Showing posts with label Sdara. Show all posts
Showing posts with label Sdara. Show all posts

Saturday, March 18, 2026

Bila 'jiran-jiran' datang berkunjung.



Tajuk pos saya kali ini berbentuk kiasan. 'Jiran-jiran' yang saya maksudkan ialah mereka yang sekarang bekerja di Muzium Pendidikan Nasional, Univesiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Mereka berkunjung ke rumah saya tiga hari yang lepas bersamaan Hari Rabu 15 Mac 2017. Ini kerana saya pernah menjadi 'jiran' mereka lebih setengah abad yang lalu, bila mereka semua belum dilahirkan. Saya pernah bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim yang berjiran dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau Sultan Idris Training College (SITC) yang sekarang sudah dinaiktaraf menajdi UPSI.

Bangunan-bangunan lama SDAR ditolak dengan empat bangunan asrama dan satu gimnasium yang telah dirobohkan menjadi sebahagian dari UPSI sekarang. 

'Jiran-jiran' ini hanya mendapat tahu bahawa sebahagian dari bangunan-bangunan UPSI pernah menempatkan SDAR bila membaca blog saya  "Melawat sekolah lama". Mereka berhubung dengan saya pada mulanya melalui laman sosial Facebook. Dari itu berpindah ke telefon bimbit dan akhirnya mereka menyatakan hajat hendak bertemu muka sendiri dengan saya.

Mereka sedang menambah bahan untuk Muzium Pendidikan Nasional yang ditempatkan di bangunan yang bernama Suluh Budiman, UPSI. Saya ada melihat gambar Suluh Budiman di masa saya bersekolah rendah lagi. Bila saya berjaya masuk ke SDAR pada tahun 1962 saya melalui bangunan Suluh Budiman hampir tiga kali seminggu. Ini kerana kami murid-murid SDAR terpaksa melalui kompleks MPSI untuk pergi ke padang sekolah.   

'Jiran-jiran' ini hendak memasukkan bahan-bahan mengenai SDAR semasa di Tanjong Malim di galeri Muzium mereka. Dari mula lagi saya nyatakan bahawa saya bukanlah pakar atau pihak berkuasa untuk menyediakan bahan-bahan yang mereka perlukan. Tetapi bagi mereka kunjungan mereka ini ialah titik permulaan untuk mendapatkan banyak lagi bahan. Dari itu saya sempat memberikan pentunjuk seperti nombor-nombor telefon kepada mereka.

Antara soalan yang mereka ajukan kepada saya ialah bagaimanakah hubungan SDAR dengan MPSI semasa kami berjiran. Saya terus jawab 'dingin' dan jawapan lanjut ada saya tulis dalam blog saya "Berjiran tapi tidak bertegur sapa".

Sebenarnya kunjungan 'jiran-jiran' ini merupakan satu-satunya peristiwa di mana terdapat hubungan antara saya dengan MPSI, walau pun berbentuk kiasan. Ini kerana saya bukan lagi murid SDAR dan 'jiran-jiran' yang saya maksudkan belum lahir lagi semasa saya belajar di SDAR.

Biarlah gambar-gambar berikut menceritakan lebih lanjut.

Saya menerima cenderamata yang amat berharga dari ketua 'jiran' yang berkunjung, En. Muhammad Zu Shimalain bin Azizul.

Kami bergambar ramai. Jangan salah faham dengan 'jiran' yang tidak bertudung itu, kerana namanya Florence, beragama Kristian dari Sarawak.

Antara cenderamata berharga yang saya terima, buku ini.

Bangunan Suluh Budiman yang sekarang menempatkan Muzium Pendidikan Nasional.

DEWAN RAHMAN TALIB, dulu dewan besar SDAR, sekarang milik UPSI tetapi masih kekal dengan nama lama. Syukur Alhamdulillah bangunan ini tidak dirobohkan.

Cerita mengenai Dato' Abdul Rahman Talib terdapat dalam buku "SITC DALAM GERAKAN KESEDARAN BANGSA". Allahyarhamlah yang merasmikan dewan yang diberi namanya semasa saya masih belajar di SDAR. Baru saya tahu Allahyarham juga bekas penuntut MPSI Tg. Malim.

Sekian.

Sunday, October 16, 2025

Biarkan telur tinggal dalam pasir....

 Seorang budak memegang dua ekor anak penyu baru menetas. Kalau penyu itu berjaya menjadi dewasa saiznya akan melebehi saiz budak ini. Di belakang ialah tempat penetasan atau 'hatchery' yang diusahakan oleh Pak Su

Kesian bila saya memikirkan dari 1,000 ekor penyu yang menetas, cuma seekor yang akan berjaya menjadi dewasa.


Pak Su menggali lubang yang sudah menetaskan anak-anak penyu. Kredit foto www.rimbundahan.org.

Masing-masing memegang anak penyu untuk dilepaskan.

Melepaskan anak penyu.

Seekor anak penyu berlari ke arah lautan luas. Jika betina dan berjaya menjadi dewasa, ia akan datang semula ke pantai ini untuk bertelur pula.

Bulan lepas saya menyertai program kembara anjuran satu kumpulan murid-murid tua sekolah saya yang dipanggil 'Sdara Seniors Club' atau SSC. Kami ke Negeri Pahang dan Terengganu. Sambil beberapa orang dari kami bermain golf di Kemaman, yang lainnya termasuk saya telah melawat satu pusat penetasan penyu atau 'turtle hatchery' di Negeri Pahang. 

'Hatchery' ini diusahakan oleh seorang yang dipanggil Pak Su yang fasih berbahasa Inggeris. Moto Pak Su ialah 'Let the eggs stay in the sand, not end up in the pot' atau 'Biarkan telur tinggal dalam pasir, bukan berakhir dalam periuk'. 

Kebetulan saya baru melihat satu program mengenai penyu di TV beberapa hari sebelum itu dan mendapat tahu dari seribu penyu yang menetas dari telurnya, cuma seekor yang berjaya menjadi dewasa. Dewasa betina pula jika hendak bertelur akan kembali ke pantai di mana dia dilahirkan, walau pun dia mungkin telah pergi ke lautan luas beribu kilometer jauhnya. Fakta ini disahkan oleh Pak Su bila seorang dari kami menanyanya.

Pak Su bukan sahaja menanti penyu-penyu betina dewasa datang ke 'hatcery'nya untuk menetas. Dia tahu ramai manusia mengambil kesempatan mencuri telur-telur penyu sebaik saja ia ditanam oleh ibu-ibu penyu setelah bertelur di pantai. Pak Su akan membeli telur-telur itu dari pencuri berkenaan dan menanamnya semula di 'hatchery'nya. 

Mungkin ada yang tidak senang bila saya memanggil mereka yang menanti penyu bertelur dan kemudian mengambil telur-telurs itu untuk dijual di pasar sebagai pencuri. Telur penyu tidak sama dengan telur ayam. Telur ayam yang biasa kita makan datangnya dari ayam yang dibela manusia dan manusia boleh mengawal populasi ayam. Sehingga ada manusia yang hilang sikap kemanusian dengan membakar hidup-hidup anak-anak ayam yang baru menetas semata-mata untuk mengawal populasi ayam. Tujuan terakhir ialah untuk mengawal harga ayam dan telur di pasaran.

Tetapi lain ceritanya dengan penyu. Setahu saya tidak ada manusia yang memelihara penyu untuk dijadikan makanan atau untuk tujuan memakan telurnya. Penyu pula tidak mengancam populasi ikan-ikan laut yang manusia tangkap untuk dimakan. Disebaliknya populasi penyu yang terancam. Contohnya penyu belimbing atau 'leatherback turtles' yang dulu banyak datang bertelur di pantai timur seperti Rantau Abang, Terengganu sudah tidak nampak lagi sekarang. Cuma replikanya terdapat di bandar Kuala Terengganu, kalau saya tak salah. 

Penyu yang ditetas di 'hatchery' Pak Su ialah penyu hijau atau 'green turtles'. Jika telurnya dibiarkan dicuri dan akhirnya masuk periuk untuk menjadi makanan, nasib mereka juga mungkin sama dengan penyu belimbing. 

Setelah tiba masa yang dijangka Pak Su akan 'merasa' lubang-lubang di mana telur penyu ditanam. Bila ada tanda-tanda telur itu telah menetas ia akan menggali lubang itu dan mengeluarkan bayi-bayi penyu yang comel. Di waktu hampir Maghrib Pak Su yang biasanya dibantu oleh peminat-peminat penyu akan melepaskan bayi-bayi penyu untuk menguja nasib mereka di lautan luas.  Walau macam mana bayi penyu diletakkan ia akan berlari ke laut.

Mengikut undang-undang, membeli apa-apa barang dari pencuri adakah satu kesalahan. Tetapi tidak dalam kes Pak Su. Sepatutnya ramai lagi orang seperti Pak Su dan usaha mereka sepatutnya diberi imbuhan oleh pihak berkuasa. 

Sekian.


Monday, August 1, 2026

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 4 (Once a Sdarian, always a Sdarian)

Saya menutup bab persidangan saya di Pulau Pinang dengan membawa cerita berjumpa kawan-kawan sama sekolah di sana. Sekolah kami ialah Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Sekolah itu dulu berada di Tanjong Malim, Perak tetapi sekarang telah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. 

Kami disatukan atas motto 'Once a Sdarian, Always a Sdarian'. Walau pun ada diantara kami tidak berjumpa di sekolah dan perjumpaan di Pulau Pinang mungkin kali pertama kami disatukan oleh moto itu. Gambar-gambar berikut menceritkan segala-galanya.


Saya dengan Dato' Ghani Sulaiman, Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Pahang. Beliau senior lima tahun dari saya di sekolah. Jawatan terakhirnya ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Saya mula tahu Dato' Ghani aktif dalam Persatuan ini semasa persidangan di Kangar, Perlis  tiga tahun lepas. Dato' Ghani juga aktif mengikuti kegiatan murid tua sekolah. (Kredit gambar Hj. Khalil Rahim, Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Sembilan).

Saya dengan Dato' Dr. Anwa Sulaiman, Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu. Dia junior 6 tahun dari saya, dari itu saya tidak berjumpanya di sekolah. Jawatan akhir Dato' Dr. ialah Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu. Saya masih ingat Dato' pernah bertanya saya adakah persatuan mempunyai cawangan di Terengganu. Saya pun memberi nombor telefon untuk dihubungi. Saya tidak sangka sekarang dia dipilih menjadi orang nombor dua persatuan di Negeri Terengganu. Seperti Dato' Ghani, Dato' Dr. juga aktif dalam kegiatan murid tua sekolah.

Saya dengan Hj. Hamzah Sidek, Junior saya 2 tahun di sekolah. Hj. Hamzah bukan ahli persatuan tetapi tinggal di Kepala Batas, Pulau Pinang. Mendapat tahu ada tiga orang Sdarian di persidangan ini dia datang dengan membawa buah tangan. Inilah kali pertama kami berjumpa selepas keluar sekolah. Terima kasih Hj. Hamzah.

Dato' Dr. Anwa dan Hj, Hamzah Sidek. Hj. Hamzah senior 4 tahun dari Dato' Dr.  di sekolah.

Dato' Ghani tidak berjumpa dengan Dato' Dr. Anwa dan Hj. Hamzah di sekolah. Saya pula tidak berjumpa dengan Dato' Dr. Anwa. Tetapi semangat Sdarian menyatukan kami.

Sekian.

Friday, April 29, 2026

Reunion di Kelantan (Bahagian 4 - Jejak Kasih ke Kuala Kangsar, Perak)


Di hari terakhir program reunion di Kelantan, kami merentas banjaran Titiwangsa ke Perak di mana Dato' Ghani Sulaiman ingin berjumpa dengan dua orang kawan satu kelas dengannya di SDAR. dulu. Sebelum itu tidak adil rasanya jika saya tidak menceritakan pada malam sebelumnya kami dijemput makan malam di rumah kakak Aziz Mustafa, Sdarian berasal dari Kelantan tetapi sekarang menetap di Kuala Lumpur. 

Gambar-gambar berikut ialah majlis makan malam di rumah kakak Aziz Mustafa di Kg. Kadok, Ketereh, Kelantan:









Itu dia Aziz Mustafa yang berpeluh melayan kami. Dia hanya makan setelah kami berhenti makan.

 Pagi esoknya kami singgah berjumpa bapa kepada Zainuddin Muhammad di Kg. Kangkong, Pasir Mas, Kelantan dalam perjalanan ke Perak.

 Tasik Banding, Perak.

Kami singgah di rumah abang Ismail Shamsuddin, kawan sekelas Dato' Ghani Sulaiman di Kg. Kati, Kuala Kangsar, Perak. Kami dijamu makan kuih-kuih di sini.

Tidak jauh dari rumah abang Ismail, kami singgah di sebuah lagi rumah kawan sekelas Dato' Ghani. Mula-mula saya tidak kenal siapa yang berbaju hitam itu.

Kami dijamu makan tengah hari walau pun hampir petang.

Di luar sana itu hujan.

Dato' Ghani diapit oleh kawan-kawan sekelasnya.

Saya sungguh tidak menyangka jejak kasih yang diatur oleh Dato' Ghani menjadi jejak kasih saya juga.  Untuk mengetahuinya sila klik di sini.

Sekian siri reunion di Kelantan.

Thursday, April 28, 2026

Reunion di Kelantan (Bahagian 3 - Dulu Mudo Lorni Tuo)


Dalam dua bahagian siri pos saya sebelum ini saya tidak menceritakan bahawa sekolah saya ialah Sekolah Dato' Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai SDAR. Kepada mereka yang belum tahu, sekolah itu ialah antara sekolah berasrama penuh (SBP) yang paling awal di negara kita. Sekolah itu bermula di Johor Bahru, kemudian berpindah ke Tanjong Malim sebelum berpindah ke Sikamat, Seremban dan akhirnya tersergam di Sungai Gadut, Seremban sekarang.

Reunion ini dianjurkan oleh apa yang dipanggil SDARA SENIORS CLUB (SSC) di mana keahlian terhad kepada Sdarians atau 'budak-budak SDAR' yag berumur 50 tahun ke atas. SDARA bermaksud 'Sekolah Dato' Abdul Razak Alumni'. SSC telah mengadakan lawatan jejak kasih ke Kuala Terengganu, Kuantan, Perlis, Melaka dan Johor sebelum ini.

Tetapi lawatan ke Kota Bharu, Kelantan agak unik. Kalau lawatan-lawatan sebelum ini boleh dikatakan secara kecil-kecilan sahaja, lawatan kali ini diadakan secara besar-besaran.

Ramai Sdarians atau budak-budak SDAR yang berasal dari Kelantan, tetapi kebanyakan mereka yang sudah lepas belajar (mengaji kata mereka) menetap di Lembah Kelang seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Bangi. Hanya segolongan kecil yang 'kelik Kelate'. Buktinya beberapa bulan yang lepas seorang Sdarian Kelantan mengajak kami makan buah-buahan di dusunnya di Kajang. Lebih setengah dari yang datang 'budak Kelate' belako. 

Tapi di reunion yang diberi motto 'Dulu Mudo Lorni Tuo, Bilo Jumpo Mesra Sokmo' bukan saja 'budak Kelate' yang datang, tetapi Sdarians dari seluruh Semenanjung Malaysia. Saya sudah tentulah datang dengan bas (yang ditaja sebenarnya). Tetapi yang lain datang dengan kereta dan kapalterbang. 

Saya tidak mahu menceritakan secara terperinci 'reunion' kami ini. Biarlah gambar-gambar berikut bercerita. Tepatlah kata motto itu yang bermaksud 'Dulu Muda Sekarang Tua, Bila Jumpa Mesra Sentiasa'.  

Sebelum itu tidak adil kiranya jika saya tidak mengenalkan orang kuat reunion ini. Inilah Zainuddin Muhammad yang berasal dari Kampung Kangkung, Pasir Mas, Kelantan yang menjadi Setiausaha SDARA SENIORS CLUB.





Isteri-isteri yang kami panggil SDARINAS pun tidak tinggal.






















Mereka ini satu kelas dengan saya di SDAR. Kebetulan semuanya menetap di Kota Bharu.

Di tengah-tengah tu Hassan Rahman, mantan pegawai Polis. Semasa saya di Bachok pada awal tahun 1972 dia sering melawat saya. Sekarang beliau bersara di Bachok juga.

Bersambung......