya pula saya menduduki peperiksaan jawatan saya yang juga mengubah hidup saya.
Hidup saya juga telah berubah dari seorang bujang kapada seorang suami, kemudian menjadi ayah dan akhirnya sekarang dipanggil datuk. Tetapi di bulan puasa tahun ini hidup saya sekali lagi berubah.
Empat bulan sebelum itu anak bongsu saya yang manja Anis telah dipilih menjalani praktikal pengajian universitinya di Seoul, Korea. Isteri saya Salmah memang merindui ketiadaan sementara Anis. Dia resah jika Anis tidak menaliponnya selang beberapa hari.
Kebetulan Anis kembali ke Malaysia dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Sebaik sahaja pulang boleh dikatakan Salmah mengajak Anis keluar membeli keperluan menyambut Hari Raya. Bukan saya tidak menolong Salmah sebelum itu, tetapi memikirkan saya sudah bersara saya katakan tidak payahlah kita beraya seperti dulu-dulu. Contohnya kawan-kawan se pejabat saya tidak akan datang beraya.
Saya masih ingat tarikhnya iaitu 30 Jun 2016 bersamaan 25 Ramadan 1437. Pada siangnya Salmah keluar dengan Anis untuk membeli persiapan terakhir hari raya. Antaranya menghantar karpet untuk dibasuh. Sudah tentu dia balik keletihan.
Petang itu saya berbuka puasa di surau seperti yang saya buat dua kali seminggu. Apabila balik saya dapati Salmah terbaring di bilik belakang dengan saya tidak mengsyaki apa-apa. Tetapi saya mula-mula hairan bila dia menjawab belum lagi solat Maghrib bila ditanya. Kemudian saya bertambah hairan bila dia tidak cakap apa-apa bila saya ceritakan apa saya makan di surau.
Saya yang sama-sama keletihan terus tidur selepas solat Isyak. Tidak lama kemudian Anis mengejutkan saya dan mengatakan mamanya tidak boleh bercakap seperti biasa. Saya pun memeriksa tekanan darah Salmah dengan alat yang memang saya ada dan mendapatinya agak tinggi. Saya pun terus membawa Salmah ke hospital.
Sejak itulah hidup saya berubah sekali lagi. Salmah dimasukkan ke dalam wad selama dua hari dua malam. Ujian-ujian termasuk CT Scan mendapati dia diserang angin ahmar taraf rendah atau 'minot stroke' dan ini melibatkan percakapannya.
Bila balik dari hospital isteri saya Salmah tidak lagi seperti isteri yang saya kahwini lebih 42 tahun yang lalu. Dia normal dari segala aspek. Dia boleh ke tandas sendiri dan juga boleh bersolek. Bila ada tetamu lelaki datang ke rumah dia akan mencari tudung untuk menutup aurat. Dia boleh memasak setakat menggoreng dan merebus. Dia telah cuba untuk solat tetapi tidak meneruskannya kerana terlupa membaca ayat-ayat. Cuma saya belum merasai masakan penuhnya seperti yang dia sediakan untuk saya hari-hari sebelum ini.
Keadaan Salmah juga mengubah Anis yang manja itu. Sebagai anak bongsu Anis dilindungi bukan saja oleh ibu bapanya, tetapi abang dan kakak-kakaknya. Tetapi oleh kerana Anis sahaja yang belum lepas antara adik-beradiknya dia terpaksa lebih bertanggungjawab menjaga ibunya. Anis telah mula memasak makanan walaupun dia telah mula berbuat begitu sejak dia ke Korea lagi. Syukurlah buat masa ini dia masih cuti belajar.
Salmah ada menunjukkan tanda-tanda positif. Banyak perkataan yang dia lupa telah disebutnya kembali, Tetapi saya percaya untuk dia pulih sepenuhnya akan mengambil masa.
Sebelum itu hidup saya telah berubah.
No comments:
Post a Comment