Showing posts with label Current affairs. Show all posts
Showing posts with label Current affairs. Show all posts

Tuesday, July 5, 2026

Sanggupkah kita membunuh anak sendiri.

Semasa Perang Vietnam atau The Vietnam War apabila askar Amerika menyangka dirinya akan mati akibat tembakan dia akan menyebut 'Ma' iaitu memanggil emaknya. Seolah-olah dia teringatkan orang yang membawanya ke dunia di saat-saat dia akan meninggalkannya.

Saya sekarang sudah bersara. Walau pun saya bekerja selama 38 tahun dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ingatan saya sekarang banyak tertumpu keapda kenangan bekerja  selama 4 tahun dengan Kementerian Kesihatan (KKM)  sebelumnya. Oleh itu saya sekarang sangat berminat kepada isu-isu yang melibatkan Kementerian tersebut. Kebetulan pula Timbalan Menteri KKM sekarang, Dr. Hilmi Yahya ialah kawan sekelas saya semasa di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak.

Salah satu itu yang hangat sekarang dan melibatkan KKM ialah isu immunisasi untuk kanak-kanak di mana ramai penjaga tidak mahu anak kecil mereka menerima immunisasi. Ini kerana mereka terbaca kononnya vaksin untuk immunisasi itu berpunca dari sumber tidak halal. Ada juga yang percaya vaksin itu lebih memudaratkan dari membawa kebaikan.

Saya masih ingat antara subjek pertama diajar semasa diambil bekerja dulu ialah tentang immunisasi ini. Antara immunisasi itu dipanggil 'triple antigen' atau vaksin untuk tiga penyakit. Penyakit-penyakit itu ialah 'Diphteria', 'Tetanus' atau kancing gigi dan 'Whooping Cough" atau batuk kokol. Sekarang 'Whooping Cough' dipanggil 'Pertussis'.

Mungkin ramai yang masih keliru apa dia proses immunisasi ini. Prosesnya senang sahaja untuk difahami. Vaksin yang sebenarnya mengandungi kuman-kuman penyakit yang kita hendak hindari itu dimasukkan ke badan manusia (dalam kes biasa bayi dan kanak-kanak). Cara memasukkannya sama ada dengan suntikan atau melalui mulut. Itulah sebabnya anak-anak kita akan demam sebaik sahaja diberi vaksin immunisasi. Tetapi kerana jumlah kumannya amat sedikit kuman itu tidak membahayakan dan anak-anak kita akan sembuh dalam beberapa hari,

Badan anak-anak kita yang diserang oleh kuman dalam vaksin itu akan mengeluarkan apa yang dipanggil 'anti-bodies' yang tugasnya tidak lain tidak bukan seakan-akan askar melawan dan membunuh kuman-kuman yang menyerang tadi. Kemudian 'anti-bodies' atau askar tadi akan berada dalam badan anak-anak kita selama-lamanya.

Akibatnya jika kuman-kuman penyakit sebenar yang dibawa pesakit lain datang menyerang anak-anak kita, 'anti-bodies' atau askar yang sudah bersiap siaga dalam badan mereka akan menentang kuman-kuman itu habis-habisan dan menghapuskannya.

Program immuninasi negara kita cukup berjaya sehingga ketiga-tiga penyakit Diphteria, Tetanus dan Whooping Cough sudah dihapuskan. Tetapi dengan kedatangan pendatang asing di mana keadaan kesihatan negara asal mereka tidak seperti negara kita, penyakit-penyakit itu nampaknya sudah muncul kembali.  

Cuba bayangkan anak-anak kita tidak mempunyai 'anti-bodies' atau askar kerana tidak diberi immunisasi dari kecil. Penyakit-penyakit berjangkit yang dibawa pendatang asing itu dengan senang menyerang anak-anak kita. Mungkin di masa serangan badan mereka akan cuba mengeluarkan 'anti-bodies' atau askar. Tetapi kerana serangan terlalu kuat kuman-kuman yang datang dengan senang membunuh 'anti-bodies' atau askar yang baru hendak dikeluarkan itu. Akibatnya anak kita boleh ditimpa maut.

Tidakkah kita berasa bersalah jika anak kita mati akibat kelalaian kita tidak memberi mereka immunisasi semasa dia masih kecil?

Tuesday, March 29, 2026

Jika di Masjidil Haram sendiri ada orang bergaduh, apa bezanya di Kuala Lumpur, Malaysia?

Beberapa hari yang lalu saya bercerita kepada seorang kawan saya berbangsa China dan bukan beragama Islam tentang pengalaman saya mengerjakan Haji pada tahun 2007. Antaranya adalah seperti berikut:

KEJADIAN 1

Satu petang semasa saya pulang ke hotel selepas solat di Masjidil Haram seorang jemaah warga India memberi salam dan bertanyakan bolehkah saya berbahasa Inggeris. (Dia seolah-olah memilih jemaah yang dia yakin boleh berinteraksi dengannya). Saya jawab boleh. 

Kemudian dia mengadu kecurian semua wangnya dan meminta saya membantunya seberapa yang boleh. Saya terus menyuruhnya pergi ke balai polis (yang banyak di situ) untuk membuat laporan. Seterusnya polis boleh membawanya ke pihak berkuasa Haji negaranya. 

Dia tidak menerima cadangan saya dan berkata berbuat begitu akan mengambil masa. Saya pun meminta maaf (tak dapek se nolong eh do, kata orang Negeri Sembilan) dan terus pulang ke hotel.

Saya teringat semasa berkursus Haji di Malaysia ada penceramah mengatakan mereka yang mengaku kehilangan wang itu sebenarnya Malaikat yang menjelma sebagai manusia. Kononnya ada jemaah Malaysia yang menolong 'Malaikat' ini dan bila dia balik dari mengerjakan Haji dia menjadi kaya raya. 

Di hari keesokannya saya nampak 'Malaikat' yang sama cuba menjual cerita yang diceritakannya kepada saya itu kepada seorang jemaah lain di masa dan tempat yang sama. Saya terus berfikir sebenarnya 'Malaikat' itu adalah manusia biasa yang cuba menipu. 

Saya berfikir lagi jika betul dia kecurian, pencuri itu sudah melakukan satu dosa besar di tanah suci dan sebagai hukuman tangannya boleh dipotong di negara yang mengamalkan hukum hudud itu. 

Jika 'Malaikat' itu sebenarnya tidak kecurian, dia juga telah melakukan satu dosa berbohong di tanah suci.

KEJADIAN 2.

Satu tengah hari sedang saya mengambil wuduk di bilik wuduk di bawah Masjidil Haram, Makkah berlaku satu pergaduhan bertumbuk antara jemaah bukan Malaysia. Dari percakapan yang saya dengar dalam bahasa Inggeris saya dapat tahu mereka bertumbuk kerana seorang jemaah dituduh mencuri wang jemaah lain.  

Saya terus berfikir jika betul ada kecurian, pencuri itu juga telah membuat satu dosa besar di perkarangan Masjidil Haram sendiri. Yang menuduh juga berdosa kerana mencederakan orang lain di Masjidil Haram.

Kemudian saya balik ke negara kita, di sebuah masjid di Kuala Lumpur baru-baru ini. Satu pergaduhan tumbuk menumbuk berlaku di satu majlis perkahwinan yang tidak menjadi. Saya tidak ingin menceritakan secara perinci kerana perkara ini telah diviralkan di media massa.

Apa yang saya dengar di video yang diviralkan itu ialah seorang menjerit lebih kurang "ASSALAMULAIKUM, ini masjid. Ini bukan tempat bergaduh. Ini bukan tempat bertumbuk. Kalau nak bergaduh pergi keluar dari masjid".

Soalan saya, jika jemaah Haji sendiri mencuri, menipu, bergaduh dan bertumbuk di tanah suci dan Masjidil Haram, Makkah apa bezanya di sebuah masjid di negara kecil bernama Malaysia ini?

Saturday, December 12, 2025

Bila Setiausaha dituduh kurang ajar.

Saya tertarik bila Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO dituduh kurag ajar. Saya juga Setiausaha kepada dua pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, dari itu ingin menjelaskan serba sedikit mengenai kurang ajar ini.

Setiausaha ialah perkataan Melayu dari perkataan Inggeris 'secretary' yang pula berasal dari perkataan 'secret' bermakna 'rahsia'. Jadi makna sebenar 'secretary' ialah 'perahsia' atau 'penyimpan rahsia'. Walau bagaimana pun di Malaysia ini sebutan 'setiausaha' itu lebih tepat. Ini kerana untuk menjadi Setiausaha seorang itu hendaaklah 'setia' dan 'berusaha'.

Di kebanyakan NGO di Malaysia jawatan Setiausaha (dan juga Bendahari) adalah dilantik oleh ketua NGO tesebut, sama ada ketua itu dipanggil Presiden, Yang DiPertua atau Pengerusi. Untuk tidak keliru saya akan menyebut ketua NGO itu sebagai 'boss' sahaja di sini. Jawatan-jawatan lain termasuk 'boss' adalah dipilih oleh ahli-ahli atau perwakilan di Mesyuarat Agung NGO tersebut. 

Di lain perkataan seorang Setiausaha tidak dipilih oleh ahli-ahli NGO berkenaan di mana-mana Mesyuarat Agung. Setahu saya cuma ahli-ahli parti DAP memilih Setiausaha Agungnya yang juga merupakan 'boss' parti itu. Ada juga jawatan yang dipanggil Setiausaha Kerja. Saya kurang pasti siapa melantiknya, cuma dia mestilah boleh menjalankan 'kerja-kerja' yang diarah oleh seorang Setiausaha.

Sudah tentu seorang 'boss' mana-mana NGO memilih seorang yang 'setia' dan 'berusaha' untuk menjadi Setiausaha. Ramai orang keliru dengan memikirkan seorang Setiausaha hendaklah 'setia' dan 'berusaha' kepada NGO. Dari pengalaman saya anggapan itu salah. Sebenarnya seorang Setiausaha hanya perlu 'setia' dan 'berusaha' kepada 'boss'nya sahaja. 

Bukan itu sahaja. Ikutan dari perkataan bahasa Inggeris 'secretary', seorang Setiausaha juga wajib menyimpan rahsia atau 'secret' boss'nya yang tidak perlu diketahui oleh ahli-ahli NGO itu termasuk Timbalan dan Naib 'boss', ahli-ahli Majlis Tertinggi atau ahli-ahli Jawatankuasa.

Dari itu seorang Setiausaha mungkin tidak disukai oleh semua ahli NGOnya tetapi jika dia mempunyai ciri-ciri 'setia', 'berusaha' dan 'penyimpan rahsia' kepada bossnya ahli-ahli tu nak buat macam mana. 

Di sinilah ada Setiausaha yang dituduh kurang ajar, angkuh dan sombong oleh orang nombor dua, nombor tiga, nombor empat dan seterusnya NGO bekenaan. Ada yang berkata 'Aku dipilih, sedangkan kau dilantik sahaja'. Tetapi selagi 'boss' percaya kepada Setiuasaha, mereka cakaplah apa-apa, Setiauaha tidak bergoncang pun. 

Sekian.

Thursday, November 26, 2025

Kenapa tak tunjuk laluan dari 'bus stop' atau stesen KTM dan LRT?

Bila kita terima kad jemputan kahwin, selain dari kita diberitahu akan tempat, hari dan masa majlis, kita juga ditunjukkan dengan pelan ke tempat majlis. Biasanya tuan rumah memikirkan bagaimana mereka yang datang dengan kenderaan sama ada kereta atau motosikal boleh sampai ke majlisnya. Ditunjukkanlah laluan yang biasanya bermula dari mana-mana lebuhraya atau jalan besar.

Amat sedikit yang menunjukkan laluan dari pengangkutan awam. Contohnya jika majlis diadakan di satu dewan, tidak ditunjukkan 'bus stop' yang paling hampir. Lebih-lebih lagi tidak ditunjukkan nombor-nombor bas yang berhenti di 'bus-stop' tersebut. Apa lagi jika majlis diadakan berhampiran dengan stesen LRT atau KTM.

Pada pendapat saya perkara begini berlaku kerana ramai dari kita mengaggap pengangkutan awam seperti bas atau keretapi hanya layak untuk pergi kerja sahaja. Kita sanggup meletak kereta beratus meter dari majlis. Jika majlis di adakan di hotel contohnya kita sanggup membayar untuk letak kerata.

Tidak kurang juga yang berfikir pakaian cantik yang dipakai untuk majlis kahwin tidak sesuai dipakai dalam bas atau keretapi. Inilah alasan isteri saya tidak mahu mengikut saya ke kenduri kahwin jika saya pergi dengan keretapi.

Sudah tiga kali saya pergi ke kenduri kahwin di Kuala Lumpur menaikki KTM Komuter dan LRT seperti berikut:

  1. Saya pergi kenduri kahwin anak kawan sekolah saya di Seri Petaling dengan KTM Komuter dan LRT Rapid KL. Dari stesen Seri Petaling saya naik teksi ke dewan majlis. Di sana saya terjumpa dengan sepupu isteri saya yang pernah bekerja dengan kawan saya itu. Dia menghantar saya balik ke stesen Seri Petaling.
  2. Saya pergi ke kenduri anak kawan sekolah saya di Taman Chempaka, Ampang. Rumahnya cuma 100 meter dari stesen LRT Chempaka. 
  3. Saya dan isteri pergi ke kenduri kahwin anak saudara saya di Maju Junction, Kuala Lumpur. Saya turun di stesen Monorail Medan Tuanku. Kali ini isteri saya berani pula ikut.
Kalau kita semua berfikiran seperti saya bayangkan berapa banyak wang kita boleh selamatkan dari membayar untuk minyak dan tol. Saya beri contoh jika majlis diadakan di Dewan Perbandaran Seremban. Ia cuma 200 meter dari Terminal Bas Seremban dan juga Stesen Keretapi Seremban. Jemputan dari Kuala Lumpur, Tampin, Rembau, Sungai Gadut dan Senawang boleh naik KTM Komuter ke Seremban. Dari situ berjalan kaki ke Dewan Perbandaran Seremban.

Dari itu saya minta bila kita menyediakan peta untuk majlis kahwin, masukkan juga 'bus-stop' dan pehentian keretapi yang paling dekat.

Sekian.

Thursday, November 5, 2025

Siapa yang menyamar sebenarnya?

Saya tertarik dengan satu video yang dihantar melalui laman sosial Facebook oleh seorang pegawai Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Ia mengenai dua orang lelaki Melayu yang kononnya menyamar sebagai pegawaai MPS. Jelas seorang dari mereka menyebut dari jabatan 'Perancang' bermakna Jabatan Perancang Bandar, MPS.

Ini mengingatkan saya pada filem 'Midnight Run' lakunan Robert De Niro. Ceritanya mengenai seorang akauntan yang pernah bekerja dengan seorang gangster. Dia telah melesapkan berjuta dolar US dari akaun gangster tersebut. Gangster itu pun mengupah orang untuk mencari akauntan tersebut untuk tujuan dibunuh. Mereka gagal mengesannya.

Badan risikan FBI dengan diketuai oleh seorang agennya pun mencari akauntan tersebut untuk tujuan menjadi saksi terhadap perbuatan jenayah gangster itu. Tetapi dengan bantuan polis dengan helikopter dan apa lagi agen itu juga gagal mengesan akauntan tersebut.

Akhirnya seorang 'bounty hunter' diupah oleh satu syarikat penjamin untuk mencari akauntan tersebut dalam masa terhad, jika tidak duit jaminan yang dibayar oleh akauntan itu kepada mahkamah akan hangus.

Agen FBI itu mengejek 'bounty hunter' dengan kata-kata 'Jangan haraplah kau dapat cari dia'. Tanpa disedari 'bounty hunter' tersebut mencuri kad kuasa agen tersebut semasa ejekan tersebut.

Dengan menyamar sebagai agen FBI, 'bounty hunter' telah menggunakan tipu daya dan menahan akauntan itu dalam masa beberapa hari sahaja. Agen FBI pula malu nak melaporkan kecurian kad kuasanya, takut kena tindakan tata-tertib seperti dibuang kerja atau dipenjara.

Akhirnya agen FBI sebenar memerangkap agen menyamar dan berkata 'Kau tau tak yang kau boleh dipenjara sepuluh tahun kerana menyamar sebagai seorang pegawai persekutuan?' Penyamar atau 'bounty hunter' menjawab 'Oh sepuluh ya, kenapa tak ada orang yang cari kau?' Agen FBI tidak berani nak buat apa-apa.

Moral cerita ialah kalau kita bekerja tak betul atau teruk, samalah seperti kita menyamar.

Saya berbalik kepada penyamaran di Seremban tadi. Sebelum itu ada kawan Facebook saya seorang pegawai tentera bertanya 'Apa dia orang dapat menyamar?' Jawapan saya senang 'Nak dapat duit rasuahlah' atau lebih tepat duit perasugut kerana mereka bukan penjawat awam'.

Soalan saya adakah sesuatu yang tidak kena di MPS amnya atau di Jabatan Perancang Bandar mereka khususnya sehingga ada orang luar yang berani menyamar sebagai pegawai mereka?. Adakah pegawai-pegawai mereka yang bekerja tak betul atau teruk sehingga ada orang lain yang sanggup mengaku (dan mungkin meyakinkan) sebagai pegawai awam?

Sebelum itu mungkin ada orang yang tidak senang dan berkata saya sendiri pun teruk masa bekerja dulu. Untuk itu jawapan saya ialah jika saya teruk, tentu boss saya tidak sabar untuk mengucapkan 'selamat jalan' kepada saya apabila saya nak bersara dulu. Tetapi kenapa beliau sebaliknya mengambil saya bekerja semula selama empat tahun selepas saya bersara? Sedangkan menggaji seorang pegawai yang baru lulus latihan tentu lebih murah.

Dan baru tadi saya hadir di satu seminar anjuran Kementerien Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Negeri Sembilan. Semasa saya beratur di jamuan makan Timbalan Pengarah jabatan itu memanggil saya untuk duduk satu meja dengannya. Baru saya ingat dia dulu selalu datang mewakili jabatannya untuk operasi bersama kami. Kalau dia tahu perangai saya teruk adakah dia sanggup mempelawa demikian?

Sekian.     

Thursday, October 22, 2025

Pendekatan agama dalam mengawal penyakit berjangkit.

Timbulnya semula wabak Typhoid atau demam kepialu sekarang membawa kenangan saya semasa bekerja dulu. Dulu saya seorang pekerja kesihatan dan salah satu tugas saya ialah mengawal penyakit-penyakit berjangkit atau 'communicable diseases' seperti Typhoid. Selepas ini saya tidak akan menggunakan sebutan demam kepialu oleh kerana saya tidak diajar menggunakan sebutan itu. Saya akan menyebut Typhoid sahaja.

Typhoid ialah salah satu penyakit berjangkit. Semasa dilatih dulu ia menjadi salah satu penyakit yang saya belajar secara terperinci. Di masa itu demam denggi belum datang ke Malaysia. Kami di ajar cara mengawalnya secara saintifik, tetapi apabila saya sudah tamat latihan dan bekerja ada seorang kawan saya mengajar saya mengawalnya secara pendekatan agama.

Katanya setiap kali seorang itu ditimpa Typoid dia berkata 'Kamu mendapat penyakit ini kerana kamu makan najis'. Ya, Typhoid disebabkan oleh kuman yang bernama Samonella typhi yang terdapat dalam najis manusia. Biasanya ia disampaikan oleh pengendali makanan yang tidak mencuci tangannya dengan sempurna setelah ke tandas. Najis yang ada ditangannya akan hinggap ke makanan yang dihidang kepada ahli keluarga dan di premis-premis makanan kepada pelanggan.

Cara lain ialah lalat yang hinggap di najis untuk makan membawa najis yang lekat di kakinya dan menyampaikannya ke makanan manusia bila ia hinggap di situ pula.

Nisbah najis yang hinggap di satu pinggan makanan mungkin 0.0000001% tetapi jika ia membawa bersamanya kuman Salmonella typhi, itu sudah cukup untuk menyebabkan manusia dijangkiti Typoid.

Jadi apa hubungan agama dengan Typoid? Jawapannya ialah najis itu haram, walau bagaimana kecil nisbahnya. Kepada orang biasa kawan saya ini bertanya 'Apa hukumnya memakan benda haram (najis)?' untuk mengelaknya dia dari makan makanan disyaki dicemar oleh najis mengandungi kuman Salmonella typhi.     

Kepada pengendali makanan pula kawan saya ini bertanya 'Apa hukumnya menghidang makanan haram kepada pelanggan?'. 

Saya telah manggunakan kaedah pendekatan agama ini semasa mengawal penyakit Typhoid dan juga semasa memberi pendidikan kesihatan kepada pengendali makanan.

Masalahnya sekarang ialah kebanyakan pekerja-pekerja di gerai-gerai dan kedai-kedai makan di Malaysia ini ialah warga asing. Kementerian Kesihatan pula mengsyaki pekerja-pekerja asing inilah yang membawa wabak Typhoid di negara kita sekarang. 

Orang Melayu hanya bekerja di restoran makanan segera seperti McDonald's dan KFC. Itu pun ada pihak-pihak yang berkempen meboikot restoran-restoran makanan segera ini kononnya mereka menyokong Israel. 

Saya baru balik dari Johor Bahru dan mendapati warga Indonesia bukan sahaja bekerja di gerai-gerai tetapi juga di restoran stesen keretapi JB Sentral.

Saya pernah berhenti di satu restoran R & R di Lebuhraya Plus dan bertanya kepada seorang pekerja Indonesia di situ adakah dia menjalani kursus pengendali makanan?. Jawabnya 'Tidak, tetapi boss saya ada pergi'. Bossnya tentu orang Malaysia.

Soalnya adakah atau bolehkah bossnya menyampaikan apa yang dia belajar semasa kursus itu kepada pekerjanya. Atau sanggupkah dia bertanya 'Apa hukumnya kamu beri makanan haram kepada pelanggan kedai saya?' 

Sunday, October 18, 2025

What a pity when dogs cannot vote.


A picture of houses being demolished taken by yours truly.

A picture of dogs sent to me by a friend.

Last week a number of houses were demolished just a few kilometers from where I am staying. I am sorry if I don't get the facts right but from what I know the occupants had been staying on pieces of land not belonging to them, at least not anymore. Now the new owners want to develop their land, so the occupiers have to go.

In fact the occupiers were happy to go. The area was flood prone and some of them had moved earlier because of this. There was no proper infrastructure like proper roads because the authorities cannot just construct roads on somebody's land. 

The new owners had offered the squatters on their land some money for them to move. I think Malaysia is the only country where you have to pay somebody to move from your legally procured property.

So in came a political party who promised the squatters they would get more than offered by the land owners. At the same time the owners went to the courts and obtained an order asking the squatters to go. The government owned electricity suppliers were also served with a court order to stop electricity supply to the houses.

Without electricity the squatters had a stronger reason to move on. But to them whatever money being offered is a bonus. 

But this political party who had promised the squatters that they would get more felt embarrassed, if that's the correct word. Because before they could get 'A Few Dollars More' (sorry to borrow your film title, Mr. Leone) the authorities came with their heavy machinery. So the so called champions created a commotion on D-Day, not Decision Day, but Demolition Day.   

Their commotion resulted in some of them being arrested by the authorities. But that's what they wanted. The pictures of them being arrested were shown on the social media for the whole world to see. They wanted the world to see that they are the ones who care for the squatters. 

But a promise is a promise, so this political party opened a bank account for people all over the world to donate to these so called unfairly and unjustly evicted people. Their aim is simple, 'A Few Dollars More' for these people mean an equivalent or perhaps multiple more votes for them in return.

So I come to the dogs story. A few days ago one of my friends on social media showed me a picture of dogs trying to attack him. He said he felled and hurt his knee before managing to enter his car. I promised to do something.

The something that I did was showing the photo on my social media account but starting with the caption 'I don't hate dogs....' At the same time I forwarded the photo and caption to the authority responsible for stray dogs. 

Suddenly my post received numerous comments never obtained before as compared to my previous posts. Some 'friends' even showed photographs of what would happen to the dogs if they are captured. They would be 'resettled' on no man's or dog's land to cater on their on. Many had died due to starvation and other reasons. In other words the dogs will suffer worse fates than what they enjoy now.

Compared to the squatters who I said were more than happy to move, the dogs will face a life and death situation. 

Due to the amount of  'likes' and comments on my post, surely the people who wanted to raise money for the squatters were aware of the dogs situation. But I see nothing about requesting donations so that any captured dog will live a better life somewhere.  

What a pity when dogs cannot vote.

Saturday, August 8, 2026

Orang lain suka kompaun, saya suka saman - Bahagian 2.

Alasan utama mengapa boss saya lebih suka anak-anak buahnya mengempaun kesalahan dari menyaman di mahkamah ialah "Kutipan kompaun masuk ke tabung kita" sedangkan "Denda yang dikenakan oleh mahkamah masuk ke tabung kerajaan persekutuan". Malangnya ada dari kawan-kawan saya yang terbawa-bawa dengan sindrom kompaun ini. Bagi mereka memuaskan hati boss lebih utama dari pembayar cukai yang membayar gaji mereka. Sehingga ada di kalangan mereka tidak sedar bahawa tidak semua kesalahan di bawah undang-undang yang dipakai oleh PBT boleh dikompaun.

Contoh yang paling baik ialah perkara kacauganggu atau 'nuisance'. Semasa saya mula-mula menjalani latihan dulu pensyarah undang-undang saya menegaskan 'nuisances must be abated' atau 'segala kacauganggu hendaklah dihapuskan'. Jika pengacauganggu boleh dikampaun atau disaman di mahkamah, kacauganggu itu akan berterusan mengacau dan mengganggu orang awam. Oleh itu ia harus dihapuskan melalui lunas undang-undang.

Bila boss saya meminta penjelasan, saya memberi contoh tidak semua kesalahan dibawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis boleh dikompuan. Contohnya kes rogol. Jika kesalahan merogol boleh dikompaun, ramailah perogol bersiri dalam dunia ini. Sekali rogol, sekali kompaun, sekali kes selesai.

Seperti yang kita tahu hukuman merogol, sekurang-kurangnya di negara kita ialah penjara bertahun-tahun dan sebatan rotan. Jika mana-mana perogol hendak merogol semula dia kena tunggu dibebaskan dari penjara dahulu.

Walau bagaimana pun saya juga mengeluarkan kompaun di mana saya fikirkan perlu. Setiap kali saya mengempaun saya pastikan tidak tertinggal apa-apa bukti. Gambar adalah wajib bagi saya. Saya juga akan mengeluarkan kata-kata lebih kurang begini "Saya menawarkan kompaun kepada tuan supaya kesalahan yang tuan lakukan boleh diselesaikan di pejabat saya dengan membayar denda. Kes ini dianggap selesai sebaik sahaja tuan membayar denda dalam tempohnya (biasanya 14 hari). Jika tuan tidak menyelesaikannya dalam tempoh tersebut, saya akan membuat aduan di mahkamah. Jika tuan tidak menghormati saya dan pejabat saya, (dengan tidak memperdulikan kompaun yang saya tawarkan), tak apa. Tetapi jika tuan tidak menghormati mahkamah, itu kesalahan serious".

Mendengar kata-kata itu biasanya si pesalah akan membayar kompaun dengan segera.  

Seperti juga mantan boss dan kawan-kawan saya peniaga-peniaga lebih suka dikompaun dari diseret ke mahkamah. Biasanya jika saya nyatakan yang saya akan membuat aduan mahkamah, mereka akan merayu "Encik kompaun saja saya sudahlah". Alangkah mengaibkan jika seorang itu diseret ke mahkamah kerana kesalahan membuang sampah ke tempat awam, contohnya.

Dan jabatan lama saya kekal dengan tabiat lama mereka iaitu suka mengompaun. Ini terbukti apabila sudah pencen ini saya sering mengutarakan aduan secara rasmi (dan menjadi kacauganggu) kepada mereka. Tiap kali saya mengadu jawapannya ialah "Orang yang diadu sudah dikenakan kompaun". Kes selesai (sekurang-kurang bagi mereka).                                                  

Tetapi sekurang-kurangnya saya tidak dikompaun kerana 'mengacauganggu' mereka.

Monday, July 13, 2026

Ada kemungkinan saya akan mengamuk.

Saya tertarik dengan cerita kekecohan yang berlaku di Low Yat Plaza, Kuala Lumpur dua malam berturut-turut baru-baru ini, Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberikan pendapat saya mengenai perkara itu.

Saya telah mula bergaul dengan masyarakat Cina Malaysia sejak beberapa lama. Contohnya selepas peristiwa 13 Mei 1969 saya telah berpindah ke Flet Tun Dr. Ismail, Seremban yang banyak diskosongkan oleh orang Melayu. Di situ saya berjiran kiri, kanan, atas dan bawah dengan masyarakat Cina. Sila lihat di sini. Ini saya lakukan walau pun sebelumnya saya bersekolah rendah di kampung dan kemudian masuk ke satu sekolah berasrama penuh yang pelajarnya 99% Melayu.

Kemudian apabila saya ditukarkan ke Kelantan pada tahun 1972 seorang kawan sejabatan saya berbangsa Cina memilih untuk tidur di rumah saya pada hujung-hujung minggu walau pun tempat tidur rasmi disediakan untuknya. Di Kelantan juga walau pun kompleks jabatan saya dikelilingi oleh kampung-kampung Melayu saya berjiran dengan seorang staff berbangsa Cina. Sila juga lihat di sini.

Dari itu apabila saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mulai tahun 1973 saya tidak mempunyai masalah bergaul dengan staff dan pelanggan berbangsa Cina walau pun ramai staff saya yang kuat sifat perkauman mereka. Sila juga lihat di sini. 

Entah macam mana saya berkawan baik dengan seorang penjual aksesori kereta berbangsa Cina dan ini tidak disenangi oleh boss saya. Boss saya ini, seorang 'racist' pernah mengarahkan saya memutuskan hubungan dengan kawan ini dengan alasan kawan saya menjadi pengantara saya menerima rasuah. Saya terus menolak arahan boss saya dengan jawapan jika saya menerima rasuah sudah tentu kereta saya penuh dengan aksesori. Pada hal tiada.

Untuk pengetahuan, jiran belakang rumah saya juga berbangsa Cina. Jika saya seorang racist sudah tentu saya tidak mahu membeli rumah saya sekarang. Juga saya tidak akan mempelawa jiran saya ke majlis Hari Raya, kenduri pertunangan dan perkahwinan anak saya dan akhirnya aqiqah cucu saya Sg. Buloh, Selangor baru-baru ini.

Mereka juga tudak akan memberi saya satu kotak lima mandarin dan mempelawa saya melihat tarian singa di rumah mereka tiap-tiap Tahun Baru Cina.

Sehingga pencen pun saya masih berkawan dengan kawan Cina saya ini dan kebetulan pula kami telah berpindah rumah yang menyebabkan kami tinggal berhampiran. Sudah menjadi perkara biasa bagi kami mengeteh dengan saya memakai kain sarung, berbaju Melayu dan berketayap selepas solat Isyak di surau dan dia berseluar pendek sahaja. 

Dari kawan saya ini saya belajar bagaimana orang Cina membeli barang dibandingkan dengan orang Melayu. Ini dari pengalamannya sebagai seorang peniaga. Katanya orang Cina akan pergi ke beberapa kedai untuk membandingkan harga dan kemudian membeli dari kedai yang menawarkan harga paling murah. Sedangkan orang Melayu akan hanya singgah di satu kedai dan cuba tawar menawar di situ.

Ini saya alami baru-baru ini apabila saya bertanyakan harga skrin Samsung Galaxy Tab saya yang retak. Kedai pertama menawarkan harga seratus ringgit lebih untuk skrin tersebut. Tetapi kedai kedua menawarkan harga lebih dua ratus ringgit. Tetapi saya fikir tidak perlu menukar skrin tersebut sekarang kerana Tab itu masih boleh digunakan. 

Bayangkan saya terus pergi ke dedai kedua dan menukar skrin itu dengan harga yang ditawarkan. Kemudian saya dapat tahu dari kedai pertama bahawa harga sebenar ialah setengah dari itu.

Ada kemungkinan saya akan mengamuk.   

Tuesday, June 30, 2026

Bila makan di restoran - Bahagian 2


Saya pernah menceritakan makan di satu restoran dan terasa membayar lebih dari apa yang perlu. Sila klik di sini. Semalam saya terbaca di Facebook ada seorang lagi terkena seperti saya. Dia sempat hantar gambar resit yang dibayar seperti di atas.

Katanya dia datang 15 orang dan diberi 5 meja di mana setiap meja untuk 3 orang. Jika dilihat dari resit setiap meja memesan 7 jenis lauk selain nasi, dessert dan air (fresh orange RM 20 satu jug, mahal beb). 

Tetapi tiap meja 3 orang itu memesan 7 jenis lauk untuk makanan 3 orang setiap lauk. Ini bermakna mereka memesan lauk untuk makanan 3 x 7 iaitu 21 orang. Akhirnya bil untuk setiap meja (3 orang) ialah RM 167.50. Bermakna perata seorang berbelanja 167.5/3 iaitu RM 55.83, phew. Seoalah-olah sama seperti berbuka puasa di hotel.

Tetapi jika mereka mengikut apa yang saya buat (setelah sama terkena) mereka sepatutnya memesan 7 jenis lauk untuk makanan 1 orang setiap jenis lauk. Ini menjadikan mereka membayar sejumlah RM 78.50 sahaja untuk satu meja menjadikan mereka berbelanja 78.5/3 iaitu RM 26.16 seorang dan berpatutan.  

Buat apa mengutuk restoran itu dan kempen supaya orang lain jangan mengunjunginya jika semua bermula dari silap sendiri? 

Saturday, June 20, 2026

Jalan Bukit Putus dan Bukit Tangga bukan lebuhraya!

Jambatan di Jalan Bukit Putus. Saya ambil gambar ini pada tahun 2009 apabila dia baharu sahaja dibuka. Perhatikan jalan menurun arah ke Seremban satu lorong sahaja. Di jambatan ini juga berlaku kemalangan mengakibatkan tiga orang maut malam tadi.


Apabila sahaja Jalan Bukit Putus yang baru dibuka pada tahun 2009, saya telah menulis mengenainya di sini (sila klik). Kali ini saya terpanggil untuk menulis sekali apabila terbaca mengenai beberapa kemalangan di atasnya, antaranya membawa maut.

Negeri Sembilan adalah unik jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Antaranya negeri kami mempunyai nombor. Juga kami tidak ada sungai yang sama nama dengan nama negeri. Tetapi satu lagi keunikanmya ialah negeri ini satu-satunya negeri yang dipisahkan oleh banjaran gunung.

Banjaran gunung yang dimaksudkan ialah Banjaran Gunung Besar atau the Main Range. Banjaran gunung ini memisahkan negeri Perak dengan Kelantan, Perak dengan Pahang, Selangor dengan Pahang dan akhirnya Negeri Sembilan dengan Negeri Sembilan. Oops, maksud saya Negeri Sembilan barat dengan Negeri Sembilan timur.

Secara spesifik Banjaran Gunung Besar memisahkan Daerah Seremban dengan Daerah Jelebu, Seremban dengan Kuala Pilah dan Rembau dengan Kuala Pilah. Ketiga-tiga pemisahan ini pula dihubungi oleh jalan-jalan bukit yang pada asalnya bengkang-bengkok tetapi sudah banyak diluruskan.

Jalan Bukit Tangga yang menghubungkan Seremban dengan Jelebu sudah hampir lurus. Jalan Bukit Putus yang menghubungkan Seremban dengan Kuala Pilah sudah lurus sepenuhnya. Cuma Jalan Miku yang menghubungi Rembau dengan Kuala Pilah masih bengkang-bengkok dan sempit.

Antara jalan-jalan itu Jalan Bukit Putus merupakan jalan yang paling sibuk. Kerana ia bukan sahaja menghubungkan Seremban dengan Kuala Pilah, tetapi Negeri Selangor dengan Negeri Pahang. Jalan ini cukup sibuk pada hujung-hujung minggu.

Tetapi ramai yang tidak sedar Jalan Bukit Putus dan Jalan Bukit Tangga bukan dilurus dan dibesarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjadi lebuhraya seperti Lubuhraya Karak, contohnya.

Jalan Bukit Tangga di sebelah Jelebu empat lorong sepenuhnya. Tetapi di sebelah Seremban ada yang empat lorong, tiga lorong dan dua lorong. Jalan Bukit Putus pula tiga lorong sepenuhnya.

Di lain perkataan di Jalan Bukit Putus cuma laluan mendaki sahaja yang mempunyai dua lorong. Tujuannya semata-mata supaya kenderaan yang bergerak perlahan semasa mendaki dapat dipotong. Ia bukan dibuat begitu untuk dijadikan lebuhraya. Tetapi cubalah kita lihat di kedua-dua muka bukit itu. Setiap pemandu cuba menunjukkan kehandalan mereka dengan memotong dan memandu laju.

Menurun bukit tidaklah sesusah mendaki. Oleh itu di Jalan Bukit Putus jalan menurun di kedua-dua muka bukit cuma selorong sahaja. Setiap pemandu diminta bersabar dan tidak memotong semasa menurun.

Saya percaya kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan yang menurun tidak sabar dan memotong kenderaan yang perlahan di hadapannya. Apabila dia berbuat demikian di hari tidak baik ia bertembung dengan kenderaan mendaki yang dipandu laju seperti di lebuhraya.

Saya ingin berkongsi pengalaman apabila melalui Jalan Bukit Tangga dan Bukit Putus. Bila mendaki saya akan memotong kenderaan yang perlahan, kemudian saya terus ke lorong kiri. Biarlah kenderaan yang lebih laju dari saya (dan memikirkan jalan itu lebuhraya) memotong saya pula.

Bila sampai ke puncak bukit saya terus tukar gear kereta kepada 'N' dan biarkan kereta bergerak secara graviti ke kaki bukit. Saya cuma memotong semasa menurun jika betul-betul perlu.

Saya tidak pernah menganggap Jalan Bukit Putus dan Bukit Tangga sebagai lebuhraya. 

Thursday, June 11, 2026

Apa perlu beri dia kain sarong?

Kes Pertama:

Seperti biasa bila tiba musim Raya anak-anak jiran berkunjung ke rumah saya. Tujuan mereka cuma satu, iaitu untuk dapat duit raya. Satu hari tu seorang dari mereka yang berumur lebih kurang lima tahun datang tanpa memakai baju. Saya terus mengarahkannya balik dan datang semula dengan memakai baju.


Kes Kedua:

Beberapa tahun sebelumnya, saya menjadi aggota kawad jabatan di mana kami selalu menang dalam perarakan Hari Merdeka. Salah satu keistimewaan kami ialah dianggotai dari berbagai peringkat umur, bangsa, lelaki dan perempuan. 

Oleh kerana jabatan kami tidak putus-putus menerima penuntut institut pengajian tinggi (IPT) untuk menjalankan latihan praktikal, mereka juga kami pelawa menjadi anggota kawad. Sudah tentu mereka suka kerana mendapat pakaian percuma dan sebagainya.

Di satu tahun itu ada seorang penuntut perempuan India menyertai pasukan kawad kami. Dia giat berlatih bersama-sama kami, tetapi di saat-saat akhir menarik diri. Sebabnya ialah di Hari Merdeka yang sebenar dia terpaksa memakai pakaian bertudung. Dia tidak ada masalah memakai tudung untuk sehari itu sahaja, tetapi keluarganya tidak membenarkan kerana menganggap tudung ialah pakaian untuk orang Islam atau pun satu pakaian keagamaan.

Saya membangkitkan dua kes itu ekoran seorang perempuan Cina yang datang ke satu pejabat JPJ dengan pakaian bermula di atas lutut dan dipinjamkan sehelai kain sarong untuk menutupnya. Kemudian dia seolah-olah memperlekehkan pemberian kain sarong itu.

Seperti kes pertama di mana kita mahu sesiapa yang datang ke rumah atau pejabat kita berpakaian bersopan, ada juga diantara kita yang sensitif dengan pakaian seperti kes kedua itu. Contoh lain ialah perempuan Melayu tidak mahu memakai sari kerana menampakkan perut. Begitu juga kita sensitif jika lelaki Melayu diminta memakai seperti Santa Claus di musim Krismas.

Mungkin itulah perasaan perempuan Cina itu. Dia tahu dengan memakai sarong dia lebih bersopan, tetapi mungkin menganggap kain sarong bukan pakaian untuk bangsanya, Sehingga dia menulis 'Saya tidak tahu hendak ketawa atau mengangis'. 

Kalau saya berada di tempat kakitangan Rela yang memberikannya kain sarong itu saya tidak akan memberikan dia apa-apa pakaian alternatif. Saya akan suruh dia pulang dan datang semula dengan pakaian yang lebih sopan.

Oh ya, beberapa hari lepas sebelum isu kain sarong ini keluar, Ustaz yang memberi kuliah di surau saya berkata pakaian perempuan Cina di Malaysia mengalahkan orang Hong Kong. Tentu Ustaz itu bercakap benar, kerana dia baharu sahaja balik dari sana.

Thursday, May 14, 2026

Buat apa nama glamour kalau takut?

Sampah bertaburan kerana tiada tong.

Ceritanya senang sahaja iaitu sebuah pasar mini berhampiran rumah saya tidak menyediakan tong sampah walau pun sudah dibuka hampir dua bulan. Bagi saya yang pernah bekerja dengan satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pengurusan sampah menjadi sebahagian dari tugas saya, tentulah saya merasa 'phobia' melihat sampah bertaburan akibat tiada tong sampah.

Saya telah membuat aduan secara rasmi kepada PBT melalui sistem yang dinamakan ePublic. Agak melucukan juga ya, kerana semasa bekerja dulu saya menjadi seorang daripada 'desk oficers' yang memantau aduan yang dibuat oleh orang ramai (public) melaui sistem ini. Sekarang saya pula menjadi seorang 'public' yang mengadu melalui sistem itu.

Cuma yang saya tahu aduan tetap aduan, tidak kira bagaimana ia disampaikan. Saya terus mengambil tindakan terhadap segala aduan dan tidak pernah mengambil tahu siapa yang mengadu. Sehingga apabila ditanya oleh orang yang diadu siapa yang mengadu, saya selalu menjawab 'sayalah yang mengadu'. 

Rupa-rupanya ayat tiga perkataan yang selalu saya gunakan semasa kerja dulu menjadi realiti sekarang. Kerana sekarang saya sering menjadi pengadu yang sah dan tidak boleh mengaku secara olok-olok seperti dulu.

Saya telah diminta menalipon pihak itu dan pihak ini. Saya juga memasukkan gambar seperti di atas di laman sosial 'facebook'. Saya juga diberi nombor talipon bimbit seorang yan bertanggung jawab di satu badan yang diberi nama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam atau PPSPPA. Pegawai itu pula tidak puas hati dengan saya bercakap sahaja dengannya melalui telefon. Dia minta saya hantar gambar di atas melalui apa yang dinamakan 'Whatsapp'. 

Nasib baiklah orang tua ini tidak mahu kalah dengan gadjet sekarang. Orang ada facebook, saya ada facebook. Orang ada Whatsapp, saya ada Whatsapp. Cuma tak ramai yang ada blog seperti saya ada blog.

Tetapi lepas hantar gambar di Whatsapp pun keadaan masih tidak berubah, Kedai itu masih tidak mempunyai tong sampah, walau pun kedai-kedai lain yang juga baru dibuka menyediakannya.

Kemudian saya tahu rupa-rupanya PPSPPA sudah mempunyai nama lain iaitu SWCorp. Agaknya dengan nama agak glamour itu mereka akan digeruni. Lebih-labih lagi 'Corp' hampir sama dengan 'cop' yang bermaksud polis. Rupa-rupa tidak,

Kerana saya akhirnya menerima pesanan SMS dari pegawai yang saya hantar gambar melalui Whatsapp itu supaya saya membuat aduan rasmi dengan memberi nombor telefon di mana saya boleh mengadu. Jadi keadaan ini menjadi 'back to square one' kata orang puteh, 

Supaya keadaan tidak menjadi lebih serious saya pun menalipon SWCorp di nombor telefon tersebut dengan memberi butir-butir lengkap saya seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor rumah dan nombor telefon saya. 

Apa yang saya nak takutkan. Adakah saya akan dikenakan tindakan tatatertib? Siapa yang hendak mengambil tindakan tatatertib terhadp saya? Saya ingat pelakun Clint Eastwood sekarang bebas mengarah filem tanpa takut dengan berkata 'I am an old man, what can they do to me?'

Kepada SWCorp saya nak tanya "Buat apa nama glamour kalau takut?"

Wednesday, April 29, 2026

Tolong jangan ambil kesempatan atas kesedihan orang.

Entah macam mana saya kurang idea untuk menulis di blog saya pada bulan April 2015 ini. Orang banyak bercakap mengenai G.S.T. tetapi saya malas hendak menyentuh tentannya. Walau bagaimana pun hati saya tersentuh semalam (28 April 2026) dan dari itu saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca yang sudi membaca tulisan saya ini.

Semalam saya mendengar tiga cerita berkenaan orang bersara seperti berikut:


Cerita 1.

Pagi semalam saya singgah di sebuah warung untuk minum pagi, Di situ saya duduk semeja dengan seorang lelaki Cina yang saya agak berumur tujuh puluh tahun lebih yang saya rasa pernah melihatnya sebelum ini. Di depannya ialah sebungkus ubat-ubat. Saya tanya adakah dia seorang pesara kerajaan. Jawapannya 'ya' dan rupa-rupanya dia seorang mantan Wakil Rakyat.

Saya tanya lagi adakah dia membeli ubat-ubat tersebut?  Sekali lagi ia menjawab 'ya'. Soalan saya seterusnya berapa banyak kah dia berbelanja setiap bulan untuk membeli ubat? Jawapannya lebih kurang seribu ringgit.

Akhirnya saya tanya tahukah dia bahawa sebagai seorang pesara kerajaan dia boleh mendapat ubat secara percuma. Dia menjawab tahu tetapi dari pengalamannya ubat-ubat yang dibelinya tidak terdapat di hospital kerajaan kerana mahal. Dia pernah menerima preskripsi dari doktor kerajaan tetapi apabila mengambil ubat di farmasi ubat-ubat yang mahal itu dipotong dari senarai.

Saya nyatakan dalam kes tersebut dia boleh mendapat pengesahan dari doktor kerajaan bahawa ubat-ubat berkenaan tidak terdapat di hospital kerajaan. Dari itu dia boleh mendapatkannya di farmasi swasta secara percuma. Dia telah meminta alamat pejabat saya dan saya berjanji menolongnya jika dia datang. 


Cerita 2.  

Saya didatangi oleh dua orang perempuan Melayu adik-beradik sebapa tetapi lain-lain ibu. Bapa mereka seorang pesara Polis telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Sekarang ibu kepada si kakak sedang sakit.

Menurut mereka pencen bapa mereka terhenti begitu sahaja apabila ia meninggal dunia. Si kakak ada menalipon kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Pencen baru-baru ini dan diberitahu pencen bapa mereka masih ada tertunggak kerana tidak ada yang menuntutnya. 

Saya nyatakan isteri pertama atau ibu si kakak berhak mendapat tunggakan pencen itu dan seterusnya menerima pencen (disebut pencen terbitan) sehingga habis hayatnya. Saya telah memberi mereka borang-borang berkenaan dan menasihatkan mereka supaya pergi terus ke JPA Pencen di Putrajaya. 


Cerita 3.

Cerita ini bermula pada minggu lepas. Seorang lelaki India datang ke pejabat saya dan memberitahu bapanya seorang pesara kerajaan baru sahaja meninggal dunia. Ibunya pula sudah meninggal dunia sebelum ini. Saya bertanya adakah dia mempunyai adik yang berumur kurang dari 21 tahun? Jawabnya tiada. 

Saya memberitahu ini bermakna pencen bapanya terhenti dengan sendiri, Walau bagaimana pun keluarganya boleh menuntut bayaran mengurus jenazah sebanyak RM3,000.00. Saya pun memberikan borang berkenaan kepadanya.

Esok harinya (Jumaat 17 April 2026) dia datang lagi membawa borang yang sudah lengkap. Saya terus mengeposnya dengan surat iringan kepada JPA Pencen. 

Pagi semalam saya menerima panggilan talipon darinya bertanyakan adakah saya sudah mengepos permohonannya. Saya jawab telah mengeposnya di hari yang sama. Dia berkata semalam (Isnin 20 April 2026) ada menerima panggilan talipon dari seorang yang mengaku dari JPA Pencen meminta dibayar RM 1,200 sebagai bayaran proses sebelum permohonannya diluluskan. 

Saya terus menjawab supaya dia tidak membayar apa-apa. Kemudian saya fikir mungkin benar seorang kakitangan kerajaan telah menghubunginya dan menuntut wang tersebut. Tetapi ini agak menghairankan saya kerana surat yang hantar di hari Jumaat melalui Pos Malaysia telah sampai ke tangan penerima pada hari Isnin berikutnya, satu perkara yang jarang-jarang berlaku sekarang.  

Atau mungkin juga ada pihak ketiga yang tahu keluarga ini akan menerima wang beribu ringgit jumlahnya cuba mengambil kesempatan.

Walau bagaimana pun cubaan mendapatkan wang dari keluarga yang baru sahaja menerima satu balasungkawa adalah perbuatan yang tidak boleh diterima di mana-mana masyarakat pun.

Thursday, April 2, 2026

Tahniah KFC kerana menarik pelanggan cara ini!


Saya nampak iklan ini. Saya tertarik dan terus masuk ke dalam.


Di kaunter saya nampak notis ini. Walau pun ia dalam Bahasa Inggeris kerana sebab-sebab mereka sahaja yang tahu, saya masih memahaminya. Jangan risaukan GST, katanya.

Saya terus pesan Super Jimat Box.
Saya diminta membayar RM 9.45 seperti diiklan. Wow, ini cukup bagus. 

Tetapi apabila saya lihat di bawah resit ternyata harga sebenar Super Jimat Box itu ialah RM 8.91. Ditambah G.S.T sebanyak .54 sen, menjadikan jumlah semua RM 9.45 seperti diiklankan. Jadi masih ada G.S.T. lah ya.

Tahniah KFC kerana menarik pelanggan cara ini.

Saturday, March 21, 2026

Sampai bila kita asyik mementing diri?

Ini bukan tempat letak kereta, tetapi tempat kereta/bas/lori/motosikal mengisi angin dan air.  

Tengah hari tadi saya ke Bahau, Negeri Sembilan untuk kenduri kahwin anak kawan pesara saya. Di Paroi, Seremban saya mengisi minyak kereta. Saya perhatikan banyak kereta menunggu untuk di isi minyak. Saya bernasib baik kerana ternampak satu kereta sedang bergerak keluar dan saya pun mengambil tempatnya tanpa beratur.

Kemudian saya pergi ke tempat memasukkan angin. Saya perhatikan ada tiga kereta sudah diletak di situ, tetapi bukan untuk diisi angin. Pemandunya sama ada pergi ke tandas atau masuk ke dalam kedai stesen untuk membeli barangan atau mengeluarkan duit dari mesin ATM.

Sekali lagi saya bernasib baik kerana masih ada ruang untuk saya meletak kereta dan mengisi angin. Setelah diisi angin saya mengalihkan kereta ke depan kedai dan mengeluarkan wang dari mesin ATM tanpa menghalang sesiapa.

Sampai ke rumah kenduri sekali lagi saya bernasib baik kerana ternampak sebuah kereta hendak keluar dan saya menggantikan tempatnya, Dapatlah saya meletak kereta beberapa meter sahaja dari khemah kenduri.

Semasa makan saya terdengar beberapa kali juruacara majlis meminta tuan punya kereta bernombor sekian sekian mengalihkan kereta kerana menghalang, Sehingga semasa balik saya perhatikan ada kereta yang tadi disebut nombornya masih tidak dialihkan dan masih menghalang. 

Saya terfikir jika pemandunya sedang enak makan adakah dia hendak meninggalkan makanannya dan mengalihkan kereta? Tentu tidak, kerana jika di berbuat demikian silap-silap tempat duduknya akan diambil orang. Peduli apa orang lain susah.

Saya teringat kereta-kereta di stesen minyak tadi. Bukan sahaja di situ ada orang yang mementingkan diri, tetapi di majlis kahwin ini juga. Orang kita seolah-olah malas untuk berjalan jauh sedikit untuk meletak kereta yang tidak menghalang dan menyusahkan orang lain.  

Mungkin pemandu yang mementingkan diri itu ada membawa keluarga termasuk anak-anak bersama. Tidak malukah mereka kepada anak-anak mereka yang tahu tindakan bapa mereka adalah salah? Agaknya pemandu begini berbuat demikian setelah melihat bapa mereka berbuat demikian semasa kecil dulu. Akirnya perangai mementingkan diri ini akan berterusan ke anak cucu.

Untuk pengetahuan pembaca nombor kereta saya belum pernah disebut kerana menghalang kereta orang, melainkan sekali. Ini berlaku di Klinik Kesihatan Ampangan, Seremban beberapa tahun yang lalu. Bila saya keluar saya perhatikan saya 'menghalang' sebuah kereta Volvo yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu tua. 

Mula-mula saya teringin untuk meminta kunci darinya kerana keretanya tidak dihalang oleh kereta saya pun. Cuma ruang antara keretanya dengan kereta saya agak sempit. Ini biasalah di Klinik Kesihatan Ampangan itu sehingga hari ini. Tetapi bagi pemandu Volvo ini ia masih tidak cukup untuk limusinnya keluar.

Apa saya buat seterusnya ialah memberinya ruang satu meter antara keretanya dengan kereta saya dan saya masuk semula ke klinik tanpa memandang mukanya. Kalau dia masih belum puas hati tak tahulah saya.

Untuk berlaku adil kepada manusia yang mementingkan diri itu, orang seperti pemandu Volvo ini pun ada dalam dunia ini.  

Wednesday, March 11, 2026

Biarlah orang kata saya menyibuk....

Saya mula prihatin kepada nombor jalan apabila menghantar sepupu kepada isteri saya kahwin di Alor Setar, Kedah pada tahun 1991. Di masa itu Lebuhraya PLUS belum siap sepenuhnya dan di Parit Buntar, Perak saya mengikuti biras saya yang sudah biasa dengan kawasan itu melencong ke kanan dan masuk ke Negeri Kedah untuk keluar semula di Sungai Petani. Tujuannya ialah untuk mengelak kesesakan lalulintas di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Di Kedah keadaan jalan kurang baik dan arwah ibu mertua saya yang duduk di belakang asyik membebel mengenainya. Saya perhatikan nombor-nombor jalan bermula dengan huruf K dan dari itu saya tahu kami menyusur jalan-jalan negeri dan sudah tentu keadaannya tidak sebaik jalan persekutuan. Tetapi saya tidak menceritakan perkara ini kepada mertua kerana takut dia akan menjawab "Di Melaka (kampungnya) kenapa jalan semua baik?"

Ya, jalan-jalan di Melaka, baik jalan persekutuan atau jalan negeri baik-baik belaka dari dulu hingga sekarang.  

Sejak itu nombor jalan menjadi panduan saya hendak ke mana-mana. Apabila saya mula menggunakan GPS Navigator saya tidak lagi berpandu kepada nombor-nombor jalan. Tetapi apa yang meyakinkan saya ialah apa yang ditera dan disebut oleh Navigator itu selari dengan apa yang ada di atas jalan. 

Beberapa bulan dulu semasa pelancaran perumahan PR1MA oleh Y.A.B. Perdana Menteri Tan Sri Najib di Seremban saya telah mengambil gambar arah ke projek itu di Bukit Tembok, Seremban. Tetapi apabila saya teliti gambar, terdapat sedikit kesilapan di mana jalan Seremban - Port Dickson ditulis sebagai B3 iaitu satu jalan negeri di Negeri Selangor. Saya terus membuat aduan dan Alhamdulillah pihak JKR telah membetulkannya ke nombor yang betul iaitu 53.

Baru-baru ini apabila saya balik kampung ke Jelebu, saya perhatikan Jalan Sikamat yang sebelum ini tidak bernombor, telah diberi nombor 47. Ini bermakna ia telah dinaiktaraf menjadi jalan persekutuan. Saya pun mengambil gambar satu batu tanda (milestone) dengan tujuan menguji kawan-kawan saya di laman sosial Facebook. 

Semasa mengambil gambar saya sedar jarak yang ditulis di batu itu dan batu lain adalah salah. Contohnya di Bandar Warisan Puteri yang hanya 6 km dari bandar Seremban ditulis 12 km. Mana larinya 6 km lagi? Gambar itu saya poskan ke Facebook.

Walau pun kebanyakannya saya menerima komen yang positif, ada juga satu dua orang yang memberi komen negatif. Ada seorang itu menulis "Tak ado bondo lain yang lobih baik ko nak ditunjuk kek sini? (Facebook)" Tak tahulah saya jika apa yang saya tunjuk itu bondo bughok.

Tetapi bagi saya fakta atau maklumat kena betul dan tepat. Saya ada melihat di program 'Air Crash Investigations' di TV di mana sebuah pesawat terhempas kerana staff di Air Traffic Control (ATC) memberi maklumat kurang tepat kepada juruterbang. Baru-baru ini pula saya terbaca seorang staff yang menjaga ATC di KLIA tidur semasa pesawat MH370 hilang? Camno tu?

Mungkin di darat kesilapan di batu tanda tidak menyebabkan kemalangan. Tetapi beberapa tahun dulu Jalan Sikamat di Seremban pernah menjadi laluan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi. Bayangkan perlumbaan itu melalui Jalan Sikamat sekali lagi. Di batu tanda 12 km agaknya para pelumba masih relaks. Tetapi 2 km di hadapan tiba-tiba mereka nampak papan tanda '4 KM TO FINISH'. Tak ke haru biru dibuatnya. Pelumba yang relaks di belakang mungkin tak terkejar pelumba di hadapan.

Berbalik kepada laluan 47 di Sikamat, Seremban, baru-baru ini saya menunjukkan gambar batu jalan itu kepada seorang kawan yang bekerja dengan JKR. Dia terperanjat dan mengatakan sebenarnya jalan itu ialah jalan negeri, Negeri Sembilan dan sepatutnyaa ada huruf N sebelum nombor 47.Camno tu? Kalau masuk periksa JKR Seremban atau Negeri Sembilan sudah 'fail'.

Mengenai jalan-jalan di Melaka, mengikut kawan saya tadi pihak berkuasa tempatan (PBT) di sana memberikan data-data setiap jalan, lama dan baru kepada JKR. Berdasarkan data-data itu JKR menyalurkan peruntukan kepada PBT. Itu sebabnya jalan-jalan di negeri itu baik-baik belaka.

Biarlah orang kata saya penyibuk. Bagi saya setiap fakta kena betul. 


Laluan Seremban - Port Dickson ditulis B3, satu jalan negeri di Selangor. Ia sudah dibetulkan.

Batu menunjukkan Seremban lagi 12 km, sedangkan ia cuma 6 km. Nombor 47 bermakna Jalan Sikamat sudah menjadi laluan persekutuan. Betul ke?

Inilah hasil kerja menyibuk saya. Data dibatu telah dibetulkan. Huruf N ditambah sebelum nombor 47 bermakna jalan ini ialah jalan negeri, Negeri Sembilan dan bukan Laluan Persekutuan. 11 (km) telah menjadi 7 (km). Orang Pantai dan Jelebu jangan risau. Soghomban dah jadi dokek 5 km.

Tuesday, March 10, 2026

Kali ketiga bererti serangan musuh.

Dalam satu filem tontonan saya ada disebut "Dalam risikan tentera musibah kali pertama diluar jangka, musibah kali kedua kebetulan, tetapi musibah kali ketiga bererti serangan musuh". 

Musibah yang ingin saya kaitkan di sini ialah mengenai satu tiang meter letak kereta berkembar di satu kawasan kedai di bandar Seremban berhampiran dengan pejabat saya. Ia telah menimpa musibah bukan setakat tiga kali, tetapi berpuluh dan mungkin beratus kali.

Saya mula curiga dengan musibah ini apabila melihat sebuah kereta Kancil hijau diletakkan di tengah-tengah jalan di kawasan ini (seperti gambar pertama dibawah). Kemudian saya merumuskan bahawa tuan punya Kancil itu telah 'menempah' dua petak letak kereta di kiri kanan satu tiang meter letak kereta sedangkan tidak ada tulisan 'KHAS' di kedua petak tersebut.

Kenapa dia 'tempah' dua petak tersebut? Kerana meternya ditulis ROSAK. Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali (serangan musuh), tetapi berpuluh dan mungkin beratus kali. 

Jadi apa pihak berkuasa buat? Tuhan sahaja yang tahu. Saya pernah mengadu secara rasmi dan tidak rasmi kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Tetapi mengetahui MPS kerana pernah bekerja 37 tahun dengannya, tindakan mereka ibarat 'pahat dengan pemukul'. Sekali adu, sekali bertindak.

Lebih-lebih lagi meter itu bukan kepunyaan mereka. Ia dikontrak kepada pihak swasta walau pun MPS mempunyai kuasa menyaman mereka yang tidak meletakkan duit ke dalamnya. Tetapi jika meter ditulis ROSAK, MPS tak boleh buat apa-apa walau pun ini bermakna hasil mereka berkurangan kerana tidak dapat hasil dari saman.

Setelah jemu menjadi pahat semalam saya telah menalipon syarikat meter itu dengan memberi satu nombor meter yang jelas nampak dari pejabat saya. Mereka kata akan datang menyiasat. Pagi tadi saya perhatikan meter yang diadu sudah baik, tetapi kembarnya masih ROSAK dan saya telah menalipon sekali lagi dan kali ini saya sendiri melihat seorang kakitangan mereka datang (seperti gambar kedua di bawah).

Saya perhatikan kakitangan itu mengeluarkan satu kertas yang dilipat yang dimasukkan ke slot duit. Kertas ini telah meROSAKkan meter itu. Bila ketas ditarik keluar, meter tidak ROSAK lagi. Alamak, senangnya meROSAKkan meter letak kereta. 

Apa yang menarik saya lagi ialah jika beberapa bulan dulu ada sebuah kerata Kancil hijau diletakkan di tengah-tengah jalan sebelah meter tersebut, kali ini terdapat sebuah kereta Naza Suria berwarna oren pula. Saya percaya tuan punya kedua-dua kereta adalah orang sama.

Mungkin kerana lepas dari membayar duit meter letak kereta begitu lama, tuan punya kereta Kancil sanggup menukar kereta.

Mungkin orang menganggap saya menyibuk dalam hal ini, sedangkan saya tidak ada apa-apa lagi dengan MPS. Siapa kata tidak ada apa-apa? Walau pun pencen saya dibayar oleh Kerajaan Malaysia, MPS masih membiaya kos perubatan saya dan keluarga, jika perlu. 

Bayangkan semua meter letak kereta di bandar Seremban diROSAKkan dan tiada pungutan dari meter atau saman letak kereta. Ini akan menyebabkan MPS kekurangan peruntukan. Mungkin MPS akan memotong peruntukan perubatan untuk kakitangan dan bekas kakitangan mereka. 

Oleh itu kepada kakitangan MPS yang masih bertugas saya harap JANGAN MARE.
  
Sekian.  

Gambar beberapa bulan dulu. Kereta Kancil diletak di tengah-tengah jalan. Semasa diletak petak-petak dikanannya disi kereta.

Gambar tengah hari tadi. Kereta Naza Suria yang saya percaya dipunyai oleh orang yang sama diletak tepat di tempat yang sama. Ia menunggu kereta hitam di petak ROSAK keluar. Sila juga lihat kakitangan syarikat meter memeriksa meternya. Juga perhatikan kereta Kancil didepan tu dikenakan saman sedangkan kereta yang diletak di tengah-tengah jalan tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Monday, March 2, 2026

Agaknya saya kena pakai tongkat.


Petang tadi saya menaiki KTM Komuter dari KL Sentral ke Senawang. Sejak KTMB mengenalkan tren Komuter enam koc keadaannya tidaklah sesak seperti dahulu. Tetapi mungkin kerana saya naik semasa waktu puncak (lebih kurang pukul 6.15 petang) saya terperangkap juga dalam kesesakan.

Mula-mula saya fikir masuk koc yang salah kerana ramai perempuan keliling saya. Saya sempat bertanya kepada seorang perempuan yang sama-sama berdiri dan dia menjawab tidak. Biasanya dalam keadaan begini ada penumpang yang menawarkan tempat duduk kepada saya. Tetapi nasib saya tidak begitu baik kali ini.

Saya perhatikan mereka yang duduk baik lelaki atau perempuan sama ada tidur, pura-pura tidur atau bermain-main dengan telefon pintar mereka. Mereka langsung tidak hendak tahu sama ada ada orang lain yang memerlukan tempat duduk dari mereka.

Apa yang cukup membengangkan saya ialah mereka yang duduk di tempat duduk yang berlabel seperti di atas. Ada tiga kerusi berderet di bawah label itu. Saya perhatikan ketiga-tiga penghuninnya tidak langsung menepati mana-mana ciri yang disyaratkan di label tersebut.

Mereka terdiri dari tiga orang perempuan Melayu muda-muda belaka, Dua daripadanya sama ada tidur atau pura-pura tidur. Tetapi jika tidur mereka tahu pula di stesen mana mereka patut turun. Seorang lagi pula asyik bermian dengan telefon bimbitnya. 

Pertama saya tidak puas hati kerana mereka tidak berada di koc-koc yang dikhaskan untuk perempuan yang tidak ditemani lelaki. Kedua mereka tidak mendukung kanak-kanak atau jelas mengandung seperti disyaratkan di label atas kepala mereka. 

Bagaimana pula saya? Betul saya tidak bertongkat atau berbalut kaki, juga seperti di label itu. Tetapi saya perhatikan dalam koc itu tadi sayalah yang paling tua dan sudah pasti sayalah PENUMPANG YANG PALING KURANG UPAYA seperti di label itu. Tetapi saya tidak dipedulikan.

Di Bandar Tasik Selatan seorang dari tiga perempuan itu turun dan seorang perempuan muda Melayu yang mula-mula berdiri menggantikannya. Apabila seorang lagi perempuan itu turun di Kajang baharulah saya dapat duduk.    

Agaknya lain kali saya kena pakai tongkat untuk mendapat perhatian!   

Tuesday, January 27, 2026

Oh, rupa-rupanya meter tu rosak!

Sudahlah letak kereta di luar petak,di tengah-tengah jalan pulak tu dan melawan arus.

Saya merasa hairan melihatkan kereta Kancil hijau seperti di gambar di atas sering diletakkan begitu rupa. Sudahlah di luar petak yang diwajibkan, tetapi di tengah jalan dan melawan arus pulak tu. Ini sudah berlaku dan berlalu berbulan-bulan lamanya. 

Baru tadi saya dapat jawapannya. Meter berwarna kuning di sebelah kereta itu sebenarnya rosak. Kenapa meter itu tidak dibaiki Allah dan mereka yang berkuasa tentangnya sahaja yang tahu. 

Pemilik kereta Kancil itu tahu jika ia meletak kereta di petak meter yang rosak itu tidak ada apa-apa tindakan boleh diambil kepadanya. Setiap pagi dia akan cuba melatak kereta di petak itu. Tetapi jika sudah ada kereta diletak di situ bagaimana?

Jawapanya seperti gambar di atas. Dia akan meletak kereta Kancilnya di luar petak itu dan bersebelahan dengan kereta tadi seolah-olah memberi notis kepada tuan punya kereta itu bahawa 'petak ini aku yang punya'. 

Bila kereta dalam petak itu keluar sudah tentu tidak ada yang berani menggantikan tempatnya melihatkan ada kereta Kancil di sebelahnya. Kemudian kereta Kancil itu akan masuk ke petak itu dengan tiada sesiapa yang boleh mengambil tindakan kerana meternya rosak.

Dalam pada itu pihak berkuasa yang diberi tugas menjag tempat letak kereta ini rugi kerana tidak mendapat hasil dari meter yang rosak itu.

Sekian.