Thursday, August 18, 2026

Yang dulu didulukan.





Dalam filem The Godfather Part II adik perempuan Godfather ingin berjumpanya. Sebelum itu si adik (yang asyik berpoya di luar keluarga) minta pengaruh ibunya supaya dia tidak menunggu giliran berjumpa abangnya itu. Ibunya menjawab "Kau pergi jumpa anak-anak kau dulu, kemudian kau beratur berjumpa abang kau seperti orang lain".

Di majlis yang sama seorang gangster yang pangkatnya rendah sedikit dari Godfather juga  ingin berjumpanya. Dia terserempak abang kepada Godfather dan mengadu "Patutkan aku menunjukkan surat pengenalan (letter of introduction) untuk berjumpa abang kau?" Bila si abang bertanya kenapa, si gangster menjawab "Mereka suruh aku menunggu di lobi". Filem tidak menunjukkan apa reaksi si abang seterusnya.

Dalam dunia jenayah pun ada disiplin, di mana kalau seorang itu ingin mendapat apa-apa khidmat dia kena beratur menunggu, tidak kira ia anggota keluarga atau berpangkat tinggi.

Mungkin kerana selama ini saya pergi ke satu klinik kerajaan berhampiran rumah saya empat atau lima bulan sekali saya tidak menyedari ada manusia yang sengaja memotong giliran. Tetapi kebelakangan ini saya sering ke sana mengiringi isteri saya mendapat rawatan susulan setelah keluar hospital.

Pagi tadi saya ke sana lagi. Kami datang sebelum pukul 8.00 lagi dan diberi nombor giliran agak kecil. Kemudian kami diminta menunggu sehingga nama isteri saya dipanggil. Kenapa nama dan tidak nombor? Kerana tidak ada panel LCD dengan suara perempuan menyebut '(Nombor) xxxx, kaunter xx' seperti yang kita biasa lihat dan dengar di kaunter lain, baik kerajaan atau swasta.

Dari lobi menunggu saya boleh nampak dan ingat mereka yang datang selepas kami. Tetapi ada dari mereka ini yang terus masuk ke bilik pertama (untuk diambil statistik berat badan, tekanan darah dan jumlah gula dalam darah) tanpa nama mereka dipanggil. Mereka ini juga yang dapat berjumpa doktor dulu dan akhirnya mengambil ubat di farmasi dulu. Antaranya seorang yang namanya bermula dengan Tengku.
  
Mungkin mereka ini mengambil kesempatan kerana bukan nombor yang disebut, tetapi nama sedangkan ramai yang tidak sedar mereka sebenarnya telah memotong giliran. Agaknya mereka ini jenis yang suka memotong giliran di mana-mana mereka pergi.

Kesudahan cerita pagi ialah saya masuk sendiri ke bilik pertama itu setelah kesabaran saya hilang dan menunjukkan nombor giliran saya sambil mengadu ada manusia yang nombornya terkemudian dari nombor yang saya pegang telah dilayan. Lepas itu seorang dari staff disitu berkara 'Dari sekarang kita panggil ikut nombor'.

Itulah sepatutnya iaitu yang dulu didulukan.

Wednesday, August 10, 2026

Bila cerita bolanya terhenti.

Saya dengan Tony Chia baru-baru ini.

Semasa saya ditemuduga kerja di Majlis Bandaran Seremban (MBS) pada hujung tahun 1972 saya ditanya sama ada bermain bolasepak. Secara jujur saya jawab tidak. Orang yang bertanya agak hairan kerana sijil keluar sekolah saya ialah dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak yang tidak sampai setahun di masa itu telah berpindah ke Seremban. Sejak berpindah sekolah itu telah menunjukkan kehandalannnya dalam sukan bolasepak dan sukan-sukan yang lain di Seremban dan Negeri Sembilan.

Apabila saya kemudiannya berjaya dilantik pada awal tahun 1973 baru saya sedar kenapa ditanya begitu. MBS sedang membentuk satu pasukan bolasepak untuk bersaing di liga bolasepak Negeri Sembilan. Pemain-pemain bolasepak yang belum bekerja atau tidak mempunyai kerja tetap ditawarkan kerja dengan MBS, kebanyakannya di perkhidmatan bawahan.

Ada juga yang telah diambil kerja beberapa bulan sebelum saya. Antaranya seorang yang bernama Tony Chia. Oleh kerana Tony tidak mempunyai kelulusan tinggi dia diambil sebagai seorang 'Category B Workman' yang bermaksud lebih kurang Pekerja Mahir . 

Dari nama tugas yang dipegangnya Tony sepatutnya ditempatkan di Bengkel MBS. Tetapi kerana dia diambil untuk bermain bolasepak, dia diletakkan di pejabat dan diberi tugas mencari fail, Saya mengenali Tony di hari pertama saya bekerja dengan MBS kerana kami bertugas di jabatan yang sama. Di masa itu kedudukan staff di MBS terdiri dari berbagai bangsa dan Tony (dan saya sendiri) tidak rasa terasing.

Bila MBS dinaiktaraf menjadi MPS (untuk Majlis Perbandaran Seremban) Tony mula terasa terasing kerana jawatan-jawatan yang dikosongkan akibat persaraan dan sebagainya dan jawatan-jawatan baru diganti dan diisi oleh staff Melayu. Ini ditambah pula dengan sikap perkauman menebal di kalangan staff Melayu di MPS dan saya telah menceritakannya di pos saya "Balik ke Seremban".

Tony kemudiannya dilantik sebagai seorang Pengawas. Walau pun wujud sikap perkauman dari pegawai-pegawai atas MPS mereka terpaksa memikirkan Tony oleh kerana ada staff Melayu yang tidak tahu membaca dan menulis pun dilantik menjadi Pengawas.

Ada beberapa sebab mengapa Tony rapat dengan saya. Pertama kerana saya tidak ada sikap perkauman. Kedua kerana saya antara golongan kecil pegawai Melayu di MPS yang fasih berbahasa Inggeris dan Tony senang berbahasa itu dengan saya. Ketiga kerana kami sering bercerita mengenai bolasepak.

Untuk makluman saya dijemput dan pergi ke majlis perkahwinan Tony di Dewan Bandaran Seremban lama. Dalam ingatan saya tidak sampai lima orang staff Melayu MBS hadir di majlis itu.

Selain bermain dengan pasukan MBS dan kemudiannya MPS Tony juga seorang pemain utama untuk pasukan negeri Negeri Sembilan untuk beberapa tahun dan pernah beberapa kali bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

Tetapi tempoh bila mana Tony bermain untuk Negeri Sembilan ialah tempoh pasukan bolasepak negeri kami itu tidak kuat jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Tempoh itu pula ialah sebelum bolasepak Malaysia masuk taraf professional. Jika tidak sudah tentu Tony dibeli oleh pasukan-pasukan kelab yang sanggup membayarnya gaji yang tinggi.

Tetapi kerana kebolehannya Tony tidak 'bersara' setelah bermainnya tamat. Dia menjadi jurulatih bolesepak pula selepas itu, di peringkat negeri dan kebangsaan. Di samping itu dia tetap menjalankan tugas sebagai Pengawas di MPS. Tugas akhirnya ialah sebagai Pengawas Kanan di Pasar Besar Seremban. Banyak innovasi yang dibawanya ke Pasar Besar itu, antaranya meniup wisel mengarahkan peniaga-peniaga tidak melanggar peraturan-peraturan pasar. Sudah tentu dia dapat idea ini di padang bola.

Sementara itu bila berjumpa saya dia akan bercerita mengenai bolasepak negeri dan kebangsaan. Antara ceritanya ialah bagaimana pemain-pemain kita menerima rasuah untuk menentukan kedudukan perlawanan.     

Tetapi bila saya berjumpa Tony baru-baru ini dia tidak lagi becerita apa-apa mengenai bola sepak. Ini kerana beberapa tahun selepas bersara dari MPS dia diserang penyakit yang dipanggil 'Motor Neuron Disease' dan terlantar dirumahnya yang kebetulan tidak beberapa jauh dari rumah saya.

Tetapi semangat Tony masih kuat. Seperti biasa dia berbahasa Inggeris dengan saya walau pun tidak selantang dahulu.

Saya hanya dapat berdoa supaya Tony disembuhkan dari penyakitnya.

Thursday, August 4, 2026

Bila hidup berubah.

Banyak perkara yang mengubah hidup saya bermula di bulan puasa atau bulan Ramadan. Contoh pertama, saya masuk sekolah berasrama penuh (SBP) di bulan puasa. Di masa dulu-dulu memang menjadi idaman mana-mana budak kampung untuk masuk ke SBP. Maklumlah dia akan berubah dari persekitaran yang serba kurang kepada yang boleh dikatakan semua ada. Ini berbeza dengan keadaan sekarang di mana ramai yang sudah dipilih masuk ke SBP menolaknya. Maklumlah di rumah sendiri segala-galanya sudah ada, dari telefon bimbit, komputer riba, bilik tidur berhawa dingin kepada kereta keluarga.

Di bulan puasa juga saya mula bekerja. Sudah tentu hidup seorang itu berubah bila dia mula bekerja dan tidak payahlah saya menceritakannya secara panjang lebar. Di bulan puasa tiga tahun kemudiannya pula saya menduduki peperiksaan jawatan saya yang juga mengubah hidup saya.

Hidup saya juga telah berubah dari seorang bujang kapada seorang suami, kemudian menjadi ayah dan akhirnya sekarang dipanggil datuk. Tetapi di bulan puasa tahun ini hidup saya sekali lagi berubah.

Empat bulan sebelum itu anak bongsu saya yang manja Anis telah dipilih menjalani praktikal pengajian universitinya di Seoul, Korea. Isteri saya Salmah memang merindui ketiadaan sementara Anis. Dia resah jika Anis tidak menaliponnya selang beberapa hari.

Kebetulan Anis kembali ke Malaysia dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Sebaik sahaja pulang boleh dikatakan Salmah mengajak Anis keluar membeli keperluan menyambut Hari Raya. Bukan saya tidak menolong Salmah sebelum itu, tetapi memikirkan saya sudah bersara saya katakan tidak payahlah kita beraya seperti dulu-dulu. Contohnya kawan-kawan se pejabat saya tidak akan datang beraya.

Saya masih ingat tarikhnya iaitu 30 Jun 2026 bersamaan 25 Ramadan 1437. Pada siangnya Salmah keluar dengan Anis untuk membeli persiapan terakhir hari raya. Antaranya menghantar karpet untuk dibasuh. Sudah tentu dia balik keletihan.

Petang itu saya berbuka puasa di surau seperti yang saya buat dua kali seminggu. Apabila balik saya dapati Salmah terbaring di bilik belakang dengan saya tidak mengsyaki apa-apa. Tetapi saya mula-mula hairan bila dia menjawab belum lagi solat Maghrib bila ditanya. Kemudian saya bertambah hairan bila dia tidak cakap apa-apa bila saya ceritakan apa saya makan di surau.

Saya yang sama-sama keletihan terus tidur selepas solat Isyak. Tidak lama kemudian Anis mengejutkan saya dan mengatakan mamanya tidak boleh bercakap seperti biasa. Saya pun memeriksa tekanan darah Salmah dengan alat yang memang saya ada dan mendapatinya agak tinggi. Saya pun terus membawa Salmah ke hospital.

Sejak itulah hidup saya berubah sekali lagi. Salmah dimasukkan ke dalam wad selama dua hari dua malam. Ujian-ujian termasuk CT Scan mendapati dia diserang angin ahmar taraf rendah atau 'minot stroke' dan ini melibatkan percakapannya.

Bila balik dari hospital isteri saya Salmah tidak lagi seperti isteri yang saya kahwini lebih 42 tahun yang lalu. Dia normal dari segala aspek. Dia boleh ke tandas sendiri dan juga boleh bersolek. Bila ada tetamu lelaki datang ke rumah dia akan mencari tudung untuk menutup aurat. Dia boleh memasak setakat menggoreng dan merebus. Dia telah cuba untuk solat tetapi tidak meneruskannya kerana terlupa membaca ayat-ayat. Cuma saya belum merasai masakan penuhnya seperti yang dia sediakan untuk saya hari-hari sebelum ini.

Keadaan Salmah juga mengubah Anis yang manja itu. Sebagai anak bongsu Anis dilindungi bukan saja oleh ibu bapanya, tetapi abang dan kakak-kakaknya. Tetapi oleh kerana Anis sahaja  yang belum lepas antara adik-beradiknya dia terpaksa lebih bertanggungjawab menjaga ibunya. Anis telah mula memasak makanan walaupun dia telah mula berbuat begitu sejak dia ke Korea lagi. Syukurlah buat masa ini dia masih cuti belajar.

Salmah ada menunjukkan tanda-tanda positif. Banyak perkataan yang dia lupa telah disebutnya kembali, Tetapi saya percaya untuk dia pulih sepenuhnya akan mengambil masa.

Sebelum itu hidup saya telah berubah.

Monday, August 1, 2026

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 4 (Once a Sdarian, always a Sdarian)

Saya menutup bab persidangan saya di Pulau Pinang dengan membawa cerita berjumpa kawan-kawan sama sekolah di sana. Sekolah kami ialah Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Sekolah itu dulu berada di Tanjong Malim, Perak tetapi sekarang telah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. 

Kami disatukan atas motto 'Once a Sdarian, Always a Sdarian'. Walau pun ada diantara kami tidak berjumpa di sekolah dan perjumpaan di Pulau Pinang mungkin kali pertama kami disatukan oleh moto itu. Gambar-gambar berikut menceritkan segala-galanya.


Saya dengan Dato' Ghani Sulaiman, Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Pahang. Beliau senior lima tahun dari saya di sekolah. Jawatan terakhirnya ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Saya mula tahu Dato' Ghani aktif dalam Persatuan ini semasa persidangan di Kangar, Perlis  tiga tahun lepas. Dato' Ghani juga aktif mengikuti kegiatan murid tua sekolah. (Kredit gambar Hj. Khalil Rahim, Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Sembilan).

Saya dengan Dato' Dr. Anwa Sulaiman, Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu. Dia junior 6 tahun dari saya, dari itu saya tidak berjumpanya di sekolah. Jawatan akhir Dato' Dr. ialah Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu. Saya masih ingat Dato' pernah bertanya saya adakah persatuan mempunyai cawangan di Terengganu. Saya pun memberi nombor telefon untuk dihubungi. Saya tidak sangka sekarang dia dipilih menjadi orang nombor dua persatuan di Negeri Terengganu. Seperti Dato' Ghani, Dato' Dr. juga aktif dalam kegiatan murid tua sekolah.

Saya dengan Hj. Hamzah Sidek, Junior saya 2 tahun di sekolah. Hj. Hamzah bukan ahli persatuan tetapi tinggal di Kepala Batas, Pulau Pinang. Mendapat tahu ada tiga orang Sdarian di persidangan ini dia datang dengan membawa buah tangan. Inilah kali pertama kami berjumpa selepas keluar sekolah. Terima kasih Hj. Hamzah.

Dato' Dr. Anwa dan Hj, Hamzah Sidek. Hj. Hamzah senior 4 tahun dari Dato' Dr.  di sekolah.

Dato' Ghani tidak berjumpa dengan Dato' Dr. Anwa dan Hj. Hamzah di sekolah. Saya pula tidak berjumpa dengan Dato' Dr. Anwa. Tetapi semangat Sdarian menyatukan kami.

Sekian.

Friday, July 29, 2026

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 3 (Oh Azizah)

Walau pun persidangan paling pendek telah selesai, majlis perasmian belum dibuat. Jadi pada malam itu diadakan Majlis Makan Malam dan Perasmian oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri, Pulau Pinang, Tun Rahman Abbas.

Yang Di Pertua, Persatuan Pesara Pulau Pinang, Datuk Daud Taha pernah memegang beberapa jawatan tinggi di Pulau Pinang, antaranya Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Dari itu dia banyak idea. Antara ideanya ialah tidak menjemput penyanyi-penyanyi professional untuk menyerikan majlis makan makan malam itu. Sebaliknya penyanyi terdiri dari kami pesara. Ini telah menjimatkan beribu ringgit wang persatuan.

Bagaimana? Dengan meminta setiap negeri menyediakan seorang penyanyi. Syaratnya satu saja iaitu lagu hendaklah lagu Allahyarham P Ramlee kerana P Ramlee berasal dari Pulau Pinang. Satu band disediakan untuk tujuan tersebut.

Sebaik sahaja persidangan di pagi itu tamat, Dato' Ibrahim Che' Mat, ketua perwakilan dari Negeri Sembilan meminta saya menjadi penyanyi bagi pihak Negeri Sembilan. Entah macam mana dia tahu saya boleh menyanyi tak tahulah saya.

Pada mulanya saya ragu juga sama ada boleh nyanyi atau tidak, kerana saya belum pernah menyanyi di khalayak ramai dengan iringan band. Saya cuma pernah menyanyi karaoke sahaja. Pada petang semasa pentas dan meja makan diatur saya turun untuk praktis. Di sana saya dapati walau pun band disediakan kami boleh menyanyi secara 'minus one'. Dari itu saya memilih lagu Azizah.

Mujur juga saya membawa laptop saya bersama. Di bilik saya praktis menyanyi lagu 'Azizah' berkali-kali. Semasa sessi nyanyi ada juga dari kami yang mengada-ada, contohnya berceloteh sebelum menyanyi. Mungkin mereka hendak membuang rasa gemuruh. Tetapi saya yang gemuruh dibuatnya. Untuk mereka ini saya nasihatkan "If you have to sing, sing. Don't talk", meminjman dialog dari filem 'The Good, the Bad and the Ugly'.

Sila klik  Maarof menyanyi lagu Azizah untuk tengok saya menyanyi di majlis itu. Video dirakam oleh Tn. Hj. Khalil Rahim. Yang Di Pertua Pesatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Sembilan yang juga seorang jurugaabar hebat, atas permintaan saya. Jangan salahkan beliau jika video kurang memuaskan kerana beliau menggunakan kamera murah saya.


Datuk Daud Taha selain banyak idea juga pandai melawak. 


  Saya menyanyi lagu Azizah secara 'minus one' ditambah dengan muik dari keyboard.
Gambar-gambar diambil oleh Dato' Ibrahim Che' Mat.

Oh Azizah

T.Y.T. Tun Abdul Rahman Abbas meninggalkan majlis.

Bersambung.....

Thursday, July 28, 2026

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 2 (Persidangan paling pendek)

Oleh kerana persidangan tahun ini termasuk pemilihan pegawai-pegawai persatuan, saya menjangka ia akan berlarutan. Tapi jangkaan saya meleset kerana semua jawatan dimenangi tanpa bertanding. Bukan itu sahaja, semua pembentangan diterima dan disahkan tanpa apa-apa bantahan. Jadilah ia persidangan paling pendek dalam sejarah persatuan kami.

Jika difikirkan kembali begitulah sepatutnya. Persatuan ialah tempat ahli-ahlinya bersatu dan bukan tempat untuk mencari salah orang lain. Persatuan kami pun ahli-ahlinya orang-orang pencen. Buat apa berlawan dan membangkitkan perkara-perkara kecil. Berikut ialah beberapa gambar yang saya ambil di persidangan itu.

Saya duduk di baris belakang perwakilan Negeri Sembilan. Belakang saya ialah barisam pemerhati.

 Kami berpakaian baju seragam berwarna ungu.

Lagi perwakilan Negeri Sembilan. 

Dari sudut lain. 

Semua perwakilan pergi minum. Tan Sri Presiden tinggal seorang. 

Kami pun bergambar dengannya.

Semasa rehat terserempak dengan Dato' Dr. Anwa Sulaiman yang baru dipilih sebagai Timbalan Yang Di Pertua, Persatuan Persara Keraajaan Malaysia Negeri Terengganu. Dia junior saya di sekolah.

Ini pula Dato' Ghani Sulaiman, Yang Di Pertua Persatuan untuk Negeri Pahang. Dia senior saya pula di sekolah.

Seperti biasa tuan rumah mengaturkan lawatan pada petang hari pertama. Kami menaiki bas Rapid Penang melawat sekitar George town.




Tidak ada keutamaan untuk warga emas kerana semua penumpang warga emas belaka.

Bersambung...........



Wednesday, July 27, 2026

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 1 (Perjalanan pergi)

Kali pertama saya menghadiri Persidangan Perwakilan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia ialah pada tahun 2013 di Kangar, Perlis sebagai pemerhati bila saya mula-mula berjinak dengan persatuan ini. Kenangan saya di persidangan itu ialah ketiadaan bekalan air di hotel menyebabkan ramai kami mandi di kolam renang.

Bukan saja hotel tidak berair, tetapi keseluruhan Perlis sehingga DYMM Raja Perlis pun menyebut 'Ayaq tak dak' semasa ucapan perasmiannya. Balik saja dari Kangar saya diserang sakit mata yang teruk yang saya percaya berpunca dari kolam renang tersebut.

Kali kedua pula pada tahun 2014 di Shah Alam, Selangor. Kenangan saya ialah berjabat tangan dengan DYMM Sultan Selangor

Kali ketiga pula tahun 2015 di Kuala Lumpur di mana Perdana Menteri Dato' Seri Najib merasmikan. Kenangan saya di persidangan ini pula ialah lewatnya bilik-bilik hotel diberi kepada kami.


Malam tadi saya sampai ke rumah setelah menghadiri persidangan yang sama kali keempat di Pulau Pinang. Bagi saya inilah persidangan yang paling menyeronokkan. Gambar-gambar berikut akan bercerita.

 Kami berkumpul di Terminal 1 Seremban.

 Sebahagian dari kami bergambar sementara menunggu bas.

Sebelum bergerak Tuan Haji Mat Sidek Sikin dari Jelebu mengetuai bacaan doa,

Kami mengaminkan doa. 

Ini basnya, bas eksekutif yang cukup selesa.


Pemandu yang cukup relaks. Untuk menghilang rasa bosan dia asyik bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit.

Memang benar. 

 Nak memasuki Terowong Menora di Perak.

 Dalam terowong.

 Saya terpaksa duduk di sebelah pemandu untuk mengambil gambar walau pun kurang selesa.


 Kami hendak memasuki Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Tidak ada hadiah kepada siapa yang tahu aka maksud JK2PP.

 Di atas Jambatan Kedua.

 Menuju puncak Jambatan Kedua.

Kami akan ke kanan.

Bersambung.......

Sunday, July 10, 2026

Hari Raya tak macam biasa.


Tidak adil rasanya jika saya tidak menceritakan pengalaman saya berhari raya tahun ini setelah saya menceitakannya untuk tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum itu puasa saya untuk tahun ini juga tidak seperti di tahun-tahun sebelumnya. Untuk lebih dua minggu pertama saya berpuasa berdua sahaja dengan isteri saya Salmah. Ini kerana anak bongsu kami Anis berada di Korea selama empat bulan mulai bulan Februari 2016 kerana membuat praktikal pengajian universitinya di sana.

Salmah tidak berpuasa selama dua hari di minggu pertama. Saya katakan jika dia tidak tahan, tak payahlah berpuasa. Tetapi selepas itu dia kata masih boleh tahan berpuasa.

Anis balik dari Korea pada hari Khamis 23 Jun 2026 bersamaan 18 Ramadan 1437. Sejak itulah Salmah sibuk membuat persiapan hari raya. Ini tidak bermakna saya tidak menolongnya. Tetapi oleh kerana saya sudah bersara dan hampir semua anak-anak sudah lepas dari tanggung-jawab kami, saya hendak beraya ala kadar saja. Contohnya tembok rumah yang sudah 'kopam' tu tak payahlah dicat baru.

Oleh kerana surau taman saya pun mangadakan majlis berbuka puasa empat kali seminggu, saya pun sering ke sana meninggalkan Salmah kadang-kadang berbuka seorang diri di rumah. Saya langsung tidak menyangka kejadian yang akan menyebabkan hari raya saya tahun ini berbeza bermula di satu hari saya berbuka puasa di surau itu.

Pada hari kejadian itu Khamis 30 Jun 2026 Salmah sibuk seperti biasa. Semasa saya balik dari kerja tengah hari itu dia dan Anis tidak ada rumah. Apabila sahaja dia balik dia menceritakan pergi ke sini dan sana membeli itu dan ini, termasuk menghantar karpet untuk dibasuh. Kalau saya diberi pilihan tidak payahlah karpet itu dibasuh.

Saya berbuka puasa di surau pada hari itu, Samah dan Anis berbuka di rumah dengan makanan dibeli dari McDonald's. Sebaik saja saya balik slepas solat Maghrib berjemaah saya dapati Salmah terbaring atas katil di bilik belakang. Bila saya tanya sudahkan dia solat Maghrib, jawapannya 'belum'. Ini agak menghairankan saya pada mulanya, tetapi saya anggap ini kerana dia keletihan.

Kemudian saya bercerita tidak berselera makan di surau tadi. Bila tidak ada reaksi darinya saya juga hairan pada mulanya, tetapi menganggap kerana dia keletihan seperti tadi. Selepas solat Isya' saya pun terus tidur tanpa memikirkan solat Tarawikh.

Lebih kurang pukul 9.15 malam saya dikejutkan oleh Anis dan meminta saya memeriksa tekanan darah Salmah kerana katanya 'mama tak boleh bercakap'. Saya pun memeriksanya dengan alat yang memang saya sediakan dirumah dan mendapati tekanan darahnya agak tinggi.

Mula-mula saya ingat hendak menalipon ambulans, tetapi kemudiam saya putuskan untuk menghantarnya dengan kereta ke Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Jaafar di Rasah, Seremban. Dipendekkan cerita di sana dia diberi CT Scan dan para doktor memutuskan dia diserang 'minor stroke' yang mengakibatkan percakapannya terjejas.

Dipendekkan cerita juga Salmah dimasukkan ke dalam wad selama dua hari dua malam di hospital yang sama dan dikeluarkan pada tengah hari Sabtu 2 Julai 2016.

Sudah tentulah Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1437 yang jatuh empat hari selepas isteri saya Salmah keluar dari hospital tidak sama seperti di tahun-tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya buat saya. 

Salmah ada menunjukkan tanda-tanda positif. Perkataan-perkataan yang tidak boleh disebutnya sebelum ini telah mula disebutnya, Dia akan menjalani 'speech teraphy' tidak lama lagi.

Sementara itu hari raya saya untuk tahun ini tidaklah seperti di tahun-tahun dulu.

Tuesday, July 5, 2026

Sanggupkah kita membunuh anak sendiri.

Semasa Perang Vietnam atau The Vietnam War apabila askar Amerika menyangka dirinya akan mati akibat tembakan dia akan menyebut 'Ma' iaitu memanggil emaknya. Seolah-olah dia teringatkan orang yang membawanya ke dunia di saat-saat dia akan meninggalkannya.

Saya sekarang sudah bersara. Walau pun saya bekerja selama 38 tahun dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ingatan saya sekarang banyak tertumpu keapda kenangan bekerja  selama 4 tahun dengan Kementerian Kesihatan (KKM)  sebelumnya. Oleh itu saya sekarang sangat berminat kepada isu-isu yang melibatkan Kementerian tersebut. Kebetulan pula Timbalan Menteri KKM sekarang, Dr. Hilmi Yahya ialah kawan sekelas saya semasa di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak.

Salah satu itu yang hangat sekarang dan melibatkan KKM ialah isu immunisasi untuk kanak-kanak di mana ramai penjaga tidak mahu anak kecil mereka menerima immunisasi. Ini kerana mereka terbaca kononnya vaksin untuk immunisasi itu berpunca dari sumber tidak halal. Ada juga yang percaya vaksin itu lebih memudaratkan dari membawa kebaikan.

Saya masih ingat antara subjek pertama diajar semasa diambil bekerja dulu ialah tentang immunisasi ini. Antara immunisasi itu dipanggil 'triple antigen' atau vaksin untuk tiga penyakit. Penyakit-penyakit itu ialah 'Diphteria', 'Tetanus' atau kancing gigi dan 'Whooping Cough" atau batuk kokol. Sekarang 'Whooping Cough' dipanggil 'Pertussis'.

Mungkin ramai yang masih keliru apa dia proses immunisasi ini. Prosesnya senang sahaja untuk difahami. Vaksin yang sebenarnya mengandungi kuman-kuman penyakit yang kita hendak hindari itu dimasukkan ke badan manusia (dalam kes biasa bayi dan kanak-kanak). Cara memasukkannya sama ada dengan suntikan atau melalui mulut. Itulah sebabnya anak-anak kita akan demam sebaik sahaja diberi vaksin immunisasi. Tetapi kerana jumlah kumannya amat sedikit kuman itu tidak membahayakan dan anak-anak kita akan sembuh dalam beberapa hari,

Badan anak-anak kita yang diserang oleh kuman dalam vaksin itu akan mengeluarkan apa yang dipanggil 'anti-bodies' yang tugasnya tidak lain tidak bukan seakan-akan askar melawan dan membunuh kuman-kuman yang menyerang tadi. Kemudian 'anti-bodies' atau askar tadi akan berada dalam badan anak-anak kita selama-lamanya.

Akibatnya jika kuman-kuman penyakit sebenar yang dibawa pesakit lain datang menyerang anak-anak kita, 'anti-bodies' atau askar yang sudah bersiap siaga dalam badan mereka akan menentang kuman-kuman itu habis-habisan dan menghapuskannya.

Program immuninasi negara kita cukup berjaya sehingga ketiga-tiga penyakit Diphteria, Tetanus dan Whooping Cough sudah dihapuskan. Tetapi dengan kedatangan pendatang asing di mana keadaan kesihatan negara asal mereka tidak seperti negara kita, penyakit-penyakit itu nampaknya sudah muncul kembali.  

Cuba bayangkan anak-anak kita tidak mempunyai 'anti-bodies' atau askar kerana tidak diberi immunisasi dari kecil. Penyakit-penyakit berjangkit yang dibawa pendatang asing itu dengan senang menyerang anak-anak kita. Mungkin di masa serangan badan mereka akan cuba mengeluarkan 'anti-bodies' atau askar. Tetapi kerana serangan terlalu kuat kuman-kuman yang datang dengan senang membunuh 'anti-bodies' atau askar yang baru hendak dikeluarkan itu. Akibatnya anak kita boleh ditimpa maut.

Tidakkah kita berasa bersalah jika anak kita mati akibat kelalaian kita tidak memberi mereka immunisasi semasa dia masih kecil?

Friday, June 24, 2026

Bila 'Sistem' tidak mesra pengguna.

Salah satu syarat bank yang memberi pinjaman (mereka sebut pembiayaan peribadi) kepada pesara kerajaan ialah duit pencen wajib dimasukkan ke bank mereka. Tiap-tiap bulan, sebaik sahaja duit pencen saya dimasukkan ke bank tersebut (setelah dipotong bayaran balik pinjaman) saya terus memindahkan hampir semua wang itu ke bank lama, kerana saya selesa berurusan dengannya. Ini saya buat melalui 'internet banking' dengan kos sebelas sen setiap pemindahan iaitu sepuluh sen sebagai caj bank dan satu sen untuk GST.

Baru-baru ini setelah menerima pencen, saya pun membuat pemindahan seperti biasa. Kemudian baru saya sedar bank pertama itu tidak memotong pinjaman seperti mereka buat sebelum ini. Apabila saya menalipon talian yang diberi oleh bank (seperti tertera di laman web mereka), jawapan mereka ialah bayaran pinjaman saya itu belum sampai tarikh matang atau 'due date' lagi. Oleh kerana duit saya yang tinggal di akaun bank pertama ini tidak cukup, saya membuat pemindahan dari bank kedua yang melibatkan kos sebelas sen. Saya juga diberitahu 'sistem' akan memindahkan wang saya itu ke akaun pinjaman saya bila 'due date' sampai.

'Due date' telah lepas dua hari dan wang saya masih belum berpindah dari akaun biasa ke akaun pinjaman. Saya beberapa kali menalipon nombor yang terdapat di laman web mereka dan panggilan asyik terputus setelah diminta 'menunggu di talian'. Akhirnya saya memutuskan untuk pergi terus ke bank.

Di sana saya dilayan dengan baik. Pegawai bank menasihatkan saya supaya membayar pinjaman itu di kaunter. Bila saya tanya bolehkah saya membuat pindahan melalui mesin ATM, pegawai itu agak terperanjat. Agaknya dia fikir 'orang tua' ini tidak tahu membuat pindahan wang menggunakan kad ATM. Dia pun memberi nombor akaun pinjaman saya (yang selama ini saya tidak pernah ambil tahu).

Setelah melayan seorang pelanggan lain, pegawai itu bergegas datang ke mesin ATM untuk melihat sama ada saya berjaya membuat pemindahan tersebut. Belum pun sempat dia sampai ke ruang mesin ATM saya telah menunjukkannya resit transaksi saya.

Sekian.