Saturday, March 18, 2017

Bila 'jiran-jiran' datang berkunjung.



Tajuk pos saya kali ini berbentuk kiasan. 'Jiran-jiran' yang saya maksudkan ialah mereka yang sekarang bekerja di Muzium Pendidikan Nasional, Univesiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Mereka berkunjung ke rumah saya tiga hari yang lepas bersamaan Hari Rabu 15 Mac 2017. Ini kerana saya pernah menjadi 'jiran' mereka lebih setengah abad yang lalu, bila mereka semua belum dilahirkan. Saya pernah bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim yang berjiran dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau Sultan Idris Training College (SITC) yang sekarang sudah dinaiktaraf menajdi UPSI.

Bangunan-bangunan lama SDAR ditolak dengan empat bangunan asrama dan satu gimnasium yang telah dirobohkan menjadi sebahagian dari UPSI sekarang. 

'Jiran-jiran' ini hanya mendapat tahu bahawa sebahagian dari bangunan-bangunan UPSI pernah menempatkan SDAR bila membaca blog saya  "Melawat sekolah lama". Mereka berhubung dengan saya pada mulanya melalui laman sosial Facebook. Dari itu berpindah ke telefon bimbit dan akhirnya mereka menyatakan hajat hendak bertemu muka sendiri dengan saya.

Mereka sedang menambah bahan untuk Muzium Pendidikan Nasional yang ditempatkan di bangunan yang bernama Suluh Budiman, UPSI. Saya ada melihat gambar Suluh Budiman di masa saya bersekolah rendah lagi. Bila saya berjaya masuk ke SDAR pada tahun 1962 saya melalui bangunan Suluh Budiman hampir tiga kali seminggu. Ini kerana kami murid-murid SDAR terpaksa melalui kompleks MPSI untuk pergi ke padang sekolah.   

'Jiran-jiran' ini hendak memasukkan bahan-bahan mengenai SDAR semasa di Tanjong Malim di galeri Muzium mereka. Dari mula lagi saya nyatakan bahawa saya bukanlah pakar atau pihak berkuasa untuk menyediakan bahan-bahan yang mereka perlukan. Tetapi bagi mereka kunjungan mereka ini ialah titik permulaan untuk mendapatkan banyak lagi bahan. Dari itu saya sempat memberikan pentunjuk seperti nombor-nombor telefon kepada mereka.

Antara soalan yang mereka ajukan kepada saya ialah bagaimanakah hubungan SDAR dengan MPSI semasa kami berjiran. Saya terus jawab 'dingin' dan jawapan lanjut ada saya tulis dalam blog saya "Berjiran tapi tidak bertegur sapa".

Sebenarnya kunjungan 'jiran-jiran' ini merupakan satu-satunya peristiwa di mana terdapat hubungan antara saya dengan MPSI, walau pun berbentuk kiasan. Ini kerana saya bukan lagi murid SDAR dan 'jiran-jiran' yang saya maksudkan belum lahir lagi semasa saya belajar di SDAR.

Biarlah gambar-gambar berikut menceritakan lebih lanjut.

Saya menerima cenderamata yang amat berharga dari ketua 'jiran' yang berkunjung, En. Muhammad Zu Shimalain bin Azizul.

Kami bergambar ramai. Jangan salah faham dengan 'jiran' yang tidak bertudung itu, kerana namanya Florence, beragama Kristian dari Sarawak.

Antara cenderamata berharga yang saya terima, buku ini.

Bangunan Suluh Budiman yang sekarang menempatkan Muzium Pendidikan Nasional.

DEWAN RAHMAN TALIB, dulu dewan besar SDAR, sekarang milik UPSI tetapi masih kekal dengan nama lama. Syukur Alhamdulillah bangunan ini tidak dirobohkan.

Cerita mengenai Dato' Abdul Rahman Talib terdapat dalam buku "SITC DALAM GERAKAN KESEDARAN BANGSA". Allahyarhamlah yang merasmikan dewan yang diberi namanya semasa saya masih belajar di SDAR. Baru saya tahu Allahyarham juga bekas penuntut MPSI Tg. Malim.

Sekian.

No comments: