Tuesday, April 28, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 8 (Balas dendam)


BALAS DENDAM


Kata orang putih 'Revenge is sweet' atau membalas dendam itu manis. Itulah yang saya lakukan setelah tidak berjaya dinaikkan pangkat. Saya percaya saya gagal bukan kerana lawan saya lebih baik. Tetapi kerana dari dulu lagi saya bermain di atas padang yang tidak rata. Lawan saya  pula dibantu oleh pengadil yan berat sebelah.

Y bertemu saya secara empat mata hampir setiap hari. Selalunya kami berbincang tentang hala tuju jabatan dan bagaimana hendak menjawab surat-surat dari pembayar cukai yang datang setiap hari. Y

Yang DiPertua (YDP) baru kami dulu bekerja di Pejabat Daerah dan Tanah di Seremban. Untuk menentukan segala perniagaan yang dijalankan di kawasan MPS hanya boleh dibuat di  atas tanah perniagaan atau perusahaan, dia membuat satu arahan. Arahannya ialah setiap permohonan lesen lesen disertakan dengan salinan geran tanah.

Akibatnya ramai pemohon lesen yang merungut. Ada geran mereka disimpan di bank. Ada pula di pejabat peguam. Satu hari dalam perjumpaan empat mata kami saya mencadangkan supaya salinan geran tanah itu diganti dengan salinan bil cukai tanah. Ini kerana maklumat guna tanah seperti kediaman, perniagaan atau perusahaan ada ditulis di situ. Y berkata akan membawa cadangan ini kepada YDP. 

Beberapa hari kemudian dalam mesyuarat jabatan kami, Y memberitahu cadangan kami itu diterima oleh YDP. Tetapi saya percaya bila Y berjumpa dengan YDP dia tidak menyebut nama saya. Dia akan menyebut idea itu datang darinya sendiri. 

Itulah satu contoh perkara-perkara yang saya dan Y selalu bincang secara 'brainstorming'.   


"INI YOU KENA BINCANG DENGAN R"

Satu hari Y selepas keputusan naik pangkat dikeluarkan, Y memanggil saya seperti biasa. Dia pun menghulurkan satu fail dan meminta saya memberi pandangan tentang lampiran terbaru dalam fail itu. Saya terus menjawab "Maaf, ini you kena bincang dengan R". Kemudian Y bertanya "Kau merajuk ke?" Saya terus menjawab "Tentulah". Saya terus meninggalkan biliknya. Sejak itu juga Y tidak memanggil saya lagi untuk perjumpaan empat mata.

Beberapa minggu kemudian saya diberitahu oleh L yang sudah disahkan sebagai Ketua Kerani bahawa R sedang tertekan. "Dia tension" katanya. Saya bertanya kenapa pula R tension? L jawab, Y sering memarah R. Malah R pernah memberitahu L begini "Aku bukan macam Maarof. Bila disoal, Maarof boleh jawab, tetapi aku tak boleh jawab macam dia". 

Sejak itu juga saya perhatikan Y tidak memberi N tugas-tugas penting. Kalau ada pun R dibantu oleh 'cucu-cucunya' yang memanggilnya 'atuk' tersebut.

Kesian pula saya pada R. Tetapi hati kecil saya berkata "Padan muka kau berdua". Mungkin sedar dari kesilapannya, Y telah membuat satu kertas kerja untuk mengujudkan satu lagi jawatan naik pangkat. Tetapi prosesnya bukan mudah. Ia hendaklah melalui Mesyuarat Ahli Majlis MPS, mendapat sokonagn Kerajaan Negeri Sembilan sebelum dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam, (JPA) Kuala Lumpur/Putrajaya untuk pertimbangan dan kelulusan.

Akhirnya jawatan yang dipohon itu diluluskan oleh JPA. Tetapi ini berlaku semasa saya sudah bersara. 


'WINNER TAKES ALL'

SU atau Setiausaha baru MPS sudah membuka luas peluang staff MPS untuk menjalanan kursus atau seminar di seluruh dunia. Seperti yang saya kata, persaingan saya dengan R akan menghasilkan sorang 'winner takes all'. Pada tahun 2003 ada tawaran dari Japan International Cooperation Agency (JICA) untuk latihan selama enam minggu di Bandar Fukuoka di sana. 

Oleh kerana R pemenang persaingan itu, dia dihantar oleh MPS. Saya yang sudah tentu kecewa, tidak berminat untuk ambil tahu apa latihan yang dijalaninya. Cuma saya perhatikan R dibantu oleh 'cucu-cucunya' untuk membuat satu laporan untuk dibawa ke sana.


PRU KE 11

Pilihanraya Umum ke  11 berlaku pada awal tahun 2004. Jika di PRU ke 8 Y memegang jawatan Penolong Pegawai Pengurus dan saya menjadi Pembantu Pilihanraya, kali ini kami turun pangkat. YDP MPS diberi jawatan Penolong Pegawai Pengurus untuk DUN Ampangan di bawah Parlimen Seremban. Y turun pangkat menjadi Pembantu Pilihanraya iaitu jawatan yang saya pegang di PRU 8. Saya tidak ada pilihan lain dari menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Jawatan Yang DiPertua MPS sudah bertukar tangan dari Z kepada J dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Negeri Sembilan.

Nama saya diletakkan paling atas di senarai Ketua Tempat Mengundi, mengatasi beberapa ketua jabatan MPS. Dari itu juga saya menjadi KTM di Saluran 1 Pusat Mengundi No. 1 DUN Ampangan. Pusat Mengundi saya ialah Sekolah Rendah Kebangsaan KGV, Ampangan.

Di masa itu juga SPR mensyaratkan Ketua Tempat Mengundi di Saluran 1 ialah Ketua kepada Pusat Mengundi keseluruhannya. Dari itu saya bebas melawat semua saluran mengundi di pusat itu. Oleh kerana Saluran saya ialah saluran pertama di DUN Ampangan, ramailah VIP yang datang melawat semasa mengundi dan mengira kertas undi.

Kenapa saya masukkan cerita PRU di sini ialah di dalam hal yang tidak melibatkan tugas-tugas di MPS boleh pula Y meletakkan kedudukan saya di atas R. Malah di atas pegawai-pegawai lain di MPS.


KALAU KAU NAK PERGI KE JEPUN BALIK SEKARANG

Beberapa bulan selepas PRU 11, Y menalipon saya semasa saya di luar pejabat. Katanya "Kalau kau nak pergi kursus yang R buat di Jepun dulu, balik ke Jabatan Personnel sekarang".  Saya pun terus pergi ke Jabatan Perkhidmatan da Personnel MPS dan ditunjukkan satu surat.

Surat ialah tawaran dari JICA untuk latihan sama yang dihadiri oleh R di Fukuoka, Japan pada tahun sebelumnya. Di bahagian bawah surat ialah arahan Yang DiPertua MPS mencadangkan nama saya untuk latihan itu. Saya pun minta satu salinan fotostat dan bawa ke pejabat saya.


ADA DUA MASALAH

Bila saya membaca surat itu yang dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saya nampak satu masalah. Masalahnya ialah ia tiap-tiap jabatan yang menghantar peserta hendaklah membayar kos tiket kapalterbang, tidak seperti sebelumnya.

Saya tahu walau pun MPS sudah membuka peluang berkursus ke seluruh dunia untuk pegawai-pegawainya, syartnya ia tidak melibatkan apa-apa kos dari jabatan. Saya pun berjumpa dengan Y.

Bila sahaja Y melihat syarat itu dia terus berkata "Kalau macam tu kau tak boleh pergilah". Saya percaya Y tidak melihat syarat itu bila dia berbincang dengan YDP sebelumnya. Kalau dia perasan sudah tentu dia memberitahu YDP akan syarat majlis itu. Melepaslah saya.

Bila saya tunjukkan arahan kelulusan TDP itu, barulah Y berkata "Kau mohonlah". Saya pun mengisi borang yang telah disediakan oleh JPA.

Bila sudah mendapat kelulusan dari JPA, timbul lagi satu masalah. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyelaras latihan itu mahukan semua perserta (7 semuanya) naik penerbangan yang sama dan memberi nombor penerbangannya sekali.

Bila saya tempah tiket kapalterbang saya dapati tiket untuk taraf gred kerja saya iaitu kelas ekonomi sudah habis. Yang tinggal cua kelas 'business'. Bila saya menalipon KPKT, mereka berkata sedar akan masalah itu dan minta saya mohon supaya MPS menaikkkan taraf kelas saya.

Esoknya sesudah Subuh yang datang ke pejabat menunggu kedatangan YDP. Setibanya pada pukul 7.30 lebih kurang saya ceritakan masalah saya. Dia terus berkata "Panggil SU (Setiausaha MPS) ke sini". Saya pun terus ke bilik SU dan berkata YDP hendak berjumpanya. Bila dia tanya kenapa, saya ceritakan masalah  penerbangan saya.

Dalam perjalanan dari bilik SU ke bilik YDP jantung saya berdegup cepat. Sampai sahaja ke bilik YDP, dia terus berkata kepada SU. "Es Yu, saya dah pilih Encik Maarof untuk pergi ke Jepun. Sekarang dia ada masalah kelas kapalterbang. Saya hendak dia pergi macam mana pun. Berapa MPS kena bayar, bayar". Saya pun mengucapkan teriima kasih dan mengikuti SU balik ke biliknya.

SU pun menguruskan pembelian tiket kapalterbang saya. Sebenarnya cuma tiket kelas ekonomi untuk pergi ke Japan yang tidak ada. Tiket ekonomi balik ke Malaysia masih ada. Tetapi MPS telah membeli tiket kelas 'business' untuk kedua-dua perjalanan. Nasib, nasib.

Akhirnya hati saya yang luka melihat kawan sekerja saya R pergi ke Japan di tahun sebelumnya terubat juga. Bukan itu sahaja, saya mendapat bonus kerana terbang dengan kelas ekonomi dengan duit MPS,

Bersambung.

No comments: