Thursday, April 18, 2019

Hari yang penuh drama.

Saya di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Bahagian Negeri Sembilan.

Lebih kurang enam tahun yang lalu di sinilah tempatnya di mana saya didedahkan dengan kerenah satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO. Tempatnya ialah Kelab Golf Antarabangsa Seremban di Paroi, Seremban dan NGO itu ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM Bahagian Negeri Seremban.

Saya sudah biasa dengan kelab golf ini kerana pernah menjadi ahlinya berpuluh tahun yang lalu. Saya tidak bermain golf, tetapi menjadi ahli kelab itu semata-mata untuk berenang bersama anak-anak di kolam renangnya. Kelab golf itu itu pula terletak cuma lebih kurang satu kilometer dari rumah saya di Taman Paroi Jaya. 

Saya cuma berhenti dari kelab itu apabila Kerajaan Negeri Sembilan mendirikan kolam renang di antara rumah saya dengan kelab ini. Kolam renang itu pula diserahkan kepada jabatan di mana saya cari makan iaitu Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Sebagai pegawai MPS, saya dan keluarga boleh menggunakan kolam renang itu secara percuma. Buat apa saya bayar yuran kelab golf?

Saya sudah menjadi ahli persatuan pesara itu dua tahun sebelum tahun 2013 itu, tetapi di tahun itulah saya pertama kali dipanggil untuk hadir di Meyuarat Agung, itu pun sebagai pemerhati. Saya perhatikan banyak masa terbuang kerana perbalahan semasa Mesyuarat Agung itu. Ada saja yang tak kena. Baru saya tahu ada dua pihak yang bertelagah dalam persatuan itu. Tahun itu juga merupakan tahun pemilihan Ahli Jawatankuasa.

Pada 1 Januari 2014 saya menerima tawaran menjadi Setiausaha Persatuan itu. Jawatan itu adalah atas lantikan Yang Di Pertua Persatuan di peringkat negeri.  Pada pertengah tahun itu buat pertama kali saya mengatur Mesyuarat Agung persatuan itu, juga di kelab golf yang sama. Masih ada perbalahan, tetapi sudah reda sedikit.

Pada pertengahan tahun 2016 pertama kali saya mengaturkan Mesyuarat Agung  yang ada pemilihan. Saya 'test market' dengan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa walau pun saya tahu jawatan saya sebagai Setiausaha yang dilantik adalah selamat. Saya menang, walau pun mendapat kedudukan cukup makan sahaja.

Sejak menjadi Setiausaha, antara keutamaan saya ialah untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah dalam persatuan itu. Saya dapati tindakan itu berjaya kerana kedua pihak menerima kehadiran saya, walau pun mereka telah berada dalam pesatuan lebih lama. Buktinya perbalahan di Mesyuarat Agung tidak ada lagi.   

Sekali lagi tahun ini ialah tahun pemilihan. Di bulan Februari pula isteri saya kena 'stroke' sehingga saya  ada terfikir hendak melepaskan terus jawatan Setiausaha ini. Sebagai permulaan saya tidak pergi ke lima dari tujuh Mesyuarat Agung Tahunan cawangan persatuan di peringkat daerah. Saya juga telah mengurangkan aktiviti 'reunion' dengan kawan-kawan sekolah. Banyak kerja persatuan saya buat di rumah sahaja.

Alhamdulillah isteri saya telah beransur pulih. Dari cuma baring di atas katil dan bergerak dengan bantuan kerusi roda, dia sudah boleh berjalan sekarang. Dari itu bila saya ditawarkan untuk bertanding sekali lagi, saya menerimanya.

Seperti biasa saya telah mengatur Mesyuarat Agung untuk tahun seperti tahun-tahun sebelumnya. Kelab golf telah ditempah dan saya telah menghantar notis-notis dan sebagainya seperti disyaratkan dalam Perlembagaan persatuan. Tetapi semalam saya seolah-olah merasa ada yang tidak kena dengan persiapan mesyuarat ini.

Pagi tadi bila perwakilan yang dipilih di Mesyuarat Agung cawangan daerah sedang menunggu kehadiran VIP yang akan merasmikan mesyuarat, kami dikejutkan dengan terputusnya bekalan letrik untuk dewan mesyuarat. Itu drama pertama.

Setelah pihak kelab golf mengambil masa yang panjang untuk memulihkan bekalan letrik, kami memutuskan untuk berpindah ke ruang hidang kelab itu. Ini setelah memikirkan kami juga akan mengambil masa yang panjang untuk kerja-kerja mengundi nanti.

Berpindahlah kami dari dewan berhawa dingin ke ruang berkipas sahaja kerana di situ ada bekalan letrik. Sudah tentu keadaan kurang selesa, tetapi demi mematuhi Perlembagaan persatuan kami teruskan juga. Seperti ditahun-tahun kebelakangan ini mesyuarat berjalan dengan aman tanpa apa-apa perbalahan walau pun suasana panas.

Akhirnya tibalah masa yang ditunggu, iaitu keputusan undi sulit. Ramai yang meramalkan saya akan mendapat undi antara teratas, tetapi saya tidak mengindahkannya. Malah saya tidak berkempen langsung. Ini terbukti seperti yang saya katakan, saya tidak hadir di lima Mesyuarat Agung peringkat cawangan daerah.

Alangkah terkejutnya saya bila saya mendapat undian terbanyak untuk jawatan Ahli Jawatankuasa. Saya bersyukur kerana usaha-usaha saya selama enam tahun berkhidmat dalam persatuan ini tidak sia-sia. Bagi saya kejayaan terbesar saya dalam tempoh itu ialah mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah dalam persatuan ini. Ini terbukti kerana pihak-pihak yang bertelagah itulah yang memberikan undi yang banyak itu.

Tetapi kejayaan saya itu ada juga dramanya. Ini kerana Yang Di Pertua yang membawa saya terlibat dalam persatuan ini kalah tipis dalam pertandingannya. Tetapi syukurlah Yang Di Pertua yang baru terus menawarkan jawatan Setiausaha kepada saya. 

Ini berbeza dengan setengah-setengah NGO di mana ketua yang baru akan mengenepikan anak-anak buah ketua yang lama.  

Sekian.

1 comment:

jainah said...

TAHNIAH. SEMOGA SAUDARA TERUS MEMBERIKAN PERKHIDMATAN YG CEMERLANG.