Saya telah berniat iaitu apabila KTM menyambung khidmat Komuternya ke Tanjong Malim saya akan kesana untuk melawat sekolah lama saya. Saya boleh pergi dengan kereta atau bas tetapi saya memilih keretapi kerana cara ini lebih nostalgik. Lebih-lebih lagi semasa sekolah dulu saya menaiki keretapi dari Seremban ke Tanjong Malim dan sebaliknya selama enam kali dalam setahun semasa cuti sekolah.
Cuma ada seketika saya tidak menaiki keretapi iaitu semasa KTM mogok. Mereka mogok semasa saya cuti penggal sekolah di kampung. Oleh itu saya terpaksa menaiki bas untuk balik ke sekolah.
Dari kampung saya di Jelebu saya menaiki bas Lim ke Seremban. Dari Seremban pula naik bas Foh Hup ke Stesen Bas Pudu, Kuala Lumpur. Di masa itu Stesen Puduraya belum lagi dibina. Dari Pudu saya berjalan kaki ke Stesen Bas Jalan Melaka. Dari situ saya naik bas Len ke Tanjong Malim.
Apa yang pasti syarikat-syarikat bas Lim, Foh Hup dan Len sudah tiada lagi. Tetapi KTM masih ada walau pun kemajuan khidmatnya tidak selari dengan kemajuan negara.
Saya bangun awal pada Hari Khamis 4 Jun 2009. Saya bercuti di hari itu dan berniat hendak menghabiskan perjalanan saya dalam satu hari. Tetapi saya berpesan kepada Salmah jika ditakdirkan hujan dan sebagainya saya mungkin balik esoknya. Alhamdulillah perjalanan saya berjalan dengan lancar.
Saya sampai ke Stesen KTM Seremban lebih kurang pukul 6.45 pagi. Saya dapati ada dua tren yang menunggu, kedua-duanya ke Rawang. Tren pertama di Platform 2 ialah Hybrid Komuter dan akan bertolak pada pukul 6.55 pagi. Tren kedua di Platform 3 ialah Komuter biasa buatan Korea Selatan yang akan bertolak pada pukul 6.58 pagi.
Saya memilih Hybrid Komuter di Platform 2 kerana sebab-sebab berikut :
- Ini pertama kali saya naik Hybrid Komuter.
- Tren ini cuma berhenti di stesen-stesen yang sibuk sahaja. Contohnya ia tidak berhenti di Tiroi, Labu, Batang Benar, Serdang, Salak Selatan dan Seputih dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur.
- Koc ialah buatan Afrika Selatan yang saya suka.
Hybrid Komuter ialah pencantuman koc-koc EMU (Electrical Multipal Units) KTM Komuter dengan kepala tren biasa berkuasa diesel. Koc-koc EMU ini pula sebenarnya sudah rosak injinnya tetapi alat hawa dinginnya masih baik. Kebanyakan EMU yang rosak ialah buatan Afrika Selatan yang saya suka itu. Jika dilihat di stesen-stesen Seremban dan Rawang banyak EMU Afrika Selatan yang sudah tersadai dan terbengkalai.
Sayang sekali walau pun EMU Afrika Selatan ini selesa tempat tetapi injinnya tidak tahan. Ini dibandingkan dengan EMU Korea Selatan walau pun tempat duduknaya tidak selesa injinnya masih baik sehingga sekarang. Betul juga polisi Dr. Mahathir 'Pandang ke Timur'.
Walau pun mempunyai hentian terhad sebenarnya Hybrid Komuter ini tidaklah secepat yang dijangka. Ini kerana ia menggunakan kepala biasa berkuasa diesel untuk menarik koc-koc EMU. Oleh itu 'pick-up'nya tidaklah selaju injin elektrik EMU biasa.
Saya sering mencatit masa perjalanan KTM Komuter. Saya dapati perjalanan dari Seremban ke Bandar Tasik Selatan mengambil masa tepat 60 minit. Tetapi saya dapati dengan Hybrid Komuter masanya sama sahaja walau pun hentiannya dikurangkan. Ini ialah kerana faktor 'pick-up' tadi.
Saya sampai di Rawang selepas dua jam duduk dalam Hybrid Komuter. Sempat juga saya tidur dan membaca buku yang dipinjamkan oleh kawan saya Zamri. Bukan Dr. Zamri, tapi junior saya yang tinggal di Seremban 2.
Di Rawang saya terpaksa menunggu satu jam untuk tren yang akan membawa saya ke Tanjong Malim walau pun iklan KTM menyatakan 'Rawang ke Tanjung Malim setiap 30 minit'. Tak apa juga. Dalam menunggu saya sempat juga mengambil gambar-gambar.
Rupa-rupanya perjalanan Rawang - Tanjong Malim menggunakan Hybrid Komuter juga. Jadi masalah 'pick-up' tadi masih ada. Sedangkan sudah ada khidmat 'shuttle' antara KL Sentral dengan Ipoh yang juga berhenti di Tanjong Malim. Tidak ada bezanya jika sesiapa dari Kuala Lumpur contohnya untuk menaiki tren 'shuttle' ini untuk ke Tanjong Malim. Sekurang-kurang penumpang tidak payah untuk tukar tren di Rawang. Apa kata KTM?
Berikut ialah gambar-gambar perjalanan saya dari Seremban ke Tanjong Malim.
Alahai KTM, betulkan bahasa tu sikit. Malulah kat orang asing! Kalau tak tahu cuba bertanya. Bukankan lebih dari satu 'STOP', jadi sepatutnya 'LIMITED STOPS'.
RAWANG
Apa lagi KTM, dah sampai ke Tanjung Malim pun paparan elektronik masih menunjukkan 'K.K.Baru'.
Tren ke Tanjong Malim ialah di Platform 2 atau 3 Stesen Rawang.
Tren ke Tanjong Malim ialah di Platform 2 atau 3 Stesen Rawang.
Inilah tren 'shuttle' antara KL Sentral dengan Ipoh. Oleh kerana ia mempunyai dua koc sahaja memadai dengan penjana elektrik yang kecil ini (untuk lampu dan hawa dingin koc).
Setelah menunggu hampir satu jam Hybrid Komuter dari Tanjong Malim pun sampai. Selepas ini kepalanya PULAU REDANG No. 25111 akan bertukar kedudukan untuk menarik koc-koc EMU balik ke Tanjong Malim.
Ini EMU 48 yang akan membawa saya ke Tanjong Malim. Ia sedang menunggu ketibaan PULAU REDANG untuk menariknya.
PULAU REDANG dah sampai.
2 comments:
Brother Maarof,
Sunggoh terpeinci penulisan anda mengenai Tg.Malim. Terasa nostalgic sekali apabila saya membacanya. Mengapa landasan baru dinaikan 1meter, saya berpendapat untuk mengurangkan risiko banjir. Pada tahun 2006 saya pernah melawat panggung REX. Sedang saya mengambil gambar, ada seorang Cina bertanya kepada saya jika saya mahu membeli bangunan tersebut. Mungkin kerana saya memerhati bangunan itu dengan teliti sekali, maklumlah cuba nak ingat peristiwa tiga dekat dahulu.
seronok membaca kenangan sekolah sebegini. syabas :)
Post a Comment