Saturday, April 25, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 3 (Apa hukumnya pegang duit orang?).

SUKA 'SAY SOMETHING'

Bila Y yang rasis itu gagal mendapat bantuan saya menjahanamkan kawan-kawan bukan Melayu saya, dia bertumpu kepada kawan lamanya R yang berasal di satu kawasan di Negeri Sembilan. Tiba-tiba R diletakkan sabagai 'ketua' kami, walau pun bukan secara rasmi, maksud saya belum dinaikkan pangkat.

Sebagai contoh 'punch card' R diletakkan paling atas di rak 'punch card' bahagian kami.  Tetapi saya perhatikan R tertekan dan akibatnya dia selalu mengelabah. Bila ada mesyuarat dan sebagainya, R terpaksa 'say something' walau pun dia sebenarnya 'had nothing to say'. Dia cuma mengulangi apa yang dicakapkan oleh pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan lain.

Jika sebelum ini saya sering dihantar mewakili MBS dan MPS untuk mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Seremban atau Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, tugas itu sekarang diberi kepada R.

PUNCAK KONFRANTASI

Kemuncak konfrantasi antara N sebagai Ketua Eksekutif MPS dan kawan-kawan sekerja saya berlaku di lewat ahun 1980an. Hasil usaha kawan-kawan kami di Kementerian Kesihatan, jawatan kami dinaiktaraf ekoran Diploma kami diiktiraf. Gaji kami pun dinaikkan dan kami juga dibayar tunggakan kerana kenaikan taraf itu dikira beberapa tahun sebelumnya.

Tetapi MPS memutuskan tunggakan kami diayar secara ansur-ansur. Saya percaya MPS merupakan satu-satunya jabatan di Malaysia yang membayar apa-apa tunggakan gaji secara ansuran. Bukan kerana MPS tidak ada duit. Mereka ada simpanan tetap berjuta ringgit di bank. Saya tahu keputusan ini atas nasihat Y kepada N dan diputuskan di Mesyuarat Penuh MPS. Tujuannya ialah untuk menyakitkan hati kami.

Jika ansuran itu dibayar secara tetap, contohnya pada tiap-tiap bulan, tak apa juga. Tetapi tidak, kami akan menerimanya ibarat menjolok buah untuk gugur. Tak jolok, tak gugurlah buah. Orang yang kami wakilkan untuk menjolok buah itu ialah R kerana dia satu-satunya yang dipercayai oleh Y dan N. Bila R pergi menyembah N beransurlah satu bayaran tunggakan utuk kami.

GUNA PENGARUH POLITIK

Akhirnya R pun malu untuk menyembah bagi pihak kawan-kawannya untuk mendapatkan ansuran tunggakan gaji. Satu hari seorang Ahli Majlis MPS berbangsa Cina dari Parti Gerakan datang berjumpa kawan saya seorang India Muslim (saya rujuk sebagai M di sini) di pejabat kerana mereka ini sudah kenal lama. Kebetulan saya juga sedang berada di bilik yang dikongsi oleh M dengan R itu. R sudah keluar pejabat.

M terus meminta Ahli Majlis itu membawa isu tunggakan gaji kami ke Mesyuarat Penuh MPS.  Seperti yang dijanjikan, Ahli Majlis itu membawa isu itu di Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Yang DiPertua MPS.

Sudah tentulah N mendapat kemaluan besar. Ini kerana keputusan membayar tunggakan kami secara ansur-ansur diputuskan bersama Tan Sri Isa. Tentu Tan Sri bertanya kenapa tunggakan belum selesai dibayar sedangkan keputusan sudah beberapa bulan dibuat.

KERETA BOLEH TUKAR, DUIT KAMI SUSAH NAK BAYAR

Setelah selesai mesyuarat, N yang sudah tentu merah padam mukanya meminta Y menyiasat siapakah antara kami yang berjumpa Ahli Majlis tersebut. Sebelum itu pun muka N sudah merah padam kerana seorang dari kami yang berbangsa Melayu mempersoalkan kenapa MPS mempunyai wang untuk menukar kereta rasmi Timbalan Yang DiPertua, sedangkan tunggakan gaji kami susah sangat hendak dibayar.

Sehari selepas itu saya dianggil oleh Y di pejabatnya. Dia terus bertanya betulkah saya dan M ada berjumpa dengan Ahli Majlis Gerakan itu. Saya terus jawab betul. Bila dia bertanya kenapa, saya jawab ini akibat MPS telah mungkir janji. Sudahlah tunggakan tidak dibayar sekali gus seperti sepatutnya, ini kami perlu menyembah setiap kali untuk mendapatkan setiap ansuran.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN BERHAK MENOLAK

Kemudian Y memberi satu kenyataan untuk menakutkan saya. Dia kata 'You tahu tidak, MPS sebagai Pihak Berkuasa Tempatan berhak menolak mana-mana perubahan gaji apa-apa jawatan?". Saya terus jawab "Kalau macam itu saya cabar MPS menolak kenaikan taraf jawatan kami. Saya cabar MPS menulis surat kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) menolak surat mereka".

Sebenarnya saya bukan tidak berfikir sebelum memberi jawapan itu. Saya tahu Majlis Penuh MPS telah menerima keputusan JPA itu dan gaji baru kami pun sudah dibayar untuk beberapa bulan. Adalah mustahil MPS menarik balik keputusan itu.

Kemudian saya menambah "Dalam Islam, apa hukumnya seorang itu memegang duit orang tanpa izin orang yang berhak itu?". Bila saya cakap itu Y tiba-tiba berubah dan berkata "Menyesal aku panggil kau. Sebenarnya aku panggil kau ni untuk jadi saksi kerana MPS hendak ambil tindakan terhadap M".

Saya terus jawab "Kalau macam tu, ambil tindakan kepada saya sekali, kerana kami berdua yang berjumpa Ahli Majlis itu".  Kemudian saya ulangi jawapan yang saya berikan bila pertama kali berjumpanya beberapa tahun sebelumnya iaitu saya tidak akan membelot kawan-kawan sekerja saya.

Saya dapat tahu N lagi melenting bila Y melaporkan apa yang berlaku antaranya dengan saya. Tetapi akibatnya tunggakan gaji kami dibayar habis. Kami tidak perlu menjolok buah lagi.

DISENARAI HITAM

Dari itu juga saya dapat tahu N dan Y  akan 'blacklist' saya. Jangan haraplah saya dinaikkan pangkat atau diberi Anugerah Khidmat Cemerlang selagi mereka berdua ini ada di MPS. Maka bermulalah saya bermain di padang tidak sama rata.

Tiba-tiba MPS heboh dengan cerita tugas N sebagai Timbalan Yang DiPertua akan ditamatkan dan dia akan kembali bertugas dengan Kerajaan Malaysia.  

Bersambung..........

1 comment:

Unknown said...

This is the usual case. Sometimes we play their game. Sometimes our own game. But in the end what goes around come around.

Anusooya P M