Saturday, August 31, 2013

Filem Hollywood pun banyak yang 'FAIL'


Saya ialah seorang peminat filem. Saya mempuyai koleksi beratus DVD, ada yang original dan ada yang cetak rompak, kebanyakannya filem Inggeris dan tiap-tiap satu filem Hindustan dan Brazil. Tetapi saya tidak ada satu pun DVD filem Melayu dan terus terang saya nyatakan semenjak pemergian P Ramlee saya hilang minat pada filem-filem Melayu.  

Semalam saya menerima gambar di atas yang menunjukkan kecacatan pada filem 'Tanda Putera' arahan Shuhaimi Baba. Tujuan orang yang mengatur gambar-gambar dalam gambar itu dan  menyebarkannya sudah jelas, iaitu ingin menjatuhkan filem itu. Ia ingin menjatuhkan satu usaha orang Melayu. Saya tidak akan menonton filem itu dan tidak akan menyentuh tentang kontroversi yang menyelubunginya, tetapi saya rasa terpanggil untuk mempertahankannya dari serangan dan kutukan seperti dalam gambar-gambar itu.

Membuat filem yang bukan menunjukkan keadaan semasa bukan senang. Dalam bahasa Inggeris filem seperti ini disebut 'Period movies' iaitu filem yang menunjukkan tempoh yang sudah berlalu. Contoh yang paling senang ialah filem yang menunjukkan Perang Dunia Kedua yang terjadi lebih setengah abad dahulu.

Untukt tujuan itu model senjata, kereta kebal, kapal terbang, keretapi dan sebagainya hendaklah menunjukkan keadaan semasa perang tersebut. Pakaian dan fesyen rambut pelakonnya juga hendaklah melambangkan tempoh yang sama.

Tetapi teliti punya teliti kesilapan atau kecacatan tetap ada. Malah filem Hollywood yang memenangi beberapa Oscar termasuk 'Best Film' pun ada cacatnya. Contoh di filem The Godfather yang dianugerah 'Best Film' untuk tahun 1972 ada ternampak orang berpakaian 'hippie' dengan seluar 'bell-bottom' sedangkan kedua-duanya belum ada semasa 'period' yang ditunjukkan dalam filem itu iaitu tahun 1947.   

Di dalam satu episod filem Star Wars yang ditulis pada awal pada setiap filem sebagai 'A long time ago in a place far far away.....' ada pelakon menggunakan telefon bimbit model semasa filem dibuat. Dalam filem The Good, the Bad and the Ugly, Clint Eastwood menggunakan pistol yang dicipta selepas 'American Civil War' sedangkan filem itu menunjukkan 'period' perang tersebut.

Ada juga kecacatan disengajakan untuk tujuan tertentu, termasuk memburukkan negara kita Malaysia. Dalam filem Entrapment walau pun ditunjukkan menara KLCC, tetapi ia ditunjuk berada dalam sebuah kampung. Pelakon utamanya Sean Connery menyewa hotel murah tidak ada hawa dingin sedangkan karaktornya ialah seorang pencuri yang mengumpul berjuta setiap kecurian. Sedangkan sebagai James Bond, Connery menyewa hotel lima bintang siap dengan casino dan kolam renang. Apa di Malaysia tidak ada hotel lima bintang ke?

Bercakap mengenai James Bond mengapa ia tidak tua-tua sedangkan sudah berada di filem sejak tahun 1962? Kereta Aston Martin yang dipakainya sejak filem Goldfinger (tahun 1964) baharu sahaja diletupkan dalam filem terakhirnya Skyfall (tahun 2012).

Dari itu nasihat saya kepada pengarah dan penerbit filem-filem Melayu jangan putus asa terhadap serangan dan kutukan seperti gambar di atas. Kalau filem tuan-tuan dan puan-puan dianggap 'FAIL' kerana kecacatan yang digambarkan, filem Hollywood pun banyak yang 'FAIL' juga.

Tuesday, August 27, 2013

Langit tidak selalu cerah.

Saya tidak bermaksud mengaibkan orang yang saya maksudkan di bawah ini, cuma sekadar menjadi pengajaran kepada kita semua.

Semalam saya menerima satu berita agak sedih dari seorang saudara saya. Dia akan berpindah ke satu pusat jagaan orang-orang tua, petang itu juga katanya. Dalam beberapa bulan ini dia telah berpindah randah beberapa kali. Dari itu saya ragu-ragu sama ada dia akan kekal di rumah barunya ini. 

Ia bermula beberapa bulan dulu bila dia memberitahu akan berpindah dari rumah sewanya di Kuala Lumpur ke Seremban. Tetapi dalam perjalanannya sekeluarga ke Seremban dia mendapat tahu rumah yang hendak disewanya telah disewa orang lain. Oleh itu dia berpatah balik dan mendapat sebuah rumah sewa di Banting, Selangor. Dia seolah-oleh gembira berada di situ dan ada menghantar beberapa gambar rumah barunya untuk tatapan ramai, termasuk saya.

Tidak sampai beberapa bulan dia memberitahu sudah berpisah dengan isterinya dan sekarang duduk dengan seorang dari anak-anaknya di Seremban. Dia juga sempat memberitahu kenapa dia berpisah dengan isterinya itu. 

Itu perpisahanya kali ketiga. Dia telah berkahwin dua kali sebelum itu yang juga berakhir dengan perceraian. Dia mempunyai beberapa orang anak dari ketiga-tiga bekas isterinya. Satu fakta yang menyedihkan lagi ialah ia telah lumpuh separuh badan beberapa tahun yang lalu akibat angin ahmar. Tetapi dia boleh bertutur dengan baik dan boleh menggunakan komputer.

Di Seremban di mana dia tinggal dengan anak isteri pertama, dia diberi kereta oleh anaknya dengan isteri kedua dia dijaga oleh anaknya dengan isteri ketiga. Anak isteri ketiga itu sambil menjaganya juga menghantarnya dengan kereta ke mana-mana dia hendak pergi. 

Saya ingat peraturan itu sudah cukup baik baginya, di mana tiga orang anaknya dari tiga bekas isterinya terlibat menjaganya yang sudah bertaraf OKU. Tetapi tidak, di bulan Ramadan baru-baru ini saya diberitahu dia sudah berpindah ke Rawang, Selangor dan tinggal dengan seorang tukang urut lelaki. Tukang urut itu pula tinggal seorang diri selama ini dan tinggallah mereka berdua sahaja dalam satu rumah. Kata saudara saya ini lagi anak dengan isteri ketiga itu tidak mahu menjaganya lagi dan kereta itu pun sudah diambil balik oleh tuannya.

Tidak sampai dua minggu saya menerima berita lagi darinya. Katanya anak-anaknya telah membawanya balik ke Seremban. Tinggallah dia sekali lagi dengan anak dengan isteri pertamanya. Tetapi kali ini keadaan sudah berubah. Kereta serta pemandu dan penjaga dirinya sudah tiada lagi. Dalam lain perkataan dia kena lebih berdikari.

Kemudian tibalah berita yang saya terima semalam. Saudara saya ini akan berpindah lagi. Malah semasa saya menulis ini dia telah pun mengharungi malam pertamanya di  pusat jagaan itu.    

Bagi kita orang Melayu dan Islam menghantar orang tua kita ke pusat jagaan orang tua ialah pilihan terakhir. Itu sebab saya kata pada mula tadi berita pemergian saudara saya ini ke pusat itu merupakan satu berita sedih.

Tetapi jika dikaji semula mungkin sudah terdapat jawapannya. Saudara saya ini sudah berkahwin beberapa kali dan mendapat anak-anak dari tiap-tiap isterinya. Sudah tentu ada anak-anak yang tidak menerima kasih sayang seorang ayah darinya. Mungkin sekarang ada diantara anak-anak itu yang berkata 'Dia tidak jaga aku dulu, macam mana aku nak jaga dia?'

Oleh itu pembaca sekalian diharap mendapat pengajaran dari pengalaman saudara saya ini. Jagalah anak-anak kita. Mereka adalah permata yang tidak bernilai bagi kita. Jika kita berselisih faham suami isteri pilihlah jalan yang baik. Anak-anak akan menjadi mangsa bila ayah dan ibu berpisah.

Juga jangan ingat kita akan sihat walafiat setiap masa. Penyakit dan kematian boleh tiba dengan tidak dijangka pada bila-bila masa. Di lain perkataan langit tidak selalu cerah.

Thursday, August 22, 2013

Bila penjenayah diraikan.

Ketua 'The Cowboys' dalam filem 'Tombstone'.

Melihat gambar perarakan pengkebumian lima orang penjenayah yang dibunuh polis di Pulau Pinang baru-baru ini mengingatkan saya pada satu adegan filem 'Tombstone' lakonan Kurt Russel dan Val Kilmer. Adegannya ialah perarakan pengkebumian juga. Tapi di filem itu pengkebumian untuk beberapa orang penjenayah yang dibunuh oleh Marshall Wyatt Earp dengan dibantu oleh dua orang adiknya dan kawan mereka Doc Holliday.

Pertembungan Wyatt Earp dengan penjenayah yang dikenali sebagai 'The Cowboys' adalah kisah benar. Para penulis menggelarnya 'Gunfight at the O.K. Corral', malah ada filem yang bertajuk itu lakonan Burt Lancaster dan Kirk Douglas.

Geng 'The Cowboys' terdiri dari keluarga Clanton dan McLaury yang sering melanggar undang-undang di pekan Tombstone yang dijaga oleh Wyatt Earp dan adik-adiknya. Akhirnya geng itu mencabar Wyatt untuk bertarung di kadang kuda dipanggil O.K. Adik beradik Earp datang ke situ dibantu oleh kawan mereka Holliday, serorang pakar menembak.

Akhirnya beberapa orang dari geng 'The Cowboys' terbunuh sedangkan pihak berkuasa cuma cedera ringan. Tetapi tidak beberapa lama lepas itu geng 'The Cowboys' berjaya juga membunuh seorang adik Wyatt dan mencederakan seorang lagi sehingga lumpuh sebelah tangan.

Di filem 'Gunfight at the O.K. Corral' cerita tamat sebaik sahaja pertembungan itu selesai, tetapi di filem 'Tombstone' tidak. Ia diteruskan dengan perarakan pengkebumian beserta sepanduk-sepanduk. Salah satu sepanduk ditulis 'Murdered on the streets of Tombstone'. Filem diteruskan lagi dengan Wyatt Earp dan Doc Holliday menghapuskan saki baki kumpulan 'The Cowboys'.

Seolah-olah 'Gunfight at the O.K. Corral' berulang di Pulau Pinang, Malaysia. Cukup dengan perarakan pengkebumian lagi. Cuma saya harap saki baki penjenayah di Malaysia itu tidak membalas dendam kepada pihak polis seperti apa yang dilakukan oleh saki baki geng 'The Cowboys' kepada adik-adik Wyatt Earp.

Wednesday, August 14, 2013

Kalau sudah jadi gajah putih baik robohkan saja.


Saya tertarik dengan cerita sebuah surau di sebuah 'resort' di Tanjung Sedili Besar, Johor Darul Takzim digunakan oleh sekumpulan penganut agama Buddha untuk acara keagamaan mereka. Ekoran dari itu pengurus 'resort' telah ditahan oleh pihak polis. 

Panggilan 'resort' biasa digunakan untuk mana-mana hotel yang terletak jauh dari bandar. Tetapi dalam segala segi seperti kegunaan dan pengurusan ia ialah sebuah hotel. Dari itu saya akan memanggil 'resort' itu sebagai hotel sahaja.

Dalam pengalaman saya menginap di hotel dan juga melawat hotel-hotel (yang menjadi sebahagian dari tugas saya dulu) saya belum pernah terjumpa mana-mana hotel membina sebuah surau berasingan dari bangunan utama mereka. Biasanya satu bilik berhampiran dengan bilik-bilik mesyuarat dan seminar di hotel-hotel akan dijadikan surau. Surau ini ialah untuk kegunaan kakitangan hotel dan peserta mesyuarat, kursus atau seminar di hotel tersebut. Penginap hotel biasanya bersolat di bilik hotel sahaja.

Dalam pengalaman saya juga berkursus dan berseminar di hotel-hotel kegunaan surau hotel oleh peserta kursus dan seminar agak mengecewakan. Boleh dikatakan cuma 10% dari peserta beragama Islam menggunakannya. Oleh itu secara terus terang saya nyatakan kebanyakan peserta beragama Islam yang menghadiri kursus dan seminar di hotel-hotel tidak bersolat.

Ekoran itu saya tidak hairan bila membaca bahawa surau di hotel Tanjung Sedili Besar itu jarang-jarang digunakan oleh orang Islam. Sedangkan surau  di dalam bangunan surau pun kurang digunakan, apatah lagi jika ia berada di luar bangunan hotel? Saya tidak mahu menyentuh mengenai penganut agama lain menggunakannya untuk apa-apa upacara, kerana saya bukan pakar dalam perkara ini. 

Kemudian saya terbaca pula berita yang surau berekenaan besar kemungkian akan dirobohkan apabila kes polis selesai. Saya juga tidak mahu bertanya mengapa pihak polis mengendalikan kes ini dan bukan pihak berkuasa agama Islam. Antara alasan mengapa ia hendak dirobohkan ialah kerana kesuciannya telah tercemar, arah Qiblat serong dan ada juga saya terbaca yang rekabentuknya tidak melambangkan agama Islam.

Tetapi saya mempunyai pendangan sendiri mengapa surau itu harus dirobohkan. Jika tidak diroboh pun digunakan untuk tujuan lain. Sebabnya ialah ia sudah menjadi satu gajah putih. 

Sekian.

Saturday, August 10, 2013

Perangai buruk di Hari Raya.

Menaiki bas khas ke rumah YAB MB.

Dalam bas.

Bila datang Hari Raya timbullah apa yang dikatakan rumah terbuka. Di sana sini orang akan bertanya 'Bila nak buat rumah terbuka?' Oleh kerana semua orang sudah faham apa yang dimaksudkan dengan 'rumah terbuka' tidak payahlah saya menerangkannya di sini.

Tetapi dalam banyak rumah terbuka Hari Raya ada satu yang saya paling seronok pergi. Ia ialah rumah terbuka yang diadakan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang, Dato Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. 

Sebenarnya YAB Haji Mohamad mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidil Fitri dua kali setiap tahun Hijri. Rumah terbuka pertama diadakan di Hari Raya pertama di kawasan pejabatnya di Bandar Seremban dan yang kedua di rumah kampungnya di Rantau, Daerah Seremban. Rumah terbuka kedua inilah yang saya maksudkan.

Sebenarnya saya telah mula pergi ke rumah terbuka YAB sebelum dia menjadi Menteri Besar lagi. Keunikannya ialah tempatnya, iaitu dalam kawasan sebuah rumah kampung, iaitu rumah keluarga YAB sendiri. Tetapi kerana kedudukannya dalam sebuah kampung timbul pula masalah lalulintas pada mulanya. Tetapi di tahun-tahun kebelakangan ini masalah itu dapat diatasi dengan diadakan perkhidmatan bas percuma. Para tetamu dikehendaki meletakkan kenderaan di beberapa tempat khas di Pekan Rantau dan dari situ mereka dibawa ke rumah YAB dengan bas. Tetapi dengan sistem itu pun ramai juga yang saya lihat membawa kereta untuk diletakkan paling hampir dengan rumah YAB.

Tetapi apa yang hendak saya ceritakan disini bukanlah masalah lalulintas. Tetapi satu perangai buruk orang kita yang tidak berpuas hati dengan hanya menjamu makanan yang disediakan oleh tuan rumah. Mereka membawa balik mana-mana makanan yang boleh dibawa balik.

Mula-mula dulu dalam perjalanan saya ke rumah YAB saya dikejutkan melihat orang dewasa dan kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan memeluk satu atau dua botol minuman 1.5 liter untuk dibawa balik. Saya hairan juga pada mulanya bagaimana perkara itu boleh terjadi. Apabila sampai ke meja hidangan baru saya tahu jawapannya.

Di atas setiap meja sudah terdiri beberapa botol minuman 1.5 liter tersebut, ada yang sudah terbuka dan ada yang belum. Dari situlah para tetamu mendapat air minuman mereka dengan menuang kedalam cawan kertas yang disediakan. Tetapi ada pula yang berfikir lain dengan membawa balik botol-botol yang belum dibuka.

Di tahun-tahun berikutnya masalah ini dapat diatasi dengan diadakan 'stesen-stesen minuman'. Dari situ para tetamu boleh mendapat minuman melalui cawan-cawan kertas yang diberi oleh pekerja-pekerja tuan rumah. Jika ini pun mereka hendak bawa balik tidak tahulah saya.

Tengah hari tadi saya pergi sekali lagi ke rumah terbuka YAB Menteri Besar ini. Sekali lagi saya menaiki bas yang disediakan. Tetapi duduk semeja dengan saya ada seorang tetamu perempuan yang menunjukkan sikap buruknya. Dia mengambil sebanyak makanan yang boleh, diantaranya sate, nasi beriyani, kuey teow dan buah longan. Saya  hairan juga bolehkah dia menghabiskan semua makanan itu?. 

Soalan saya terjawab apabila dia memasukkan semua makanan tersebut kedalam beberapa bungkusan plastik yang sedia dibawanya. Kemudian dia memasukkan semua bungkusan tersebut ke dalam sebuah beg yang juga sudah sedia dibawanya. Semua ini dilakukannya di hadapan mata saya, isteri saya, anak dan menantu tanpa segan silu. Kemudian baharulah dia sekali lagi mengambil makanan untuk dimakannya disitu juga.

Apabila selesai kunjungan saya dan keluarga ke rumah YAB tibalah masa untuk kami balik. Semasa mununggu giliran menaiki bas saya dikejutkan sekali lagi. Kali ini seorang lelaki pula membawa bersamanya sebuah kotak berisi 24 botol minuman air mineral 500 ml tiap-tiap satu. Dia juga tanpa segan silu membawa bersama kotak itu ke dalam bas.

Bagaimana mana dia boleh mengambil atau lebih tepat melarikan satu kotak minuman saya tidak tahu.

Wednesday, August 7, 2013

Antara lagu pop dengan ayat solat.

Semasa saya bersekolah menengah dulu di sebuah sekolah berasrama penuh kami diwajibkan untuk bersolat Jumaat di masjid pekan di mana sekolah kami terletak. Masjid itu mempunyai dua imam, seorang muda dan seorang tua. Yang muda membaca ayat-ayat yang pendek dengan cepat. Dari itu solat kami juga selesai dengan cepat.. Tetapi yang tua membaca ayat-ayat yang panjang dengan perlahan dan sudah tentu solat selesai agak lewat.

Hal imam tua membaca ayat-ayat panjang dengan perlahan menjadi topik yang sering dibincang oleh kami. Dipendekkan kata, kami tidak selesa berimamkan imam yang tua itu. Mungkin pakar-pakar agama akan berkata lebih panjang solat lebih banyak pahalanya. Tetapi sudah menjadi tabiat semula jadi bahawa orang-orang muda kurang sabar sifatnya. Dari itu timbul sebutan dalam bahasa Inggeris 'The young and restless' atau 'Yang muda dan gelisah'.  

Kenapa anak-anak muda suka kepada lagu-lagu pop, tidak kira rock atau rentak lain?. Kerana lagu-lagunya bertempo cepat dan ringkas. Saya tidak tahu mengenai lagu-lagu sekarang kerana saya tidak mengikuti perkembangannya. Tetapi di zaman remaja saya dulu lagu-lagu pop cuma lebih kurang 2.5 minit panjangnya. Stesen-stesen radio pun tidak menyiarkan lagu-lagu pop yang melebehi 4 minit. 

Tetapi kadang-kadang ada juga lagu-lagu yang panjang, contohnya lagu 'Hey Jude' nyanyian The Beatles dan 'Child in Time' nyanyian Deep Purple. Penyanyi tempatan kita A Ramlie juga ada menyanyikan satu lagu yang panjang dahulu, tetapi saya lupa namanya. Dalam kes ini cuma lagu-lagu panjang dari penyanyi atau kunpulan yang sudah popular sahaja yang disiarkan di radio. Jika tidak peminat boleh mendengarnya dengan membeli rekod atau CD.

Lagu-lagu Hindustan yang keluar di radio sebenarnya sudah dipendekkan atau 'abridged'. Di zaman saya dulu ada dua versi lagu rekod lagu Hindustan yang dijual. Versi asal dari filem dan panjang didapati di rekod Long Play atau LP dan versi pendek melalui rekod Extended Play atau EP. Lagu-lagu versi EP inilah yang dimainkan di radio.

Sekarang ini sering dibangkitkan hal ana-anak muda kita yang kurang minat untuk datang solat berjemaah di masjid dan surau. Pada pendapat saya faktor imam membaca ayat pendek atau panjang semasa solat menjadi salah satu sebabnya, melainkan jika anak-anak muda diwajibkan datang. Jika para remaja suka mendengar lagu-lagu pop yang pendek dan cepat temponya, begitu juga mereka suka berimamkan imam yang suka membaca ayat-ayat pendek dengan cepat.

Tetapi apabila imam itu sudah popular dan sudah ramai remaja yang datang ke masjid dan surau dia bolehlah sekali sekala membaca ayat-ayat yang panjang seperti lagu 'Hey Jude' dan 'Child in Time' itu.        

Saturday, August 3, 2013

Pengemis tak boleh lepas cakap!


Ada peribahasa dalam bahasa Inggeris bunyinya 'Beggars cannot be choosers'. Terjemahan terusnya ialah 'Pengemis tidak boleh jadi pemilih'. Dalam lain perkataan kalau kita ni mengemis, terima sahajalah apa yang orang beri. Jangan beri syarat pulak. Tetapi saya ingin menambah satu lagi peribahasa, kali ini dalam bahasa Melayu sepenuhnya iaitu 'Pengemis tidak boleh lepas cakap'. 

Beberapa hari yang lepas saya dihubungi oleh dua orang kawan lama, seorang melalui laman sosial Facebook dan seorang lagi melalui sistem pesanan ringkas atau SMS telefon bimbit. Tetapi kawan kedua itu menyampaikan maklumat itu secara terperinci dan tidak layak dipanggil SMS.

Apa yang kedua-dua mereka ingin sampaikan adalah berita yang sama, iaitu seorang dari kawan lama kami dalam kesempitan wang. Jadi mereka mintalah saya bersama-sama mereka untuk menyampaikan sedikit sumbangan, terutama hari raya sudah dekat. Jadi dapatlah kawan kami tu beraya sedikit.

Kawan kedua tu sehinggakan memberi nombor akaun banknya sendiri untuk saya memasukkan sedikit sumbangan kewangan. Saya mula-mula berfikir begitulah, iaitu membantu kawan kami itu. Saya tidak payah pergi ke bank, cuma dengan membuat pindahan wang melalui internet. Tetapi semalam saya menerima panggilan telefon yang membuatkan saya berfikir dua kali. 

Panggilan itu tidak lain tidak bukan dari kawan kami yang dilanda kesusahan itu. Dia pun menceritakan keadaan kewangan dan kesihatannya. Sebelah kakinya sudah dipotong akibat penyakit kencing manis dan dia memerlukan satu kaki palsu yang baru untuk menggantikan kaki palsunya sekarang. Baru saya tahu rupa-rupanya kaki palsu ini kena ditukar beberapa tahun sekali. 

Dia juga menceritakan keadaan kewangannya dimana dia sekarang sudah muflis. Dari situ juga saya tahu kenapa kawan kedua kami tadi memberikan nombor akaun banknya sendiri dan bukan akaun bank kawan yang susah ini. Jawapannya orang yang muflis tidak boleh mempunyai akaun bank.  

Kemudian perbualan kami menyimpang kepada perkara-perkara yang lain dan malangnya antara yang dibangkitkannya menyentuh hati saya sedikit. Bukan menyentuh untuk lebih menolongnya, tetapi sebaliknya.

Dia terlepas cakap dengan memberi gelaran yang kurang sopan kepada seorang yang rapat dengan saya dan saya hormati selama ini. Sekarang hati saya berbelah bagi sama ada hendak menolongnya atau tidak.   

Friday, August 2, 2013

Ternyata tindakan saya betul!


Di Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11) tahun 2004 dulu saya bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM) di Saluran 1. Saluran ini mempunyai bilangan pengundi paling kurang dari saluran-saluran lain. Tetapi KTM di saluran 1 di sini diberi tanggungjawab mengawal pusat mengundi kesuluruhannya.

Beberapa minit pusat mengundi dibuka saya dengar dan lihat sedikit kekecohan di Saluran 2. Barisan pengundi beratur lebih panjang dari saluran-saluran lain dan sudah tentu pengundi bersungut. KTM di saluran ini, seorang guru perempuan yang tidak ada pengalaman mengendalikan proses mengundi kelihatan panik. 

Ekoran itu saya langgar sedikit peraturan yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan membiarkan pengundi beratur dari luar bilik mengundi sehingga ke meja kerani mengundi pertama. Tujuan saya ialah memendekkan tempoh layanan antara pengundi. Bila barisan di luar boleh dikawal barulah pengundi beratur di luar bilik mengundi sahaja. Tindakan sepontan saya itu terbukti berjaya kerana kitaran pengundi didapati lebih cepat.   

Petang tadi saya ke Pejabat Pos yang paling hampir dengan rumah saya untuk membaharui cukai jalan kereta saya. Di situ saya diberitahu Pejabat Pos tidak 'online' dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan saya terpaksa membayar cukai jalan di sana. 

Apabila sampai di JPJ Seremban saya diberitahu tidak payah menggunakan nombor giliran untuk membayar cukai jalan, tetapi terpaksa beratur di dua kaunter khas untuk tujuan tersebut. Mula-mula timbul juga perasaan marah saya kerana terpaksa berdiri sambil beratur. Lebih-lebih lagi di bulan puasa ini. 

Tetapi setelah sama-sama berdiri beratur dengan pelanggan-pelanggan lain saya dapati tindakan JPJ itu adalah bijak. Dengan pelanggan berdiri sambil beratur tempoh layanan antara kami dapat dipendekkan. Dari itu lebih ramai pelanggan dapat dilayan dari keadaan biasa.

Jadi ternyatalah tindakan yang seakan-akan sama saya lakukan sembilan tahun yang lalu betul.