Wednesday, September 25, 2019

Kenapa dia 'unfriend' saya.

Di kampung saya dulu ada seorang yang dipanggil 'Godang' walau pun itu bukan nama sebenarnya. 'Godang' ialah loghat Negeri Sembilan bermaksud 'besar'. Yang peliknya orang yang dipanggil 'Godang' ini tidaklah berbadan besar dan saya tidak tahu mengapa dia dipanggil begitu.

Rumah Godang terletak antara rumah saya dengan sekolah. Biasalah budak-budak sekolah termasuk saya akan memetik buah-buahan seperti rambutan dan langsat di musimnya masak apabila balik dari sekolah. Kebanyakan tuan-tuan rumah tidak marah kami memetik buah-buahan mereka, melainkan si Godang.

Saya ada bertanya dengan nenek saya mengapa Godang bersikap demikian. Saya lebih suka bertanya soalan-soalan peribadi dengan nenek saya. Jika tanya dengan emak, besar kemungkinan saya kena marah. Pertama kerana hendak tahu hal peribadi orang. Kedua kerana cuba mengambil harta orang.

Nenek (yang kami wan) menjawab ini kerana Godang tidak mempunyai anak, dari itu dia tidak tahu bagaimana hendak menyayangi budak-budak. Oh ya, Godang cuma tinggal suami isteri kerana mereka tidak mempunyai anak. Itu yang saya pelik, kerana buah-buahan itu kalau mereka makan berdua pun tentu tak habis.

Berbalik kepada emak saya (yang baru meninggal dunia tujuh bulan lepas di usia 92 tahun). Walau pun kami adik beradik akan dirotan bila membuat kesalahan yang tidak disukainya, dia akan melenting jika ada sesiapa yang mengatakan perkara-perkara negatif mengenai kami. Emak sanggup pergi ke rumah jirannya dan mencarut demi mempertahankan anak-anaknya, sedangkan dia tidak pernah mencarut depan kami. 

Memang benar, jiran-jiran sering mengejek kami dengan alasan kami tidak berayah. Ini kerana ayah saya meninggal dunia semasa saya berumur 3 tahun, abang saya Shamsudin berumur 5 tahun, adik saya Zahari berumur 1 tahun dan adik saya Shamsiah masih dalam kandungan emak.

Tetapi bila mula-mula bersekolah, ejekan itu berkurangan dan akhirnya berhenti terus. Ini kerana kami berempat menunjukkan kehandalan kami dalam pelajaran dan mengalahkan mereka yang berayah. Saya akui kehandalan kami itu bermula dari emak. Dia memastikan kami bangun pagi-pagi untuk pergi sekolah. Perkataan 'ponteng sekolah' tidak ada dalam kepalanya. 

Seperti yang saya katakan emak akan melenting jika ada sesiapa yang mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anak-anaknya. Sikap emak itu jugalah yang saya warisi. 

Baru-baru ini seorang kawan Facebook saya bertanya adakah anak-anak saya balik di hujung minggu baru-baru ini untuk melawat kami. Bila saya jawab tidak ada yang balik, kawan saya menjawab ini tidak patut. Alasannya saya dan isteri telah membesarkan mereka dan tibalah masanya mereka membalas budi kami.

Saya minta kawan saya ini supaya tidak meneruskan isu ini. Saya nyatakan dia tidak ada 'authority' menghakim hubungan saya dengan anak-anak sedangkan dia sendiri tidak mempunyai isteri dan seterusnya anak-anak. Saya bukan sahaja mempunyai anak, tetapi sudah bercucu pun.

Oleh kerana dia tidak mahu mengalah, saya terus bertanya satu soalan kepadanya 'Adakah dia fikir anak-anak saya tidak bersikap baik?'. Dia jawab 'Mungkin' dan menambah mungkin saya tidak sedar selama ini. Dalam lain perkataan dia cuba memberi keraguan terhadap saya.    

Itulah perbezaan antara orang yang mempunyai anak dengan orang yang tiada. Jika ada seorang bertanya pandangan saya mengenai anak atau anak-anaknya saya tidak akan menjawab secara ragu seperti 'Mungkin'. Saya akan jawab 'Baik' atau tidak berani memberi jawapan. Di lain perkataan, saya tidak akan melukakan hati seorang kawan.  

Saya terus teringat kepada Godang. Saya juga terus teringat emak saya menyerang jirannya kerana mempertahankan anak-anaknya. Itulah yang saya buat terhadap kawan saya ini. Saya menyerangnya, walau pun di alam maya, sehingga dia sendiri 'unfriend' saya.   

Sekian.

No comments: