Monday, January 23, 2017

Dapat amaran kerana lebih maju dari mereka.

Pengalaman pahit saya semasa program MOMENTS OF UNITY di Taman Botani Nasional, Kuala Lumpur dua hari yang lalu mengingatkan saya kepada pengalaman pahit saya semasa kerja dengan kerajaan dulu. Untuk mengetahui pengalaman pahit saya baru-baru ini sila klik MANA T-SHIRT KAMI

Saya banyak membuat innovasi semasa bekerja dengan kerajaan dulu. Tetapi akhirya saya tak dapat apa-apa melainkan dicemburu dan dituduh memandai-mandai. Untuk pengetahuan, jabatan saya dulu ialah Majlis Perbandaran Seremban (MPS), sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebelum mana-mana warga MPS zaman saya mengenali apa itu komputer saya sudah mempunyainya. Malah sebelum MPS mempunyai komputer saya sudah menukar komputer dan komputer yang lama saya bawa ke pejabat untuk menyenangkan kerja saya. Sedang kawan-kawan saya terkial-kial menulis deraf laporan untuk ditaip oleh jurutaip, laporan saya sudah sampai ke meja boss.

Bila tiba masa menyediakan bajet sedang warga MPS terkial-kial menggunakan mesin taip dan kalkulator, bajet saya sudah siap menggunakan program Lotus 1-2-3.  Dalam kes ini saya ingat Pemangku Bendahari MPS meminjam disket program bajet saya setelah bajet saya sampai ke mejanya mendahului yang lain.

Rupa-rupanya dia telah menggunakan program saya itu untuk mengubahsuai bajet-bajet yang lain menggunakan satu-satunya komputer peribadi yang ada di MPS selain komputer saya. Yang membezakannya ialah komputer itu dibeli khas oleh MPS untuk kegunaannya.

Mengikut satu ceramah yang saya dengar, benda pertama yang dibeli oleh kebanyakan remaja Melayu bila mendapat gaji pertama ialah rokok. Tetapi saya tidak, dengan gaji pertama saya membeli sebuah kamera filem. Dengan kamera itu saya merekodkan kerja-kerja saya, terutama bila melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

Bila Jabatan Penguatkuasaan dan Undang-Undang diujudkan di MPS mereka juga menggunakan kamera. Tetapi kamera yang digunakan ialah jenis Polaroid yang kos menjaganya mahal, sehingga Jabatan Kewangan mengatakan peruntukan untuk gambar-gambar Polaroid hampir habis.

Saya juga yang mencadangkan mereka menggunakan kamera filem. Tetapi mereka menjawab filem untuk kamera jenis itu mengambil masa untuk dihabiskan dan dicuci. Bila saya tanya berapa gambar yang mereka ambil dalam sehari, jawapannya lebih kurang 10. Saya jawab guna sahaja filem 135-12 dan bukan 135-36. Jelas mereka tidak tahu ada filem untuk 12 keping gambar dijual di kedai. Mereka pun menggunakan kamera filem seperti saya. Sekali lagi bezanya ialah kamera mereka kepunyaan MPS sedangkan kamera saya sendirian berhad.

Jelas nasihat saya berbaloi, kerana lepas itu kamera Polaroid tidak ada lagi dalam pasaran. Kemudian kamera filem pun menerima nasib yang sama dengan kedatangan kamera digital.

Tidak sah bila ada komputer tanpa ada internet. Saya pun melanggan internet dari Telekom Malaysia (TM) melalui modem di mana pelanggan kena dail nombor 1515, jika tidak salah. Tetapi jabatan saya masih ketinggalan zaman kerana walau pun sudah dibekal komputer, mereka belum 'on-line' lagi.

Kemudian TM mengenalkan Streamyx. Saya pun menggantikan modem 1515 saya kepada Streamyx. Dalam pada itu saya diberi satu komputer peribadi oleh MPS tetapi kami masih belum lagi 'on-line'.

Memandangkan saya boleh mendail terus keluar dari telefon bilik, saya pun membawa modem 1515 yang sekarang sudah diganti oleh Streamyx ke pejabat dan menyambungkannya ke komputer. Jadilah saya orang yang pertama di Majlis Perbandaran Seremban menggunakan internet di pejabat.

Setelah 'on-line' beberapa bulan saya menerima surat amaran jabatan yang disalurkan melalui boss saya. Kononnya modem 1515 saya boleh menyebabkan seluruh sistem komputer MPS digodam. Surat itu juga menyatakan tak lama lagi kemudahan inernet akan diberi kepada pegawai-pegawai MPS termasuk saya.

Saya dipanggil oleh boss untuk memberi penjelasan. Saya jawab bertindak begitu kerana telah 'berjoman' menunggu kemudahan internet pejabat. (Berjoman ialah loghat Negeri Sembilan bermaksud berzaman).  Untuk tidak mengeruhkan keadaan saya pun mencabut modem 1515 itu.

Sama ada benar atau tidak tindakan saya itu menyebabkan MPS mencepatkan peruntukan internet kepada pegawai-pegawainya.

Dengan adanya internet kami pegawai-pegawai diberi email jabatan tiap-tiap seorang sedangkan saya telah ada email peribadi untuk beberapa tahun lamanya. Dengan adanya email kami dipanggil untuk satu kursus menggunakan email.

Kawan-kawan saya yang baru tahu apa itu email sudah tentu mengikuti kursus itu dengan teliti sedangkan saya hanya tersenyum di belakang.

Melihatkan gelagat saya pegawai yang menjalankan kursus itu berkata 'En. Maarof sudah tahu semua ni kan?' . Sekurang-kurangnya tekaannya mengenai saya adalah betul dan tidak serong seperti pandangan kebanyakan mereka dalam bilik kursus itu.

Sekurang-kurangnya juga dia tidak mengeluarkan surat amaran kepada saya kerana leka semasa menjalani kursus.

No comments: