Saya nampak satu video menunjukkan satu kumpulan penari tarian singa masuk ke jabatan lama saya. Video itu dihantar ke kumpulan pesara jabatan kami. Ini mungkin ada kena mengena dengan perayaan Tahun Baru Cina beberapa hari lagi. Terdengar juga jeritan seorang kakitangan perempuan bila melihat 'seekor singa' tiba-tiba muncul di pintu masuk pejabatnya.
Ada seorang kawan saya komen, lain kali kita pula berarak masuk ke pejabat itu semasa perayaan maulud nabi.
Saya pun tanya apa isunya, kerana saya suka melihat tarian singa ini. Jiran betul-betul belakang rumah saya sudah beberapa kali memanggil penari singa membuat persembahan di luar dan dalam rumah mereka bila merayakan Tahun Baru Cina. Saya ada mengambil gambar tarian-tarian itu dan memasukkannya ke media sosial saya.
Kemudian seorang lagi kawan saya komen isunya ialah tarian dibuat dalam pejabat. Sepatutnya dibuat di luar pejabat. Kerana orang biasa tidak boleh masuk ke pejabat itu. Jika ada urusan, seorang kakitangan akan keluar pejabat menemui pelanggan.
Kemudian masuklah komen-komen negatif (dan provokatif) seperti ini satu belang puak tertentu dan kita terlena dek drama yang dibuat. Satu lagi kita tidak boleh berdiam diri, seolah--olah merestui tindakan melampau ini.
Berikut ialah komen saya:
- Memang benar dalam keadaan biasa orang luar tidak boleh masuk ke pejabat itu. Tetapi dalam kes ini mereka sudah tentu diberi kebenaran masuk oleh pihak-pihak berkuasa. Saya tak nak tahu sama ada ada pihak yang memohon untuk mereka masuk atau atau mereka memang dijemput masuk dan membuat persembahan tarian.
- Pegawai dan kakitangan yang menerima kunjungan mereka mungkin suka melihat ketibaan orang luar masuk ke pejabat mereka setelah jemu selama ini memandang muka-muka rakan sekerja mereka sembilan jam sehari. Ini dapat dibuktikan bila saya nampak kebanyakan mereka merakam video tarian itu sehingga ada yang menghantarkannya ke kumpulan media sosial.
- Saya berharap penghantar video itu bertujuan baik bila menyebarkan video itu ke kumpulan kami. Tetapi jika dia menyebarkannya dengan tujuan negatif, seperti menunjukkan yang jabatannya mengamalkan 'double standards' dengan membenarkan orang luar masuk ke pejabat, saya menyokong jika tindakan dikenakan terhadapnya.
- Kawan-kawan saya yang memberi komen negatif itu mungkin terbawa-bawa dengan sikap racist yang mereka bawa dari semasa bekerja dulu. Di lain perkataan, fikiran mereka sudah jumud.
No comments:
Post a Comment