BAJU 2021
Kali ini saya hendak bercerita lain dari yang lain. Cerita bermula dari awal tahun 2020 lagi bila ahli-ahli jawatankuasa persatuan pesara saya mendesak bila agaknya kami akan dibekalkan dengan pakaian seragam baru. Yang Di Pertua kami menjawab tunggulah sehingga kami menerima peruntukan dari Kerajaan, tak kiralah Kerajaan Negeri atau Persekutuan.
Kemudian tibalah Covid-19 menyerang dunia. Di Malaysia pula timbullah apa yang dikatakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Kesannya kepada kami ialah segala aktiviti persatuan digantung. Maklum sajalah kami warga emas ini akan menanggung risiko yang tinggi jika terdedah dengan penyakit itu. Peruntukan dari mana-mana Kerajaan juga terhenti. Sambil itu cerita pakaian seragam baru juga senyap begitu sahaja.
Kemudian pada penghujung tahun 2020 kami menerima sedikit peruntukan dari Kerajaan Persekutuan melalui seorang Timbalan Menteri yang kebetulan ialah anak saudara kepada seorang ahli jawatankuasa kami. Yang Di Pertua kami memutuskan supaya projek pakaian seragam baru diteruskan. Saya sebagai Setiausaha ditugaskan mencari kain yang sesuai.
Pada awal bulan ini (Mac 2021) saya pun mencari kain yang sesuai dari satu gedung kain yang pernah menyediakan kain untuk pakaian seragam kami sebelum ini. Untuk membantu membuat pilihan, saya bawa seorang ahli jawatankuasa saya untuk sama-sama memilih kain.
Setelah dipamirkan dengan beberapa corak kain, saya tertarik dengan kain yang warna latar belakangnya sama dengan warna jubin di bilik mandi rumah saya. Saya juga tertarik dengan corak bunganya. Kawan yang saya bawa itu juga setuju dengan pilihan saya.
Setelah dipamirkan dengan beberapa corak kain, saya tertarik dengan kain yang warna latar belakangnya sama dengan warna jubin di bilik mandi rumah saya. Saya juga tertarik dengan corak bunganya. Kawan yang saya bawa itu juga setuju dengan pilihan saya.
Saya pun membayar harga kain itu melalui kad kredit yang saya jarang-jarang gunakan sekarang. Kain pun dipotong untuk dibahagikan kepada ahli-ahli jawatankuasa kami. Penyerahan akan di buat di mesyuarat jawatankuasa kami di Gemencheh, Tampin pada 9 Mac 2021. Setiap orang dari kami akan menguruskan penjahitan kain untuk dijadikan pakaian seragam. Yang lelaki diberi kain untuk dibuat baju, sedangkan yang perempuan akan diberi kain untuk dibuat pakaian penuh.
Balik saja dari gedung kain, saya dan kawan terus membawa kain kami ke kedai jahit pilihan masing-masing. Saya pergi ke kedai jahit kegemaran saya yang sudah menjahit pakaian saya sejak empat puluh tahun yang lalu. Tukang jahit itu memberi komen positif terhadap kain yang saya serahkan kepadanya. Kebetulan kedainya terletak di jalan yang saya lalui untuk pergi ke pejabat pada tiap-tiap hari.
Oleh kerana tukang jahit memberitau baju saya hanya akan siap dalam tempoh seminggu, saya tidak dapat memakainya untuk ditonton oleh kawan-kawan saya yang lain di mesyuarat pada 9 Mac itu. Tetapi kawan yang sama-sama membeli kain itu telah siap pakainnya. Dia memakainya untuk mesyuarat itu.
Semasa mesyuarat berjalan saya kurang selesa melihat baju yang dipakai oleh kawan saya itu. Bila dia duduk, corak bunganya seolah-olah tidak nampak. Saya tertanya-tanya sama ada saya telah memilih corak yang betul.
Pagi semalam saya singgah di kedai tukang jahit saya apabila diberitahu baju saya sudah siap. Sekali pandang sahaja saya sudah tertarik dan terus memakainya. Maklumlah tukang jahit ini sudah menjahit lebih dari empat puluh tahun dan tahu akan tanggungjawabnya.
Di pejabat saya terus mengambil gambar saya memakai baju baru dan menghantarnya ke kumpulan WhatsApp jawatankuasa saya dan menerima komen-komen yang positif. Saya belum berpuas hati sehingga saya balik ke rumah.
Dalam perjalanan balik saya singgah di satu kedai 7-Eleven untuk mengeluarkan wang pencen. Semasa berjalan di kaki lima untuk masuk ke 7-Eleven saya selisih dengan seorang perempuan Cina yang seakan-akan sebaya dengan saya. Dia terus menegur mengatakan baju saya cantik. Sahlah saya telah membuat pilihan yang tepat.
Ingatan saya terus pergi ke tahun 1972 semasa saya masih bujang dan bekerja di Pejabat Kesihatan Pasir Puteh, Kelantan. Saya berjiran (rumah kerajaan berkembar) dengan seorang Staff Nurse Cina berasal dari Johor yang juga sebaya dan sama-sama bujang seperti saya. Walaupun kami berjiran, kami jarang bertegur sapa, cuma berbincang di tempat kerja di kompleks yang sama.
Sejak diletakkan di Kelantan pada awal tahun itu saya tidak memotong rambut kerana tidak berjumpa dengan kedai gunting rambut berhawa dingin seperti di Negeri Sembilan sebelumnya. Saya pun biarkan rambut saya memanjang sehingga saya balik bercuti di Negeri Sembilan.
Apabila balik sahaja ke Pasir Puteh setelah memotong rambut, Staff Nurse tadi terus menegur saya dan berkata "Hey, you look good without the long hair. Before this I was scared of you".
Sejak itu saya tidak berambut panjang lagi.
Apabila balik sahaja ke Pasir Puteh setelah memotong rambut, Staff Nurse tadi terus menegur saya dan berkata "Hey, you look good without the long hair. Before this I was scared of you".
Sejak itu saya tidak berambut panjang lagi.