Thursday, April 29, 2021

CERITA SUNGAI




Saya mula berminat kepada sungai bila saya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim Perak pada tahun 1962. Kebetulan sekolah itu terletak berhampiran Sungai Bernam yang memisahkan negeri Perak dengan negeri Selangor. Tidak sah jika saya tidak pergi ke tebing sungai itu sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu sambil memandang ke negeri Selangor di tebing seberang sana.

Cerita saya kali ini bermula semalam bila saya bertanya kepada boss NGO saya yang tinggal di Jelebu, Negeri Sembilan, bilakah dia boleh datang ke Seremban untuk menandatangani satu dokumen, kerana saya tahu dia selalu datang ke sini. Kemudian dia menjawab kenapa tidak saya datang ke Jelebu pada pagi tadi untuk berjumpanya.

Jelebu memang tidak asing bagi saya kerana saya dilahir dan dibesarkan di daerah itu. Cuma hari ini jika saya berjalan di pekan Kuala Klawang iaitu pekan pentadbiran daerah Jelebu, tak ada orang yang mengenali saya dan saya juga tidak kenal kepada sesiapa. Ini kerana sejak usia 12 tahun saya telah meninggalkan kampung untuk masuk ke sekolah asrama penuh dan kemudian bekerja.

Setelah berjumpa dengan boss, saya pun pergi ke satu kampung yang bernama Kg. Ulu Jelebu. Daerah Jelebu terkenal sebagai daerah paling 'ulu' di Negeri Sembilan, sehingga ada orang Jelebu, antaranya kawan-kawan sekolah saya sendiri, malu mengaku sebagai orang Jelebu. Tetapi saya tetap mengaku sebagai orang Jelebu, dulu, sekarang dan selama-lamanya.

Berbalik kepada Kg. Ulu Jelebu. Walau pun ada 'ulu' di namanya, ia jauh dari itu. Ia cuma terletak lebih kurang 2 kilometer dari pekan Kuala Klawang, sedangkan kampung saya sendiri terletak 16 kilometer.

Tetapi apa yang memeranjatkan saya di kampung itu ialah terdapat sebuah sungai yang mengalir merintangnya (bukan selari) dan dinamakan Sungai Jelebu. Malu rasanya saya, anak Jelebu yang tidak sedar akan keujudan sebuah sungai bernama Sungai Jelebu. 

Berikut ialah cerita bergambar saya mengenai Sungai Jelebu dan hubungannya dengan sungai-sungai berhampiran.

  
Bahagian hulu Sungai Jelebu. 

Jambatan  di atas Sungai Jelebu di Kg. Ulu Jelebu.

Hilir Sungai Jelebu.

Sungai Jelebu merintangi Kg. Sarin pula.

Di tengah-tengah itu muara (atau kuala) Sungai Jelebu. Ia bertemu Sungai Teriang yang berganda lebarnya. Panjang Sungai Jelebu lebih kurang 5 km sahaja, sedangkan Sungai Teriang beratus km panjangnya. Ia bermula di Kg. Teriang, Jelebu, Negeri Sembilan dan mengalir ke Sungai Pahang, melalui pekan Triang, Pahang.

Ini pula Sungai Klawang yang bermula dari Bukit Tangga, sempadan Jelebu dengan Seremban. Selain lebih panjang, ia lebih lebar dari Sungai Jelebu.


Ini pertemuan Sungai Klawang (kiri) dengan Sungai Teriang (atas). Oleh kerana tempat ini ialah muara (atau kuala) Sungai Klawang, tidak hairanlah tempat ini dipanggil Kuala Klawang. Muara Sungai Klawang cuma 1 km jauhnya dari muara Sungai Jelebu.

Mungkin cerita bergambar saya ini dapat menjelaskan kemusykilan tentang nama-nama Jelebu dan Kuala Klawang. 

Saya? Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang.

No comments: