Thursday, August 23, 2018

Sarang tebuan jangan dijolok.


Dalam beberapa minggu ini saya nampak beberapa ekor tebuan menghisap madu bunga pokok mangga di hadapan rumah saya. Saya hairan juga kerana serangga yang selalu menghurung bunga itu ialah lebah dan kelulut.

Walau bagaimana pun saya mengalu-alukan kehadiran semua serangga terbang ini kerana mereka menolong mencantumkan bunga mangga saya untuk menghasilkan buah. Cuma apabila buah mangga hampir masak saya kena bersaing dengan tupai untuk mendapatkan buahnya.

Saya pernah disengat oleh tebuan dan lebah. Saya disengat tebuan semasa masih budak di kampung. Di musim buah-buahan banyak tebuan menghurung kulit langsat yang kami buang merata-rata. Saya yang berkaki ayam semasa itu terpijak kulit langsat tanpa menyedari kehadiran tebuan dan seekor darinya telah menyengat saya.

Saya disengat lebah pula beberapa tahun lalu di tapak pembinaan Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS). Saya berjalan kaki di satu pagi di lebuhraya itu yang masih dibina. Tiba-tiba seekor lebah menyengat saya. Setelah menepisnya beberapa ekor lebah lagi menyerang saya.

Saya berlari ke Jalan Sikamat, menahan satu kereta dan meminta pemandunya menghantar saya balik ke rumah. Di dalam kereta pun saya nampak beberapa ekor lebah mengejar kami.

Di klinik yang saya pergi kemudiannya doktor di situ bertanya adakah saya mengganggu sarang lebah itu. Saya jawab tidak dan dia berkata saya bernasib baik tidak disengat tebuan. Jika saya disengat tebuan yang bilangannya sama dengan kesan sengat lebah di badan saya, tak tahulah nasib saya.

Sengat tebuan memang berganda bisanya dari sengat lebah. Tidak hairanlah bila petang semalam seorang jiran menunjukkan saya kepada satu sarang tebuan di dahan pokok di depan rumahnya. Dia menceritakan satu perkara yang saya sudah tahu iaitu beberapa sengat tebuan sahaja boleh membunuh manusia.

Baru saya sedar dari sarang itulah datangnya tebuan yang menolong mencatumkan bunga mangga saya dan mangga jiran saya itu juga. Jiran saya itu meminta saya menghubungi mana-mana pihak berkuasa untuk menghapuskan sarang tersebut. Kenapa dia sendiri tidak melaporkannya saya tidak diberitahunya

Tetapi saya tidak akan berbuat apa-apa terhadap sarang tebuan itu. Saya teringat pada pribahasa Melayu 'Sarang tebuan jangan dijolok'. Pribahasa Inggeris juga menyebut 'Don't stir up a hornet's nest'. Tak payahlah saya terangkan apa maksud kedua-duanya. Lagi pun dalam kes ini tebuan yang bersarang itu sebenarnya menolong saya.

No comments: