Tuesday, January 21, 2020

Angka 20 yang penuh makna.

Saya di depan Kompleks Mahkamah, Seremban 2.

Pada jam 12.30 malam 20 Januari 2020, saya bangun dari tidur dan pada mulanya menonton siaran langsung  bolasepak di telefon bimbit. Tidak puas menonton di skrin kecil, saya kemudiannya membuka TV dan menonton program yang sama di sana.

Pasukan kesukaan saya Liverpool mengalahkan musuh ketat mereka Manchester United dengan jaringan 2 - 0. Yang melucukan saya ialah apabila pemain Liverpool Mohamed Salah (yang lebih popular dipanggil Mo Salah oleh peminat-peminat Liverpool) menjaringkan gol kedua pasukannya di minit terakhir perlawanan.

Mohamed Salah telah membuka jersinya dan mendedahkan bahagian atas badannya, satu perbuatan yang pertama kali saya lihat. Saya dapati dadanya tidak berbulu, tidak menepati jangkaan saya terhadap lelaki Arab selama ini. Akibatnya dia dilayangkan kad kuning. Biasanya bila M Salah menjaringkan gol, dia bersifat selamba sahaja. Permain tamat beberapa saat selepas M Salah memakai jersi semula.

Angka 2 dan 0 menjadi signifikan bagi saya pada hari itu. Kerana beberapa jam selepas itu, di hari ke 20 di tahun 2020 saya telah mengetuai 20 orang tuan dan puan punya harta di taman perumahan saya berkumpul di Mahkamah Tinggi, Seremban 2, Seremban.

Kehadiran saya di Mahkamah sudah tidak asing lagi. Kerana semasa bekerja dulu saya sering menggantikan tugas Pegawai Pendakwa, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS apabila pegawai itu tidak dapat hadir ke Mahkamah kerana berkursus dan sebagainya. 

Pernah saya memangku jawatan itu beberapa bulan sementara MPS menggantikan Pegawai Pendakwa yang berhenti. Sehingga isteri saya faham, setiap hari Selasa dia akan menyediakan pakaian mahkamah saya itu seluar hitam dan baju putih lengan panjang. Tali leher dan kot sedia tergantung di pejabat. 

Setelah balik dari mahkamah dan jika saya ada kerja di luar pejabat, saya terpaksa menunjukkan kad kuasa bila bertemu dengan orang ramai, kerana saya tidak lagi dikenali dengan pakaian uniform kerja saya yang mempunyai logo MPS.

Pernah satu hari di Mahkamah Mjisteret lama di Jalan Campbell, Seremban seorang peguam wanita menegur saya kerana tidak memasukkan duit ke meter letak kereta. Saya jawab ini kerana saya seorang pegawai MPS dan saya dikecualikan dari membayar caj letak kereta. Cuma yang peliknya saya datang ke mahkamah ini untuk mendakwa mereka yang tidak membayar caj letak kereta.  

Untuk pengetahuan, penceramah glamour Shamsul Debat pernah menjadi Pegawai Pendakwa di MPS. Di minggu-minggu pertama dia bekerja, sayalah yang mengajarnya bagaimana hendak menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Semalam, 20 Januari 2020 saya sekali lagi datang ke Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2. Sebenarnya ini hanya kali kedua saya masuk ke kompleks ini. Saya pernah mendakwa di satu hari sahaja di Mahkamah Sesyen, kompleks ini sebelum saya bersara.

Tetapai kali ini saya tidaklah memakai pakaian yang biasa saya pakai ke mahkamah. Tak ada seluar hitam dan baju lengan panjang putih. Kot dan tali leher jauh sekali. Tetapi untuk menghormati mahkamah, saya berpakaian sopan.

Tujuan saya ke sana ialah untuk memfailkan satu kes bagi mendapatkan apa yang dipanggil 'Semakan Kehakiman' atau 'Judicial Review'. Saya mengetuai 20 orang plaintiff untuk kes ini. Supaya tidak menjejaskan perjalanan mahkamah, saya tidak mahu memberi butir-butir lanjut mengenai kes ini.

Sekian.

No comments: