Saturday, February 20, 2016

Pertemuan pertama dan terakhir.

Allahyarham Tengku Aziz Tengku Yahya dengan teh tarik di depannya.

Saya dan kawan-kawan sekolah menengah yang tinggal di sekitar Negeri Sembilan berjumpa sebulan sekali dalam program yang dipanggil Sessi Teh Tarik. Bagi mereka yang belum tahu, sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. 

Semasa moderator tidak rasmi kami yang bergelar Bob bertugas di Amerika Syarikat selama empat tahun sessi ini tetap diteruskan, walau pun tidak begitu rancak. Tetapi sejak kepulangan Bob lebih kurang setahun yang lalu program ini kembali rancak.

Kami mungkin tidak berjumpa di sekolah ditambah lagi SDAR telah berpindah dari Johor Bahru ke Tanjong Malim, kemudian ke Sikamat, Seremban dan akhirnya sekarang tersergam di Sungai Gadut, Seremban. Tetapi semangat kami dari motto 'Once a Sdarian always a Sdarian' menyatukan kami. 

Perkara yang dibincang semasa pertemuan tidak ada apa pun dan tidak ada agenda yang ditetapkan, Antaranya politik semasa dan perkembangan sekolah.

Pada hari Sabtu malam Ahad 13 Februari 2016 yang lepas saya agak terperanjat dengan kehadiran seorang yang belum pernah datang ke sessi teh tarik ini. Kemudian dia kenalkan dirinya sebagai Tengku Aziz dan junior tiga tahun dari saya. Oleh kerana dia masuk ke SDAR di Tingkatan Empat pada tahun 1971 saya tidak berjumpanya di sekolah. Oleh itu betullah jika saya kata berjumpa pertama kali dengannya di sessi teh tarik tersebut.

Yang menarik saya semasa perjumpaan pertama kali itu ialah suara YM Tengku Aziz yang lantang. Suaranya boleh terdengar di seluruh restoran di mana kami bertemu itu. Beliau sempat bercerita sudah berpisah dengan isterinya dan sedang mengubahsuai rumah barunya. Kami semua juga akan dijemput untuk membuat doa selamat apabila rumah barunya siap.

Rupanya-rupanya Allah lebih berkuasa kerana cita-cita YM Tengku Aziz untuk berpindah ke rumah barunya yang sudah diubahsuai tidak kesampaian. Malam tadi saya menerima berita YM Tengku Aziz baru sahaja meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban akibat sakit jantung.

Rupa-rupanya pertemuan pertama kali saya dan juga beberapa Sdarians yang lain dengannya adalah pertemuan terakhir. Empat hari selepas pertemuan itu, di mana YM Tengku tidak langsung menjunjukkan apa-apa tanda kurang sihat, dia telah dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia dua hari kemudian.

Pos saya sebelum ini ialah mengenai seorang kawan sekerja yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Pos saya kali ini pun mengenai kematian seorang kawan sama sekolah, akibat sakit jantung juga.

Al Fatihah untuk Yang Mulia Tengku Aziz bin Tengku Yahya.

Sunday, February 14, 2016

Perginya seorang kawan dan guru.

Allahyarham Halim berdiri nombor dua dari kiri di penghujung  tahun 1990an.


Subuh Rabu yang lepas bersamaan 10 Februari 2016 saya dikejutkan dengan berita pemergian ke Rahmatullah seorang rakan sekerja saya di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Beliau ialah Abdul Halim bin Malek, seorang Penolong Pengarah di MPS. Beliau meninggal di usia 51 tahun, akibat serangan sakit jantung,

Halim masuk ke MPS berpuluh tahun selepas saya dan pernah bekerja di bawah saya. Tetapi kerana masih muda dia telah melanjutkan pelajaran separuh masa di satu universiti tempatan dan mendapat ijazah. Akhirnya salepas persaraan saya beliau telah dilantik sebagai seorang Penolong Pengarah, Ini juga bermakna saya tidak sempat bekeja di bawahnya.

Tetapi ini tidak bermakna Halim tidak sempat mengajar saya. Walau pun saya telah celik komputer untuk sekian lama, masih ada yang saya ketinggalan. Contohnya semasa saya hendak berlatih di Fukuoka, Japan pada tahun 2004, saya dikehendaki membuat persembahan multimedia di sana, satu bidang yang asing bagi saya, Halimlah yang menyediakan persembahan saya dan mengajar saya menayangkannya untuk tontonan orang Jepun.

Di Jepun juga saya didedahkan lagi dengan keperluan semasa menggunakan komputer. Contohnya sebelum itu saya tidak tahu menahu tentang menghantar gambar melalui komputer walau pun saya sudah memiliki kamera digital. 

Di Jepun jugalah saya mencipta dan menghantar email pertama saya. Apa yang terjadi kepada saya selepas iatu ialah satu sejarah, contohnya saya mempunyai blog sendiri seperti ini. Segala-galanya itu mungkin tidak terjadi jika saya tidak meminta Allahyarham Halim mengajar saja lebih sepuluh tahun yang lalu.

Sekarang kawan dan guru saya itu sudah tiada lagi. Cuma saya dapat mengucapkan Al Fatihah kepada Allahyarham Abdul Halim bin Malek.    

Monday, February 8, 2016

Di mana segala undang-undang dilanggar.

Bukan saja kereta salah letak, trolli pun salah letak (di kaki lima).

Saya sengaja menghantar gambar di atas ke laman sosial Facebook untuk mendapat reaksi kawan-kawan saya sebelum menulis blog ini. Gambar di atas diambil dua malam lepas di hadapan satu pasaraya bernama Zemart di Jalan Sikamat, Seremban semasa hujan renyai-renyai membasahi bumi Negeri Sembilan yang akhirnya menyebabkan beberasa kawasan di selatan negeri ditimpa banjir,

Gambar diambil waktu hampir jam 11 malam. Biasanya di waktu begini pasaraya itu mungkin lengang, tetapi semasa saya meninggalkannya pembeli masih boleh tahan ramainya, maklumlah Tahun Baru China cuma beberapa hari sahaja lagi. 

Rata-rata kawan-kawan Facebook saya mengecam cara kereta-kereta tersebut diletak. Keluarlah perkataan-perkataan seperti 'fool', 'idiot' dan 'goblok'. Bila seorang membuat salah seperti terkeluar petak pemandu-pemandu sebelahnya akan membuat salah yang sama. Mujur faktor masa dan juga keadaan hujan membuatkan tempat letak kereta tersebut tidak menjadi rebutan.

Sebenarnya pasaraya itu bukanlah pasaraya dalam entiti sebenar. Tidak seperti pasaraya seperti Jusco, Guant atau Mydin. Asalahnya ialah sepuluh unit (kalau tak salah) rumah-rumah kedai dua tingkat baru dibina yang dipecahkan dinding pemisah setelah mendapat Sijil Kelayakan (Certificate of Fitness) sehingga dijadikan satu pasaraya dibawah satu pengurusan. Kuasa Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebagai pihak berkuasa dalam hal ini cuma dibidang ubahsuai bangunan. 

Di bidang lesen tentu MPS lebih suka kerana tidak ada satu lesen dikhaskan untuk 'PASARAYA', tetapi lesen-lesen dikeluarkan mengikut kategori barangan yang di jual. Oleh itu lesen untuk pasaraya ini mungkin mempunyai berpuluh kategori.

Oleh kerana deretan kedai ini bukan asalnya dibina untuk tujuan pasaraya, sudah tentulah petak letak kereta tidak cukup. Sudah tentu pengguna berebut untuk mendapatkan petak letak kereta yang amat terhad di depan pasaraya. Maka timbullah situasi seperti di gambar di atas.

Sepanjang hari akan kelihatan kereta berderet dengan pemandunya berharapkan satu atau dua kereta akan keluar dari petak untuk mereka gantikan. Tetapi apabila sudah ada kereta berderet di belakang, seorang pemandu yang hendak masuk ke mana-mana petak yang baru dikosongkan tidak ada ruang untuk kebelakang dan seterusnya meletak kereta dengan betul. Ekoran itu pemandu mungkin termasuk sedikit ke petak sebelah, Begitulah seterusnya.

Bukan sahaja pemandu tidak meletak kereta dengan betul. Setelah membeli belah seorang dari empat pemandu akan melanggar satu lagi undang-undang. Dia akan membelok ka kanan ke Jalan Sikamat dengan melintas garisan berkembar.

Pengurusan pasaraya apa kurangnya. Trolli yang berderet di gambar di atas sebenarnya diletak atas kaki lima, satu kesalahan di bawah Akta Parit dan Jalan. Selain dari itu mereka juga menggunakan dan mengotor tempat awam sebagai tempat mengumpul sampah sebelum dipungut oleh pihjak berkuasa.

Bagaimana pula dengan restoran Mamak di hujung blok ini yang meletak kerusi meja 25 jam sehari di kaki lima dan tempat letak kereta.

Juga berpuluh gerai haram yang dibina di bahu jalan antara pasaraya ini dengan Jalan Sikamat. Mereka mengambil kesempatan dari ujudnya pasaraya ini.

Oleh itu kita tidak boleh hanya menyalahkan kereta-kereta yang tidak diletak secara betul seperti dalam gambar di atas.

Thursday, February 4, 2016

Si Manis yang tak manis.

Si Manis



Harga Kacang Menglembu Pagoda RM 1.88 untuk 110 gram. Ini bermakna pembeli membayar 1.70 sen untuk setiap gram.

Harga Kacang Menglembu Si Manis RM 1.60 untuk 70 gram. Ini bermakna pembeli membayar 2.28 sen untuk setiap gram.

Muka depan paket Kacang Menglembu Pagoda.

Muka belakang paket Kacang Menglembu Pagoda.

Nama dan alamat kilang Kacang Menglembu Pagoda.

Muka depan paket Kacang Menglembu Si Manis.

Muka belakang paket Kacang Menglembu Si Manis.

Nama dan alamat kilang Kacang Menglembu Si Manis.

Itulah dua paket kacang Menglembu berlainan jenama yang saya beli dari pasaraya yang sama. Rupa-rupanya kedua-dua kacang dikilang oleh kilang makanan yang sama (menggunakan bahasa dari Akta Makanan 1983). Cuma saya membayar .58 sen lebih bagi setiap gram kacang Si Manis dibandingakan dengaan kacang Pagoda..

Saya tidak tahu sama ada ini taktik pengilang atau penjual. 

Sekian.