Thursday, September 1, 2016

Bila pula Negeri Sembilan punya dua Daerah yang sama nama?

Dua Daerah JEMPOL dan dua pekan BROGA 


Saya peminat keretapi dan sudah lama tidak naik keretapi. Saya beruntung kerana tinggal di Bandar Seremban yang punya stesen keretapi. Sebenarnya Daerah Seremban mempunyai tujuh stesen keretapi, satu bilangan yang banyak juga.

Dari itu sempena cuti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2016 saya ambil kesempatan menaiki KTM Komuter ke Kuala Lumpur. Sebenarnya saya berlegar di Stesen KL Sentral sahaja. 

Semasa pergi saya duduk di koc kegemaran saya iaitu koc kedua dari hadapan. Saya suka koc ini (yang sama dengan koc kedua dari belakang) kerana dua sebab. Pertama saya boleh pilih kerusi yang menghadap ke hadapan. Kedua di tepi kerusi terdapat soket elektrik di mana saya boleh caj telefon bimbit saya. Oleh kerana di Seremban penumpang masih belum ramai biasanya saya boleh dapat tempat duduk kegemaran saya ini dengan senang.

Tetapi semasa balik ramai penumpang sudah menunggu di KL Sentral. Kali ini saya menunggu di koc pertama. Pilihan saya tepat kerana saya dapat tempat duduk, walau pun terpaksa duduk mengereng. Kalau menunggu di koc kedua belum pasti dapat duduk, apa lagi untuk memilih tempat duduk. Saya menghormati koc ketiga dan keempat yang dikhaskan untuk perempuan walau pun saya nampak ramai juga lelaki yang kurang ajar dengan selamba masuk ke koc-koc itu.

Semasa memandang sekeliling saya ternampak peta seperti di atas. Dari maklumat dipeta, ia ditampal di situ, (sudah tentu dengan kebenaran Keretapi Tanah Melayu (KTM)), oleh Syarikat IJM Land, iaitu pemaju kepada Seremban Dua. Ini sebagai balasan oleh syarikat ini yang dibenarkan mengiklan projek mereka di dalam koc-koc KTM Komuter.

Tetapi peta itu mengandungi dua fakta yang salah. Pertama terdapat dua Daerah yang bernama JEMPOL. Dalam kes ini Daerah TAMPIN juga dinamakan JEMPOL. Kedua terdapat dua tempat bernama BROGA. Satu ditempat yang betul iaitu berhampiran dengan Negeri Selangor. Tetapi satu lagi terletak di atas Bukit Putus dalam Daerah KUALA PILAH.

Saya kira penumpang harian KTM Komuter terdiri dari 20% orang Negeri Sembilan. Ini mungkin bertambah memandangkan perjalanannya tanpa tukar tren sudah dilanjutkan ke Tampin. 80% lagi dikongsi oleh orang Selangor dan Kuala Lumpur.

Adakah penumpang Negeri Sembilan tersebut tidak nampak akan kesilapan tersebut? Saya baru menalipon syarikat IJM Land dan mereka menjawab belum ada sesiapa menegur mereka akan kesilapan ini.

Bagaimana pula pekerja KTM? Adakah mereka juga tidak sedar? Atau kedua-dua penumpang dan pekerja KTM mempunyai sifat 'tidak apa' dan mengharapkan orang lain seperti saya yang membuat aduan.   

1 comment:

Anonymous said...

Pengetahuan dan usaha yg bagus tuan