Pagi tadi saya naik bas F500. Ini ialah bas khas untuk penumpang dari Bandar Seremban yang hendak ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Jalan Rasah dan tempat-tempat antaranya. Berikut ialah kronoloji perjalanan saya. Semua masa jam di waktu pagi.
- 9.02 bas mula bertolak dari KM Plaza, Jalan Tuanku Munawir, Seremban dengan 9 penumpang termasuk saya. Ramai orang Seremban tidak tahu Tuanku Munawir ialah ayahanda kepada Yang Di Pertuan Besar sekarang, Tuanku Muhriz.
- 9.04 bas mengambil penumpang di Pasaraya The Store Baru, Jalan Tuanku Munawir. Kemudian bas belok kanan ke Jalan Dr. Krishnan dan pergi ke arah utara melalui Jalan Dato' Bandar Tunggal.
- 9.07 bas mengambil penumpang di Pejabat Pos Utara. Ikut jadual rasmi bas sepatutnya menuju utara lagi ke simpang Jalan Haji Hamid dan membuat pusingan U depan restoran KFC. Tetapi bas belok kanan ke Jalan Kapitan Tam Yeong dan seterusnya ke Jalan Yam Tuan.
- 9.09 bas tersekat di Persimpangan Jalan Yam Tuan - Jalan Dato' Abdul Malik kerana dihalang oleh sebuah kereta yang berhenti sebelah garisan kuning. Sukurlah pemandu bas sabar orangnya. Setelah tersekat dalam dua minit bas membelok ke kiri menuju kawasan Taman Tasik Seremban. Bas melalui bulatan Istana Hinggap dan kemudian menuju belakang bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Saya perhatikan tiada perhentian bas atau 'bus stop' di kawasan ini.
- 9.12 bas lalu depan bangunan MPS. Bas sepatutnya berhenti di 'bus stop' sebelah MPS, tetapi ia jalan terus kerana tiada penumpang menunggu.
- 9.13 bas berhenti sebelah restoran A&W untuk menurunkan seorang penumpang. Dia mungkin hendak ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
- 9.18 bas sampai ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Jalan Rasah. Semua penumpang melainankan seorang perempuan dan saya, turun. Bas tidak berpusing balik tetapi meneruskan perjalanan ke sebelah dapur HTJ. Seorang penumpang naik di sebelah asrama jururawat. Bas kemudian membuat pusingan U di depan Klinik Kesihatan Jalan Rasah dan menuju ke Bandar Seremban.
- 9.21 bas berhenti di 'bus stop' sebelah Klinik Kesihatan, menurun dan mengambil seorang penumpang.
- 9.24 penumpang yang naik di Klinik Kesihatan tadi turun di Stesen KTM Seremban.
- 9.25 bas sampai ke tempat asal, KM Plaza dan saya pun turun.
Masa perjalanan saya ialah 23 minit. Ini mungkin di waktu pagi bila kenderaan kurang. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya ambil dalam perjalanan. Maaf, mutu gambar tidak sepertinya.
Saya bergambar sebelah bas F500.
Bas menunggu penumpang sebelah bangunan KM Plaza, Jalan Tuanku Munawir, Seremban. Kenderaan masih kurang di jalan. Beberapa hari lepas jalan ini dinaiki air, tetapi tidak menjadi masalah kepada bas F500.
Tiket saya untuk perjalanan 'round trip'. Saya lupa bertanya sama ada warga emas dikenakan separuh harga.
Walau pun bas dalam bandar ia mempunyai 40 tempat duduk, tidak seperti bas bandar biasa.
Di simpang Jalan Yam Tuan - Jalan Dato' Abdul Malik. Kereta putih itu menghalang jalan terus ke sebelah kiri. Bas akan naik bukit melalui Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan.
Pandangan belakang Majlis Perbandaran Seremban. Lebih tujuh tahun dulu kereta saya sama-sama diletak di situ.
Bas membelok ke Lorong Khalsa untuk masuk semula ke Jalan Yam Tuan.
Pandangan bangunan Yayasan Negeri dan Wisma Punca Emas yang sudah hilang punca.
Dewan Perbandaran Seremban. Selain bangunan MPS utama, ini juga tempat kerja saya lebih tujuh tahun yang lalu.
Kompleks Seremban Prima dari Jalan Rasah.
Projek PR1MA dalam pembinaan.
Penumpang ini turun di 'bus stop' pertama di HTJ, agaknya untuk ke Pusat Rawatan Harian.
Hampir semua penumpang turun di 'bus stop' utama HTJ, sebelah bangunan Klinik Pakar.
Penumpang ini naik di 'bus stop'sebelah Klinik Kesihatan Jalan Rasah.
Dia kemudian turun di stesen KTM Seremban.
Bas sudah sampai kembali di sebelah KM Plaza.
Selfie sebelum meninggalkan bas dan pergi kerja.
Komen saya:
- Agak terlalu awal untuk mengatakan sama ada khidmat bas ini berjaya atau tidak. Mungkin ramai yang tidak tahu bas ini bukan sahaja untuk ke Hospital Tuanku Jaafar, tetapi untuk mereka yang hendak ke Wisma Negeri, Wisma Persekutuan, Majlis Perbandaran Seremban, Masjid Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Stesen KTM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
- Mereka yang mempunyai kereta lebih memilih meletakkan kereta di padang letak kereta HTJ dan kemudian menaikki bas 'shuttle' percuma ke hospital sebenar.
- Perhentian bas atau 'bus stops' perlu dibina di kawasan Taman Tasik Seremban untuk mereka yang ingin ke Wisma Negeri, Wisma Persekutuan, KWSP dan MAINS.
- F500 tidak masuk ke Terminal 1 Seremban walau pun ia hanya bersebelahan dengan KM Plaza. Mereka yang biasa dengan Terminal 1 sepatutnya dihebahkan mengenai bas ini, jika ia belum dibuat lagi.
Sekian.
3 comments:
Assalamualaikum tuan.
.
Saya cuba hari ini (4/12/2017) bas jam 9.20 pagi.
.
Servis terbaik.
.
Terima kasih diatas maklumat yang dikongsi.
Kalau dari Ktm seremban ke hospital tengku jaafar boleh amik bas ini jugak ke
Boleh, tapi sekarang bas dah tukar jadi bas percuma, one way. Boleh naik di KTM, kemudian bas akan tunggu penumpang lain di KM Plaza, lepas tu jalan jauh dari dulu.
Post a Comment