Wednesday, October 4, 2017

Kalau jangan bersusah payah kenapa hebahkan?

 bother = take the trouble to do something.



Ia bermula bila saya menerima satu pos di Whatsapp kumpulan surau taman perumahan saya. Seorang ahli kumpulan yang saya tidak kenali kerana menggunakan nama samaran telah menghantar satu pos yang saya percaya bukan ciptaannya. Pos itu menunjukkan satu deraf surat yang akan ditangani oleh seorang yang penting.

Surat itu menunjukkan tarikh-tarikh akan datang sambil menceritakan apa akan berlaku pada tarikh-tarikh tersebut. Di hujung surat ditunjukkan tarikh bila Parlimen Malaysia akan dibubarkan dan akhirnya enam hari selepas itu berlangsunglah Pilihanaya Umum ke-14 atau PRU14.


Saya yang pernah bekerja dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebanyak empat kali tahu bahawa mustahil dijalankan pilihanraya enam hari selepas pembubaran Parlimen. Bila masa Setiausaha SPR menghantar notis kepada ahli-ahli SPR untuk bermesyuarat? Lepas bermesyuarat bila pula writ Pilihanraya dikeluarkan? Bila pula tarikh penamaan calon? Sempatkah mencetak kertas undi? Jangan lupa sekarang ada peruntukan untuk undi awal. 

Jangan sebut sempatkah calon-calon dan parti mereka mencetak poster-poster yang sudah menjadi kewajipan di setiap PRU? Akhirnya sempatkah mereka berkempen? Ini semua kena diselesaikan dalam tempoh enam hari.

Saya menegur penghantar pos ini supaya jangan salin dan tampal (copy and paste) apa-apa maklumat yang tidak sahih. Penyalin/penampal menjawab 'Why bother, akan ada lagi maklumat kedua dan seterusnya'. Saya jawab  'If why bother, why post?' 


Saya buka kamus Bahasa Inggeris untuk mengatahui apa makna 'bother'. Jawapanya seperti di atas. Saya rasa sebutan tepat dalam Bahasa Melayu ialah 'bersusah payah'. Penyalin/penampal seolah-olah berkata 'Kenapa bersusah payah?' Tetapi dia telah bersusah payah untuk menyalin dan menampal pos yang diterimanya. Sebutan yang biasa digunakan untuk menguatkan kes seperti ini ialah 'Dapat dari kumpulan sebelah'. 


Tetapi dia telah menghebahkan maklumat yang meragukan itu ke dalam satu kumpulan ahli-ahli surau. Bukankah itu satu fitnah namanya? Jika dia menghebahkan kepada satu kumpulan Mat Rempit tak apa juga, kerana ramai Mat Rempit tidak bersusah payah dalam hal undi mengundi ini.

No comments: