Showing posts with label Pilgrimage. Show all posts
Showing posts with label Pilgrimage. Show all posts

Friday, June 3, 2026

Agaknya baru sedar mereka tu Melayu!


Bila saya tengok orang PAS memakai busana Melayu kenangan saya pergi ke lebih dua puluh tahun yang lalu. Mungkin juga lebih tiga puluh tahun yang lalu. 

Hari esoknya pilihanraya umum negara, entah ke berapa saya sudah lupa. Tiba-tiba saya nampak satu risalah dalam peti surat saya.

Risalah itu menyebut satu hadith yang menyatakan orang perempuan tidak boleh jadi pemimpin. Sebutnya lagi maka berdosalah siapa yang mengundi calon perempuan di pilihanraya esok hari.

Budak yang belum layak mengundi pun tahu siapa yang memasukkan risalah itu ke peti-peti surat seluruh taman saya dan apa tujuannya. Ini kerana calon UMNO/BN yang bertanding untuk kerusi Dewan Negeri di kawasan saya itu seorang perempuan yang mempertahankan kerusinya. Lawannya pula calon PAS seorang lelaki. Sudah tentu orang PAS yang memasukkan risalah itu, melainkan jika ada orang UMNO/BN nak sabotaj calon mereka.

Memang di masa itu PAS tidak mencalonkan seorang pun calon perempuan baik di kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Tetapi mengapa sekarang mereka melanggar peraturan yang mereka sendiri buat? Contohnya calon PAS untuk kerusi Parlimen Kuala Kangsar di Pilihanraya kecil tidak lama lagi ialah seorang perempuan.Sudah lupakah pada tuduhan berdosa itu?

Sekarang baru saya nak pergi ke pakaian busana Melayu itu. Tidakkah selama ini PAS sinonim dengan pakaian jubah, sedangkan UMNO sinonim dengan baju Melayu? Kepada siapa yang tidak tahu, jubah ialah pakaian lelaki Arab tidak kira apa agama mereka. Saya ada tengok orang Arab beragama Kristian memakai jubah sambil mengusung salib dalam program National Geographic.

Itu sebab saya memarahi isteri saya bila dia diam-diam membeli jubah di Makkah semasa kami mengerjakan Haji dan meminta saya memakainya. Untuk pengetahuan, semasa mengerjakan Haji, selain memakai kain ihram saya hanya memakai baju Melayu di sana. Jubah saya tak main.

Berbalik kepada gambar di atas. Nampaknya PAS cuba hendak mengalahkan UMNO (yang selesa dengan baju Melayu) dengan memakai busana Melayu, lengkap dengan tanjak dan keris. Agaknya baru sekarang orang PAS sedar bahawa mereka itu Melayu sebenarnya.

Tuesday, March 29, 2026

Jika di Masjidil Haram sendiri ada orang bergaduh, apa bezanya di Kuala Lumpur, Malaysia?

Beberapa hari yang lalu saya bercerita kepada seorang kawan saya berbangsa China dan bukan beragama Islam tentang pengalaman saya mengerjakan Haji pada tahun 2007. Antaranya adalah seperti berikut:

KEJADIAN 1. 

Satu petang semasa saya pulang ke hotel selepas solat di Masjidil Haram seorang jemaah warga India memberi salam dan bertanyakan bolehkah saya berbahasa Inggeris. (Dia seolah-olah memilih jemaah yang dia yakin boleh berinteraksi dengannya). Saya jawab boleh. 

Kemudian dia mengadu kecurian semua wangnya dan meminta saya membantunya seberapa yang boleh. Saya terus menyuruhnya pergi ke balai polis (yang banyak di situ) untuk membuat laporan. Seterusnya polis boleh membawanya ke pihak berkuasa Haji negaranya. 

Dia tidak menerima cadangan saya dan berkata berbuat begitu akan mengambil masa. Saya pun meminta maaf (tak dapek se nolong eh do, kata orang Negeri Sembilan) dan terus pulang ke hotel.

Saya teringat semasa berkursus Haji di Malaysia ada penceramah mengatakan mereka yang mengaku kehilangan wang itu sebenarnya Malaikat yang menjelma sebagai manusia. Kononnya ada jemaah Malaysia yang menolong 'Malaikat' ini dan bila dia balik dari mengerjakan Haji dia menjadi kaya raya. 

Di hari keesokannya saya nampak 'Malaikat' yang sama cuba menjual cerita yang diceritakannya kepada saya itu kepada seorang jemaah lain di masa dan tempat yang sama. Saya terus berfikir sebenarnya 'Malaikat' itu adalah manusia biasa yang cuba menipu. 

Saya berfikir lagi jika betul dia kecurian, pencuri itu sudah melakukan satu dosa besar di tanah suci dan sebagai hukuman tangannya boleh dipotong di negara yang mengamalkan hukum hudud itu. 

Jika 'Malaikat' itu sebenarnya tidak kecurian, dia juga telah melakukan satu dosa berbohong di tanah suci.

KEJADIAN 2.

Satu tengah hari sedang saya mengambil wuduk di bilik wuduk di bawah Masjidil Haram, Makkah berlaku satu pergaduhan bertumbuk antara jemaah bukan Malaysia. Dari percakapan yang saya dengar dalam bahasa Inggeris saya dapat tahu mereka bertumbuk kerana seorang jemaah dituduh mencuri wang jemaah lain.  

Saya terus berfikir jika betul ada kecurian, pencuri itu juga telah membuat satu dosa besar di perkarangan Masjidil Haram sendiri. Yang menuduh juga berdosa kerana mencederakan orang lain di Masjidil Haram.

Kemudian saya balik ke negara kita, di sebuah masjid di Kuala Lumpur baru-baru ini. Satu pergaduhan tumbuk menumbuk berlaku di satu majlis perkahwinan yang tidak menjadi. Saya tidak ingin menceritakan secara perinci kerana perkara ini telah diviralkan di media massa.

Apa yang saya dengar di video yang diviralkan itu ialah seorang menjerit lebih kurang "ASSALAMULAIKUM, ini masjid. Ini bukan tempat bergaduh. Ini bukan tempat bertumbuk. Kalau nak bergaduh pergi keluar dari masjid".

Soalan saya, jika jemaah Haji sendiri mencuri, menipu, bergaduh dan bertumbuk di tanah suci dan Masjidil Haram, Makkah apa bezanya di sebuah masjid di negara kecil bernama Malaysia ini?

Friday, September 19, 2025

Mengapa ada 'double standards'

Saya masih ingat semasa mengerjakan Haji dulu apabila pertama kali saya melihat Kaabah. Walau pun saya ada melihat gambar dan video serta mendengar ceramah semasa Kursus Haji 'seeing is believing' kata orang putih. Apa yang merarik perhatian saya ialah di kawasan Tawaf dan Saie lelaki dan perempuan tidak dipisahkan. Jika tersentuh lelaki dan perempuan air sembahyang juga dikira tidak batal.

Kawasan Saie berupa laluan dan bukan tempat mendirikan sembahyang walaupun tidak salah sembahyang di laluan ini jika tidak menghalang sesiapa yang berjalan lalu. Tetapi kawasan tawaf juga adalah tempat sembahyang. Apabila sahaja azan dilaungkan semua jemaah yang bertawaf akan berhenti untuk mengerjakan solat pula. Disinilah akan timbul situasi di mana lelaki dan perempuan solat bersebelahan, lelaki diapit oleh perempuan dan juga perempuan solat di hadapan lelaki.

Memang benar di bangunan utama Masjidil Haram ada disediakan ruang-ruang berasingan untuk lelaki dan perempuan. Tetapi adalah mustahil untuk mereka yang bertawaf untuk pergi ke ruang-ruang ini oleh kerana fakta-fakta berikut:
  1. Ruang-ruang tersebut sudah dipenuhi oleh jemaah lain.
  2. Adalah mengambil masa untuk berpindah dari kawasan tawaf ke bangunan utama Masjid.

Seperti yang saya sebut tadi memang ada kawasan-kawasan khas di banguan utama Masjidil Haram untuk mengasingkan lelaki dan perempuan. Tetapi peraturan ini tidak dikuatkuasakan. Sekurang-kurang tidak semasa saya mengerjakan Haji baru-baru ini. Saya ada terbaca dalam satu majalah Haji di Makkah bahawa pihak Saudi ada bercadang untuk menguatkuasan pengasingan lelaki perempuan di bangunan utama Masjidil Haram. Tetapi ini telah dibantah oleh gulungan-gulungan perempuan yang menganggapnya sebagai satu diskriminasi kepada kaum wanita.

Mungkin ada pembaca yang bertanya mengapa saya menimbulkan perkara ini sekarang dan tidak di topik khas saya 'Mengerjakan Haji' dulu.

Baru-baru ini ada seorang kawan saya menceritakan dalam satu forum di mana saya menjadi salah seorang ahlinya seperti berikut:-

  • Dia telah pergi ke satu Stesen Minyak Petronas berhampiran KLIA untuk menunaikan solat.
  • Dia dapati cuma ada satu surau di Stesen Minyak ini dan dia pun terus mendirikan solat.
  • Tiba-tiba datang beberapa orang perempuan dan bersolat bersebelahan dengannya.

Dia menulis dalam forum itu seolah-olah kesal tentang sikap pihak Petronas yang menyediakan hanya satu surau untuk gunasama lelaki dan perempuan. Jelasnya lagi apa kata jika datang Pak Arab dan melihat lelaki dan perempuan bersolat bersebelahan. Pak Arab mungkin bertanya Mazhab apa yang dianuti oleh orang Malaysia ini.

Saya menjawab jika Pak Arab nampak dia tak akan marah, malah akan berkata 'Ini lah cara bersolat yang betul'. Saya terus ceritakan situasi di Masjidil Haram mengikut pengalaman saya. Ada juga beberapa ahli forum lain yang memberi komen terhadap jawapan saya itu. Mereka yang memberi komen agaknya juga telah menjejak kaki ke Masjidil Haram ini.

Apa yang saya nak bangkitkan disini ialah mengapa kita ada 'double standards' dalam perkara ini. Masjidil Haram merupakan Masjid bagi segala Masjid. Dalam perkataan lain ia adalah Masjid Nombor Satu di dunia. Sepatutnya peraturan-peraturannya (melainkan arah kiblat) diikuti di seluruh dunia, terutama mengenai pengasingan lelaki dan perempuan. Nasib baiklah orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram Makkah. Dari itu mereka tidak dapat melihat keadaan dalam Masjidil Haram berbanding dengan masjid-masjid lain. Kalau mereka nampak apakah pandangan mereka terhadap kita?

Mungkin ada diantara kita akan berkata orang ke Masjidil Haram itu untuk beribadat. Oleh itu mungkin tidak timbul niat lain yang serong. Jadi tak apalah bercampur lelaki dan perempuan. Tapi bukan kah kita juga ke Masjid dimana-mana pun untuk tujuan yang sama?

Monday, May 12, 2026

Mengerjakan Haji Bahagian 34 (Selamat sampai ke Tanah Air)

Isnin 31 Disember 2007

Pada jam 0040 pagi waktu Malaysia pesawat kami mendarat dengan selamat mengikut jadual. Jika semasa bertolak dahulu kami terlewat 70 minit kali ini tidak. Saya pun terus menggunakan telefon bimbit saya yang tidak digunakan selama 45 hari untuk menalipon anak-anak saya Halimi, Ina dan Miza. Ina dan Miza sedang menunggu, tetapi Halimi masih dalam perjalanan.




Salmah dan kawan sedang menunggu bagasi.

Setelah memastikan bagasi kami selamat berada atas troli saya pun pergi ke kaunter air Zam Zam untuk mengambil 10 liter air Zam Zam yang diberikan kepada kami. Tidak dapat diceritakan bagaimana gembiranya kami berdua apabila berjumpa dengan anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.

Seperti juga semasa menghantar kami dahulu dimana cucu-cucu kami tidak tahu kemana datuk dan nenek mereka nak pergi, kali ini juga mereka tidak tahu dari mana kami kembali. Again, one day they will know.

Kami pun terus ke Masjid KLIA untuk menunaikan solat sunat selamat balik.

Apa yang sangat-sangat mengembirakan saya ialah kami telah mengerjakan Ibadat Haji kami tanpa apa-apa halangan yang tidak boleh di atasi. Walau pun kami sering tidak sihat ini tidak mengganggu langsung amalan-amalan kami. Cuma Salmah kesal sedikit kerana tidak dapat mengerjakan Umrah sunat, tetapi bagi saya perkara itu tidaklah mengganggu kerana ia bukan wajib.

Memang benar bak kata orang baik kita mengerjakan Haji ini semasa kita masih muda, kuat dan sihat. Tetapi bagi saya dengan keadaan kami yang sudah berumur dan saya secara resmi sudah bersara ia lebih menyeronokkan oleh kerana kami berjaya membuat apa yang senang dibuat oleh orang-orang muda.

Saya dapat bandingkan perkara ini dengan minat saya kepada komputer. Komputer ialah permainan anak-anak muda sekarang. Tetapi bagi saya yang sudah berumur ini kebolehan saya menggunakan komputer bila ramai orang-orang yang sebaya dengan saya tidak tahu menggunakannya merupakan satu kejayaan besar.

Kami rakyat Malaysia patut bersyukur dengan adanya badan yang menguruskan kerja-kerja Haji iaitu Tabung Haji. Tidak kira sama ada kita pergi mengerjakan Haji melalui Pakej atau Muassasah pujian patut diberi kepada Tabung Haji.



Cucu-cucu saya Danial dan Haziq memakai pakain yang dibeli oleh Salmah di Tanah Suci.

Blog Mengerjakan Haji ini saya tujukan khas kepada anak-anak kami Halimi, Nur Idana (Ina), Nur Amiza (Miza), Anis Farhana (Anis), menantu-menantu kami Nazeem dan Maizura, adik beradik kami, saudara mara dan sesiapa sahaja yang membacanya,

SEKIAN.

Mengerjakan Haji Bahagian 33 (Hari ke 45 - Kepulangan ke Tanah Air)

Ahad 30 Disember 2007

Gambar-gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya. Saya fikir tidak ada di antara jemaah yang tergambar di sini menunjukkan muka sedih.

Saya bangun pada jam 0300. Setelah mandi dan sebagainya saya dan Salmah minum pagi di kantin kompleks Madinatul Hujjaj. Kami memesan roti canai dengan kari kambing. Lepas itu kami menunggu di bilik untuk panggilan menaikki bas.

Panggilan diumumkan pada jam 0500. Saya dan Salmah pun terus menakki bas yang pertama. Kami terus dibawa ke Terminal Haji Lapangan Terbang King Abdul Aziz (KAAIA) di Jeddah. Di tengah jalan pemandu bas memberhentikan bas dan meminta kami membayar satu riyal seorang. Tak apalah!

Sampai sahaja di Terminal Haji KAAIA kami terus bersolat Subuh berjemaah. Lepas itu saya terasa hendak pitam. Agaknya kerana memakan kari kambing tadi. Mungkin juga kerana tabiat saya susah untuk tidur malam apabila hendak berjalan jauh. Nasib baiklah disitu pun ada Klinik Tabung Haji. Di sana saya diminta baring sebentar dan saya merasa lega sedikit selepas itu.

Selepas berehat beberapa jam kami pun diminta untuk memasukki bilik pemeriksaan badan dan seterusnya bilik pelepasan. Jemaah perempuan diminta masuk dahulu. Saya dapati kerja-kerja pemeriksaan badan berjalan dengan perlahan oleh kerana di bilik ini hanya terdapat satu 'pintu gerbang' dengan seorang pemeriksa yang memegang pengesan besi atau 'metal detector'.

Selepas itu baharulah tiap-tiap jemaah diserahkan passport Hajinya. Ini bermakna passport Haji kami yang diambil di Lapangan Terbang Madinah dahulu baharu dipulangkan pada hari ini. Ini bermakna juga passport Haji tidak berada dengan jemaah seperti yang saya jangkakan sebelumnya. 'Boarding pass' juga diberi bersama passport Haji.


Menunggu di kawasan awam KAAIA



Situasi yang sama


Duduk di atas permaidani.


Salmah dengan kawannya Yah yang sama tinggal sebilik di Madinah. Sebelah Yah ialah suaminya Ahmad Shah. Mereka tinggal di Bukit Baru, Melaka.


Sekarang dah dapat kerusi.



Salmah dengan kawan-kawan Kelantan sebiliknya di Makkah.



video
Video kami menunggu untuk pemeriksaan badan.

Salmah di bilik pelepasan.



Saya menyertai Salmah.




Dari kiri Pak Ali, kawannya dari Alor Setar, Pak Ngah dan sahabat mereka.


Yang berpeluk tubuh itu ialah teman sebilik saya di Makkah, Hj. Masjuki dari Muar, Johor.

Apabila sahaja pintu keluar dari bilik menunggu dibuka saya dan Salmah antara yang mula-mula melompat kedalam bas. Kami berbuat begini bukanlah kerana sifat kebudak-budakan, tetapi kerana tidak mahu menimbulkan masalah. Kami mahu terus pergi ke tempat duduk yang dikhaskan dalam pesawat.

Gambar ini diambil dari dalam bas yang membawa kami ke pesawat. Pesawat Airbus A340 bernama Diyabakir. Sudah tentu dari Turki.

video
Video dari dalam aero bas yang membawa kami ke pesawat.

Pesawat dengan logo PAS, saya tidak pasti dari mana.


video
Lagi video

Memang ramai jemaah yang tidak reti bahasa. Mereka terus duduk di mana-mana kerusi yang kosong. Ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada jemaah yang peruntukkan kerusi berkenaan. Dengan duduk di kerusi yang dikhaskan untuk kami awal-awal lagi kami tidak menimbulkan masalah kepada sesiapa. Saya mendapat tempat duduk paling tepi. Tetapi malangnya di dinding sebelah saya itu tidak ada tingkap! Kalau tak percaya cuba tengok video di bawah. Tak apa juga lah.


Ambil gambar sendiri dalam pesawat.



Pesawat ialah Boeing 747-168 dengan nombor pendaftaran HZ-AII. Ia mula bergerak pada jam 1025 dan mula terbang pada jam 1035 waktu Saudi bersamaan 1535 waktu Malaysia. Semua ini mengikut jadual. Saya pun terus menyelaraskan jam saya kepada waktu Malaysia.


video
Video dalam pesawat. Saya duduk tepi, tetapi tak ada tingkap.

Bersambung ke Bahagian 34 (Selamat Pulang di Tanah Air dan Penutup)....

Mengerjakan Haji Bahagian 32 (Hari ke 44 - Meninggalkan Makkah)

Sabtu 29 Disember 2007

Ini ialah hari terakhir saya berada di Tanah Suci Makkah yang saya harap buat kali ini. Saya tetap berdoa akan datang semula ke Tanah Suci ini.

Saya bangun pagi pada jam 0200 setelah berjanji dengan Salmah. Kami terus saja ke Masjidil Haram untuk menunaikan Tawaf Wada. Sebenarnya Tawaf Wada ini amalan sunat sahaja untuk jemaah Haji mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah. Tetapi ramai yang menganggapnya sebagai wajib.

Walau pun pada pukul dua pagi ramai jemaah berada di keliling Kaabah. Tetapi tidaklah seramai semasa kami mengerjakan Tawaf Haji beberapa hari sebelumnya. Rasa sedih juga apabila Tawaf itu selesai. Semasa meningglkan Kabbah dan Masjidil Haram saya beberapa kali berpaling ke belakang semula sambil berfikir bila lagi saya akan datang ke sini.


video

Video Tawaf Wada


video

Ini video pandangan di luar Masjidil Haram selepas kami selesai mengerjakan Tawaf Wada.

Selepas Subuh di surau kami menaikki bas yang dikhaskan untuk membawa kami ke Jeddah. Kali ini saya dan Salmah tidak boleh melompat ke mana-mana bas yang datang dulu. Tiap-tiap jemaah diwajibkan menaikki bas yang dikhaskan untuknya, sama seperi bas yang membawa kami dari Madinah dulu. Sebabnya ialah passport Haji kami dipegang oleh pemandu bas dan beliaulah dipertangggung jawabkan untuk menyerahkan passport ke mana-mana pihak berkuasa. Bagasi kami juga yang telah dilabel dinaikkan oleh petugas-petugas Muassasah ke atas bas.

Di Jeddah kami ditempatkan di satu kompleks yang bernama Madinatul Hujjaj. Kompleks ini seolah-olah Kompleks Haji di Kelana Jaya. Saya tidak tahu sama ada jemaah dari negara-negara lain juga ditempatkan di kompleks seperti ini. Ini merupakan tempat persinggahan kami sebelum dibawa ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah (KAAIA). Di sini kami diserahkan keratan passport dan dengan menunjukkan keratan itu bagasi kami ditimbang dan disimpan oleh syarikat penerbangan (dalam kes saya Saudi Arabian Airlines).


Madinatul Hujjaj, Jeddah

Bas kami sesat sebentar di bandar Jeddah sebelum sampai ke kompleks ini. Bagi saya ini tak apa. Sekurang-kurangnya saya dapat melihat bandar Jeddah. Tidak seperti Madinah dan Makkah, orang bukan Islam boleh melalui dan tinggal di Jeddah ini. Saya fikir rakyat asing bukan Islam pun boleh bekerja di sini.

Setiba sahaja di sini saya terus membaca papan notis. Ada tiga jadual yang mesti diketahui oleh setiap jemaah iaitu :
  1. Waktu penyerahan keratan passport Haji,
  2. Waktu menimbang bagasi dan
  3. Waktu bertolak ke Lapangan Terbang.
Saya pun memberitahu Salmah mengenai jadual ini supaya beliau bersedia. Petugas-petugas Tabung Haji juga ramai disini dan saya berjumpa dengan Ajip untuk kali ketiga. Seperti di Madinah, Makkah, Arafah dan Mina kami ditempatkan di bilik-bilik yang sudah ditetapkan. Maknanya kami tidak boleh tidur di mana-mana bilik yang kami suka. Jemaah haji dilepaskan mengikut kumpulan atau KT sama seperti di Kelana Jaya. Oleh itu KT saya iaitu KT 17 ialah yang ke 17 dilepaskan.

Saya dapati petugas-petugas Tabung Haji menepati jadual yang ditulis dan mengumumkan dengan pembesar suara yang boleh didengar di setiap sudut kompleks setiap kali kami diperlukan untuk mendengarnya. Cuma saya tidak faham mengapa petugas itu menyebut "bangunan D untuk Denmark". Mengapa tak sebut "bangunan D untuk Durian atau Dinding".

Saya juga hairan mengapa ada jemaah yang tidak mengambil berat mengenai jadual ini. Beberapa kali saya mendengar laungan seperti berikut "Diminta Haji (atau Hajjah).....bin (atau binti)....dari KT..... untuk turun ke tingkat bawah untuk urusan menimbang beg" dan sebagainya. Agaknya mereka ini sedang mengerjakan solat atau berada di bilik air. Mungkin.

Saya dan Salmah adalah antara yang pertama dari KT kami untuk mendapatkan keratan passport dan menimbang bagasi. Lega rasa hati kami apabila bagasi kami ditimbang dan kami tidak kena bayar apa-apa bayaran lebih.

Sebenarnya saya telah menghantar bagasi lebih termasuk kain baju yang dibeli di Madinah dan Makkah melalui Pos Malaysia dan Nationwide Express dan di alamatkan kepada anak saya Ina. Cara ini lebih murah dari membayar caj bagasi lebih kepada syarikat penerbangan.

Setelah bagasi ditimbang syarikat penerbangan menyimpan bagasi kami sebelum dimasukkan ke dalam pesawat. Sekali lagi kami merasa lega. Lepas ini kami hanya akan bertemu dengan bagasi kami di Lapangan Terbang KLIA di Malaysia.

Madinatul Hujjaj ini juga dilengkapkan dengan satu Klinik dengan beberapa ambulan. Di masa inilah saya ternampak seorang jemaah lelaki dari kumpulan KT 16 dan berasal dari Temerloh, Pahang dipindahkan dari Klinik ini ke Hospital Jeddah kerana diserang sakit jantung. Beliau datang dengan isterinya.

Semasa beliau dipindahkan ke Hospital bagasinya telah dibawa ke Lapangan Terbang. Isterinya terpaksa menangguhkan perjalanan pulang sedangkan bagasi beliau juga sedang diterbangkan. Walau bagaimana pun Tabung Haji menyediakan pakaian sementara untuknya. Saya kemudian diberitahu oleh Ajip bahawa jemaah lelaki ini kemudiannya meninggal dunia di Hospital Jeddah.

Kami para jemaah menunaikan solat di surau kompleks ini. Kemudahan bilik air adalah memuaskan.


Bersambung ke Bahagian 33 (Hari ke 45 - Bertolak ke Tanah Air)..

Friday, May 9, 2026

Mengerjakan Haji Bahagian 31 (Hari ke 39, 40, 41, 42 dan 43)

Isnin 24 Disember 2007

Di hari ini dan empat hari yang berikutnya saya cuma berehat sahaja. Saya tidak ada mood untuk membuat apa-apa. Amalan Haji sudah selesai. Fikiran saya dan sudah semestinya fikiran ratusan ribu jika tidak jutaan jemaah Haji yang lain ialah hendak pulang ke tanah air masing-masing.

Bila bangun saya rasa nak demam. Saya mengerjakan semua solat di bilik sahaja. Selepas Asar saya ke Klinik berjumpa doktor. Jemaah Haji dari KT-KT lain di hotel ini mula meninggalkan Makkah.


Selasa 25 Disember 2007

Bila bangun saya rasa sihat sedikit. Saya bersolat Subuh di bilik sahaja. Selainnya saya bersolat di Masjid Taliban.


Rabu 26 Disember 2007

Hari ini saya banyak tidur shaja. Bandar Makkah nampaknya sudah mula lengang. Hotel juga bertambah lengang kerana KT-KT lain meninggalkan Makkah untuk balik ke tanah air.

Saya suka membeli roti tempayan di sebuah kedai berhampiran hotel untuk minum pagi bersama Salmah. Untuk tujuan tersebut biasanya saya terpaksa beratur seperti pembeli-pembeli lain. Tetapi mulai hari ini saya tidak perlu beratur lama.

Pada jam 0900 Ustaz Ali memberi ceramah bertajuk Kemabruran Haji dan Tawaf Wada.


Khamis 27 Disember 2007

Seperti sebelumnya saya banyak berehat pada hari ini. Di hari ini juga Mantan Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto terbunuh. Berita mengenainya disiarkan secara terperinci di saluran TV Al-Jazeera.

Salmah menggunakan hari-hari terakhir kami di bumi Saudi ini untuk membeli cenderamata untuk anak, menantu, cucu dan saudara mara kami. Salmah selalu berkata 'Dia orang beri kita duit, tak kan kita balik dengan tangan kosong saja'. 

Memang benar Salmah lebih banyak menerima 'duit belanja' daripada saudara mara dan kawan-kawan berbanding dengan saya. Duit Ringgit Malaysia itu dimasukkan ke akaun Tabung Haji di Malaysia dan kemudian dikeluarkan dalam bentuk Riyal Saudi di pejabat Tabung Haji di Saudi.

Salmah 'menyopping' bersama-sama kawan-kawan sebiliknya tanpa gangguan dari saya.


Jumaat 27 Disember 2007

Saya tidur nyenyak malam tadi. Tidak banyak yang berlaku hari ini. Saya bersolat Jumaat di Masjid Taliban sahaja.

Bersambung ke Bahagian 32 (Hari ke 44 - Bertolak ke Jeddah)

Thursday, May 8, 2026

Mengerjakan Haji Bahagian 30 (Hari ke 38 - Tawaf dan Saie Haji)

Ahad 23 Disember 2007

Saya merasa kurang sihat bila bangun pagi ini. Saya bersolat Subuh di Masjid Taliban sahaja.

Pada jam 0830 saya dan Salmah bertolak ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan amalan akhir Haji kami iaitu Tawaf dan Saie Haji. Saya bercadang hendak pergi berdua sahaja tetapi mengikut Salmah kawan sebiliknya Leha nak ikut sama.

Sebenarnya di antara kawan-kawan sebiliknya dari Kelantan, Leha paling sesuai dengan Salmah selain Zainab dari Kedah itu. Leha mengerjakan Haji berseorangan dan suaminya tidak pergi sama. Mengikutnya lagi dia datang ke sini dengan wang simpanan sendiri.

Walau pun waktu ini bukan waktu solat, Masjidil Haram penuh dengan jemaah yang mengerjakan Tawaf dan Saie. Salmah berpegang kepada saya dan Leha berpegang kepada Salmah. Inilah kali kedua saya mengerjakan Tawaf selepas mengerjakan Umrah semasa mula-mula datang ke Makkah dahulu.

Dari pengalaman saya berikut adalah cara yang paling baik untuk mengerjakan Tawaf:

  1. Di enam pusingan yang pertama cuba berada paling dekat dengan Kaabah. Dengan cara ini kita dapat menyelamatkan tenaga kerana tidak berjalan jauh.

  2. Di pusingan yang akhir atau ketujuh cuba keluar perlahan-lahan. Hasilnya bila selesai sahaja tujuh pusingan kita tidak payah berpusing 90 darjah ke kanan dan bertentang dengan arus jemaah lain.


Gambar di atas di ambil selepas kami mengerjakan Tawaf dan selepas ini saya megerjakan Saie Haji pula.


Selesai sahaja Tawaf kami terus sahaja ke bukit Safa untuk memulakan Saie. Rupa-rupanya sudah dibina satu lagi laluan Saie di sebelah laluan Saie asal. Ini menjadikan ada tiga laluan Saie semuanya termasuk yang di Tingkat Atas.

Saya dapati belum ramai jemaah yang menggunakan laluan Saie yang baru ini. Oleh itu saya telah menggunakan taktik berikut:
  1. Kami bermula di bukit Safa sebenar dan terus ke bukit Marwah dan berpusing balik ke bukit Safa. Dalam kesesakan itu Leha telah ketinggalan dari kami.
  2. Untuk pusingan ke-2 hingga ke-6 kami berpindah ke laluan Saie yang baru.
  3. Di pusingan ke-7 atau akhir kami berpindah semula ke laluan lama bermula di bukit Safa sebenar dan berakhir di bukit Marwah sebenar.
  4. Di bukit Mawah sebenar kami membaca doa dan sempurnalah Rukun Haji kami.
Saya teringat senikata lagu 'Rukun Islam' nyanyian P. Ramlee dan Saloma bila P. Ramlee menyebut "kelima Haji ke Baitullah, Rukun Islam sudah terjumlah". Jadi dengan selesainya amalan Saie Haji ini sempurnalah amalan Haji saya dan terjumlahlah Rukun Islam saya.

Saya dan Salmah 'merayakan' kejayaan kami menyempurnakan Fardu Haji ini dengan pergi ke Restoran KFC di hadapan Masjidil Haram memakan ayam goreng Kentucky!



Video di atas juga saya rakamkan setelah kami selesai mengerjakan Tawaf Haji. Jemaah perempuan di hujung video itu ialah Leha rakan sebilik Salmah dari Kelantan.

Saya bersolat Zuhur di bilik hotel sahaja. Untuk solat Asar dan Maghrib saya ke Masjid Taliban. Kaki saya terasa sakit akibat Tawaf dan Saie Haji pagi tadi. Saya bersolat Isya' di bilik sahaja kerana merasa kurang sihat.




Ini video kami mengerjakan Saie




Lagi video kami mengerjakan Saie.



Ini ialah video menunjukkan laluan Saie baru. Jelas laluan ini lega sedikit.

Bersambung ke Bahagian 31 - rindu nak pulang.......

Mengerjakan Haji - Bahagian 29 (Hari ke 37 - Balik ke Makkah)

Sabtu 22 Disember 2007 bersamaan 13 Zulhijjah 1428

Apabila bangun tidur saya terasa tiupan angin sejuk. Ini bermakna angin sejuk dari kawasan bersalji di utara sudah sampai ke sini. Di khemah kami juga seorang jemaah perempuan berumur 56 tahun dari Kedah meninggal dunia. Ini lah setahu saya kematian kedua melibatkan jemaah Maktab kami.

Kami diarahkan supaya jangan kemana-mana kerana hari ini kami akan balik ke Makkah.


What a load of rubbish!

Agaknya pihak Arab Saudi menunggu sehingga amalan melontar selesai dan semua jemaah beredar barulah semua sampah sarap dipungut. Satu perkara yang menarik ialah saya tidak nampak seekor lalat pun di Mina ini walau pun sampah menggunung.

Teori saya ada dua:


  1. Pertama tempat ini memang tidak mempunyai lalat kerana digunakan hanya sekali dalam setahun.
  2. Kedua lalat-lalat yang datang dari kawasan kediaman seperti Makkah akan pergi ke sayang paling dekat, oleh itu mereka belum sempat untuk datang ke khemah kami. Mana-mana telur yang dihasilkan juga belum sempat menetas untuk lalat-lalat generasi seterusnya menyerang khemah kami.
Saya arahkan Salmah untuk bersiap sedia. Apabila ada bas kosong kami pun melompat ke dalamnya. Bas kami bertolak pada jam 1130. Kali ini kami tidak perlu bersesak-sesak oleh kerana jemaah yang menunggu boleh berehat dalam khemah. Oleh kerana bas kami antara yang mula bergerak, perjalanan ke Makkah berjalan dengan lancar.

Dalam perjalanan balik saya lihat jemaah dari negara-negara lain juga sedang bersiap untuk bergerak. Khemah-khemah persendirian yang didirikan di bawah jambatan dan di atas bukit juga sudah atau sedang dibuka.

Jika satu dua hari sebelum Wukuf dulu jemaah dan kenderaan boleh dikatakan semua menuju keluar dari Makkah, sekarang keadaanya terbalik. Tetapi seperti biasa bunyi hon kenderaan tidak berhenti sehingga malam.

Kami berasa lega apabila sahaja sampai ke bilik. Rupa-rupanya Pak Ngah dan Pak Ali tidak tinggal di Mina tetapi berulang alik tiap-tiap hari ke Makkah dengan bas yang disewa khas. Mereka mengikut ketua mereka Cik Gu Ahmad Fuad. Bagi saya perkhemahan di Arafah dan Mina merupakan satu 'adventure', oleh itu siapa yang tidak merasanya agak rugi.

Ini video menunjukkan kami sedang berehat di khemah kami di Mina.


Satu lagi video kami berehat dalam khemah di Mina

Semasa Maghrib saya cuba nak bersolat di Masjidil Haram tetapi mendapati kawasan luar Masjid telah penuh sesak. Saya pun bergegas pergi ke Masjid Taliban dan bersolat di situ sahaja.

Semasa dilobi saya ternampak tidak kurang dari empat orang dari Maktab lain berada di hotel kami kerana sesat akibat tersalah bas. Memang sudah menjadi kebiasaan sebelum Wukuf di mana jemaah dari Maktab lain sesat di hotel kami. Ini disebabkan mereka sudah sesat di Masjidil Haram lagi dan mengikut jemaah Haji dari hotel kami pulang. Petugas Tabung Haji di hotel kami akan membuat langkah-langkah tertentu untuk menghantar pulang jemaah yang sesat ini.

Tetapi sekarang masalahnya rumit sedikit. Di Mina khemah-khemah kami diatur bersiri bersebelahan, contohnya khemah kami No. 81 terletak di antara khemah 80 dan 82. Tetapi di Makkah keadaannya berlainan. Jarak diantara maktab-maktab mungkin beberapa kilometer jauhnya.

Jemaah-jemaah yang sesat ini mungkin menaikki bas yang berada di hadapan khemah mereka sedangkan bas itu untuk khemah sebelah. Masalah terkini ialah seluruh jalan raya di Makkah penuh sesak dengan kenderaan membawa jemaah Haji seluruh dunia balik dari Mina. Ini menjadi masalah kepada Tabung Haji untuk mendapatkan kenderaan untuk menghantar balik jemaah-jemaah yang sesat ini. Mereka terpaksa menunggu sehingga malam sebelum dapat dihantar pulang.

Bersambung ke Bahagian 30 - (Hari ke 38 - Tawaf dan Saie Haji)..........

Wednesday, May 7, 2026

Mengerjakan Haji Bahagian 28 (Hari ke 35 dan 36 - Melontar di Mina)

Khamis 20 Disember 2007

Hari ini rakyat Malaysia meraikan Hari Raya Haji. Sedih rasanya tidak dapat beraya dengan anak-anak.

Sesudah Subuh saya dan Salmah terus berjalan kaki ke Jamrah untuk melontar. Jika semalam kami hanya melontar di Jamratul Aqabah, kali ini kami melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Ula, Wusta dan Aqabah.

Jika di tahun-tahun sebelum ini amalan melontar merupakan amalan yang paling bahaya dimana beratus-ratus jemaah Haji meninggal dunia akibat sesak atau dipijak, melontar kali ini adalah selamat. Ini akibat langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi.

Diantaranya seperti berikut :
  1. Membuat jadual waktu melontar untuk negara-negara. Negara-negara yang jemaahnya berbadan besar diasingkan dari yang berbadan kecil. Oleh itu jemaah Malaysia dikelompokkan dengan jemaah Asia Tenggara.
  2. Memanjangkan struktur tiap-tiap Jamrah.
  3. Tidak membenarkan jemaah membawa bagasi, mendukung anak kecil atau menolak kerusi roda. Ini juga bermakna mereka yang berkerusi roda seperti OKU tidak dibenarkan langsung melontar. Alternatifnya mereka mengupah orang lain untuk melontar bagi pihak mereka.
  4. Mengatur perjalanan jemaah seperti kenderaan melalui satu 'round-about'.
  5. Jika di tempat-tempat lain seperti Masjidil Haram dan Arafah keselamatan dijaga oleh pihak Polis, di Jamrah ini tugas itu diberikan kepada pihak tentera.
Anggota tentera yang bertugas akan mengambil beg-beg dari jemaah yang membawanya dan meletakkannya di satu tempat khas di permulaan 'round-about'. Jemaah boleh mengambilnya kembali selepas selesai melontar apabila melalui pangkal 'round-about' ini.

Satu perkara lagi ialah sesiapa yang melontar untuk orang lain tidak boleh melawan arus jemaah untuk kembali ke Jamrah pertama (Ula) setelah selesai melontar untuk dirinya di Jamrah ketiga (Aqabah). Beliau hendaklah terus berjalan menngikut arus jemaah dan menghabiskan satu punsingan seperti kenderaan mengabiskan pusingan di 'round-about'.

Kaki kiri saya terasa sakit selepas selesai pergi melontar pada hari ini. Saya juga kembali batuk dan rasa nak demam. Di khemah kami bertakbir raya setiap kali selesai bersolat jemaah.


Inilah kedudukan Jamrah dibandingkan dengan khemah saya.

Jemaah di belakang Salmah itu semuanya hendak pergi melontar. Kren di belakang itu menggambarkan kerja-kerja menaiktaraf Jamrah bertingkat-tingkat sedang diteruskan.



Jamrah berbentuk kapal di sebelah kiri.
Lihatlah bagaimana senangnya melontar. Sebenarnya kita tak payah membawa batu dari khemah. Di sekeliling Jamrah bersepah batu-batu. Kalau di lihat gambar-gambar di tahun-tahun sudah Jamrah merupakan satu tiang kecil dan para jemaah bersesak-sesak melontar.


Saya sempat mengambil gambar menunjukkan kemana batu-batu lontaran itu jatuh.

Ini Jamrah (warna hijau) di tingkat bawah. Jemaah dari Makkah diarahkan melontar disini. Kami yang tinggal di khemah-khemah di Mina diarahkan untuk melontar di tingkat atas.


Lihatlah bagaimana gembiranya kami setelah selesai menunaikan satu amalan Haji tanpa pertolongan dari orang lain.



Tentera Arab Saudi bersiap sedia untuk menjalankan tugas mengawal Jamrah.


Siapa kata kamera jemaah akan dirampas? Askar-askar ini sanggup 'posing' untuk saya.



Pandangan di luar terowong.

Yang mana satu unta? Gambar diambil di luar khemah di Mina.



Saya dan sepupu saya Ajip.



Jumaat 21 Disember 2007

Walau pun hari ini hari Jumaat, pihak berkuasa Arab Saudi membatalkan solat Jumaat di Masjid berhampiran Jamrah. Ini satu langkah keselamatan untuk mengelakkan kesesakan apabila semua jemaah Haji satu dunia ingin bersolat Jumaat. Oleh itu kami mengerjakan solat Zuhur sahaja dalam khemah.

Hari ini juga saya dan Salmah melontar lepas solat Subuh. Peha kiri saya terasa sedikit lali apabila balik ke khemah.


In video Salmah sedang melontar.

Ini pula video saya melontar diambil oleh Salmah.

Setelah melihat kembali video baharulah saya tahu kami mempunyai cara berbeza untuk melontar. Salmah meletakkan kesemua batu dalam tangan kanan dan melontar dengan tangan yang sama. Saya pula meletakkan batu di tangan kiri, kemudidn mengambil satu persatu untuk dilontar dengan tangan kanan. Alangkah baiknya jika saya dapat membawa kamera video saya ke sini?.

Bersambung ke Bahagian 29....

Mengerjakan Haji Bahagian 27 (Hari ke 34, Mabit di Muzdalifah)

Rabu 19 Disember 2007 bersamaan 10 Zulhijjah 1428

Di antara hari-hari saya berada di Arab Saudi ini untuk mengerjakan Haji, hari ini lah yang paling mencabar dan tidak boleh saya lupakan. Walau pun sebelum ini saya dan Salmah menempuh berbagai dugaan seperti berhenti di padang pasir dalam bas selama satu jam, kali ini kami terpaksa menggunakan kebijaksanaan untuk bergerak ke lokasi seterusnya.

Bas kami tiba di Muzdalifah selepas tengah malam. Saya lupa masa sebenar kerana saya tidak ada masa untuk mencapai buku nota dan pen yang berada dalam beg kecil. Perjalanan dari Arafah tersekat-sekat dan seperti biasa pemandu Arab membunyikan hon tidak kurang 5 kali dalam satu kilometer. Kami di turunkan di perhentian bas bernombor 81 sama seperti nombor khemah kami di Arafah sebelumnya dan Mina nanti.



Berehat setelah mengutip batu di Muzdlifah



Mengikut jadual yang telah diatur kami sepatutnya berehat (mabit) sambil mengumpul tujuh ketul batu kecil untuk dilontar di Jamratul Qubra di Mina nanti. Selepas itu kami akan beratur mengikut giliran KT untuk menaikki bas yang menunggu di seberang sana. Jarak antara tempat turun dari bas dan tempat menaiki bas ialah lebih kurang tiga ratus meter.

Di antara kedua-dua perhentian inilah puluhan ribu jemaah Haji Malaysia menunggu. Oleh kerana KT kami dari khemah 81 merupakan kedua akhir diturunkan ke Muzdalifah, mengikut peraturan kami jugalah kumpulan kedua akhir yang akan menaikki bas ke Mina.

Tetapi bila kami turun sahaja ke bumi Muzdalifah kami berpecah kerana tidak ada pihak yang mengawal untuk berada dalam KT sendiri atau beratur. Kami membawa diri masing-masing seperti dalam Bahasa Inggeris "everyone on his own".

Saya membuat kira-kira congak dalam kepala dengan membandingkan kekerapan bas yang datang dengan lautan manusia di hadapan kami berdua. Jika mengikut peraturan mungkin petang nantilah kami akan sampai ke Mina ia itu dalam masa 12 hingga 18 jam dari sekarang.

Saya pun menarik Salmah dan mencelah diantara badan-badan jemaah untuk pergi ke barisan hadapan yang mana boleh. Tidak menjadi masalah jika saya seorang diri dan tidak membawa apa-apa barang. Tetapi keadaan saya ialah memakai ihram dan membawa satu beg walau pun kecil tetapi penuh dan berat. Di samping itu saya kena bersama-sama dengan isteri yang juga membawa beg.

Tiap kali bas datang kumpulan akan bergerak lebih kurang 2 meter. Saya perhatikan disekeliling saya ramai jemaah yang duduk, baring dan tidur. Ada juga jemaah yang pengsan kerana bersesak-sesak dalam barisan. Dan yang paling tidak diingini ialah ada jemaah yang menjerit-jerit sambil memaki hamun pihak Tabung Haji. Mereka seperti tidak sedar mereka sedang memakai ihram. Seperti saya katakan sebelum ini pergerakan kami dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebaliknya diuruskan oleh pihak Muasassah dan Tabung Haji tidak terlibat.

Saya dan Salmah pun sama-sama bergerak perlahan-lahan, menolak jemaah di hadapan sambil ditolak oleh jemaah dari belakang. Sambil itu pihak Muasassah memberitahu melalui 'mega-phone' supaya kami duduk beratur. 'Insya Allah kami semua akan sampai ke Mina' katanya. Saya fikir orang yang bodoh sahaja yang akan mematuhi arahan ini.

Tiba-tiba bila hampir Subuh setelah hampir lima jam kami bersesak-sesak saya rasa nak pitam sedangkan jika dikira selang dua bas lagi kami akan berada di barisan hadapan. Saya memberitahu Salmah bahawa saya tidak tahan lagi dan mengajaknya keluar dari barisan yang sesak itu. Salmah menjawab biarlah saya sahaja yang keluar dan dia mahu meneruskan perjalanan.

Saya pun keluar dari kumpulan yang sesak itu dan baring di satu kawasan berhampiran dimana ramai jemaah yang berehat dan tidur. Tidak beberapa minit kemudian azan Subuh dilaungkan dan saya pergi mengambil wuduk di bilik air yang disediakan. Saya memohon jasa baik sepasang suami isteri yang saya tidak kenali supaya menjaga beg saya.

Inilah pertama kali saya berpisah dengan Salmah semasa mengerjakan Haji ini. Walau pun kadang-kadang kami tidak bersama pergi ke Masjid di Madinah dan Makkah sekurang-kurangnya dia berada diantara kawan-kawannya. Kali ini beliau akan menaiki bas seorang diri ke Mina. Di Mina nanti dia akan mencari khemahnya seorang diri juga. Saya menitiskan air mata mengenangkan Salmah dan merasa kesal kerana melapaskannya begitu sahaja.

Setelah mengambil wuduk saya pun menunaikan solat Subuh di bumi Muzdalifah seorang diri dengan menggunakan tikar yang dihadiahkan oleh Telekom Malaysia (TM). Selepas selasai solat Subuh saya terasa satu semangat baru. Rasa nak pitam tadi sudah hilang dan saya berazam hendak menaikki bas dalam masa yang dekat.

Saya pun menyusup dintara para jemaah untuk pergi ke hadapan. Ada juga jemaah yang kurang senang dengan perbuatan saya. Saya merasa lega sedikit kerana kali ini saya berseorangan. Akhirnya selepas tolak menolak saya berada di barisan hadapan dan akhirnya dapat juga menaikki bas untuk bertolak ke Mina.

Saya sampai ke khemah 81 di Mina lebih kurang jam 0700. Selepas masuk ke khemah saya pun terus mencari Salmah dan mendapati dia sudah berehat dalam khemahnya. Mengikutnya semasa dia sampai tidak ada seorang pun yang berada dalam khemahnya. Bagi khemah saya sudah ada dua tiga orang yang sudah sampai.

Jemaah Malaysia di perkhemahan 81 perlahan-lahan memenuhi khemah masing-masing. Di Mina ini kadar tandas berbanding dengan jumlah jemaah ialah kurang dari di Arafah. Ini bermakna tiap-tiap jemaah terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan kemudahan tandas. Tambahan lagi kami terpaksa berkongsi tandas dengan jemaah Indonesia dan Thailand.

Ruang untuk tiap-tiap jemaah dalam khemah juga adalah lebih kecil dari yang diperuntukkan di Arafah. Yang baik sedikit ialah khemah-khemah di Mina ini merupakan khemah kekal dan berhawa dingin.

Jangkaan saya mengenai masalah pengangkutan didapati benar. Saya diberitahu bas-bas telah berhenti membawa jemaah dari Muzdalifah ke Mina pada jam 1000. Mana-mana jemaah yang masih lagi tinggal diarahkan berjalan kaki lebih kurang tujuh kilometer. Saya tidak dapat bayangkan kesusahan mereka berjalan kaki dalam panas terik dengan memakai ihram dan membawa satu beg kecil.

Oleh kerana bilangan khemah-khemah terhad tidak terdapat surau di perkhemahan kami. Kami terpaksa bersolat jemaah dalam khemah masing-masing. Makanan diberi dengan baik, cuma sampah-sarap dibiarkan menggunung di luar khemah dan mungkin dipungut sepas selesai kerja-kerja melontar.

Pada jam 1730 kami bertolak berkumpulan untuk melontar di Jamratul Aqabah. Kami pergi melalui terowong Muassim dan perjalanan berjalan dengan lancar. Seperti biasa ada jemaah yang sesat setelah selesai melontar.

Selesai melontar kali pertama kami mengerjakan Tahalul. Oleh itu selesailah pantang larang ihram kami. Ramai jemaah Malaysia terus bercukur rambut di sebelah tandas. Pencukur rambut kebanyakannya  jemaah Thailand.

Pada jam 2030 Ajib datang mengunjung saya. Dia mengakui masalah perjalanan pagi tadi dimana mengikutnya tanggungjawab dipikul oleh pihak Muasassah dan bukan Tabung Haji.

Bersambung ke Bahagian 28.......

Mengerjakan Haji Bahagian 26 (Hari ke 33 - Wukuf di Arafah)

Selasa 18 Disember 2007 bersemaan 9 Zulhijjah 1428

Hari ini panas dan tidak selesa. Helikopter-helikopter asyik berlegar di udara. Ustaz Ali mengimamkan solat Haji dan membaca khutbah Haji. Di hari ini saya terjumpa dengan dua orang lelaki tua Malaysia dari khemah lain yang sesat di khemah kami. Mereka keluar merayau dari khemah masing tanpa membawa apa-apa surat identiti. Mereka tidak ingatkan nombor khemah. Keadaan khemah-khemah yang serupa mengelirukan mereka. Tak tahulah saya bagaimana masalah ini dapat diselesaikan oleh pihak Tabung Haji.



Salah satu helikopter jenis Bell yang sering terbang di atas khemah-khemah Haji di Arafah.

Kami bertolak ke Muzdalifah untuk Mabit mengikut kumpulan atau KT masing-masing. KT saya merupakan yang kedua akhir bertolak. Jemaah dari khemah kami mula bertolak semasa sembahyang Maghrib. KT saya hanya bergerak pada jam 2330.


Bersambung ke Bahagian 27, Mabit di Muzdalifah.........

Tuesday, May 6, 2026

Mengerjakan Haji - Bahagian 25 (Hari ke 32 - Ke Arafah)

Isnin 17 November 2025 bersamaan 8 Zulhijjah 1428

Mengikut jadual awal ditampal di papan-papan notis oleh Tabung Haji sepatutnya kami bertolak ke Arafah pada hari esok, tetapi oleh kerana Hari Wukuf telah dibawa kedepan selama satu hari kami dikehendaki bertolak ke Arafah pada hari ini.

Insya Allah badan saya terasa sihat pada hari ini. Salmah dan kawan-kawannya sebilik pun begitu. Dari malam tadi terdengar bunyi riuh rendah di hadapan hotel. Riuh rendah ini datang dari jemaah-jemaah lain yang bertolak ke Mina dan Arafah sama ada menggunakan kenderaan atau berjalan kaki. Ada juga jemaah yang berkhemah di kawasan rumput hijau dihadapan hotel kami.

Dari pagi lagi saya nampak pergerakan jemaah ini. Ini satu pandangan yang tidak dapat saya lupakan. Gambar-gambar berikut menunjukkan keadaan sebenar.

Ada yang bertolak dengan bas seperti kami.

Ramai yang berjalan kaki. Ada juga yang duduk di atas kenderaan.

Satu lagi pandangan.

Kami telah di arahkan supaya bersiap sedia selepas solat Zuhur dan makan tengah hari. Kami diminta untuk membawa pakain dan keperluan yang minima sahaja yang boleh diisikan dalam beg kecil yang telah disediakan oleh Tabung Haji.

Hari ini saya bersolat Subuh dan Zuhur di Masjid Taliban. Beberapa hari sebelum ini pihak Tabung Haji ada menampal notis memberitahu bahawa Klinik Tabung Haji tidak akan beroperasi di Arafah dan Mina, oleh itu kami diminta mengambil ubat tambahan untuk dibawa ke sana. Saya dan Salmah mematuhi arahan tersebut.

Kami diminta untuk menunggu di bilik dan kami akan bertolak ke Arafah bergilir-gilir mengikut tingkat hotel dengan mereka yang di tingkat-tingkat bawah diahulukan. Ini bermakna kami di tingkat sembilan akan bertolak lewat. Perjalanan diaturkan oleh pihak Muasassah dan Tabung Haji tidak ada kuasa.

Pada jam 1400 saya telah turun ke bawah dan bertanya kepada pegawai Muasassah bolehkan saya bertolak dahulu. Jawapannya senang sahaja "Bukankah kita semua akan pergi ke tempat yang sama, siapa yang pergi dahulu tidak menjadi masaalah". Saya pun balik ke bilik dan memanggil Salmah untuk turun segera. Kami menaikki bas kedua.

Bas kami berjalan dengan lancar dan saya dan Salmah adalah antara yang pertama masuk ke khemah kami. Dalam perjalanan saya nampak ramai jemaah dari negara-negara lain mendirikan khemah sendiri di tepi jalan. Alangkah beruntungnya kami dari Malaysia.

Khemah-khemah di Arafah merupakan khemah sementara yang didirikan hanya untuk tujuan wukuf. Kedudukan para jemaah adalah tidak selesa. Khemah kami bernombor 81. Tiap-tiap jemaah hanya diberi ruang untuk kami baring sahaja.

Walau bagaimana pun kemudahan tandas adalah mencukupi. Tiap-tiap jemaah tidak perlu menunggu lama untuk menggunakan tandas. Makanan juga memuaskan.

Sehingga tengah malam baharulah semua jemaah dari Maktab 96 di Makkah selesai masuk ke Khemah 81 ini.

Pandangan khemah dari luar.


Pandangan di dalam khemah. Di masa ini belum ramai lagi yang sampai.


 Saya memakai ihram di dalam khemah.


Di kiri itu ialah doktor kami Dr. Sahmsul Anuar, berasal dari Kelantan tetapi bertugas di Terengganu.

Satu lagi pandangan di luar khemah.


Menunggu dalam khemah.

 Tulisan di papan tanda berbunyi 'Arafat ends here' bermakna perkhemahan kami berada betul-betul di sempadan Arafah. Bersempadan dengan kawasan apa saya kurang pasti.



Khemah di bahagian kiri ialah surau sementara kami. Disinilah dimana kami akan mengerjakan Wukuf.


Berborak di luar khemah. Tapi jaga-jaga, kita semua memakai ihram.

Bersambung ke Bahagian 26 (Wukuf dan Mabit).............