Showing posts with label Travel. Show all posts
Showing posts with label Travel. Show all posts

Sunday, January 8, 2026

JOM NAIK MRT


Sebagai seorang peminat keretapi sudah tentu saya menunggu kedatangan Mass Rapid Transport atau MRT Malaysia yang pertama. Berikut ialah cerita pengalaman saya menaiki MRT tersebut pada hari Sabtu 7 Januari 2017.


Perjalanan saya bermula di Platform 2 Stesen KTM Seremban. Belukar belakang saya itu ialah tapak projek perumahan PR1MA Seremban yang belum bermula walau pun upacara menanam cerucuk pertama telah dilakukan oleh PM Dato' Seri Najib.

Dia juga menunggu sambil membelek telefon.

Itu tren KTM komuter dari Tampin sudah sampai.

Seperti biasa tren dari Seremban penuh dan ada penumpang yang berdiri dan duduk atas lantai.

Tapi saya yang berpengalaman ini sentiasa dapat tempat duduk iaitu yang mempunyai sandar kepala dan mengadap ke depan. Satu sebab saya pilih tempat duduk ini kerana ia mempunyai soket elektrik di mana saya boleh caj bateri telefon bimbit.

Saya sudah sampai di KL Sentral. Walau pun moto itu tidak menggalakkan, saya tetap cari sesuatu yang lain.

Ini yang saya cari, tren yang akan membawa saya ke Sungai Buloh.

Tren ini yang akan ke Tanjong Malim tidaklah sesak seperti tren dari Seremban.

Stesen Kuala Lumpur yang banyak meninggalkan kenangan kepada saya. Semasa bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim dulu saya sering melepak di sini sementara menanti tren penyambung bila cuti sekolah.

Saya dah sampai di Stesen KTM Sungai Buloh dan terpegun melihat ia telah berubah. Kami kena naik escalator ini untuk keluar atau ke Stesen MRT.

Kaunter tiket di Stesen KTM Sungai Buloh di tingkat atas sama seperti di Stesen Senawang, Sungai Gadut, Rembau, Tampin dan Gemas.

Dari Stesen KTM pindah ke Stesen MRT Sungai Buloh.

Naik escalator ke Stesen MRT Sungai Buloh.

Seperti saya mereka juga menyahut panggilan JOM NAIK MRT. Pintu itu hanya akan dibuka apabila tren datang, tetapi menyusahkan saya mengambil gambar tren.

Tren MRT sudah datang dan pintu sedang dibuka.

JOM NAIK MRT

Sesuatu yang kita biasa lihat sekarang, selfie.

Saya pun selfie sama.

Stesen-stesen laluan MRT. Laluan biru sudah bermula, laluan kelabu lagi enam bulan.

Dalam koc MRT. Mereka yang di hujung itu menikmati pandangan di belakang tren.

Three happy kids.

Pandangan Lebuhraya NKVE dari MRT.

Pandangan Lebuhraya LDP dari MRT.

Seolah-olah dalam terowong. Dinding kanan itu untuk kalis bunyi, tetapi ia menutup pandangan ke luar.

Bila tak ada dinding kalis bunyi boleh nampak pandangan seperti ini.

Buat masa ini kekerapan tren ialah empat minit.

Seperti saya kata pintu keselamatan di setesen menyusahkan untuk mengambil gambar. Saya kena angkat kamera atas kepala untuk ambil gambar ini.


Kepala tren dari dekat. Tengok tak ada pemandu,

Tetapi Bas Perantara ini ada pemandu.

Tidak sah jika saya tidak naik Bas Perantara. Saya naik bas ini dari Stesen Pusat Bandar Damansara ke KL Sentral. 

Dari KL Sentral saya bersesak semula di atas KTM Komuter untuk balik ke Seremban. Tetapi seperti biasa dan dari pengalaman saya dapat tempat duduk.

Sekian.

Tuesday, December 27, 2025

Sesak sekejap saja (Merlimau-Jasin-Durian Tunggal-Seri Menanti-Seremban).

Di kenduri pertama, hantar Faiz kahwin.

Hari Ahad lepas bersamaan Hari Krismas 2016 saya pergi ke dua kenduri. Pertama majlis menghantar anak biras saya Faiz kahwin di Bukit Beruang, Melaka. Kedua majlis kenduri keluarga isteri di Merlimau, Melaka. 

Setelah bermalam di Merlimau, esoknya pula (Boxing Day 2016) saya pergi ke kenduri kahwin Faiz di rumah keluarganya di Durian Tunggal, Melaka. Selepas itu saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk mengambil emak saya.

Tengah hari Boxing Day saya ajak isteri saya pergi ke Kg. Air Barok, Jasin untuk melihat rumah di mana dia dilahir dan dibesarkan sebelum keluarganya pindah ke Merlimau. Jalan Merlimau - Jasin walau pun Jalan Negeri (Melaka) amat baik dan boleh mengalahkan beberapa Laluan Persekutuan, contohnya FR6 di Pulau Pinang yang saya lalui hujung minggu sebelumnya. 

Dari Jasin saya ke Durian Tunggal, juga melalui jalan negeri. Tetapi nampaknya jalan ini perlu diturap semula di beberapa tempat. Saya boleh pergi melalui Bemban di mana jalannya lurus dan lebar, tetapi saya memilih jalan bengkang bengkok di mana kenderaan kurang.

Dari Durian Tunggal saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan. Jalan-jalan Negeri Melaka juga cukup baik seperti juga sambungannya di Tampin, Negeri Sembilan. Saya melalui Laluan Perseketuan FR1 sekejap sahaja sebelum melencong ke Johol dari Kg. Keru, Tampin melalui Ulu Yoh. Sekali lagi Jalan Negeri (Negeri Sembilan) cukup baik. 

Dari Johol saya melalui Laluan Persekutuan FR9 arah ke Kuala Pilah. GPS di kereta saya mengarahkan saya untuk terus ke Bandar Kuala Pilah sebelum ke Seri Menanti melalui Tanjong Ipoh. Tetapi saya tahu jalan Kuala Pilah - Seremban tentu sesak. Dari itu saya melencong ke Seri Menanti di pekan kecil Senaling.

Saya terperanjat melihat jalan Senaling - Seri Menanti sudah dilebarkan dari yang saya pernah tempuh sebelum ini. Ini mengesahkan ucapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang saya dengar beberapa bulan yang lepas yang berkata Jalan-jalan Negeri di Negeri Sembilan ada yang mengalahkan Laluan Persekutuan.

Cuma seperti dulu masih ada bom jangka atau 'time bombs' di atas jalan Senaling - Seri Menanti. Bom jangka yang saya maksudkan ialah tahi lembu. Pemandu juga kena berhati-hati di jalan ini terhadap lembu, kerbau dan kambing yang boleh tiba-tiba melintas..

Setelah mengambil emak saya di rumah adik di Seri Menanti saya pun terus ke Seremban melalui Jalan Seri Menanti - Terachi, juga Jalan Negeri. Di Terachi barulah saya menempuhi kesesakan di Laluan Persekutuan FR51 Kuala Pilah - Seremban. Saya sudah menjangka kesesakan ini yang biasa di hujung minggu, lebih-lebih lagi selepas cuti panjang.

Mulai Klinik Kesihatan Terachi kenderaan mula bergerak laju dan ini agak menghairankan saya. Tetapi apabila saja menurun Bukit Putus kenderaan mulai perlahan semula. Dalam pada itu ada juga seorang pemandu yang memotong di laluan kecemasan. Baguslah tidak ada pemandu lain yang mengikut jejaknya.

Di Paroi kenderaan berjalan lancar seperti biasa dan saya sampai ke rumah tanpa perasaan marah dan sepertinya.

Friday, December 23, 2025

Mungkin mereka memang berharap untuk dipindahkan.


Siapa yang sering melalui Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan mungkin hairan kenapa penghujung jalan itu di Ampangan bemula di simpang tiga. Sedangkan penghujungnya di Jalan Sungai Ujung bermula di simpang empat. Malah simpang empat ini sedang dinaiktaraf kepada simpang bertingkat.

Di satu mesyuarat, mantan boss saya pernah bertanya kepada pemaju jalan itu kenapa ia dibina begitu. Jawapannya mereka hendak mengelakkan jalan itu melalui satu 'kampung' yang akan melibatkan bayaran pampasan yang tinggi.

Boss saya komen kenapa tidak ditanya kepada orang-orang 'kampung' tersebut terlebih dahulu? Mana tahu mereka memang berharap untuk dipindahkan. Tetapi apa-apa jawapan kepada komen itu tak berguna lagi, kerana jalan telah siap, walau pun lencongan untuk mengelakkan 'kampung' itu telah menyebabkan kesesakan lalulintas di waku petang apabila ramai pemandu yang tinggal di Ampangan dan sekitarnya balik dari kerja. Juga di hujung minggu bila ramai oang Lembah Kelang balik kampung ke Kuala Pilah, Jelebu dan Negeri Pahang. 

'Kampung' yang dimaksdukan bukanlah kampung dalam erti sebenar. Namanya Kampung Lee Siew Joo yang terdiri dari rumah-rumah teres satu tingkat yang dibina hampir setengah abad yang lalu. Kebanyakan penghuninya bukan Melayu. Mungkin ia diberi nama 'Kampung' dan bukan 'Taman' kerana ia terletak sebelah kampung-kampung Melayu.

Kenapa boss saya berkata ada kemungkinan orang-orang 'kampung' ini ingin dipindahkan. Kerana pembesaran Jalan Seremban - Kuala Pilah telah menyebabkan ia terletak terlalu hampir dengan jalan utama dan sudah tentu menerima gangguan bunyi dan sebagainya.

Sekarang saya ingin berpindah dari satu kampung di Seremban, Negeri Sembilan ke satu kampung di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Saya ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang hujung minggu yang lepas atas pelawaan anak dan menantu saya. Di depan hotel saya lihat kereta dengan nombor plet PP 1 dengan nama SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI P. PINANG ditulis bersama.

(Saya minta maaf jika fakta yang saya tulis seterusnya adalah salah, kerana ia datang dari pertanyaan saya sendiri kepada rakyat biasa dan bukan pihak berkuasa).

Saya tanya seorang pekerja hotel itu kenapa SS datang ke sini? Jawapannya Y.B. ingin berbincang dengan orang-orang kampung mengenai pampasan. Kampung yang dimaksudkan ialah seperti dalam gambar di atas yang betul-betul terletak depan hotel. Saya ambil gambar itu dari bilik hotel. Pampasannya pula ialah untuk cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil alih kampung itu untuk dimajukan.

Sudah tentu ada suara-suara yang membantah cadangan itu. Alasan mereka ialah kerajaan hendak menghapuskan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang. Tetapi jika diteliti betul-betul kampung tersebut tidaklah seperti kampung-kampung yang kita jumpa di Negeri Sembilan. Contohnya kampung saya di Jelebu mempunyai kawasan untuk dusun dan sawah.

Mungkin seperti di 'kampung' di Seremban itu, penduduk kampung di Teluk Kumbar ini pun memang berharap untuk dipindahkan.

Sekian. 

Tuesday, December 20, 2025

Alangkah beruntungnya saya.

Saya dah lama tidak memandu jauh. Kali terakhir ialah lebih dua tahun lalu bila saya ke Cameron Highlands dan seterusnya ke Kelantan. 

Hujung minggu lepas saya menerima pelawaan anak dan menantu saya untuk mengikut mereka ke Pulau Pinang untuk semalam sahaja. Pemergian ke Pulau Pinang berjalan lancar seperti biasa. Kami menaiki Jambatan Kedua kerana hotel kami terletak di Teluk Kumbar.

Untuk balik kami ingin menaiki Feri. Oleh itu kami terpaksa ke utara menuju Georgetown. Kenderaan mula sesak bila kami mendekati Georgetown. Setelah membeli sedikit jeruk di Penang Road kami pun menuju Feri. Kenderaan juga sesak dan setelah melihat barisan panjang untuk menaiki Feri kami membatalkan pilihan tersebut. Kami menaiki Jambatan Pertama ke tanah besar Semenanjung.

Kenderaan banyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Hujan juga turun sekejap-sekejap, kadang-kadang lebat. Antara Bukit Gantang dengan Bukit Berapit kenderaan bergerak perlahan dalam hujan. 

Selepas Kuala Kangsar saya nampak dua buah kereta Toyota Vellfire berwarna putih menghalang di laluan laju. Rupa-rupanya mereka berlanggar. Tak tahulah sama ada merka dari satu kumpulan kerana jenama kereta dan warna adalah sama. Kedua-duanya kemudian beralih ke laluan kecemasan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Selepas Sungai Perak kenderaan lagi perlahan. Tetapi syukurlah tidak ada halangan apa-apa. Kenderaan bergerak lancar setelah melepasi Terowong Menora ke selatan. Tetapi dari Simpang Pulau kenderaan kembali perlahan sehingga berhenti beberapa kali. Hujan turun renyai-renyai dan kadang-kadang lebat. 

Selepas Gua Tempurung saya menyaksikan kereta yang betul-betul di depan saya melanggar kereta di hadapannya. Mujur juga ini berlaku bila kenderaan bergerak perlahan dalam 5 km/j. Kami berada di laluan kanan dan kedua-dua pemandu keluar untuk memeriksa kenderaan mereka. Agaknya pemandu depan saya itu hilang konsentrasi seketika. Saya terpaksa berpindah segera ke lorong kiri. 

Kenderaan cuma bergerak lancar selepas Rawang. Anak dan menantu saya menyimpang ke rumah mereka di Sungai Buloh dari situ sedangkan saya terus ke Seremban. Saya hanya sampai ke rumah pada pukul 12.30 malam setelah memasuki Lebuhraya PLUS lebih kurang pukul 2.30 petang. Kami juga berhenti untuk solat dan makan di Juru dan Ulu Bernam.

Macam-macam perangai pemandu yang saya lihat. Yang melucukan saya ialah melihat pemandu yang asyik menekan brek. Mereka ini takut sangat orang lain memotong mereka walau pun dalam keadaan kenderaan merangkak. Dari itu mereka memandu rapat dengan kenderaan di hadapan untuk tidak memberi ruang dipotong. Akibatnya bila kenderaan di hadapan sudah terlalu rapat mereka terpaksa brek.

Nasihat saya kepada mereka ini bila kenderaan di hadapan perlahan atau terhenti lepaskan saja kaki dari menekan minyak. Bila kenderaan di hadapan bergerak atau mula laju baru tekan minyak semula. Dengan cara ini penumpang kita tidaklah terhangguk-hangguk jadinya.

Agaknya keadaan sesak ini sering dialami oleh pemandu-pemandu yang melalui Lebuhraya PLUS di utara Kuala Lumpur. Mujurlah saya tinggal di Seremban. Saudara mara saya dan isteri pula berada di sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka. Kemana-mana juga saya tidak mengalami kesesakan.

Alangkah beruntungnya saya.

Sunday, October 16, 2025

Biarkan telur tinggal dalam pasir....

 Seorang budak memegang dua ekor anak penyu baru menetas. Kalau penyu itu berjaya menjadi dewasa saiznya akan melebehi saiz budak ini. Di belakang ialah tempat penetasan atau 'hatchery' yang diusahakan oleh Pak Su. 

Kesian bila saya memikirkan dari 1,000 ekor penyu yang menetas, cuma seekor yang akan berjaya menjadi dewasa.


Pak Su menggali lubang yang sudah menetaskan anak-anak penyu. Kredit foto www.rimbundahan.org.

Masing-masing memegang anak penyu untuk dilepaskan.

Melepaskan anak penyu.

Seekor anak penyu berlari ke arah lautan luas. Jika betina dan berjaya menjadi dewasa, ia akan datang semula ke pantai ini untuk bertelur pula.

Bulan lepas saya menyertai program kembara anjuran satu kumpulan murid-murid tua sekolah saya yang dipanggil 'Sdara Seniors Club' atau SSC. Kami ke Negeri Pahang dan Terengganu. Sambil beberapa orang dari kami bermain golf di Kemaman, yang lainnya termasuk saya telah melawat satu pusat penetasan penyu atau 'turtle hatchery' di Negeri Pahang. 

'Hatchery' ini diusahakan oleh seorang yang dipanggil Pak Su yang fasih berbahasa Inggeris. Moto Pak Su ialah 'Let the eggs stay in the sand, not end up in the pot' atau 'Biarkan telur tinggal dalam pasir, bukan berakhir dalam periuk'. 

Kebetulan saya baru melihat satu program mengenai penyu di TV beberapa hari sebelum itu dan mendapat tahu dari seribu penyu yang menetas dari telurnya, cuma seekor yang berjaya menjadi dewasa. Dewasa betina pula jika hendak bertelur akan kembali ke pantai di mana dia dilahirkan, walau pun dia mungkin telah pergi ke lautan luas beribu kilometer jauhnya. Fakta ini disahkan oleh Pak Su bila seorang dari kami menanyanya.

Pak Su bukan sahaja menanti penyu-penyu betina dewasa datang ke 'hatcery'nya untuk menetas. Dia tahu ramai manusia mengambil kesempatan mencuri telur-telur penyu sebaik saja ia ditanam oleh ibu-ibu penyu setelah bertelur di pantai. Pak Su akan membeli telur-telur itu dari pencuri berkenaan dan menanamnya semula di 'hatchery'nya. 

Mungkin ada yang tidak senang bila saya memanggil mereka yang menanti penyu bertelur dan kemudian mengambil telur-telurs itu untuk dijual di pasar sebagai pencuri. Telur penyu tidak sama dengan telur ayam. Telur ayam yang biasa kita makan datangnya dari ayam yang dibela manusia dan manusia boleh mengawal populasi ayam. Sehingga ada manusia yang hilang sikap kemanusian dengan membakar hidup-hidup anak-anak ayam yang baru menetas semata-mata untuk mengawal populasi ayam. Tujuan terakhir ialah untuk mengawal harga ayam dan telur di pasaran.

Tetapi lain ceritanya dengan penyu. Setahu saya tidak ada manusia yang memelihara penyu untuk dijadikan makanan atau untuk tujuan memakan telurnya. Penyu pula tidak mengancam populasi ikan-ikan laut yang manusia tangkap untuk dimakan. Disebaliknya populasi penyu yang terancam. Contohnya penyu belimbing atau 'leatherback turtles' yang dulu banyak datang bertelur di pantai timur seperti Rantau Abang, Terengganu sudah tidak nampak lagi sekarang. Cuma replikanya terdapat di bandar Kuala Terengganu, kalau saya tak salah. 

Penyu yang ditetas di 'hatchery' Pak Su ialah penyu hijau atau 'green turtles'. Jika telurnya dibiarkan dicuri dan akhirnya masuk periuk untuk menjadi makanan, nasib mereka juga mungkin sama dengan penyu belimbing. 

Setelah tiba masa yang dijangka Pak Su akan 'merasa' lubang-lubang di mana telur penyu ditanam. Bila ada tanda-tanda telur itu telah menetas ia akan menggali lubang itu dan mengeluarkan bayi-bayi penyu yang comel. Di waktu hampir Maghrib Pak Su yang biasanya dibantu oleh peminat-peminat penyu akan melepaskan bayi-bayi penyu untuk menguja nasib mereka di lautan luas.  Walau macam mana bayi penyu diletakkan ia akan berlari ke laut.

Mengikut undang-undang, membeli apa-apa barang dari pencuri adakah satu kesalahan. Tetapi tidak dalam kes Pak Su. Sepatutnya ramai lagi orang seperti Pak Su dan usaha mereka sepatutnya diberi imbuhan oleh pihak berkuasa. 

Sekian.


Monday, October 3, 2025

Dapat juga naik 41 Down akhirnya.

Kenapa saya tergila-gila hendak naik tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang diberi kod 41 Down? Pertama itulah tren bukan elektrik dan ditarik oleh lokomotif disel yang paling hampir dengan saya yang tinggal di Seremban ini. Kedua koc-kocnya buatan Jepun dan ini membawa nostalgia kepada saya menaiki tren di Jepun pada tahun 2004.

Tren 41 Down ialah tren henti-henti antara stesen Pulau Sebang/Tampin di Negeri Melaka dengan stesen JB Sentral di Negeri Johor dan stesen-stesen antaranya. Tren yang sama diberi kod 40 Up di perjalanan sebaliknya. Saya akan menyebut stesen Pulau Sebang/Tampin sebagai Tampin sahaja selepas ini.

Walau pun KTMB membuat dasar hanya tren berkuasa elektrik boleh berada di laluan Gemas - Padang Besar, membenarkan tren disel 40 Up dan 41 Down berakhir dan bermula di Tampin adalah keputusan bijak. Stesen Tampin (yang sebenarnya terletak dalam negeri Melaka) boleh menjadi stesen pelancongan ke Melaka. 

Mereka yang hendak ke utara boleh memilih antara KTM Komuter dan ETS dan yang hendak ke selatan boleh menaiki 41 Down.    



Jangan risau, saya tidak dalam bahaya.  Saya di stesen Seremban menunggu KTM Komuter ke Pulau Tampin. 

Setelah terlepas 41 Down sebelum ini saya putuskan untuk pergi awal ke Tampin.  Saya naik Komuter pukul 1.06 petang dari Seremban.

 Mereka sama-sama hendak ke Tampin atau stesen-stesen sebelumnya.


 Itu dia 41 Down yang baru saja tiba di Platform 4 Stesen Tampin sebagai 40 Up. Malangnya pihak KTMB tidak membenarkan saya berada di platform awal lagi untuk menunggu kedatangan 40 Up.


 25109 Pulau Perhentian yang sebelum ini menarik 40 Up akan bertukar kedudukan untuk menarik 41 Down. Susah nak jumpa kepala keretapi disel di laluan Gemas - Padang Besar sekarang.

 Dua orang pekerja kontraktor KTMB memerhatikan 25109 Pulau Perhentian disambung ke 41 Down.

 41 Down sudah besedia untuk bergerak ke JB Sentral.

Koc-koc 41 Down yang masih mempunyai tulisan-tulisan Nihon Go atau Bahasa Jepun. 




 41 Down sudah sampai di Platform 3 Stesen Gemas.

Ia akan meneruskan perjalanan ke JB Sentral. 

Saya akan balik ke Seremban menaiki ETS di Platform 4 ini. Sebagai peminat keretapi saya tetap memilih 41 Down dari ETS.