Friday, September 21, 2018

Nama Najib tidak disebut.

Dato' Seri Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya pernah dikecam kerana meletakkan satu pos menyentuh politik beberapa tahun yang lalu. Semenjak itu saya tidak lagi menulis mengenai politik kerana saya sedar saya bukan seorang berjiwa politik. Tetapi beberapa perkara yang berlaku di negara kita sekarang telah menarik saya menyentuh sedikit mengenai topik ini.

Antara berita yang hebat disebut sekarang ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan. Tujuannya ialah persediaan baginya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke lapan.

Saya secara peribadi mengalu-alukan kedatangannya ke negeri di mana saya dilahir dan dibesarkan. Tetapi saya sempat menegur seorang sahabat Facebook saya yang menghantar satu senarai perkataan-perkataan lohgat Negeri Sembilan dengan terjemahannya sekali. Tujuannya supaya orang luar yang datang berkempen di Port Dickson nanti faham akan loghat Negeri Sembilan. 

Komen saya ialah orang Port Dickson tidak bercakap loghat Negeri Sembilan. Pelik juga ya, orang Alor Gajah di Melaka dan Beranang di Selangor bercakap loghat Negeri Sembilan, tetapi orang Port Dickson bercakap loghat Melaka. Saya berani berkata begitu kerana besan kepada arwah abang saya orang Alor Gajah dan besan saya sendiri orang Beranang, Selangor. Isteri saya pula berasal dari Merlimau, Melaka. 

Satu berita lagi ialah mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Razak sedang didakwa di mahkamah atas beberapa tuduhan rasuah dan 'money laundering'. Saya hendak bercerita panjang sedikit mengenai Dato' Seri Najib yang selepas ini saya akan sebut Najib sahaja.

Saya terpnggil untuk mengikut cerita Najib ini dari dulu lagi kerana dia ialah anak kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak. Mungkin ramai tidak tahu bahawa 'Abdul Razak' di nama Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR, Seremban itu ialah Tun Abdul Razak. Sekali lagi saya berani bercakap begitu kerana saya ialah seorang murid tua sekolah tersebut, dan kerana itu jugalah saya mengikuti cerita Najib ini.

Tun Abdul Razak meninggal dunia di London, United Kingdom pada tahun 1975 di masa saya berumur 25 tahun. Ketibaan jenazahnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia atau RTM. Acara pengkebumiannya di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur juga ditunjukkan secara langsung. TV Malaysia masih hitam putih di masa itu.

Semasa pengkebumian itu sudah tentu TV Malaysia menumpukan perhatian kepada keluarga Tun Abdul Razak yang terdiri dari Toh Puan Raha dan lima anak-anaknya yang semua lelaki. Najib ialah anak yang sulung. Di satu ketika juruacara TV tersebut bertanya sendiri adakah nanti mana-mana anak Allahyarham Tun Abdul Razak yang akan mengikuti jejak bapa mereka di bidang politik.

Kemudian juruacara itu menjawab sendiri soalannya. Jawapannya ialah jika ada pun, anak yang dijangka mengikut jejak langkah ayahandanya ialah Johari yang sedang belajar di bidang undang-undang di masa itu. Sebabnya ialah kedua-dua Perdana Menteri pertama dan kedua Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak adalah berkelulusan undang-undang. Nama Najib tidak disebut.

Tetapi sudah jelas sekarang jangkaan juruacara TV Malaysia itu tidak tepat. Kita semua tahu anak sulung Tun Abdul Razak yang bernama Najib kemudian mengikut jejak langkah bapanya di bidang politik sehingga menjadi Perdana Menteri. Tetapi kita juga tahu Najib tidaklah sehebat bapanya, malah sebaliknya.

Saya baru sahaja selesai membaca buku BILLION DOLLAR WHALE secara digital. Sebelum itu saya ingin meminta maaf kerana diberitahu memuat turun buku itu secara digital adalah salah. Tapi nak buat macam mana, seorang kawan telah hantar kepada saya. Saya pun muat turun dan kemudian baca. Selamatlah duit saya RM 79.90 iaitu harga buku itu di pasaran.

Buku BILLION DOLLAR WHALE ialah mengenai skandal 1MDB. Keterangan ringkas buku itu ialah 'THE MAN WHO FOOLED WALL STREET, HOLLYWOOD AND THE WORLD' atau 'LELAKI YANG MEMPERBODOHKAN WALL STREET, HOLLYWOOD DAN DUNIA'. Buku itu bukan andaian atau 'fiction'. Dua pengarangnya menamakan manusia betul, yang masih hidup dan yang sudah mati. Antara nama itu ialah nama Najib.

'MAN' atau 'LELAKI' yang dimaksudkan ialah Jho Low dan antara manusia yang diperbodohkan itu ialah Najib sendiri. Malah Najib merupakan orang nombor satu yang diperbodohkan walau pun mengikut aturan keterangan ringkas itu nama Najib termasuk dalam tangga ketiga atau 'THE WORLD'

Bila habis membaca buku itu dan melihat berita-berita semasa saya terkenang semula kata-kata juruacara TV Malaysia di tahun 1975 itu.

No comments: