Sunday, March 31, 2013

Bukan Pop Yeh Yeh

Cliff Richard and The Shadows.

Saya sudah lama hendak menulis perkara ini. Saya baru menonton rancangan 'Pop Yeh Yeh' di TV1. Tetapi saya kira sebutan itu agak salah jika kita hendak merujuk kepada muzik di Malaysia dan Singapura yang pernah popular di lewat tahun 60an.

Mula-mula kita kena bertanya apa asal sebutan 'Yeh Yeh' itu? Ia berasal dari sebutan 'Yeah Yeah Yeah' dari kumpulan The Beatles. Cuba dengar lagu 'She Loves You' untuk mengetahuinya. 

Memang benar kumpulan-kumpulan Pop Yeh Yeh mula berkembang semasa The Beatles tengah memuncak populariti mereka, iaitu di tahun sembilan belas enam puluhan. Tetapi kumpulan-kumpulan kita yang juga dipanggil Kugiran - dari Kumpulan Gitar Rancak, tidak menyanyi dan membuat persembahan seperti The Beatles.

Era The Beatles boleh dibahagi kepada dua iaitu pertama dari tahun 1962 hingga 1966 dan kedua dari 1967 hingga mereka berpecah di tahun 1970. Di era pertama, mereka menggunakan tiga gitar dan satu dram seperti kumpulan Pop Yeh Yeh kita. Tetapi mereka banyak menyanyi melalui harmoni antara John Lennon, Paul McCartney dan George Harrison. Sedangkan penyanyi-penyanyi Pop Yeh Yeh kita menyanyi secara solo. Contohnya A Ramlie, Jeffridin, M Osman dan A Rahman Hassan.

Di era kedua pula, keempat-empat ahli kumpulan The Beatles menyanyi secara solo dan kita tidak tahu siapa sebenarnya penyanyi tetap mereka. Alat-alat muzik mereka juga telah berkembang, sedangkan kumpulan Pop Yeh Yeh kita tetap menggunakan konsep yang sama iaitu seorang penyanyi tetap diiringi tiga gitar dan satu dram.

Jadi siapa sebenarnya mempengaruhi Pop Yeh Yeh kita? Jawapannya ialah Cliff Richard and The Shadows. Cliff Richard sudah popular sebelum The Beatles muncul. Lagu-lagunya sering dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi kita di dewan-dewan sekolah dan sebagainya sebelum timbul 'Yeah Yeah Yeah'..

Jika kita membaca sejarah The Beatles, pengurus mereka Brian Epstein ingin mereka meniru konsep Cliff Richard and The Shadows. Contohnya berpakaian seragam dan tunduk selepas mempersembahkan satu-satu lagu. Tetapi The Beatles tidak meniru konsep Cliff dan kumpulannya secara total.

Tetapi konsep Cliff Richard and The Shadows ditiru sepenuhnya oleh kumpulan Pop Yeh Yeh kita walau pun Cliff Richard tidak pernah menjerit 'Yeah Yeah Yeah'. Timbullah A Ramlie and The Rhythm Boys, Jeffridin and The Siglap Five dan sebagainya. Oh ya, penyanyi penyanyi kita pun tidak ada yang menyebut 'Yeh Yeh'. Cuma Ahmad Daud menyebutnya dalam lagu 'Mambang Biru' apabila Saloma menyebut Ahmad Daud berambut seperti The  Beatles.

Penyanyi-penyanyi kumpulan Pop Yeh Yeh ingin menyanyi seperti Cliff Richard dan bukan seperti John Lennon atau Paul McCartney. Pemain gitar utama pula ingin meniru Hank Marvin dari The Shadows dan bukan Beatle George Harrison. Contohnya di awal rancangan Pop Yeh Yeh yang baru saya tengok tadi A Rahman Hassan meniru Hank Marvin mememainkan lagi  instruemental The Shadows bertajuk 'The Boys' dan disalah tulis sebagai 'Can Can'. Dia tidak menjerit 'She Loves You, Yeah Yeah Yeah'.

Kebanyakan 'lead guitarist' Pop Yeh Yeh menggunakan gitar Fender yang digunakan oleh The Shadows sedangkan setahu saya The Beatles tidak pernah menggunakan gitar Fender. 

Oleh itu merujuk muzik popular kita di lewat tahun enam puluhan sebagai Pop Yeh Yeh adalah salah. 

2 comments:

Anonymous said...

Ya pak ngah gitar fender juga di gunakan oleh allahyarham m shariff

Eint Amir said...

Benar sekali..ini lah fakta yang sebenar..