Showing posts with label General. Show all posts
Showing posts with label General. Show all posts

Sunday, February 22, 2015

Bila anak-anak Jelebu bertemu.

Laman sosial Facebook bukan sahaja merapatkan mereka yang tidak pernah kenal, tetapi merapatkan lagi mereka yang sudah kenal. Saya sudah mengenali orang kampung saya Abd Rani Daud sejak saya kecil lagi. Tetapi kami tidak rapat langsung, maklumlah dia hanya orang sekampung dan bukan saudara. Dia pula dulu bekerja dengan Angkatan Tentera Malaysia dan saya bersekolah di satu sekolah berasrama penuh.

Tetapi kami kenal semula melalui Facebook, lebih-lebih lagi kami sama-sama ahli kumpulan yang dinamakan Anak Anak Jelebu atau AAJ. Semalam saya balik ke kampung kami Kg. Petaseh Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan atas jemputan bang Abd Rani yang lebih dikenali sebagai Pak Teh. Majlis ialah perkahwinan anak bongsunya, seorang teruna. Tidak hairanlah ramai ahli-ahli AAJ turut sama, kebanyakannya saya jumpa pertama kali walau pun sudah kenal di Facebook.

Di bawah ini ialah gambar-gambar pertemuan kami ahli-ahli AAJ di rumah Pak Teh Rani. Gambar-gambar diambil oleh AAJ termasuk saya sendiri. 

.
Saya dengan Nordin Rahmat, pertama kali berjumpa.

Pak Teh yang duduk di tengah-tengah.

Gambar dengan ihsan Imah Halimah, berdiri di tengah-tengah.

Saya dengan Abdul Hamid Hussin, pertama kali berjumpa.

Gambar ihsan Pak Teh.

Gambar ihsan Imah Halimah.


Gambar ihsan Faizal Ateng.


Saya dengan Pak Teh.

Imah Halimah dan Abdul Hamid Hussin.

Pasangan pengantin dengan kawan-kawan mereka.

Gambar ihsan Faizal Ateng.

Gambar ihsan Alynn Rosli.

Friday, January 16, 2015

Kerana pakaian




Perkara-perkara yang saya hendak bawa dalam pos saya kali ini semuanya melibatkan pakian seperti berikut:


Kes Pertama:

Baru-baru ini kita dihangatkan dengan cerita tiga gadis Melayu Islam dicabul (perkataan paling tepat diantara perkataan-perkataan menceritakan hubungan mereka) oleh artis-artis K-Pop dari Korea di satu pertunjukan di Kuala Lumpur. 

Mereka dicabul sedang mereka memakai pakaian bertudung. Ini yang menyebabkan orang paling marah. Saya fikir jika mereka tidak bertudung kita akan berkata 'Padanlah dengan peebuatan mereka. Menutup aurat pun tidak'. 


Kes Kedua:

Sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur juga tidak membenarkan seorang pelajar perempuan bukan Melayu dan bukan Islam untuk memakai baju kurung ke sekolah. Kononnya baju kurung ialah untuk orang Melayu sahaja.

Saya teringat dulu ada seorang pengacara television perempuan berbangsa Cina dan beragama Kristian yang sering memakai baju kurung. Sehingga dia mengaku memakai baju kurung semasa ke gereja.  Apa salahnya?

  
Kes Ketiga:

Seorang kawan saya telah menghantar gambar satu 'brochure' kemasukan ke satu Institut Pengajian Tinggi. Antara muka-muka yang terdapat di 'brochure' itu ialah muka saya yang dikategorikan sebagai Pesara Kerajaan / Warga Emas. Ada empat Pesara Kerajaan / Warga Emas dalam gambar itu seperti di atas.

Betul, saya seorang pesara kerajaan dan seorang warga emas. Tetapi ada beribu pesara kerajaan dan berjuta warga emas dalam negara kita ini. Kenapa gambar kami berempat itu yang dipilih?

Mungkin kerana pakaian kami.

Sekian. 

Wednesday, October 8, 2014

Bila makan di restoran......


Saya ada dua cara memesan atau mengambil makanan di restoran bukan makanan segera seperti berikut: 

  1. Makan secara bufe atau dipanggil nasi campur.
  2. Pesan melalui menu terutama bila makan di restoran tom yam.
Saya tidak ada masalah jika makan seorang. Tetapi saya dapati tiap kali pergi ke restoran tom yam dengan kumpulan atau keluarga terdapat pembaziran makanan. Saya perhatikan di meja-meja bersebelahan juga ada pembaziran. Saya tidak mahu makanan kurang apabila membawa keluarga atau kawan-kawan makan. Tetapi saya juga tidak suka jika ada pembaziran makanan. 

Saya bingung mengapa pembaziran itu terjadi. Contohnya semasa bulan puasa tahun lepas saya berbuka puasa di restoran tom yam berhampiran rumah saya. Saya biarkan isteri saya memesan melalui telefon dan saya mendengarnya. Saya fikir apa yang dipesanya berpatutan. Tetapi bila sudah makan saya dapati bilnya melebehi RM 80 untuk kami berdua. Itu tak apa juga, tetapi apa yang paling saya kesal ialah banyak makanan tidak termakan.

Satu hari saya dapat jawapannya bila pergi makan ke restoran tom yam yang sama dengan seorang kawan berbangsa Cina. Dia bertanya apa makanan yang saya mahu dan dia juga memberitahu apa yang dia nak makan. Kemudian bagi setiap item makanan kami memesan untuk seorang makan. 

Kemudian kami berkongsi setiap makanan yang kami pesan. Dia berkongsi makanan yang saya pesan dan dia juga berkongsi makanan yang saya pesan. Dia berkata bila dia makan dengan isterinya itulah cara dia memesan makanan.

Akhirnya makanan yang kami pesan habis tanpa pembaziran, perut pun kenyang dan kos pun berpatutan. 

Baru saya sedar selama ini bila saya datang makan berdua sebenarnya saya memesan makanan untuk empat orang dan bila saya datang berempat saya pula memesan untuk enam belas orang. 

Bagaimana ini berlaku? Sebab apabila saya datang berempat contohnya saya telah memesan setiap jenis makanan untuk empat orang. Contohnya ikan untuk empat orang, ayam untuk empat orang, daging untuk empat orang dan akhirnya sayur untuk empat orang. Itu belum termasuk tom yam dan minuman. Sebenarnya saya telah memesan untuk 4 x 4 atau enam belas orang.

Pengusaha restoran peduli apa? Dia akan menyediakan makanan bagaimana kita pesan. Dia tidak akan menasihat seperti ini "Saya rasa encik sudah order lebih ni". Yang dia tahu akhirnya duit dari poket kita akan berpindah ke poketnya.

Itulah sebabnya kita sering terbaca ada orang mengadu terpaksa membayar sehingga beribu ringgit apabila makan di restoran. Sudah tu menyebarkannya pula di akhbar dan apa yang disebut media sosial. Tahu makan tahulah bayar. Nak diungkit buat apa?

Sejak makan dengan kawan itu tiap kali saya pergi makan berkumpulan saya akan memesan caranya. Kalau datang berdua, bertiga, berempat atau lebih saya akan memesan untuk seorang makan bagi tiap-tiap jenis makanan. 

Sekian.

Saturday, August 30, 2014

Di sini lahirnya sebuah lagu.


Saya mula mengambil perhatian kepada pencipta-pencipta lagu pada tahun 1963 apabila saya mula meminati kumpulan muzik terkenal The Beatles. Sebelum itu saya mula dikenalkan kepada lagi-lagu berbahasa Inggeris apabila saya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak iaitu sebuah sekolah berasrama penuh, pada tahun 1962 semasa saya berumur 12 tahun. Walau pun saya telah mendengar dan meminati lagu-lagu Elvis Presley dan Cliff Richard sebelum mengenali The Beatles saya tidak kisah langsung untuk mengetahui siapa pencipta-pencipta lagu mereka.

Saya perhatikan di bawah tajuk lagu-lagu The Beatles di rekod tertulis begini:- "(Lennon-McCartney)". Saya tahu John Lennon dan Paul McCartney adalah anggota The Beatles, jadi mula-mula saya ingatkan nama-nama mereka ditulis di bawah lagu-lagu itu kerana merekalah yang menyanyikannya. Tetapi apabila saya dapati tulisan "(Lennon-McCartney)" juga terdapat di bawah lagu-lagu nyanyian penyanyi-penyanyi lain barulah saya tahu sebenarnya John Lennon dan Paul McCartney adalah pencipta lagu-lagu tersebut. Antara penyanyi-penyanyi yang saya maksudkan ialah Peter and Gordon, Cilla Black dan Billy J Kramer.

Sebenarnya di mula kerjaya mereka The Beatles juga menyanyi lagu-lagu ciptaan pencipta lain seperti Buddy Holly, Carl Perkins dan Chuck Berry dan sudah tentu nama-nama mereka ditulis di bawah tajuk-tajuk lagu nyanyian The Beatles tersebut. Kemudian setelah The Beatles popular beratus penyanyi lain dari seluruh dunia merakam dan menyanyikan lagu-lagu ciptaan Lennon-McCartney.  

Dari lagu-lagu berbahasa Inggeris saya menumpukan perhatian pula kepada lagu-lagu Melayu dan Hindustan. Rupa-rupanya bukan semua lagu-lagu nyanyian P Ramlee adalah ciptaan P Ramlee. Semasa era lagu-lagu pop Melayu tahun 60an (saya tidak setuju ia dipanggil Pop Yeh Yeh) pencipta Salamah Basiron dan Hanimasra adalah orang yang sama. Lagu Oh Fatimah nyanyian A Ramlie dicipta oleh Salamah Basiron. Orang yang sama mencipta lagu Siti Haida nyanyian Jeffridin dengan nama Hanimasra. Pada pendengaran saya lagu-lagu terbaik Hindustan ialah ciptaan Shankar-Jaikishan.

Kenapa saya bangkitkan perkara ini? Kerana saya dapati orang-orang Malaysia amnya dan orang-orang Melayu khasnya tidak mengambil perhatian kepada siapa yang mencipta lagu-lagu yang mereka dengar hari-hari. Sebagai contoh saya pernah mempunyai satu CD lagu-lagu patriotik Melayu/Malaysia yang dikeluarkan oleh sebuah badan Kerajaan. Malangya CD itu tidak ada lagi di tangan saya kerana tidak dipulangkan oleh seorang sahabat saya yang meminjamnya. Mengikut CD itu pencipta lagu 'Malaysia Baru' ialah P Ramlee sedangkan pencipta sebenarnya ialah Kassim Masdor.

Sekarang boleh dikatakan setiap lima minit kita didendangkan dengan nyanyian Allahyarham Sudirman 'Di sini lahirnya sebuah cinta...' yang merupakan sebahagian ayat pertama sebuah lagu, sehinggakan bahagian ayat itu dijadikan tema perayaan Hari Merdeka tahun ini (2014).  Tetapi berapa ramaikah antara kita yang tahu siapa sebenarnya pencipta lagu itu? Dan berapa orang pula yang tahu tajuk lagu itu sebenarnya ialah 'Warisan' dan bukannya 'Di sini lahirnya sebuah cinta'?

Sebenarnya lagu itu terdapat di sebuah album LP Sudirman yang juga pernah saya miliki. Tetapi apabila saya berpindah kepada CD saya memindahkan koleksi LP saya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah lama saya. Saya dapat tahu koleksi LP saya sudah dikebas orang. Tetapi tanpa 'record player' atau 'turntable' koleksi LP itu tidak berguna.

Saya sudah melayar internet untuk mendapatkan makluman tentang pencipta lagu 'Warisan' tersebut. Saya dapati cuma satu laman yang menyatakan penciptanya ialah Syed Haron. Laman-laman lain kebanyakannya memberi pujian atau kredit kepada Allahyarham Sudirman sebagai penyanyi.

Saya tidak tahu sama ada Syed Haron betul-betul mencipta lagu 'Warisan' tersebut. Juga saya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak. Jika dia masih hidup saya tidak pasti sama ada dia tahu akan haknya boleh menuntut royalti setiap kali lirik atau melodi lagu 'Warisan' dimainkan di radio dan television. Juga royalti untuk setiap tulisan 'Di sini lahirnya sebuah cinta' ditulis di akhbar dan papan-papan iklan.  

Jika dia sudah tiada lagi adakah 'Warisan'nya iaitu waris-warisnya tahu akan hak mereka boleh menuntut royalti yang sama?

Sekian.

Sunday, August 24, 2014

Kenapa steroid diharamkan dalam sukan.



Saya bukanlah seorang pemberita atau penyelidik. Saya suka menulis atas pengalaman saya sendiri. Kebanyakan pendapat saya ialah pandangan peribadi sendiri dan bukan pendapat pakar, oleh itu tidak layak dijadikan bahan rujukan. 

Dua hari lepas saya berjumpa doktor kerana tidak tahan tangan kiri saya sakit sudah dua minggu. Saya mengharapkan ia baik secara semula jadi, tapi tak jadi juga. Akibatnya saya tidak selesa membuat kerja-kerja yang melibatkan dua belah tangan sehinggakan untuk bersama isteri pun tidak selesa. Mujur juga kereta-kereta saya bertransmisi otomatik, oleh itu saya kurang menggunakan tangan kiri. Tetapi oleh kerana kereta Kancil saya tidak mempunyai steering berkuasa, terseksa juga saya dibuatnya.

Pendapat doktor sama seperti yang saya fikirkan iaitu tangan kiri saya itu sakit akibat terhimpit semasa tidur. Doktor pun menasihatkan saya supaya kurang menggunakan tangan kiri, juga supaya tidur mengiring ke kanan. 

Doktor kemudian memberi saya satu ubat jenis steroid untuk menghilangkan rasa sakit di tangan saya. Dalam beberapa jam sahaja sakitnya hilang dan saya rasa boleh membuat kerja-kerja biasa yang melibatkan kedua-dua belah tangan.

Kemudian saya terfikir steroid menjadi bahan sensitif di bidang sukan. Dipendekkan cerita ahli-ahli sukan diharamkan menggunakannya. Jika seorang atlit itu diuji positif steroid setelah memenangi apa-apa acara, kemenangannya dibatalkan. Contoh terbaik ialah pelari Ben Johnson dibatalkan kemenangannya dalam acara lari 100 meter di satu Sukan Olimpik, di tahun dan bandar mana saya sudah lupa.

Saya terfikir lagi steroid yang saya ambil menghilangkan kesakitan, akibatnya anggota yang sakit itu boleh digunakan seperti biasa. Begitu juga atlit-atlit, mereka boleh berlari, melompat dan membaling apabila kesakitan mereka, jika ada, dihilangkan oleh steroid.   

Sudah tentu juga atlit-atlit sering berlatih untuk menjadikan badan mereka bersedia selalu. Bila sudah berlatih sudah tentu badan mereka sakit-sakit. Tetapi keadaan itu terpaksa ujud, jika tidak mana datangnya ungkapan 'no pain, no gain'. Mungkin steroid digunakan untuk menghilangkan 'pain' itu. Oleh itu tidak adillah kepada mereka yang tidak menggunakan apa-apa steroid.

Pada pendapat saya itulah sebabnya steroid diharamkan dalam sukan.


Tuesday, July 15, 2014

Ada dua jenis manusia yang berbuka puasa di hotel.

Gambar dengan ihsan Hj. Khalil Rahim.

Jika pembaca menonton filem 'The Good, the Bad and the Ugly' sebutan 'there are two kinds of people in the world, my friend' sering disebut oleh 'the Good' dan 'the Ugly'. Petang semalam saya berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di Seremban. Dari pandangan saya 'There are two kinds of people who break their fast in hotels' atau pun ada dua jenis manusia yang berbuka puasa di hotel.

  1. Pertama ialah mereka yang menganggap berbuka puasa satu ibadah. Mereka datang dengan pakaian untuk senang bersolat, contohnya tidak datang berkasut. Apabila sampai ke ruang yang disediakan oleh pihak hotel untuk berbuka mereka mengambil makanan yang minima hanya untuk memenuhi kewajipan berbuka puasa. Kemudian mereka akan ke surau yang juga disediakan khas oleh pihak hotel untuk solat Maghrib. Selepas solat Maghrib mereka kembali ke ruang makan dan barulah mengambil makanan yang lebih berat. Mereka tidak malu untuk berulang-ulang meninggalkan meja makan mengambil apa-apa makanan yang disediakan. Selepas itu mereka sama ada akan balik ke rumah untuk menunaikan solat Isya' dan seterusnya solat Tarawikh atau menunaikan kedua-dua solat itu di surau hotel.
  2. Kedua ialah mereka yang datang dengan tujuan utama untuk makan. Ada yang berpakaian biasa dan ada juga yang berpakaian seolah-olah hendak bermain golf. Mereka mungkin datang dalam kumpulan bersama dengan orang bukan islam. Mereka ini akan mengisi pinggan penuh dengan segala makanan yang ada. Kebanyakan mereka akan duduk makan tanpa berulang-ulang mencari variasi makanan walaupun ada sebilangan kecil yang tidak berbuat begitu. Perbezaan besar dengan kumpulan yang pertama ialah mereka tidak menggunakan kemudahan surau yang disediakan oleh pihak hotel untuk bersolat. Ada yang pulang awal untuk bersolat di rumah dan ada juga yang tidak sempat bersolat kerana lebih memikirkan tentang makan dan makan/
Saya terletak di kumpulan mana? Itu saya tidak boleh cerita.

Sunday, June 22, 2014

Komat Jolobu



Sungai Teriang, di Jelebu, Negeri Sembilan. Sungai ini mengalir melalui pekan Triang di Pahang, kemudian ke Sungai Pahang dan seterusnya ke Laut China Selatan. Di masa dulu-dulu orang-orang dari Pahang yang tidak percaya dengan 'Komat Jolobu' menyusur ke hulu sungai untuk menetap di Jelebu.

Ko Jolobak ko Jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalao kono komat Jolobu
Tak mati badan meghasai

Gurindan dulu-dulu jangan ponah dipotikai
Tak tahu tanyo dulu jangan goma momandai-mandai

Saya telah mendengar sebutan 'komat Jolobu' sejak saya kecil lagi. Maklum sajalah saya dilahirkan di Jelebu dan bersekolah rendah di sana. Sekarang tiba-tiba sebutan itu menjadi terkenal seluruh Malaysia kerana penyanyi Hattan, orang Kuala Pilah dan Waghih, orang Rembau menjadikannya sebahagian lagu mereka 'Gadis Jolobu'.

Jika sebutan 'komat Jolobu' dijadikan sebahagian senikata lagu lima puluh tahun yang lalu tentu ramai orang Jelebu yang marah. Sudah tentu ramai yang meminta lagu itu diharamkan. Tetapi tidak lagi sekarang, malah kami anak-anak Jelebu merasa bangga sebab nama daerah kami disebut dalam lagu.

Untuk mereka yang belum kenal Jelebu saya ingin menerangkan mengenainya secara ringkas. Daerah Jelebu terletak di utara Negeri Sembilan. Banyak keunikan Jelebu, antaranya bandar utamanya tidak dipanggil 'Jelebu' tetapi Kuala Klawang. Kepada mereka yang masih kurang jelas saya sering memberitahu mereka 'Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang'.

Jelebu bersempadan dengan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Bentong di Pahang. Ini satu lagu keunikan yang tidak dikongsi oleh daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, iaitu kami bersempadan dengan dua negeri.

Jelebu pula daerah yang paling kurang pembangunan di Negeri Sembilan. Perkara ini mungkin menyebabkan rasa rendah diri orang-orang Jelebu di masa dulu, sehinggakan ada orang Jelebu yang tidak mengaku orang Jelebu. Tetapi perkara ini tak jadi hal lagi sekarang.

Apa dia 'komat Jolobu?'. Mungkin dalam Bahasa Melayu maknanya 'Hikmat Jelebu'. Saya ada mendengar beberapa penjelasan mengenainya. Tetapi di sini saya cuba menerangkan dua daripadanya.


Teori pertama: Dulu kebanyakan daerah Jelebu belum diteroka. Tentulah mengikut kepercayaan kawasan-kawasan yang belum diteroka ramai 'penunggu'nya. 'Penunggu' ini akan mengenakan 'komat' mereka kepada penceroboh yang datang. Mereka yang kena 'komat' ini sama ada akan mati atau badan mereka 'meghasai' atau merana sepanjang hayat'. 

Tetapi mereka yang tidak percayakan 'komat' ini tetap datang meneroka ke Jelebu. Contohnya orang dari Pahang menaiki sampan menyusur ke hulu sungai dan menetap di Simpang Durian, Peradong dan Kenaboi. Orang dari Kuala Pilah pula akan merentas hutan untuk menetap di Geylang, Petaseh dan Peradong. Nenek moyang saya ialah contoh pendatang dari Kuala Pilah itu. Alhamdulillah saya tak kena 'komat Jolobu'.

Kalau dibanci asal-usul mereka penduduk pendatang Melayu di Jelebu mengatasi penduduk asal. Tidak ada pula yang mati atau meghasai kena 'komat Jolobu'.

Teori kedua: Kerana kedudukannya yang jauh dari tamadun, ramai orang yang takut atau ditakutkan apabila diperintah bertugas di Jelebu. Ibu-bapa takut anak-anak bujang mereka yang dihantar bertugas di Jelebu akan lupa kampung halaman mereka. Lebih-lebih lagi jika mereka 'menyomondo' atau kahwin dengan orang Jelebu. Sekali lagi 'komat Jolobu' digunakan sebagai alat untuk menakutkan.

Tetapi terbukti itu cerita dongeng juga. Ramai kakitangan kerajaan seperti anggota Polis dan kakitangan Kesihatan ditugaskan di Jelebu. Belum ada saya dengar antara mereka terkena 'komat Jolobu'. Malah apabila mereka meninggalkan Jelebu tidak ada cerita lain melainkan kenangan manis yang mereka ceritakan kepada ibu bapa dan kawan-kawan mereka.

Mungkin pembaca-pembaca yang berasal dari Jelebu ada teori-teori lain. Saya mengalu-alukannya. 

Friday, May 2, 2014

Di pasaraya pun nak mementingkan diri.


Konsep pasaraya atau 'supermarket' telah sampai ke negara kita berpuluh tahun yang lalu. Selari dengan kepesatan penduduk di bandar sudah tentu mereka juga berada di bandar-bandar sehingga di bandar-bandar bukan sahaja ada 'supermarket' tetapi juga apa yang dipanggil 'hypermarket'.

Pasaraya sudah tentu membunuh perniagaan kedai-kedai runcit di bandar-bandar. Sekarang cuma terdapat kedai-kedai runcit di pinggir bandar dan di bandar-bandar kecil. Jika sesiapa hendak membuka sebuah kedai runcit berdekatan dengan mana-mana pasaraya ia seperti membunuh diri sendiri.

Kelebihan pasaraya ialah boleh dikatakan apa-apa keperluan sebuah rumah daripada ikan bilis, sayur-sayuran, perabot dan alat-alat elektrik terdapat di dalamnya. Kita tidak payah mencari dari satu kedai ke satu kedai untuk keperluann tersebut.

Pelanggan juga disediakan dengan kemudahan tempat letak kereta, ada yang berbayar dan ada yang percuma. Semasa membeli belah 'trolley' dan bakul juga disediakan.

Tetapi walau bagaimana banyak kemudahan pun yang disediakan sungutan yang selalu diluahkan oleh pelanggan ialah mereka terpaksa beratur semasa membayar dikaunter. Ada yang terpaksa beratur lama dan ada juga yang sekejap sahaja.

Di sinilah kebanyakan pasaraya menyediakan dua jenis kaunter bayaran. Jenis pertama kaunter untuk barang yang tidak terhad jumlahnya. Yang kedua pula untuk jumlah barang yang terhad, biasanya yang jumlahnya kurang dari sepuluh. Kaunter kedua sering dipanggil 'kaunter ekspres'. Ada juga pihak berkuasa negeri yang mensyaratkan pengasingan kaunter untuk lelaki dan perempuan.

Di sinilah saya perhatikan masih ramai yang tidak faham akan perbezaan kaunter ini. Ada yang hanya membeli dua tiga barang tetapi pergi ke kaunter tidak terhad, sedangkan mereka akan cepat menyelesaikan bayaran jika pergi ke kaunter ekspres.  

Tetapi yang selalu membengangkan saya ialah mereka dengan trolley penuh pergi ke kaunter ekspres. Itu yang berlaku tengah hari tadi di satu pasaraya di Seremban. Saya yang hanya membeli lima jenis barang di halang pada mulanya oleh seorang dengan trolley penuh di kaunter ekspres. Dia selamba sahaja menunggu di kaunter ekspres sedangkan beberapa notis terpampang di depan matanya. Mujur juga saya cepat-cepat pergi ke kaunter biasa.

Apabilla gilirannya tiga untuk membayar ia telah ditegur oleh juruwang di kaunter tersebut. Terjadilah perbalahan antara mereka. Itu sahaja sudah cukup mengambil masa. Kerana giliran saya belum sampai di kaunter saya pun sempat mengambil gambar di atas. Agaknya terdapat lebih tiga puluh barang dalam trolleynya.

Syukurlah juruwang di kaunter itu mengamalkan polisi pelanggan selalunya betul atau 'the customer is always right'.

Sekian.   


Friday, February 28, 2014

Dah pencen lebih 10 tahun, tetapi LHDN kata dia masih bekerja.


Semalam saya menerima aduan dari seorang perempuan yang mengadu bayaran BR1M bapanya telah dikurangkan dari RM 500 kepada RM 400 bila sepatutnya ia dinaikkan kepada RM 650. Sebelum itu saya ingin menjelaskan bahawa saya sekarang bekerja dengan sebuah NGO yang ahli-ahlinya pesara kerajaan semata-mata.

Pengadu itu minta pertolongan saya untuk mengemaskini status pencen bapanya, seorang pesara guru yang sudah bersara lebih sepuluh tahun. Mula-mula saya ingat dia ingin mengemaskini alamat atau akaun bank bapanya kerana kerana saya pernah melayan permintaan begitu. 

Tetapi tidak, kerana katanya apabila dia bertanya kenapa BR1M bapanya dikurangkan dari RM 500 kepada RM 400, jawapan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atau LHDN ialah dalam rekod mereka bapanya masih bekerja sebagai guru dengan gaji RM 3,100 sebulan. Sedangkan bapanya sudah bersara lebih sepuluh tahun dan menerima pencen kurang dari RM 2,000 sebulan. 

Saya bertanya kepada pengadu itu bolehkah dia melayar internet. Dia jawab boleh. Saya suruh dia melayar portal JPA Pencen dan dari itu dia boleh mencetak penyata pencen bapanya. Kemudian dia boleh tujukkan cetakan penyata pencen itu kepada LHDN.

Apa yang menghairankan saya ialah walaupun mungkin benar tiada rekod di LHDN yang mengatakan bapa pengadu sudah bersara mereka boleh mengagak bergitu hanya dengan melihat nombor kad pengenalan pesara itu. 

Ini mengingatkan kepada perkara yang betul-betul terjadi kepada saya empat tahun yang lalu semasa Banci Perumahan dan Penduduk 2010. Semasa memohon jawatan Penyelia Banci saya dengan jelas menyatakan tidak bekerja dengan kerajaan. Walau pun saya telah bersara empat tahun sebelum itu semasa umur 56 tahun, saya telah diambil bekerja semula secara kontrak selama empat tahun. Banci itu dijalankan beberapa bulan selepas saya betul-betul bersara.

Alangkah tereperanjat saya di bulan pertama apabila mendapati saya hanya dibayar elaun seperti pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas-tugas Banci, sedangkan yang tidak bekerja dengan kerajaan dibayar gaji penuh yang sudah tentu melebehi elaun. Setelah membuat aduan barulah pendapatan saya diselaraskan.

Di satu mesyuarat saya telah meluahkan aduan saya dengan mengatakan saya hairan bagaimana Jabatan Perangkaan Negara iaitu jabatan yang menjalankan Banci itu tersalah anggap akan status saya. Sebagai Jabataan Perangkaan mereka bermain dengan nombor setiap hari dan dengan melihat nombor kad pengenalan saya mereka sudah tahu akan umur saya, Saya bertanya 'Mana ada orang yang berumur 60 tahun (umur saya di masa itu) masih bekerja dengan kerajaan?'

Begitulah yang terjadi kepada guru pencen tersebut. Dalam keadaan negara kita sedang meningkat maju dan kita boleh tahu umur seorang itu dengan melihat nombor kad pengenalan (disebut MyKad secara glamour) masih ada manusia yang tidak tahu menggunakannya.

Saturday, October 19, 2013

Bila kuantiti mengatasi kualiti


Semasa saya masih di bangku sekolah rendah di kampung dulu ada sebatang pokok mangga rendang berdiri di tepi sungai dan berada beberapa meter sahaja dari sekolah. Tuan punya pokok mangga ini tidak marah jika kami budak-budak sekolah memetik buah mangganya dengan syarat kami tidak dibenarkan memanjat pokoknya. 

Saya bukanlah pakar tentang pokok buah-buahan dan apabila pindah ke rumah saya sekarang yang berupa rumah kedua saya miliki saya pun menanam beberapa pokok buah-buahan di dalam dan di luar kawasan rumah. Antaranya ialah sepokok mangga yang saya tanam di bahu jalan tanpa mengetahui apa jenisnya dan apakah bentuk dan saiz buahnya nanti, jika ia berbuah.

Setelah ia mengeluarkan hanya berpuluh buah buat kali pertama baharu saya sedar mangga ini sama jenisnya dengan mangga dekat sekolah rendah saya dulu. Purata besar buahnya sama dengan saiz telur ayam. Bila ia berbuah untuk kali kedua dan ketiga jumlah buah yang dikeluarkan berpuluh juga dan bilangan ini terlalu kecil untuk dikongsi dengan jiran-jiran dan saudara mara.

Tetapi bila dia berbuah buat kali keempat baru-baru ini jumlah buah yang dikeluarkan beratus banyaknya. Oleh kerana saya sekeluarga tidak sanggup memakannya sendiri saya pun memutuskan untuk memberi buah-buahnya kepada jiran-jiran. Baru saya sedar tidak sia-sia saya menanam pokok mangga yang kualiti buahnya tidak berapa. Malah saya merasa pokok mangga saya ini mempunyai kelebihan dari pokok-pokok mangga lain. Antaranya seperti berikut:

  1. Buahnya tidak berulat. Ekoran itu saya tidak perlu membalutnya. Agaknya serangga-serangga terbang seperti lalat buah pandai memlilih buah untuk meletakkan telurnya dan akhirnya meneruskan generasi mereka. Buah-buah mangga saya terlalu kecil bagi mereka untuk tujuan tersebut.
  2. Kerana buahnya ringan ia tidak rosak atau pecah apabila gugur. Oleh itu tidak payahlah saya sering menggunakan galah untuk menjoloknya.
  3. Oleh kerana kuantitinya yang banyak orang yang lalu lalang tidak segan-segan untuk memohon merasa buahnya. Kepada budak-budak saya katakan petik sahaja buah-buahnya, tetapi jangan dipanjat pokoknya. Jika mangga saya dari jenis berkualiti tinggi tetapi berbuah sedikit tentu mereka ini segan untuk meminta-minta. Saya pun tentu berfikir dua kali untuk memberi mereka,
Begitulah bila kuantiti mengatasi kualiti.

Thursday, October 10, 2013

Kalau tak diundang janganlah pergi.



Di masa mengaturkan kenduri kahwin anak pertama saya dulu, saya dan isteri telah memutuskan untuk menjamu makanan melalui katerer makanan. Semasa perbincangan saya sempat bertanya kepada katerer tidak kah dia bimbang tentang kekurangan makanan dan sebagainya. Saya bertanya begitu kerana bimbang jika berlaku kecacatan begitu, yang mendapat malu ialah tuan rumah.

Dia menjawab tidak bimbang terhadap perkara itu kerana formulanya senang sahaja iaitu dia akan menyediakan makanan dua kali jumlah kad jemputan yang dikeluarkan. Ini berasaskan setiap jemputan akan datang berpasangan. Katannya lagi dia cuma bimbang apabila diminta menyediakan makanan untuk satu organisasi yang tidak payah saya namakan di sini. Sebagai katerer dia tidak percaya kepada jumlah kepala yang dijangka datang makan di mana-mana majlis kumpulan ini. Setiap kali jumlah yang datang makan melebihi jumlah yang ditempah. Ini kerana mereka yang tidak diundang pun tanpa segan dan silu datang untuk majlis kumpulan ini. 

Alhamdulillah sudah tiga kali saya mengadakan kenduri kahwin anak-anak saya menggunakan khidmat katerer makanan tanpa apa-apa kecacatan.

Kemudian baru-baru ini timbul cerita satu kedai makan di Kelantan mengenakan caj berlebihan kepada satu kumpulan. Jika membaca sebelah pihak seolah-olah benar kedai itu mengenakan bayaran yang melampau. Tetapi setelah mendengar penjelasan dari pihak kedai makan sendiri, ceritanya adalah jelas.

Sama seperti kes katerer makanan yang saya sebut itu, kes di sini adalah sama sahaja, iaitu jumlah yang datang makan melebehi jumlah yang dijanji. Tidak cukup dengan itu, ada yang membungkus makanan untuk dibawa balik. Oleh itu pihak kedai makan terpaksalah mengenakan bayaran dengan mengira tetamu yang tidak diundang itu.

Saya sendiri pernah mengalami situasi yang sama. Saya diajak oleh seorang kawan untuk menghadiri satu majlis yang diakhiri dengan jamuan makan. Jelas makanan tidak mencukupi dan dilicinkan dengan sekelip mata. Kemudian saya berfikir agaknya ramai tetamu yang tidak diundang hadir untuk majlis itu, termasuk kawan yang megajak saya itu.

Kadang-kadang saya hairan kenapa perkara begini berlaku diantara kita orang Islam. Bukankah kita tahu bahawa hadir ke majlis dimana kita tidak diundang adalah salah, melainkan terjadi bencana seperti kematian.
Saya diberitahu juga haram bagi kita makan apa-apa makanan dimajlis di mana kita tidak didundang.

Saya pernah beberapa kali hadir di acara seperti sukan di mana saya diberi kertas kecil jemputan ke majlis jamuan setelah acara yang saya dijemput pada awalnya itu selesai. Ini bermakna tidak semua yang hadir di majlis utama itu dijemput makan dan minum. Tetapi ada juga yang berfikir 'kalau dia boleh dijemput makan kenapa aku tidak?' Agaknya inilah yang ada dalam kepala tetamu yang tidak diundang itu.

Tetapi bagi saya kalau tidak diundang janganlah pergi.

Friday, April 12, 2013

Pembuat video itu layak diberi Oscar.




Kita semua tahu di filem-filem barat aksi-aksi lasak seperti terjun dari bangunan tidak dilakukan oleh para aktor dan aktres yang nama mereka direkodkan sebagai bintang filem-filem tersebut. Sebaliknya aksi-aksi lasak itu dilakukan oleh manusia lasak yang digelar 'stuntmen' dan 'stuntwomen'. 

Biasanya 'stuntmen' dan 'stuntwomen' tidak menunjukkan muka mereka dengan jelas. Cuma mereka mempunya saiz badan sama dengan bintang-bintang filem berkenaan. Untuk meyakinkan lagi penonton bahawa aksi-aksi itu seolah-olah oleh dilakukan bintang-bintang filem, 'stuntmen' dan 'stuntwomen' memakai pakaian yang sama dengan hero dan heroin filem-filem tersebut.

Tetapi di zaman ini di mana filem-filem dikeluarkan juga dalam bentuk video, penonton dapat menangkap   'penipuan' ini, jika ia boleh disebut begitu. Cuma tekan butang 'pause' di alat pemain video dan kita dapat melihat yang aksi-aksi lasak itu bukan dilakukan oleh bintang-bintang yang nama mereka disenaraikan sebagai hero dan heroin.

Bukan aksi lasak sahaja memerlukan pelakon 'stunt'. Adegan seks juga kadang-kadang dilakukan bukan oleh bintang utama, tetapi oleh pelakon gantian. Ini kerana ada bintang-bintang ingin menjaga maruah dan tidak mahu bahagian-bahagian sulit badan mereka ditontoni. 

Baru-baru ini disiarkan di internet satu video di mana seorang lelaki yang dianggap ternama juga ditunjukkan melakukan adegan seks dengan seorang perempuan didalam bilik hotel. Siapa yang sudah biasa tinggal di hotel boleh tahu bilik itu ialah bilik hotel, dengan kemudahan tuala mandi dan lain-lain. Bukan setakat video, audio atau suara pun ada. Pembikinan video itu senang sahaja dan tidak memerlukan alat-alat canggih untuk membuat sesuatu filem setaraf Hollywood. 

Tujuan pembikin video itu senang sahaja, iaitu ingin mengaibkan orang ternama itu. Sama ada perbuatan itu boleh dianggap fitnah adalah perkara lain.

Saya tidak mahu memutuskan sama ada lelaki yang ditunjuk dalam video itu adalah lelaki yang ingin diaib atau difitnah oleh pembuat video itu. Cuma saya ingin menyatakan jika lelaki dalam video itu bukan lelaki yang ternama itu, pembikin video itu layak menerima satu Oscar.

Tuesday, April 2, 2013

Aduhai kawan-kawan facebook ku.



Hari ini saya membaca seorang kawan 'facebook' menulis akan keluar dari laman sosial itu dalam masa 24 jam. Dia tidak memberi sebab-sebabnya. Saya sentiasa berpendapat laman sosial seperti 'facebook' ialah tempat kita berkawan, bukan berlawan. Tidak tahulah saya sama ada kawan saya ini bertindak begitu kerana sebab kedua itu. Ini kerana di hari yang sama (hari ini) saya melihat dua pos di 'facebook' dari dua orang lagi kawan say a yang tidak menyenangkan hati saya. 

Pertama seorang meletakkan berita mengenai seorang 'Datuk Seri' yang dikehendaki Polis untuk memberi keterangan mengenai penceroboh negeri Sabah sekarang. Kemudian diletakkan gambar 'Datuk Seri' itu sedang duduk sebelah Perdana Menteri kita dengan ungkapan 'Tengok siapa kawan dia'.

'Datuk Seri' itu cuma dikehendaki untuk memberi keterangan. Siapa kata dia terlibat dengan pencerobohan itu? Siapa kata dia bersalah? Apa kena mengena gambar dia bersama Perdana Menteri itu?  Adakah dengan 'berkawan' dengan Perdana Menteri dia tidak boleh diusik?

Saya sendiri pernah dipanggil oleh Polis dan Badan Pencegah Rasuah untuk memberi keterangan dalam kes-kes melibatkan orang lain. Adakah dengan hanya menunjukkan gambar saya dengan beberapa VIP mengecualikan saya dari memberi keterangan? Juga dengan hanya dipanggil memberi keterangan tersebut adakah saya dianggap seorang penjenayah atau penerima rasuah? 

Kedua seorang kawan saya meletakkan pos gambar-gambar keretapi dari beberapa negara di dunia unuk dibandingkan dengan keretapi di Malaysia. Keretapi luar negara ialah keretapi laju atau 'bullet trains' sedangkan gambar keretapi di Malaysia yang diletakkan ialah LRT Star Rapid KL. Pos itu seolah-olah memberi gambaran betapa ketinggalannya kita dalam bidang perjalanan dengan rel.

Kenapa bandingkan 'bullet trains' dengan LRT kita? Saya pernah ke Jepun dan menaiki kedua-dua 'bullet train' dan LRT di sana? LRT di Jepun tidak ada bezanya dengan LRT kita. Kenapa tidak bandingkan 'bullet trains' dengan tren ERL antara KLIA dengan KL Sentral? Atau ETS antara Kuala Lumpur dengan Ipoh. Mungkin negara kita tidak perlukan 'bullet trains' (dipanggil Shinkansen di Jepun) kerana lebuhraya kita canggih dan boleh dikatakan setiap keluarga di Malaysia mempunyai kereta..   

Agaknya pos-pos begitulah yang menyebabkan kawan pertama saya itu membuat keputusan keluar dari 'facebook'. 

Sunday, March 31, 2013

Bukan Pop Yeh Yeh

Cliff Richard and The Shadows.

Saya sudah lama hendak menulis perkara ini. Saya baru menonton rancangan 'Pop Yeh Yeh' di TV1. Tetapi saya kira sebutan itu agak salah jika kita hendak merujuk kepada muzik di Malaysia dan Singapura yang pernah popular di lewat tahun 60an.

Mula-mula kita kena bertanya apa asal sebutan 'Yeh Yeh' itu? Ia berasal dari sebutan 'Yeah Yeah Yeah' dari kumpulan The Beatles. Cuba dengar lagu 'She Loves You' untuk mengetahuinya. 

Memang benar kumpulan-kumpulan Pop Yeh Yeh mula berkembang semasa The Beatles tengah memuncak populariti mereka, iaitu di tahun sembilan belas enam puluhan. Tetapi kumpulan-kumpulan kita yang juga dipanggil Kugiran - dari Kumpulan Gitar Rancak, tidak menyanyi dan membuat persembahan seperti The Beatles.

Era The Beatles boleh dibahagi kepada dua iaitu pertama dari tahun 1962 hingga 1966 dan kedua dari 1967 hingga mereka berpecah di tahun 1970. Di era pertama, mereka menggunakan tiga gitar dan satu dram seperti kumpulan Pop Yeh Yeh kita. Tetapi mereka banyak menyanyi melalui harmoni antara John Lennon, Paul McCartney dan George Harrison. Sedangkan penyanyi-penyanyi Pop Yeh Yeh kita menyanyi secara solo. Contohnya A Ramlie, Jeffridin, M Osman dan A Rahman Hassan.

Di era kedua pula, keempat-empat ahli kumpulan The Beatles menyanyi secara solo dan kita tidak tahu siapa sebenarnya penyanyi tetap mereka. Alat-alat muzik mereka juga telah berkembang, sedangkan kumpulan Pop Yeh Yeh kita tetap menggunakan konsep yang sama iaitu seorang penyanyi tetap diiringi tiga gitar dan satu dram.

Jadi siapa sebenarnya mempengaruhi Pop Yeh Yeh kita? Jawapannya ialah Cliff Richard and The Shadows. Cliff Richard sudah popular sebelum The Beatles muncul. Lagu-lagunya sering dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi kita di dewan-dewan sekolah dan sebagainya sebelum timbul 'Yeah Yeah Yeah'..

Jika kita membaca sejarah The Beatles, pengurus mereka Brian Epstein ingin mereka meniru konsep Cliff Richard and The Shadows. Contohnya berpakaian seragam dan tunduk selepas mempersembahkan satu-satu lagu. Tetapi The Beatles tidak meniru konsep Cliff dan kumpulannya secara total.

Tetapi konsep Cliff Richard and The Shadows ditiru sepenuhnya oleh kumpulan Pop Yeh Yeh kita walau pun Cliff Richard tidak pernah menjerit 'Yeah Yeah Yeah'. Timbullah A Ramlie and The Rhythm Boys, Jeffridin and The Siglap Five dan sebagainya. Oh ya, penyanyi penyanyi kita pun tidak ada yang menyebut 'Yeh Yeh'. Cuma Ahmad Daud menyebutnya dalam lagu 'Mambang Biru' apabila Saloma menyebut Ahmad Daud berambut seperti The  Beatles.

Penyanyi-penyanyi kumpulan Pop Yeh Yeh ingin menyanyi seperti Cliff Richard dan bukan seperti John Lennon atau Paul McCartney. Pemain gitar utama pula ingin meniru Hank Marvin dari The Shadows dan bukan Beatle George Harrison. Contohnya di awal rancangan Pop Yeh Yeh yang baru saya tengok tadi A Rahman Hassan meniru Hank Marvin mememainkan lagi  instruemental The Shadows bertajuk 'The Boys' dan disalah tulis sebagai 'Can Can'. Dia tidak menjerit 'She Loves You, Yeah Yeah Yeah'.

Kebanyakan 'lead guitarist' Pop Yeh Yeh menggunakan gitar Fender yang digunakan oleh The Shadows sedangkan setahu saya The Beatles tidak pernah menggunakan gitar Fender. 

Oleh itu merujuk muzik popular kita di lewat tahun enam puluhan sebagai Pop Yeh Yeh adalah salah. 

Thursday, March 21, 2013

Helikopter maut.



Inilah gambar helikopter kawalan jauh sebelum ia jatuh dan membunuh seorang kanak-kanak.

Beberapa hari lepas seorang kawan saya meminta saya datang ke Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan untuk mengambil gambar perasmian Padang Bolasepak Sintetik oleh Y.A.B. Menteri Besar, Negeri Sembilan. Masanya ialah jam 8.30 malam 20 Mac 2013. Saya pun bersetuju menerima pelawaan itu.

Semasa hendak pergi isteri saya Salmah berpesan supaya balik segera kerana dia merasa tidak sedap badan. Saya pun merasa bimbang juga, seolah-olah sesuatu akan terjadi kepada salah seorang dari kami. Saya pun pergi menaiki skuter saya tetapi dengan berhati-hati.

Biasalah perasmian bermula dengan perarakan orang-orang kenamaan atau VIP diiringi paluan kompang. Kemudian ucapan aluan-aluan oleh juruacara majlis diikuti dengan bacaan doa dan ucapan-acapan. Semasa ucapan demi ucapan sedang dilaungkan saya sempat merayau dan ternampak dua buah van ambulans diletakkan di tepi padang. Pemandunya siap sedia untuk dipanggil bertugas jika perlu. 

Selesai sahaja ucapan perasmian bermulalah pertunjukan roket dan bunga api. Dua roket dilepaskan dari satu pentas di tengah padang dan menuju kepada dua kumpulan belon yang tergantung di kiri kanan pentas VIP. Salah satu kumpulan belon cuma berada beberapa meter dari tempat saya berdiri memegang kamera. Saya berfikir jika roket itu tersasar sedikit kenalah saya. Saya tidak terfikir ada benda lain akan tersasar selepas itu.

Selepas pertunjukan bunga api dan roket datanglah dua helikopter kawalan jauh sepanjang satu meter tiap-tiap satu. Mereka berada cuma beberapa meter di hadapan saya dan tugas mereka ialah mengibarkan kain rentang yang tertulis beberapa slogan. Helikopter pertama berjaya membentangkan kain rentangnya dan saya sempat mengambil gambar helikopter ini.

Tetapi helikopter kedua terjatuh kain rentangnya sebelum hilang kawalan. Saya juga sempat mengambil gambar helikopter ini seperti di atas. Kemudian saya nampak sedikit keadaan kelam kabut diikuti dengan beberapa orang menjerit. Saya menjangka salah satu helikopter telah jatuh dan menimpa seseorang.

Kemudian saya nampak sekumpulan orang berlari ke arah di mana ambulans diletakkan diikuti dengan bunyi siren. Sudah tentu sesiapa yang terkena helikopter tadi sedang dibawa ke hospital. Untuk menepati janji saya dengan isteri saya terus balik ke rumah selepas itu.

Alangkah terperanjatnya saya pagi tadi apabila terbaca berita bahawa mangsa yang terkena helikopter kawalan radio pada malam tadi telah meninggal dunia. Mangsa ialah seorang kanak-kanak berumur 18 bulan. Saya tidak dapat bayangkan perasaan keluarga mangsa sekarang.

Saya memang minat terhadap permainan kawalan jauh. Malah saya pernah mempunyai beberapa buah 'helikopter' sebelum ini, tetapi semua sudah jatuh terhempas. Atas nasihat pekedai yang menjual helikopter kepada saya dahulu, saya cuma bermain kereta kawalan jauh sekarang. Kereta tidak akan jatuh terhempas, katanya. Cuma 'kereta' saya telah tercabut tayarnya beberapa kali akibat terlanggar tembok. Saya juga bermain layang-layang untuk menghilangkan rasa bosan.

Apabila saya nampak dua buah helikopter tiba-tiba muncul malam tadi saya sudah terasa bimbang terhadap bahayanya. Saya masih ingat satu dari helikopter saya hilang kawalan dibawa angin dan akhirnya terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumah saya. Cuba bayangkan jika ia jatuh kepada kanak-kanak yang tiap-tiap hari bermain bola di padang di hadapan rumah saya ini?

Saya tidak tahu mengapa penganjur kepada acara perasmian Padang Bolasepak Sintetik itu tidak terfikir akan bahaya menggunakan 'helikopter' di waktu malam berhampiran dengan beratus dan mungkin beribu penonton? Sedangkan membawa helikopter sebenar di waktu malam pun menjadi satu masalah. Cubalah tanya kepada mereka yang biasa memandu helikopter.

Sekian.

Saturday, February 23, 2013

Seperti anjing dengan kucing


Banyak perangai kita orang Melayu dikiaskan dengan binatang, atau lebih manis disebut haiwan. Contohnya jika kita memberi satu barang yang berharga kepada seorang yang tidak tahu menghargainya samalah memberi bunga kepada beruk. Seorang yang suka menghebahkan kegiatannya walaupun sekecil mana diibaratkan seperti seekor ayam bertelur riuh sekampung.

Tetapi ada juga kiasan yang salah. Contohnya seorang perogol sering disebut berperangai seperti binatang. Sedangkan binatang jantan tidak merogol betina mereka. 

Baru-baru ini seorang tokoh politik menyamakan pemberian dan penerimaan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M sebagai seorang gembala menaburkan padi dan jerami kepada ayam dan lembu peliharaannya supaya haiwan peliharaannya itu datang dekat. 

Maka timbullah suara-suara membantah kenyataan tokoh politik itu. Sedangkan dia cuma memberi satu kiasan yang agak tepat. Perbezaannya ialah ayam dan lembu tidak boleh mengundi.

Kenapa bila kita dikiaskan dengan beruk atau ayam seperti di perenggan satu di atas kita tidak marah? Saya sebagai seorang yang juga menerima BR1M tidak terasa apa-apa pun kerana sedar itu cuma satu kiasan. Cuma saya tidak mengambil padi dan jerami itu semasa ia ditaburkan. 

Saya tidak mengambil wang BR1M di tempat yang dijanjikan. Saya mengambil baucar BR1M di Pejabat Daerah, kemudian sama masukkan padi dan jerami saya ke dalam bank untuk di makan apabila perlu. Selepas ini tidak semestinya saya akan mengundi gembala yang menaburkan saya padi dan jerami itu.   

Dalam kehebohan kita membantah diri kita disamakan dengan haiwan kita tidak sedar yang kita selama ini berperangai seperti dua makhluk berkaki empat. Walau pun kita sama-sama pergi ke surau dan masjid dan sama-sama pergi ke kenduri kendara, sebenarnya kita tidak berhenti dari berseteru atau bergaduh. Kita berseteru dan bergaduh hanya kerana perbezaan politik.

Kita berperangai seperti anjing dengan kucing.   

Thursday, February 7, 2013

Syaitan tidak berjaya mempengaruhi aku.



Jika sebelum ini dengan tidak berbuat apa-apa aku mungkin merosakkan satu majlis dan ekorannya mengecewakan beberapa orang, semalam aku nyaris mengecewakan seorang dengan membuat satu tindakan sekelip mata.

Tidak sampai seminggu lepas aku nyaris merosakkan majlis resepsi perkahwinan anak perempuan adik iparku. Itu mungkin terjadi jika aku tidak menghalau seekor kucing yang sedang  hendak menerpa makanan di meja pengantin yang langsung tidak ada penjaganya. Kuasa Allah menggerakkan aku berada tepat pada masa dan tempatnya. Sila baca pos aku sebelum ini untuk cerita lebih lanjut.

Petang semalam pula aku nyaris mengecewakan seorang pula jika syaitan berjaya mempengaruhi aku. Aku berehat bersama isteri di sebuah hotel di Port Dickson. Perkataan bercuti tidak boleh digunakan kerana aku memang bercuti tujuh hari seminggu. Kebetulan anak bongsuku belajar di sana dan dia pun sama-sama menumpang di bilik kami. Dialah yang paling seronok sehingga membawa kawan-kawannya bersama berenang di kolam hotel. 

Petang semalam untuk memberi isteriku, anak bongsu dan kawan-kawannya tidak diganggu dengan kehadiran seorang lelaki iaitu aku sendiri, aku memilih untuk berehat di lobi hotel. Sudah menjadi kebiasaan bagiku apabila menginap di mana-mana hotel, aku mesti mengambil masa untuk berehat di lobi. Macam-macam jenis dan perangai manusia boleh dijumpai di lobi hotel. 

Bila sahaja aku duduk di satu kerusi di lobi itu aku nampak satu telefon bimbit terletak di atas meja. Tuan punya telefon entah ke mana. Aku pun membuka 'Tab' aku dan melayar internet yang memang kuat signalnya di lobi hotel. Sambil itu ramai pekerja dan tetamu hotel lalu lalang di hadapan aku. 

Telefon itu telefon pintar yang sama jenamanya dengan telefon aku, cuma modelnya antara yang termahal sedang model telefon aku antara yang termurah. Oleh itu jika aku ambil aku tidak perlu membeli pengecas baterinya. Aku pun tunggu sehingga tuannya datang mengambil. Sambil itu aku sama-sama meletakkan telefon bimbitku di atas meja. 

Hampir satu jam aku menunggu tuannya tidak datang menuntut. Juga telefon itu tidak berdering. Aku pun memberanikan diri memegangnya dan mendapati ia tidak 'dikunci'. Ini bermakna aku boleh terus menggunakan semua aplikasnya. Aku pergi ke log panggilan dan mendapati tuan punya banyak membuat dan menerima panggilan dari pegawai-pegawai polis. Tertera nama-nama serta pangkat pegawai-pegawai polis di skrinnya. Aku memang terbaca ada taklimat pilihanraya untuk polis sedang berlangsung di hotel itu. Sudah tentu tuan punya telefon sedang mendengar atau memberi taklimat.

Sejak bersara ini aku jarang-jarang memanggil atau menerima panggilan telefon. Untuk melayari internet di jalanan aku sudah ada 'Tab'. Untuk mengambil gambar aku mempunyai handicam dan DSLR. Oleh itu jika telefon itu aku ambil ia tidak akan berguna sangat untukku.

Kemudian aku terfikir di pihak tuan punya pula. Mungkin telefon diberi oleh jabatan yang boleh menggantikannya. Mungkin dia tidak bermasalah untuk menggantikannya sendiri. Tetapi yang mahal ialah apa yang ada dalam telefon. Dia mungkin menyimpan gambar-gambar yang belum dipindah ke komputer atau alat penyimpan data lain. Dia mungkin tidak merekodkan nombor-nombor telefon kenalan, ahli keluarga dan kawan-kawannya ke tempat lain. Mungkin banyak lagi data-data penting dan rahsia disimpan dalam telefon itu. 

Ekoran itu aku terus pergi ke kaunter resepsi hotel dan menunjukkan kepada kakitangan di situ telefon bimbit yang tertinggal di atas meja itu. Aku juga memberitahu mereka ia dipunyai oleh seorang pegawai polis yang sedang mendengar atau memberi ceramah pilihanraya di salah satu bilik ceramah di situ.

Aku tidak berganjak sehingga seorang kakitangan hotel memberitahu telefon bimbit itu telah diserahkan kepada tuannya. 

Syaitan tidak berjaya mempengaruhi aku.



  

Friday, January 11, 2013

Tiga kali dikejutkan.

Cukai jalan skuter ku telah mati pada bulan November lepas. Dah sebulan mati baru aku sedar. Jadi petang semalam aku berniat nak beli insurans baru dan kemudian dapatkan cukai jalan baru. Insurans lama aku dari Takaful Malaysia, tetapi aku dah lupa di mana pejabatnya di Seremban. Aku telefon nombor telefon yang ditulis di polisi lama, tapi tak ada jawapan. Aku pun telefon kawan aku sorang mechanic motosikal di mana pajabat cawangan insurans itu di Seremban. Dia kata di Betaria Business Centre. Aku pun pergi ke sana menaiki skuter tanpa cukai jalan.

Setelah berpusing pusing di Betaria Business Centre aku tak nampak pun pejabat insurans itu. Pejabat insurans lain adalah. Tetapi di situ juga terletaknya pejabat AAM Seremban dan aku pun singgah di sana kerana aku memang ahli AAM. Aku tengok kerani di situ sedang melayan seorang perempuan Cina membeli insurans kenderaan. Lepas itu ada seorang sahaja yang menunggu iaitu seorang lelaki Melayu, juga membeli insurans.

Bila tiba giliran aku pun menghulurkan kad AAM, geran skuter dan polisi lama kepada kerani itu. Dia terus meminta maaf kerana AAM tak mengeluarkan insurans untuk motosikal. Aku terpaksa beredar dan tumpuan aku seterusnya ialah Pos Malaysia Berhad, Seremban. Kali ini aku tak perlu menunggu kerana nombor aku terus dipanggil sejerus aku mendapatkannya.

Setelah memasukkan butir-butir ke dalam komputer kerani kaunter di situ memberitahu harga insurans ialah dua ratus ringgit lebih. Aku terperanjat kerana harga polisi lama hanya RM 111.10. Sekarang sudah naik 100% lebih. Aku terus meninggalkannya dan mencari semula nombor telefon Takaful Malaysia. Rupa-rupanya nombor yang aku panggil tadi ialah nombor fax. Takaful Malaysia ada nombor tanpa tol yang berakhir dengan abjad TAKAFUL. 

Biasalah bila kita memanggil nombor tanpa tol kita diarahkan menekan beberapa pilihan nombor lagi sebelum bercakap dengan sesiapa. Setelah dapat bercakap aku diberitahu pejabatnya di Seremban terletak di Seremban City Centre. Dari Betaria Business Centre aku ke Seremban City Centre. Hebat bandar Seremban ini.

Di Seremban City Centre aku dikejutkan kali ketiga. Harga insurans di sini ialah tiga ratus ringgit lebih, iaitu kenaikan lebih 200%. Sekali lagi aku beredar.

Sekarang skuter aku masih tidak mempunyai road-tax. Aku masih berfikir sama ada hendak membaharuinya atau tidak.


Monday, December 3, 2012

Ramai Hitler di antara kita.


Semasa remaja dulu saya suka melihat filem-filem perang, khususnya Perang Dunia Kedua seperti The Longest Day, The Guns of Navarone, Battle of the Bulge dan sebagainya. Tetapi saya tidak pernah ambil tahu mengenai orang yang memulakan Perang Dunia Kedua iaitu Adolf Hitler.

Baru-baru ini National Geographic melalui Astro telah menyiarkan siri Apocalypse: The Second Word War di ikuti dengan Apocalypse: The Rise of Hitler. Selama ini saya menyangkakan Adolf Hitler berkerjaya tentera sepenuhnya dan naik pangkat sehingga memerintah Germany atau Jerman. Kedua-dua siri itu membuktikan sangkaan saya salah.

Memang benar Hitler pernah menjadi askar Jerman semasa Perang Dunia Pertama. Dia tidak lahir di Jerman pun tetapi di Austria. Dalam tentera dia cuma berpangkat korporal, itu pun dia tidak memegang senjata kerana tugasnya ialah menghutus surat dari satu medan perang ke medan yang lain. Tetapi kerana keberaniannya dia dianugerah dengan 'Iron Cross' yang jarang diberi kepada anggota tentera pangkat rendah.

Beberapa tahun selepas tamat Perang Dunia Pertama Hitler memasuki politik. Tidak payahlah saya berpanjang lebar menceritakan kerjaya politiknya. Cukup saya memberitahu dengan politiklah Hitler berjaya sehingga menjadi Chancellor atau ketua negaranya. Tetapi dalam kenaikan itu tidak kurang pula musuh-musuhnya di luar dan dalam partinya dihapuskan.

Apabila menjadi ketua negara sudah tentu Hitler menguasai bala tenteranya. Semua Jeneral sekarang berada di bawah arahannya sedangkan jika Hitler terus menjadi tentera dengan pelajaran yang terhad dia mungkin tidak ke mana.

Hitler kemudian mengarahkan general-generalnya menyerang Eropah dan Afrika Utara di Perang Dunia Kedua. Pada mulanya bala tentera Jerman seperti tidak boleh ditahan kemaraannya. Tetapi siapakah Hitler disegi ketenteraan jika dibandingkan dengan General Eishenhower iaitu pemerintah tentera bersekutu (Allied Forces) yang menentangnya. 

Akibatnya Hitler banyak membuat keputusan yang salah. Antaranya tidak menyangka Allied Forces akan mendarat di Normandy, Perancis pada D-Day 4 Jun 1944. Dengan mendaratnya Allied Forcea senanglah mereka menolak tentera Jerman balik ke negara mereka dan mengalahkannya.

Begitu juga keputusan Hitler untuk menawan Russia sedangkan Napoleon sendiri tidak dapat menawannya. Akhirnya tentera Jerman tersepit. Di barat mereka ditolak oleh Allied Forces dan di timur oleh tentera Russia. Akhirnya setelah berpuluh juta manusia mati tentera Jerman dikalahlan. Untuk mengelakkan dari di tawan Hitler memilih untuk membunuh diri.

Setelah bersara dari tentera dengan khidmat cemerlang barulah General Eishenhower memasuki politik sehingga menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Sebenarnya ramai orang yang sama seperti Hitler dalam negara kita. Persamaan yang saya maksudkan ialah memilih politik untuk naik ke atas sedangkan kelulusan mereka tidak seberapa. Saya mempunyai pengalaman sendiri dalam perkara ini.

Semasa bujang dahulu saya pernah tinggal dengan seorang yang tidak lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pun. Tetapi melalui politik dia sekarang mempunyai rumah besar, beberapa buah kereta dan dua orang isteri.

Kemudian semasa kerja saya mengenali seorang yang duduk merempat dalam sebuah gerai makanan kepunyaan jabatan saya. Mungkin dia diberi hak untuk menyewa gerai itu melalui politik juga. Saya telah berkali-kali pergi ke gerainya kerana sewa tidak dibayar. Dari itulah saya melihat sendiri kehidupannya yang agak daif.

Tetapi melalui politik dia telah mempunyai beberapa rumah dan kereta. Isteri pula asyik bertukar ganti. Sehingga isteri pertama yang sama-sama merempat dengannya dulu pun diceraikan.       

Tetapi syukurlah dua orang yang saya maksudkan tadi tidak menjadi wakil rakyat, baik di peringkat negeri atau parlimen. Kalau tidak mereka juga mungkin juga membuat keputusan-keputusan bodoh seperti Hitler.

Thursday, November 8, 2012

Dia tak mau terima duit saya


Dalam beberapa minggu ini agak susah bagi saya untuk mengunci pintu kereta dan sebaliknya. Saya terpaksa menghampiri kereta sehingga satu meter sebelum boleh menekan butang di 'remote controller' atau alat pengawal jauh di kunci kereta. Jangkaan pertama saya ialah bateri alat itu hampir habis oleh kerana agak lama tidak ditukar.

Tetapi setelah bateri ditukar masalahnya tetap sama. Saya memutuskan masalah sebenar ialah 'radio frequency' di alat pengawal jauh telah lari. Saya tahu ada satu kedai di Bandar Seremban yang boleh membetulkan masalah ini. Ia diuruskan oleh seorang OKU.

Agaknya OKU ini tidak mengenali saya atau tidak sedar saya pernah datang ke kedainya dengan masalah yang sama. Dia terus menyatakan alat pengawal jauh kunci saya telah rosak dan mengsyorkan saya menggantinnya dengan yang baru. Bila saya tanya berapa harga alat yang baru, jawapannya ialah RM 50.00.

Kemudian saya terangkan kepadanya bukankah saya pernah datang kepadanya dengan masalah yang sama sebelum ini dan dia telah membetulkan 'radio frequency' di kunci saya? Dia agak terperanjat dan terus membuat apa yang saya hajati. Kemudian barulah kereta saya dapat dikunci dengan alat kawalan jauh dalam erti kata sebenar.

Mungkin kerana malu niat asalnya terbongkar, OKU ini tidak mahu menerima apa-apa bayaran dari saya.