Bergambar dengan YB Anthony Loke, Ahli Parlimen Seremban / Menteri Pengangkutan Malaysia.
Dengan YAB Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan / ADUN Sikamat dan YB Anthony Loke.
Dengan YAB Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan / ADUN Sikamat.
Saya berpindah ke rumah saya sekarang di tempat yang dipanggil Coral Heights, Sikamat, Seremban pada tahun 2006 setelah setengah bersara. Saya sebut setengah bersara oleh kerana walau pun sudah disahkan bersara dan menerima pencen bulanan, saya diambil bekerja semula sebagai pegawai kontrak.
Saya perhatikan kebanyakan jiran-jiran baru saya lain dari saya dalam dua perkara. Pertama, mereka muda-muda belaka, masih bekerja dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Kedua mereka menyokong parti pembangkang di masa itu.
Tetapi dua-dua perkara itu tidak menghalang saya dari bergaul dari mereka. Saya sering ke surau taman kami, tidak seperti beberapa orang jiran saya yang mungkin terasa terasing kerana perbezaan fahaman politik. Malahan saya lebih kerap ke surau di tempat tinggal baru ini berbanding dari tempat tinggal lama saya di Taman Paroi Jaya, Seremban.
Di Pilihanraya Umum ke 12 atau PRU 12 pada tahun 2008 kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat di kawasan kami jatuh kepada parti-parti bukan kerajaan. Sejak itu, selain dari pembinaan sebuah surau, taman kami tidak mendapat apa-apa pertolongan, baik dari Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Walau bagaimana pun, penghuni-penghuni taman saya tidak takut untuk menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN kami ke program-program kami walau pun dia merupakan wakil rakyat pembangkang di masa itu. Antara program di mana wakil rakyat dijemput ialah majlis hari raya.
Walau pun di majlis-majlis tersebut ada diantara kami yang bergambar dengan tetamu jemputan berupa wakil rakayt tersebut, ia tidaklah sampai 'berebut' seperti sekarang. Mungkin mereka bimbang gambar-gambar mereka bersama seorang wakil raykat pembangkang akan disalah anggap. Maklum sajalah ramai di antara mereka pegawai-pegawai kerajaan yang bimbang akan diambil tindakan jika gambar-gambar berkenaan disiarkan di mana-mana media sosial.
Tetapi seperti terbukti dari gambar-gambar di atas, sekarang mereka tidak takut lagi. Semalam, 9 Julai 2018, iaitu tepat dua bulan setelah PRU 14, kami seperti tahun-tahun lepas mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di surau. Keadaan sudah berubah. Wakil rakyat yang dulunya dari parti pembangkang sudah menjadi wakil rakyat kerajaan. Bukan itu sahaja, beliau iaitu YAB Haji Aminuddin Harun, adalah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru.
Bukan sahaja Menteri Besar yang dijemput, tetapi Ahli Parlimen Seremban yang merupakan Menteri Pengangkutan Malaysia yang baru. Beliau ialah YB Anthony Loke Siew Fook. Inilah pertama kali YB datang ke program kami dan beliau telah memberi ucapan dalam Bahasa Melayu yang baik.
Beruntung kami mempunyai wakil rakyat yang mempunyai jawatan di Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. DUN Sikamat yang selama ini tidak mendapat peruntukan wakil rakyat diharap berubah. Sebagai contoh Jalan Sikamat yang sempit itu perlu dibesarkan.
Sekian.
1 comment:
Bilo laie nak tulis ni pak?
Lamo bonar ....
Post a Comment