Friday, February 28, 2020

Selesa duduk di kelompok minoriti

Di meja Mesyuarat Agung.

Hampir seminggu negara kita Malaysia bergolak dengan ketiadaan kerajaan di peringkat pusat. Perkataan 'majoriti' dan 'minoriti' disebut setiap hari. Kali ini saya ingin menceritakan saya hidup selesa walau pun berada di kelompok minoriti.

1. SEMASA KECIL.

Bapa saya meninggal dunia semasa saya beumur 3 tahun. Jadilah saya termasuk dalam kelompok minoriti anak yatim di seluruh dunia. Tetapi situasi ini membuatkan saya berazam untuk gigih belajar, kerana saya tahu dengan pelajaran sahaja saya boleh keluar dari kelompok kemiskinan.

Ketiadaan hidup tidak berayah ada juga hikmahnya bagi saya. Ini kerana emak saya meninggal dunia bila dia berumur 92 tahun. Jadi saya hanya menjadi yatim piatu semasa umur saya 69 tahun. 

2. SEKOLAH  MENENGAH

Mungkin kerana kegigihan saya belajar di sekolah rendah, saya berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjung Malim, Perak. Di masa itu cuma ada lima sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh Malaysia. Jadi sekali lagi saya termasuk dalam kelompok minoriti remaja yang dibesarkan di sekolah asrama penuh.

3. BEKERJA DI KEMENTERIAN KESIHATAN 

Kerana saya tidak berjaya dalam peperiksaan memasuki Tingkatan Enam, persekolahan saya terhenti di Tingkatan Lima sahaja. Selepas itu saya mendapat kerja sebagai Inspektor Kesihatan di Kementerian Kesihatan. Walau pun ramai Doktor, Pembantu Hospital (sekarang Penolong Pegawai Perubatan) dan Jururawat di Kementerian Kesihatan, Inspektor Kesihatan adalah golongan minoriti.

Apabila saya ditempatkan di Kelantan setelah tamat latihan, sekali lagi saya berada di golongan minoriti. Saya termasuk dalam kumpulan elit dari Kementerian Kesihatan yang dihantar ke pantai timur setelah tamat latihan mereka. Yang majoriti ditempatkan berhampiran kampung halaman mereka di pantai barat. 

4. KOPERASI

Semasa mula bekerja dengan Pejabat Kesihatan Seremban pada tahun 1969 saya memilih untuk menjadi ahli Koperasi Anggota Kerajaan Negeri Sembilan yang berbilang bangsa dan tidak Koperasi Anak Melayu Anggota Kerajaan yang ahlinya 100% Melayu.

Di masa itu ahli-ahli Koperasi saya kebanyakannya berbangsa India dan ahli-ahli Melayu adalah minoriti. Tetapi saya tetap selesa dengan situasi begitu dan saya menjadi ahli Koperasi itu sehingga saya bersara.

5. BEKERJA DI MAJLIS PERBANDARAN SEREMBAN.

Bila saya mula bekerja di Majlis Perbandaran Seremban pada tahun 1973, sekali lagi saya masuk kelompok minoriti. Di satu ketika sayalah satu-satunya Inspektor Kesihatan berbangsa Melayu di situ di mana kawan-kawan saya terdiri dari bangsa-bangsa Cina, India dan Ceylonese. Tetapi saya tetap selesa. Tetapi bila saya bersara kawan-kawan sekerja saya semuanya Melayu, termasuk beberapa orang perempuan.

6. BERSARA

Tiap-tiap KAD PESARA KERAJAAN MALAYSIA mempunyai kod. AP bermaksud Pesara Kerajaan Persekutuan. AN pula Pesara Kerajaan Negeri. Walau pun AK bermaksud Pesara Pihak Berkuasa Tempatan, KAD PESARA saya tidak mempunyai kod itu. Kod KAD PESARA saya ialah AW yang bermaksud Pesara Kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan.

Sekali lagi saya termasuk dalam kelompok minoriti. Jika tidak percaya pergilah ke mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kiralah berapa peratus (%) kakitangan Kesihatan di situ. Mereka inilah bila bersara nanti akan diberi KAD PESARA dengan kod AW dan saya rasa bertuah mempunyai kod itu.


7. MASUK PERSATUAN PESARA

Saya memasuki NGO saya sekarang iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM tanpa mengambil tahu taburan ahli mengikut bangsa. Selepas beberapa minggu baru saya tahu kebanyakan ahlinya berbangsa India. Tetapi saya tak kisah walau pun mendapati diri saya sekali lagi berada dalam golongan minoriti. Malah saya pernah disindir oleh seorang ahli satu Kelab Pesara yang ahli-ahlinya kebanyakan Melayu. Dia tak tahu yang saya juga menjadi ahli Kelab Pesara itu.

Sekurang-kurangnya di Persatuan Pesara di mana saya dari kaum minoriti, saya mempunyai jawatan-jawatan penting di peringkat daerah dan negeri. Sedangkan di Kelab Pesara di mana kaum saya  adalah majoriti, saya menjadi ahli biasa sahaja.

Moral cerita saya ialah berada dalam kelompok majoriti tidak semestinya benar dan berada di kelompok minoriti tidak semestinya salah.

No comments: