Monday, September 10, 2018

Bayangkan rumah kita dibakar dengan kita diperangkap didalamnya.

Sarang tebuan yang mempunya senibina unik ini sudah tiada lagi kerana kebodohan manusia.

Buah mangga ini terjadi hasil pertolongan tebuan.


Nasib sarang tebuan hasil tindakan manusia yang kejam dan bodoh.


Tebuan yang mati jatuh ke bumi.

Pagi semalam saya terbaca berita Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Negeri Sembilan membuat kenyataan meminta maaf setelah pegawai-pegawai mereka digambar dan dilaporkan membunuh anjing liar dengan memberi suntikan. Sebelum itu MPS dan JPH telah dikutuk di media sosial kerana tindakan mereka itu.

Pagi semalam juga saya ambil gambar sarang tebuan di atas pokok di depan rumah seorang jiran saya. Saya telah menceritakan tentang sarang ini di pos saya sebelum ini Sarang tebuan jangan dijolok. Tapi malam tadi beberapa kakitangan dari Angkatan Pertahanan Awam telah datang dan membakar sarang tebuan itu.

Sarang itu tinggi dan mereka terpaksa menyambung galah lebih dari biasa. Saya cuba merayu kepada mereka supaya sarang itu tidak dibakar. Apa salahnya jika ia diasapkan sahaja untuk menghalau tebuan sama seperti proses menghalau lebah untuk  mendapatkan madu.

Tetapi mereka menjawab terpaksa menghapuskan tebuannya sekali dengan membakar sarang tersebut. Mereka datang setelah menerima panggilan 999. Mereka juga tentu suka datang di waktu malam kerana boleh menuntut elaun lebih masa, lebih-lebih lagi kadar elaun itu berganda di hujung minggu dan hari kelepasan. Ketiadaan cahaya juga menghalang saya merakamkan aktiviti membakar mereka. 

Bagi saya tidak ada bezanya membunuh anjing liar dengan membunuh tebuan. Memang kedua-dua haiwan itu boleh membahayakan. Tetapi mereka tidak akan mengganggu kita jika kita tidak mengganggu mereka. Malah tebuan ada kebaikannya kepada manusia dengan menolong mencantumkan bunga menjadi buah apabila mereka mencari madu. Contohnya buah mangga dari pokok yang saya tanam seperti gambar di atas. 

Kita tidak boleh menyamakan tebuan dengan nyamuk aedes pembawa demam denggi atau nyamuk  anopheles pembawa demam malaria. Saya juga belum dengar tebuan membawa apa-apa penyakit. Kita juga tidak boleh menyamakan pembunuhan mereka dengan penyembelihan binatang yang akhirnya kita makan seperti amalan korban yang kita lakukan beberapa minggu lepas.

Kepada mereka yang memutuskan sarang setiap sarang tebuan harus dibakar cuba fikirkan ini: Bayangkan rumah kita dibakar dengan kita terperangap di dalamnya.

No comments: