Saturday, April 14, 2018

Kenapa parti itu dibubarkan.

Saya tidak akan menyebut nama mana-mana parti atau persatuan kerana takut diambil tindakan di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018.


Lebih empat tahun yang lalu saya berjumpa kawan saya seorang peguam untuk meminta penjelasan percuma mengenai beberapa perkara dalam Perlembagaan persatuan saya. Saya baru sahaja dilantik sebagai Setiausaha peringkat Negeri satu badan bukan kerajaan (NGO) khas untuk pesara kerajaan beberapa bulan sebelumnya.

Apabila membelek Perlembagaan NGO saya itu komen pertamanya ialah Perlembagaan itu seolah-olah sama dengan Perlembagaan satu parti politik. Dalam blog ini saya akan panggil Parti A sahaja.

Kawan saya ini yang sudah biasa dengan Parti A dengan mudah memberi penjelasan kepada perkara-perkara yang ingin saya tahu. Saya pula tidak menyertai mana-mana parti politik, jadi manalah saya tahu tentang kesamaan ini.

Saya juga pernah dipanggil beberapa kali oleh pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Seremban susulan aduan dari ahli-ahli NGO saya sendiri. Saya anggap aduan-aduan itu sebagai satu cabaran. 

Saya pernah memberitahu ahli-ahli saya bahawa walau pun kita sudah bersara, kita mempuyai dua boss sekarang, dibanding dengan satu boss semasa bekerja dulu. Sebagai pesara boss kita ialah JPA Pencen, tetapi sebagai ahli NGO boss kita ialah ROS. 

Dua tahun yang lalu pula sebuah parti politik baru ditubuhkan. Dalam blog ini saya akan panggil parti itu Parti B. Ahli-ahli Parti B terdiri dari mereka yang meninggalkan Parti A. Saya difahamkan Perlembagaan Parti B ini pun sama dengan Parti A. Jadi secara tidak langsung Perlembagaan NGO saya juga seakan-akan sama denan dengan Parti B. 

NGO saya mempunyai tiga peringkat iaitu  Daerah yang dipanggil Cawangan, Negeri yang dipanggil Bahagian dan Persekutuan. Setiap ahli hendaklah berdaftar dengan Cawangan Daerah. Apabila permohonannya diluluskan secara automatik dia menjadi ahli dalam semua peringkat itu. 

Setiap Cawangan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung setiap tahun, di mana setiap ahli yang berdaftar dengan Cawangan itu dipanggil hadir. Setiap tiga tahun diadakah pemilihan di mana Cawangan memilih Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian. Disamping itu mereka juga memilih Perwakilan untuk pergi ke Mesyuarat Agung Perwakilan peringkat Bahagian. Ahli-Ahli Jawatankuasa menjadi Perwakilan secara automatik.

Di Mesyuarat Agung Perwakilan peringkat Bahagian pula, setiap tiga tahun mereka memilih Ahli Jawatankuasa Peringkat Bahagaian dan Perwakilan ke peringkat Kebangsaan. Ahli Jawatankuasa Bahagian secara automatik menjadi Perwakilan ke peringkat Kebangsaan.

Apabila Parti B mengadakan Mesyuarat Agungnya saya agak hairan sebab tidak terdengar atau terbaca apa-apa berita mengenai Mesyuarat Agung peringkat Cawangan dan Bahagian mereka. Jadi bagaimana mereka yang hadir di Mesyuarat Agung itu boleh berada di situ jika tidak dipilih di Mesyuarat Agung peringkat Cawangan dan Bahagian?

Kesimpulannya oleh kerana tidak ada apa-apa bukti menegenai ujudnya Mesyuarat Agung peringkat Cawangan dan Bahagian, Mesyuarat Agung peringkat Kebangsaan tidak boleh diadakan. Jika diadakan juga bermakna Mesyuarat Agung itu tidak sah.

Tidak haranlah jika parti itu dibubarkan.  

No comments: