Sunday, October 31, 2010

Tahniah, Kelantan.


Tahunnya ialah 1972. Semasa itu saya bekerja di Pasir Puteh, Kelantan. Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu menjadi 'venue' kepada satu perlawanan akhir bolasepak. Piala yang direbut ialah Piala FAM. Piala ini tidak kurang hebat sambutannya walau pun tidak sehebat Piala Malaysia yang tetap hebat sampai sekarang.

Beberapa hari sebelum pertandingan itu, di tempat saya bekerja hebat diceritakan mengenai perlawanan tersebut. Kebetulan pasukan Kelantan berjaya memasuki perlawanan akhir melawan pasukan Selangor. Kawan-kawan saya pun membuat rundingan untuk membeli tiket dan mengatur kenderaan untuk pergi ke Kota Bharu melihat perlawanan tersebut.

Dari situ juga saya mula sedar dengan kegilaan orang Kelantan terhadap bolasepak. Semasa itu beberapa pemain Kelantan telah mencipta nama di bidang bolasepak negara. Antaranya ialah Dali Omar dan Wan Zawawi. 

Pada malam perlawanan akhir itu kuarters kerajaan dalam kawasan tempat saya itu sunyi sedikit. Kawan-kawan saya yang selalunya datang menemani saya di kuarters saya sambil menonton TV pun tiada. Ini disebabkan mereka pergi ke Kota Bharu untuk melihat perlawanan akhir tersebut. Semasa itu perlawanan akhir Piala FAM tidak disiarkan secara langsung di TV.

Apabila mereka balik dengan senyap pada tengah malam saya boleh mengagak akan keputusan perlawanan. Tekaan saya betul kerana pada esoknya di tempat kerja mereka tidak ada cerita lain melainkan meluahkan kekeciwaan kerana pasukan Kelantan kalah kepada pasukan Selangor. Berapa jaringan gol saya tidak ingat. Perbualan mengenai perlawanan itu tidak reda sehingga beberapa hari selepas itu.

Sejak dari itu saya perhatikan tidak kira naik turun pasukan bolasepak mereka, sokongan orang Kelantan terhadap mereka tetap hebat dan konsisten. Ini berbeza dengan sokongan orang Negeri Sembilan kepada pasukan kami. Bila pasukan Negeri Sembilan kalah satu perlawanan, di perlawanan seterusnya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi longanglah stadium tu. Saya faham sangat, kerana saya pernah tinggal cuma 300 meter dari Stadium itu.

Sokongan orang Kelantan terhadap pasukan bolasepak mereka berbaloi malam tadi apabila pasukan mereka memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia mengalahkan Negeri Sembilan. Kalau dikira secara rambang kadar penyokong Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasianal, Bukit Jalil ialah 70-30. 

Semasa perlawanan fikiran saya berbelah bagi. Walau pun sebagai anak Negeri Sembilan saya menyokong pasukan saya, Kelantan tetap di hati saya. Cuma saya merasa kecewa sedikit kerana DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak mencemar duli menyampaikan piala.

Tahniah, Kelantan.

Wednesday, October 27, 2010

Bila pengadil tidak tahu mengadil - Bahagian 4.

Bagaimana hendak mengukur 'performance' seorang pekerja? Khususnya seorang kakitangan kerajaan. Tetapi ada beberapa kategori pekerja dalam jabatan saya dahulu yang boleh diukur 'performance' mereka. Cuma 'performance' mereka diukur secara kumpulan, bukan secara individu.

Kumpulan pekerja yang saya maksudkan ialah pekerja memungut sampah. Walau pun tugas mereka mungkin dipandang rendah tetapi bagi saya mereka membuat kerja yang mulia. Bayangkan sampah yang dihasilkan oleh manusia tidak ada sesiapa yang memungutnya. Sudah tentu tidak kurang masalah yang ditimbulkan.

Sebelum kerja-kerja pungutan sampah diserahkan kepada pihak swasta menjadi salah satu tugas jabatan saya dahulu memungut dan melulupuskan sampah. Untuk tujuan tersebut ditubuhkan kumpulan-kumpulan pekerja yang setiap satu dianggotai oleh seorang pemandu lori dan empat orang pekerja. 

Di tapak pelupusan sampah Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menghadiahkan satu jambatan timbang berkomputer. Di sinilah 'performance' setiap kumpulan pemungut sampah diukur. Berat sampah yang dipungut oleh setiap kumpulan dapat diketahui melalui bacaan di komputer. Oleh itu pihak berkuasa boleh mendapat maklumat mengenai jumlah sampah yang dipungut oleh satu-satu kumpulan untuk tempoh sehari, seminggu, sebulan dan juga setahun.

Ada satu kumpulan pemungut sampah amat rendah pungutannya. Oleh kerana itu lorinya amat kurang bergerak. Dari itu juga lori pasukan ini sangat kemas. Jika dilihat dari penggunaan minyak dan tayar lori ini juga paling kurang mengabihkan bogheh. Pemandunya pula melanggar peraturan tetap dengan tidak meninggalkan kunci lori di pejabat pengangkutan tetapi membawanya pulang. 

Pemandu ini berbuat demikian untuk mengelakkan lorinya digunakan oleh pasukan-pasukan lain pada waktu malam. Ini kerana setiap petang lori-lori disimpan secara lintang pukang kerana kekurangan tempat. Oleh itu pemandu-pemandu yang bekerja pada waktu malam akan memandu lori yang paling senang dikeluarkan walau pun pada siangnya mereka memandu lori lain. 

Pemandu ini seolah-olah kebal. Walau pun pegawai-pegawai atasan tahu lorinya memungut sampah paling sedikit tiada siapa yang berani mencadangkan supaya kawasan pungutannya diluaskan. Disamping itu juga tidak siapa yang berani menegurnya kerana membawa pulang kunci lorinya. 

Untuk membuktikan pemandu ini betul-betul kebal, jabatan telah memberikannya anugerah khidmat cemerlang.   

Sunday, October 24, 2010

Bila pengadil tidak tahu (don't know) mengadil - Bahagian 3.

Jabatan-jabatan kerajaan ada program tahunan yang dinamakan Anugerah Khidmat Cemerlang, Tetapi bagi jabatan saya dulu, saya hanya boleh melabelkannya dengan satu perkataan - melucukan. Penerima-penerimanya sudah ditentukan awal-awal lagi. Kemudian markah akan ditetapkan untuk kakitangan ini, biasanya lebih dari 95%. Seterusnya barulah markah-markah kategori dicipta, biasanya dari 9/10 sehingga 10/10. Sehinggakan ada di satu tahun itu seorang kakitangan diberi markah 100%.  Ini bermakna dia diberi markah 10/10 untuk setiap kategori.

Beberapa tahun dahulu boss saya memanggil saya untuk membincang markah-markah yang hendak diberikan kepada seorang kakitangan yang sudah dipilihnya untuk menerima Anugerah Khidmat Cemerlang. Saya terus berkata "Beri dia markah 11/10 untuk setiap kategori untuk dia mendapat jumlah markah 110%." Boss saya terperanjat terhadap sindiran saya dan berkata "Kau ingat ini main-main ke?" Saya terus menjawab "Ada orang dapat 100%, jadi untuk mengalahkannya kenalah beri markah lebih dari 10/10 untuk setiap kategori." Boss saya terus menghalau saya keluar.

Beberapa tahun dahulu ada seorang kakitangan perempuan berbangsa Cina yang suka menyebut satu ayat mengandungi tiga perkataan keramat. Ayatnya ialah "I don't know." Tidak sah jika dia tidak menyebut ayat itu sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Bila kawan-kawan sekerja bertanya dia akan jawab "I don't know." Bila orang awam datang ke pejabat menanyakan sesuatu dia juga jawab "I don't know" atau "Saya tak tau." Entah apa yang dia "know" I DON'T KNOW.

Tetapi dalam pada asyik berkata "I don't know" ini dia diberi Anugerah Khidmat Cemerlang.

Bersambung.....

Saturday, October 23, 2010

Bila pengadil tidak tahu mengadil - Bahagian 2.

SAFARI

Tahunnya ialah 1990 tetapi saya kurang pasti bulan dan tarikh-tarikhnya. Saya menjadi ahli satu kelab fotografi  di Negeri Sembilan dan masih lagi menjadi ahli sehingga sekarang. Kelab menganjurkan satu safari mengelilingi Semenanjung Malaysia selama lima hari empat malam dan saya ditawarkan untuk menyertainya sambil mengetuai satu pasukan. Minyak ditaja oleh Petronas. Tempat tinggal, makan malam dan minuman pagi disediakan. Kami cuma dikehendaki menyediakan kenderaan dan perbelanjaan makan tengah hari.

Saya pun memanjangkan tawaran ini kepada seorang kawan sekerja saya yang menerimanya dengan senang hati. Dia juga menawarkan keretanya. Untuk lebih 'glamour' kami mempelawa dua orang perempuan sepejabat kami yang belum berkahwin di waktu itu. Ini telah menimbulkan tidak kurang gossip di pejabat kami selepas itu.

Tujuan utama safari ialah mengambil gambar-gambar untuk dipertandingkan. Di samping itu beberapa hadiah misteri untuk kumpulan disediakan tetapi kategorinya dirahsiakan. Saya tidak mengharapkan hadiah. Yang penting bagi saya ialah ini satu peluang untuk melihat keindahan negara kita secara percuma. Di samping itu saya dapat lari dari tugas-tugas harian yang kadang-kadang membosankan.

Bukan Muhrim

Dari mula lagi saya perhatikan pasukan-pasukan lain tidak senang dengan kumpulan kami. Ramai mengetahui saya pernah memenangi peraduan 'Treasure Hunt' sebelum ini. Ini ditambah pula dengan pasukan kami terdiri dari lelaki perempuan yang bukan muhrim. Pasukan-pasukan lain terdiri dari semua lelaki atau semua perempuan dan ada juga pasukan terdiri dari ahli-ahli keluarga. Kawan saya pula banyak cakap berbanding dengan saya yang saya fikir pendiam.


HARI PERTAMA

Perjalanan pertama ialah dari Seremban ke Johor Bahru dan kawan saya yang membawa kereta. Apabila bergerak sahaja dari Kompleks Belia dan Sukan Paroi pasukan-pasukan lain berlumba-lumba seolah-olah ini satu 'rally.' Pasukan kami bergerak selamba sahaja dan sempat mengambil gambar-gambar di Linggi, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Akibatnya kami antara yang terakhir sampai ke Johor Bahru. Di Johor Bahru kami tidur di asrama Kompleks Belia dan Sukan dan sudah tentu lelaki dan perempuan diasingkan. Kerajaan Negeri Johor memberi kami makan malam percuma di Kompleks tersebut.

HARI KEDUA

Di hari kedua pada esoknya, setelah minum pagi yang juga ditaja oleh Kerajaan Negeri Johor, giliran saya pula membawa kereta sehingga ke Kuala Terengganu melalui Laluan Persekutuan 3. Bagi saya itulah pengalaman membawa kereta paling jauh dalam satu hari. Seperti yang kami setujui bersama, kami bergerak dengan selamba sambil melihat keindahan pantai timur negeri Johor, Pahang dan Terengganu. Apabila tiba waktu solat kami berhenti di mana-mana masjid untuk bersolat. Sambil itu kami sempat juga mengumpat dan bercerita mengenai kawan-kawan dan boss-boss kami di pejabat yang sudah tentu cemburu terhadap kami.

Seperti di hari pertama pasukan kami juga antara yang terakhir sampai ke Kuala Terengganu, kalau tidak yang terakhir. Malamnya kami dijamu oleh Kerajaan Negeri Terengganu di rumah Menteri Besar. Kami kemudian tidur di asrama Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu.


HARI KETIGA

Esok paginya di hari ketiga setelah minum pagi yang juga ditaja oleh Kerajaan Negeri Terengganu kami bertolak ke Alor Setar, Kedah. Tiba giliran kawan saya pula membawa kereta. Kami melalui Negeri Kelantan sehingga Pasir Puteh dimana saya pernah bekerja. Kemudian kami berpusing ke kiri ke negeri Perak melalui Machang, Tanah Merah dan Jeli sehingga ke Lebuhraya Timur Barat. Itulah pertama kali saya melalui Lebuhraya tersebut. Di sana saya meminta kawan saya membenarkan saya membawa keretanya untuk seketika, tetapi tidak dibenarkannya. Apa boleh buat, itu kereta dia.

Dari Perak kami  ke Alor Setar melalui pendalaman Negeri Kedah. Sekali lagi pasukan kami antara yang terakhir sampai ke destinasi. Ini membuat saya berfikir adakah mereka yang lain itu berlalu laju tanpa berhenti mengambil gambar atau sekurang-kurangnya menikmati keindahan sekeliling.

Tak ada tempat tidur

Sampai di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar kami diberi berita yang tidak menyenangkan. Kedua-dua kawan perempuan kami disediakan tempat tidur di asrama wanita tetapi kami diberitahu tempat tidur di asrama lelaki sudah habis. Saya dan kawan saya tidak tahu di mana hendak tidur pada malam itu. Sambil itu saya perhatikan satu pasukan  yang terdiri dari satu ahli-ahli keluarga telah mengambil alih surau Kompleks tersebut. Mungkin juga kumpulan-kumpulan lain itu sudah diberitahu dari awal mengenai kemudahan asrama yang terhad. Itu agaknya mereka seperti berlumba dari hari pertama lagi.

Tak mandi seharian

Pada malamnya pula kami menjadi tetamu makan malam yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perlis di Kangar. Dalam perjalanan ke Kangar, semasa makan malam di sana dan semasa balik ke Alor Setar fikiran saya tidak lain dari memikirkan di mana hendak tidur pada malam itu. Ini ditambah lagi saya dan kawan saya belum lagi mandi semenjak meninggalkan Kuala Terengganu pada paginya. Bekalan elektrik yang terputus di tempat kami diraikan di Kangar menambahkan otak saya jadi lagi bengang. Saya sampai terlupa di bangunan mana kami makan malam di Kangar.

Apabila balik ke Alor Setar peserta-peserta lain masuk ke bilik asrama masing-masing dan satu kumpulan keluarga tadi masuk ke surau yang mereka sudah tawan. Yang tinggal ialah saya, kawan saya dan beberapa ahli jawatankuasa safari yang terpaksa mengalah kepada ahli-ahli lain.

Kemudian saya mendapat satu idea dan berjumpa dengan pegawai yang menjaga Kompleks tersebut. Saya tanyakan adakah dia menyimpan dua bantal, dua cadar dan dua selimut tambahan. Jawapannya positif. Kemudian saya tanyakan bolehkah saya tidur di dewan besar. Jawapannya 'Terpulangkah kepada Encik.'

Tidur di bilik tidur terbesar didunia

Saya pun terus memanggil kawan saya dan kami mengikuti pegawai tadi untuk mendapatkan bantal, cadar dan selimut dari setornya. Dalam perjalanan ke dewan besar kami terserempak dengan ahli-ahli jawatankuasa yang sedang berbincang. Saya nyatakan kepada mereka bahawa saya sudah mendapat tempat tidur di dewan besar. Mereka pada mulanya melarang saya sambil berkata mereka sedang berbincang untuk mencari tempat tidur. Saya menjawab berbincanglah tetapi tolaklah kami berdua dari perbincangan mereka.

Setelah mandi dan bersolat kami pun terus tidur di atas lantai 'bilik tidur terbesar di dunia' iaitu dewan besar Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Kedah. Kerana keletihan, marah dan otak bengang saya tidak sedar diri sehingga Subuh hari esoknya.

Mereka tiru kami

Apabila bangun pada Subuh esoknya di hari keempat saya sekali lagi terkejut. Ini kerana saya lihat di kiri kanan saya terbaring ahli-ahli jawatankuasa penganjur safari yang juga sedang tidur di 'bilik tidur terbesar di dunia.' Saya tidak sedar bila mereka datang masuk tidur. Tetapi ini memberi sedikit kepuasan kepada saya. Kebanyakan mereka ini  bersikap dingin terhadap pasukan saya tetapi sekarang mereka meniru kami pula. 


HARI KEEMPAT

Setelah minum pagi yang saya tidak pasti anjuran siapa kami pun bertolak ke Ipoh untuk persinggahan kami yang terakhir. Giliran saya pula membawa kereta. Kesemua kumpulan safari menyimpang ke Pulau Pinang melainkan kumpulan kami. Saya menyatakan kebimbangan mungkin tidak sempat untuk mengikuti program yang sudah diatur untuk kami di Ipoh iaitu makan malam di rumah Menteri Besar Perak.

Tersekat di kesesakan jalanraya

Jangkaan saya benar kerana di utara Perak kami telah terperangkap di satu kesesakan lalulintas yang teruk. Ini kerana ada kerja-kerja pembaikan jalan di Laluan Persekutuan 1. Di waktu itu Lebuhraya Utara Selatan belum siap sepenuhnya. Saya nyatakan kepada kawan-kawan bahawa kita telah membuat keputusan bijak dengan tidak menyimpang ke Pulau Pinang. Dengan kebijaksanaan kawan saya membaca peta yang saya bawa bersama kami dapat lari dari kesesakan lalulintas dengan menyusur jalan-jalan negeri, Negeri Perak.

Pertama sampai ke destinasi

Kami sampai ke destinasi iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh sebelum waktu Asar. Kebetulan safari ini diadakan semasa cuti sekolah bila mana asrama sekolah ini dikosongkan. Jika selama ini kumpulan kami yang paling lewat sampai ke destinasi, kali ini sebaliknya pula. Kumpulan kamilah yang pertama sampai di STAR, Ipoh. Kumpulan lain sama ada masih bersantai di Pulau Pinang atau terperangkap dalam kesesakan lalulintas di utara Perak.

Di STAR, Ipoh kami berehat sambil memikirkan nasib kawan-kawan kami yang lain. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dibina pada tahun 1957 semasa dengan pembinaan sekolah saya Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak juga. Oleh itu berada dalam asrama STAR yang sama bentuknya dengan asrama SDAR, Tajong Malim menimbulkan nostalgia bagi saya.

Apabila masuk waktu Maghrib barulah kereta-kereta pasukan lain sampai ke STAR, Ipoh. Kerana suasana malam yang gelap ada juga kereta yang tersasul ke hadapan. Oleh itu saya mengarahkan kawan saya untuk meletakkan keretanya di pintu masuk sebagai panduan. Sambil itu kami berempat sama-sama menunggu di luar sambil melambai.

Sampai masanya untuk program di rumah Menteri Besar Perak kami tidak boleh menunggu lagi dan terus ke sana sedangkan ramai lagi kawan-kawa kami yang belum sampai. Kami dapati ada yang terus ke kediaman MB tanpa mandi dan menukar pakaian. Ada juga yang langsung tidak bersama di program malam ini.

Yakin dapat penghargaan

Setelah pengalaman pahit dan manis di Alor Setar dan Ipoh kawan saya dengan yakin menyatakan sudah tentu pasukan kami akan mendapat satu hadiah. Tetapi bagi saya yang sudah lama menjadi ahli kelab ini, sebaliknya pula. Saya cukup kenal dengan perangai dan sikap ahli-ahli jawatankuasa penganjur safari ini. Cuma Pengerusinya mempunyai sikap terbuka dari dahulu hingga sekarang. Keengganan kami untuk bersama-sama ke Pulau Pinang tidak menolong situasi kami. Walau bagaimana pun saya tetap menjadi ahli kelab sampai sekarang semata-mata kerana minat saya terhadap fotografi dam hormat saya kepada Pengerusi kelab.


HARI KELIMA

Di hari kelima dan terakhir giliran kawan saya pula membawa kereta. Kami menyusur Laluan Persekutuan 5 melalui Bota, Teluk Intan, Kuala Selangor dan Kelang dan berakhir di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Sampai sahaja di barisan penamat keputusan untuk hadiah-hadiah misteri pun diumumkan. Antara kategori yang ditandingkan secara misteri ialah pasukan paling berdisiplin, pasukan yang menjaga kenderaan paling bersih dan yang lain-lainnya saya sudah lupa. Jangkaan saya memang tepat kerana pasukan saya tidak memenangi apa-apa hadiah. Ini cukup menghampakan kawan saya.

Dapat hadiah kerana menyusahkan orang?

Tetapi apa yang saya tidak lupa ialah hadiah untuk pasukan paling berdisiplin jatuh kepada pasukan keluarga yang menawan surau Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Kedah semasa saya, kawan saya dan beberapa ahli jawatankuasa terpaksa tidur di lantai dewan besar. Saya tidak hairan jika pasukan saya tidak memenangi apa-apa hadiah. Tetapi patutkah hadiah diberi kepada satu pasukan yang menyusahkan orang? Tidakkah dengan menjadikan surau sebagai tempat tidur menyusahkan orang lain untuk beribadat? Adakah menyusahkan orang lain beribadat itu satu disiplin yang baik?

Imitation is the best form of flattery

Kawan saya terus merajuk dan tidak mahu lagi menyertai apa-apa program yang dianjur oleh kelab ini. Tapi saya tetap berpuas hari kerana bak kata orang putih 'Imitation is the best form of flattery' atau 'Meniru itu satu bentuk pujian yang paling baik'. 

Pasukan saya telah mendapat pujian terbaik bila urusetia safari meniru saya tidur di Dewan Besar, Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar, Kedah. Biarlah kami tidak menerima apa-apa bentuk hadiah di segi fizikal.

Bersambung...... 

Friday, October 22, 2010

Bila pengadil tidak tahu mengadil - Bahagian 1.

Saya akan bercerita mengenai pengalaman saya berjumpa kes-kes di mana orang yang salah mendapat habuan sedangkan yang betul tidak dapat apa-apa.

Berpuluh tahun dahulu semasa TV kita masih masih hitam putih saya tidak ada pilihan selain menonton Television Malaysia atau TV Malaysia. Kebetulan arwah abang saya bekerja di situ. Dia pun terlibat dalam penerbitan drama dan ada juga drama di mana arwah abang saya terlibat dalam penerbitannya mendapat anugerah tahunan drama terbaik.

Ada satu drama yang arwah abang saya terlibat dan berjudul 'Kelahiran' kalau tak salah saya. Ia mengisahkan mengenai percintaan seorang pemuda Melayu dengan seorang gadis Cina di mana akhirnya mereka berkahwin. Klimaks drama ini ialah ketika mereka dan ibu bapa mereka resah menunggu kelahiran anak pertama mereka yang juga merupakan cucu pertama keempat-empat ibu bapa mereka yang berlainan bangsa.

Drama ini dianugerahkan sebagai drama terbaik pada tahun itu. Banyak anugerah yang diterima oleh drama ini. Saya sama-sama bangga kerana arwah abang saya terlibat sama dalam penerbitannya.  Tetapi ada satu anugerah yang saya rasa tidak kena. Pelakun wanita utama drama ini dianugerahkan juga sebagai pelakun wanita terbaik. Di sinilah saya fikirkan tidak kena.

Pelakun wanita drama ini ialah seorang Melayu tetapi ia berlakun sebagai seorang gadis Cina yang akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda Melayu. Malangnya lakunannya tidak ada langsung ada menampakkan ia seorang Cina melainkan dari rupanya yang ada mirip Cina sedikit. Dia marah seperti orang Melayu marah. Dia merayu seperti gadis Melayu merayu. Dia bercakap dengan ibu banya dengan Bahasa Melayu tulin sedangkan mereka - yang dilakunkan oleh pelakun berbangsa Cina - bercakap Melayu pelat Cina. Semasa gadis dia memanggil dirinya 'aku' terhadap teman lelakinya. Dalam hidup saya, saya belum pernah terjumpa mana-mana gadis Cina memanggil dirinya 'aku.'

Kalaulah pelakun ini melakunkan watak seorang Melayu memang patut ia menerima anugerah. Malah selepas drama ini dia juga pernah menerima anugerah aktres terbaik filem Melayu. Tetapi perlu diingat ini ialah lakunan. Seorang aktor atau aktres hendaklah melakunkan karaktor yang dilakunkannya.

James Bond ialah karaktor seorang ejen sulit berbangsa Inggeris. Tetapi dalam banyak-banyak aktor yang pernah jadi James Bond cuma dua orang sahaja yang berbangsa Inggeris. Bayangkan Sean Connery, sorang berbangsa Scot bercakap seperti Alex Ferguson dalam filem James Bond? Kadang-kadang saya sendiri pun tidak faham apa yang disebut oleh Alex Ferguson bila ditemuramah di TV. Agaknya kalau bagitu cuma satu filem Bond sahajalah yang dapat dilakunkan oleh Sean Connery.

Begitu juga cuba bayangkan Omar Sharif bercakap pelat Arab semasa berlakun sebagai Colorado, seorang penjahat Mexico dalam filem McKenna's Gold dan Dr. Zhivago, doktor berbangsa Russia dalam filem yang sama nama?

Oleh itu, di tahun yang berkenaan, pelakun wanita yang tidak payah saya sebutkan namanya itu tidak layak menerima anugerah pelakun wanita terbaik. Pengadil atau juri telah membuat satu kesilapan besar. Anugerah itu sepatutnya dimenangi oleh orang lain.

Bersambung....

Sunday, October 10, 2010

Not So Happy.

A few days ago we read the news from Seremban about the death of a four days old female infant killed by a monkey. The place is Happy Garden, Rasah, Seremban to be exact.

I have fond memories of Happy Garden, Rasah. When I began working at the Seremban Municipal Council in 1973 I was assigned to the Rasah area as my boss said it was 'the least commercial area' in Seremban. In other words there were more dwelling houses than shops in Rasah. 

It was a real challenge for me. Before this I was attending to to rural Malays. But now I was attending to urban non Malays. Many of the people staying in Rasah were retirees who had more time to look around their houses and make complaints to us. They complained either by by coming directly to our office, making phone calls or by writing letters.

One letter became a centre of attention. It came from an occupant of Happy Garden, Rasah and it started with the heading 'The Not So Happy Garden'. The complainant wrote that although he was staying in an area named with the word 'Happy' he was far from it. Every time I pass this area the title of the letter comes to my mind.

Happy Garden, Rasah is situated beside the Linggi River where it runs under the federal road connecting Seremban to Port Dickson. The bridge had been replaced a few times and somewhere in 1971 or 1972 one was totally washed away by floods. Floods also had affected Happy Garden a few times and even now the residents there live in fear every time it rains heavily.

When I was assigned to the Rasah area in 1973 I had to  make a detour through Loop Road (now named Jalan Tok Ungku) to go to Happy Garden. I even stayed in Mok Sum Garden, just adjacent to Happy Garden from 1973 to 1975. My landlord was operating a confectionery in Happy Garden.

Now with the completion of the Seremban Inner Ring Road passers by can only see the roofs of most of the houses and shops in Happy Garden. Business had gone down for the shop owners and a few shop owners had shifted somewhere else. My former landlord had closed his business a few years ago and he had since died.

One happy consolation for the Happy Garden people is that their place is near the two PLUS toll plazas in Rasah. So the occupants  there do not have to pass through heavy traffic to travel north and south using the expressway. Perhaps another consolation is their place is beside the Seremban Inner Ring Road. Whether this one is a happy consolation can be argued because the ring road does bring problems like noise and pollution.

I never know that the occupants of Happy Garden are also facing simian problems too beside other problems they are already facing. So it seems that the words of the letter writer written many many years ago are still true until today.

Friday, October 8, 2010

What a heavy price to pay.


Last Saturday I went to my nephew's wedding in Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan. On returning to Seremban I used the state road from Gemencheh to Selaru, Kuala Pilah. From Selaru to Paroi I used the federal roads. From Paroi to Jalan Jelebu I travelled on the toll free section of the Kajang - Seremban Highway or LEKAS. From Jalan Jelebu to my house in Sikamat I again used both state and federal roads. I am quite pleased by the condition of the state roads in Negeri Sembilan.

At Selaru along the Tampin - Karak federal road I saw a group of monkeys crossing the road from my left to my right. Being smart animals they did not cross the road on foot but my walking on either telephone or power lines, I am not sure. Once they were on the lines to my right they jumped to the woods. I stopped and took a few photographs of them. Fearing that they might attack me I took the shots from my car. Luckily my telephoto zoom lens was with me.

What surprised me was the presence of a lone monkey who jumped last. He only jumped to the woods a few minutes after everybody was gone. That is the monkey at the above photograph. In fact he was looking backwards to where all of them came from. It was as if he was making sure that none of his gang were lagging behind. I am not good at classifying monkeys, so I don't know what family of monkey he belongs to.

Yesterday I read with sadness that a four days old infant was killed after being taken from her cradle by a male monkey. I read further that it was possible that the male monkey was attracted to a female monkey being kept in captivity by the late infant's family. If this is true then I can say that the family had paid a high price for keeping the other monkey in captivity.

I love to watch programs about animals on television. From what I see I can deduce that wild animals should be left at their natural habitat that is the wilderness. I hate to see wild animals like birds and monkeys being kept captive. We should not confuse them with cats and dogs.

My mother have a few durian trees around her house. All over the years we have abundant durian fruits to eat and sell. I can proudly say that my mother managed to send us to school from the money earned from selling durians. But now she complaints that although the durians are bearing fruit like before they are not dropping their ripe fruits likewise. The bulk of the fruits are being eaten by monkeys before they are due to drop.  

This is because the monkeys which had been living in the woods around our kampung are now foraging for food right under the villagers' noses. This is due to their natural habitat being destroyed by humans. Many of the jungle trees that had been bearing fruits for the monkeys are gone. So the monkeys have no choice but be civilised like humans. When my mother complained I told her that the monkeys have the right to line too. Furthermore we don't need the durian fruits like we needed them before. Nevertheless this is a small price for us to pay compared to the one paid by the family in Happy Garden, Seremban.  

Thursday, October 7, 2010

Stesen keretapi baru di Seremban.

Dengan penyambungan trek berkembar KTM dari Seremban ke Gemas dua stesen baru sedang didirikan si Seremban, satu di Senawang dan satu lagi di Sungai Gadut. Semalam saya sempat ke tapak pembinaan stesen baru di Senawang. 

Stesen ini terletak antara Taman Bukit Emas di Jalan Tampin dan Taman Seri Mawar di Senawang. Kebetulan semasa saya di sana beberapa orang kuat syarikat yang membina stesen ini sedang membuat lawatan. Pada mulanya saya menyangka akan di halau keluar, lebih-lebih lagi saya datang dengan kamera DSLR. Tetapi setelah mengenalkan diri dan menyatakan saya ingin mempromosikan stesen ini, saya dibenarkan mengambil gambar.

Pada perkiraan saya stesen di Senawang ini amat perlu memandangkan Senawang agak penuh sesak dengan manusia. Sebenarnya semasa Kawasan Perindustrian Senawang mula-mula dibina ada rancangan untuk menyambung trek keretapi terus ke kilang-kilang di sana. Jika diperhatikan di belakang kilang-kilang terdapat kawasan lapang memanjang yang sebenarnya dirancang untuk dijadikan trek keretapi. Tetapi dengan pembinaan Lebuhraya Utara Selatan pembinaan trek ini dibatalkan.

Tidak apalah stesen baru ini untuk pengangkutan manusia dan bukan untuk pengangkutan barang. Sekurang-kurangnya ia mengurangkan kesesakan di kawasan stesen keretapi Seremban sekarang. Cuma saya merasa kecewa seolah-olah tiada perancangan apabila pihak-pihak berkuasa membina terminal pengangkutan seperti stesen bas dan keretapi. Lihat sahaja di bandar Seremban. Stesen keretapi lebih kurang 500 meter jauhnya dari stesen bas. Kenapa tidak dibina stesen bas baru di tapak Seremban Parade sekarang? Sedangkan tapak dahulu ialah Padang Stesen dan kemudian Stadium Perbandaran Seremban.

Salah satu sebab Seremban Parade maju ialah kerana ia terletak bersebelahan dengan Stesen Keretapi Seremban. Tetapi orang ramai yang ingin bergerak dari Seremban Parade ke Stesen Keretapi Seremban dan sebaliknya terpaksa menyabung nyawa melintasi jalan utama yang sibuk. Kenapa tidak didirikan jejantas antara kedua-dua kompleks ini. Kenapa pihak KTM tidak berbincang dengan tuan punya Seremban Parade untuk tujuan ini? Agaknya mereka mengharapkan pihak ketiga seperti Majlis Perbandaran Seremban atau Kerajaan Negeri untuk mendirikannya.

Inilah gambar-gambar pembinaan stesen keretapi baru Senawang. Saya akan cuba mengambil gambar stesen keretapi Sungai Gadut selepas ini.


Pandangan dari Taman Bukit Emas.


Pandangan ke utara. Saya agak stesen ini akan mempunyai dua pintu masuk seperti stesen keretapi Tanjung Malim, Perak.


Saya tidak pasti sama ada keretapi antara bandar seperti ini akan berhenti di Senawang?


Kawasan komersial yang paling hampir ialah Taman Bukit Emas, Jalan Tampin.


Kawasan perumahan yang paling hampir pula ialah Taman Seri Mawar, Senawang.


Tapak untuk tempat letak kereta. Di belakang itu ialah Kawasan Perindustrian Senawang.

Stesen ini mesra Orang Kurang Upaya (OKU). Lif disediakan.
  


Monday, October 4, 2010

Jamuan Hari Raya yang Unik.

Biasanya kita dijemput ke majlis hari raya secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Tetapi kali ini saya dijemput di satu majlis hari raya yang saya boleh kategorikan diantara dua kategori seperti yang saya sebut. 

Kali ini saya tidak pergi ke jamuan hari raya yang dianjurkan oleh keluarga, parti politik, ahli yang berhormat atau badan-badan lain. Tetapi oleh penduduk yang tinggal di satu jalan atau lorong dalam taman perumahan saya.

Kami ahli jemaah surau dijemput ke lorong ini selepas solat Isya'. Apa yang menarik ialah walau pun diantara kami termasuk orang-orang kuat seperti imam surau, bacaan doa dibacakan oleh seorang penduduk lorong. Kami dijemput semata-mata untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh penduduk lorong ini.


Tuan Pengerusi lorong memberi ucapan.


Antara jemaah surau yang dijemput. 

 Termasuk pengerusi taman dan pengerusi surau.


 Imam besar kami pun turut sama.


Anak siapa ini?

Kanak-kanak menerima duit raya dari pengerusi lorong.


Kanak-kanak lorong lain pun tumpang sama. Makanan banyak di belakang tu.

Kanak-kanak gembira, saya pun sama gembira.

Cabutan bertuah pun ada. Lihat hadiah-hadiah di belakang tu.