Tuesday, December 27, 2016

Sesak sekejap saja (Merlimau-Jasin-Durian Tunggal-Seri Menanti-Seremban).

Di kenduri pertama, hantar Faiz kahwin.

Hari Ahad lepas bersamaan Hari Krismas 2016 saya pergi ke dua kenduri. Pertama majlis menghantar anak biras saya Faiz kahwin di Bukit Beruang, Melaka. Kedua majlis kenduri keluarga isteri di Merlimau, Melaka. 

Setelah bermalam di Merlimau, esoknya pula (Boxing Day 2016) saya pergi ke kenduri kahwin Faiz di rumah keluarganya di Durian Tunggal, Melaka. Selepas itu saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk mengambil emak saya.

Tengah hari Boxing Day saya ajak isteri saya pergi ke Kg. Air Barok, Jasin untuk melihat rumah di mana dia dilahir dan dibesarkan sebelum keluarganya pindah ke Merlimau. Jalan Merlimau - Jasin walau pun Jalan Negeri (Melaka) amat baik dan boleh mengalahkan beberapa Laluan Persekutuan, contohnya FR6 di Pulau Pinang yang saya lalui hujung minggu sebelumnya. 

Dari Jasin saya ke Durian Tunggal, juga melalui jalan negeri. Tetapi nampaknya jalan ini perlu diturap semula di beberapa tempat. Saya boleh pergi melalui Bemban di mana jalannya lurus dan lebar, tetapi saya memilih jalan bengkang bengkok di mana kenderaan kurang.

Dari Durian Tunggal saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan. Jalan-jalan Negeri Melaka juga cukup baik seperti juga sambungannya di Tampin, Negeri Sembilan. Saya melalui Laluan Perseketuan FR1 sekejap sahaja sebelum melencong ke Johol dari Kg. Keru, Tampin melalui Ulu Yoh. Sekali lagi Jalan Negeri (Negeri Sembilan) cukup baik. 

Dari Johol saya melalui Laluan Persekutuan FR9 arah ke Kuala Pilah. GPS di kereta saya mengarahkan saya untuk terus ke Bandar Kuala Pilah sebelum ke Seri Menanti melalui Tanjong Ipoh. Tetapi saya tahu jalan Kuala Pilah - Seremban tentu sesak. Dari itu saya melencong ke Seri Menanti di pekan kecil Senaling.

Saya terperanjat melihat jalan Senaling - Seri Menanti sudah dilebarkan dari yang saya pernah tempuh sebelum ini. Ini mengesahkan ucapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang saya dengar beberapa bulan yang lepas yang berkata Jalan-jalan Negeri di Negeri Sembilan ada yang mengalahkan Laluan Persekutuan.

Cuma seperti dulu masih ada bom jangka atau 'time bombs' di atas jalan Senaling - Seri Menanti. Bom jangka yang saya maksudkan ialah tahi lembu. Pemandu juga kena berhati-hati di jalan ini terhadap lembu, kerbau dan kambing yang boleh tiba-tiba melintas..

Setelah mengambil emak saya di rumah adik di Seri Menanti saya pun terus ke Seremban melalui Jalan Seri Menanti - Terachi, juga Jalan Negeri. Di Terachi barulah saya menempuhi kesesakan di Laluan Persekutuan FR51 Kuala Pilah - Seremban. Saya sudah menjangka kesesakan ini yang biasa di hujung minggu, lebih-lebih lagi selepas cuti panjang.

Mulai Klinik Kesihatan Terachi kenderaan mula bergerak laju dan ini agak menghairankan saya. Tetapi apabila saja menurun Bukit Putus kenderaan mulai perlahan semula. Dalam pada itu ada juga seorang pemandu yang memotong di laluan kecemasan. Baguslah tidak ada pemandu lain yang mengikut jejaknya.

Di Paroi kenderaan berjalan lancar seperti biasa dan saya sampai ke rumah tanpa perasaan marah dan sepertinya.

Friday, December 23, 2016

Mungkin mereka memang berharap untuk dipindahkan.


Siapa yang sering melalui Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan mungkin hairan kenapa penghujung jalan itu di Ampangan bemula di simpang tiga. Sedangkan penghujungnya di Jalan Sungai Ujung bermula di simpang empat. Malah simpang empat ini sedang dinaiktaraf kepada simpang bertingkat.

Di satu mesyuarat, mantan boss saya pernah bertanya kepada pemaju jalan itu kenapa ia dibina begitu. Jawapannya mereka hendak mengelakkan jalan itu melalui satu 'kampung' yang akan melibatkan bayaran pampasan yang tinggi.

Boss saya komen kenapa tidak ditanya kepada orang-orang 'kampung' tersebut terlebih dahulu? Mana tahu mereka memang berharap untuk dipindahkan. Tetapi apa-apa jawapan kepada komen itu tak berguna lagi, kerana jalan telah siap, walau pun lencongan untuk mengelakkan 'kampung' itu telah menyebabkan kesesakan lalulintas di waku petang apabila ramai pemandu yang tinggal di Ampangan dan sekitarnya balik dari kerja. Juga di hujung minggu bila ramai oang Lembah Kelang balik kampung ke Kuala Pilah, Jelebu dan Negeri Pahang. 

'Kampung' yang dimaksdukan bukanlah kampung dalam erti sebenar. Namanya Kampung Lee Siew Joo yang terdiri dari rumah-rumah teres satu tingkat yang dibina hampir setengah abad yang lalu. Kebanyakan penghuninya bukan Melayu. Mungkin ia diberi nama 'Kampung' dan bukan 'Taman' kerana ia terletak sebelah kampung-kampung Melayu.

Kenapa boss saya berkata ada kemungkinan orang-orang 'kampung' ini ingin dipindahkan. Kerana pembesaran Jalan Seremban - Kuala Pilah telah menyebabkan ia terletak terlalu hampir dengan jalan utama dan sudah tentu menerima gangguan bunyi dan sebagainya.

Sekarang saya ingin berpindah dari satu kampung di Seremban, Negeri Sembilan ke satu kampung di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Saya ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang hujung minggu yang lepas atas pelawaan anak dan menantu saya. Di depan hotel saya lihat kereta dengan nombor plet PP 1 dengan nama SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI P. PINANG ditulis bersama.

(Saya minta maaf jika fakta yang saya tulis seterusnya adalah salah, kerana ia datang dari pertanyaan saya sendiri kepada rakyat biasa dan bukan pihak berkuasa).

Saya tanya seorang pekerja hotel itu kenapa SS datang ke sini? Jawapannya Y.B. ingin berbincang dengan orang-orang kampung mengenai pampasan. Kampung yang dimaksudkan ialah seperti dalam gambar di atas yang betul-betul terletak depan hotel. Saya ambil gambar itu dari bilik hotel. Pampasannya pula ialah untuk cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil alih kampung itu untuk dimajukan.

Sudah tentu ada suara-suara yang membantah cadangan itu. Alasan mereka ialah kerajaan hendak menghapuskan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang. Tetapi jika diteliti betul-betul kampung tersebut tidaklah seperti kampung-kampung yang kita jumpa di Negeri Sembilan. Contohnya kampung saya di Jelebu mempunyai kawasan untuk dusun dan sawah.

Mungkin seperti di 'kampung' di Seremban itu, penduduk kampung di Teluk Kumbar ini pun memang berharap untuk dipindahkan.

Sekian. 

Tuesday, December 20, 2016

Alangkah beruntungnya saya.

Saya dah lama tidak memandu jauh. Kali terakhir ialah lebih dua tahun lalu bila saya ke Cameron Highlands dan seterusnya ke Kelantan. 

Hujung minggu lepas saya menerima pelawaan anak dan menantu saya untuk mengikut mereka ke Pulau Pinang untuk semalam sahaja. Pemergian ke Pulau Pinang berjalan lancar seperti biasa. Kami menaiki Jambatan Kedua kerana hotel kami terletak di Teluk Kumbar.

Untuk balik kami ingin menaiki Feri. Oleh itu kami terpaksa ke utara menuju Georgetown. Kenderaan mula sesak bila kami mendekati Georgetown. Setelah membeli sedikit jeruk di Penang Road kami pun menuju Feri. Kenderaan juga sesak dan setelah melihat barisan panjang untuk menaiki Feri kami membatalkan pilihan tersebut. Kami menaiki Jambatan Pertama ke tanah besar Semenanjung.

Kenderaan banyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Hujan juga turun sekejap-sekejap, kadang-kadang lebat. Antara Bukit Gantang dengan Bukit Berapit kenderaan bergerak perlahan dalam hujan. 

Selepas Kuala Kangsar saya nampak dua buah kereta Toyota Vellfire berwarna putih menghalang di laluan laju. Rupa-rupanya mereka berlanggar. Tak tahulah sama ada merka dari satu kumpulan kerana jenama kereta dan warna adalah sama. Kedua-duanya kemudian beralih ke laluan kecemasan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Selepas Sungai Perak kenderaan lagi perlahan. Tetapi syukurlah tidak ada halangan apa-apa. Kenderaan bergerak lancar setelah melepasi Terowong Menora ke selatan. Tetapi dari Simpang Pulau kenderaan kembali perlahan sehingga berhenti beberapa kali. Hujan turun renyai-renyai dan kadang-kadang lebat. 

Selepas Gua Tempurung saya menyaksikan kereta yang betul-betul di depan saya melanggar kereta di hadapannya. Mujur juga ini berlaku bila kenderaan bergerak perlahan dalam 5 km/j. Kami berada di laluan kanan dan kedua-dua pemandu keluar untuk memeriksa kenderaan mereka. Agaknya pemandu depan saya itu hilang konsentrasi seketika. Saya terpaksa berpindah segera ke lorong kiri. 

Kenderaan cuma bergerak lancar selepas Rawang. Anak dan menantu saya menyimpang ke rumah mereka di Sungai Buloh dari situ sedangkan saya terus ke Seremban. Saya hanya sampai ke rumah pada pukul 12.30 malam setelah memasuki Lebuhraya PLUS lebih kurang pukul 2.30 petang. Kami juga berhenti untuk solat dan makan di Juru dan Ulu Bernam.

Macam-macam perangai pemandu yang saya lihat. Yang melucukan saya ialah melihat pemandu yang asyik menekan brek. Mereka ini takut sangat orang lain memotong mereka walau pun dalam keadaan kenderaan merangkak. Dari itu mereka memandu rapat dengan kenderaan di hadapan untuk tidak memberi ruang dipotong. Akibatnya bila kenderaan di hadapan sudah terlalu rapat mereka terpaksa brek.

Nasihat saya kepada mereka ini bila kenderaan di hadapan perlahan atau terhenti lepaskan saja kaki dari menekan minyak. Bila kenderaan di hadapan bergerak atau mula laju baru tekan minyak semula. Dengan cara ini penumpang kita tidaklah terhangguk-hangguk jadinya.

Agaknya keadaan sesak ini sering dialami oleh pemandu-pemandu yang melalui Lebuhraya PLUS di utara Kuala Lumpur. Mujurlah saya tinggal di Seremban. Saudara mara saya dan isteri pula berada di sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka. Kemana-mana juga saya tidak mengalami kesesakan.

Alangkah beruntungnya saya.

Sunday, December 11, 2016

Soldier of Fortune - Deep Purple

Sensitifnya pingat.

Seorang veteran tentera Singapura memakai pakaian penuh beserta pingat semasa pengekebumian sahabatnya di Makam Perwira Port Dickson.

Bila saya dilantik menjadi Setiausaha kepada NGO saya sekarang salah satu tugas saya ialah menulis surat kepada semua ahli jawatankuasa. Saya dapati di belakang nama mereka terdapat nama-nama pingat yang dianugerah oleh  Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Ada seorang tu mempunyai enam pingat serta bergelar Dato'. Kesemua mereka yang Islam juga mempunyai gelaran Haji atau Hajjah. 

Memikirkan nama-nama pingat ini menyemak, saya membuangnya dan hanya menyimpan nama gelaran Dato', Haji dan Hajjah sahaja. Tetapi saya tetap tidak meletak gelaran Haji di depan dan nama pingat di belakang nama saya. 

Saya terus ditegur melalui telefon oleh seorang penerima surat dan di mesyuarat pertama saya meminta maaf kerana menghilangkan pingat mereka. Sejak itu saya mengekalkan nama-nama pingat mereka tetapi mengekalkan nama saya tanpa apa-apa gelaran.

Itu satu contoh begitu sensitifnya orang kita mengenai pingat. Bukan saja sensitif mengenai pingat, tetapi sensitif terhadap penerimaannya. Saya masih ingat semasa saya menerima pingat dari Yang Di Pertuan Agong pada tahun 2003 isteri saya Salmah cukup teruja dan menempah pakaian khas untuk pergi ke Istana Negara.  Mujur juga sebagai pegawai kerajaan saya mendapat pakaian percuma.

Tetapi walau pun kita sensitif terhadap pingat yang kita dapat, kita tidak sensitif terhadap pingat yang orang lain dapat. Contohnya baru-baru ini seorang yang digelar Dato' M (untuk Muda kerana umurnya cuma 32 tahun) disahkan oleh polis sebagai ketua kumpulan gangster. Ini selepas dia ditembak mati. Kenapa tidak ada orang lain termasuk yang sama-sama bergelar Dato' membantah sebelum itu. Juga tidak ada yang datang memulangkan pingat-pingat mereka seperti cerita saya seterusnya.

Pada bulan Mei tahun 1965 keempat-empat ahli kumpulan The Beatles dianugerah pingat M.B.E. oleh Ratu Elizabeth. Tiba-tiba ramailah rakyat Britain yang sudah menerima pingat tersebut membantah, sehingga ada diantara mereka pergi ke Istana Buckingham dan memulangkannya.

Mereka terasa dikecilkan kerana diletak setaraf dengan 'budak-budak' tak bersekolah tinggi itu. Ini ditambah lagi dengan cerita yang The Beatles sendiri tidak memohon untuk pingat tersebut dan tidak tahu menahu akan nilainya. Ada juga cerita menyebut yang kumpulan itu menghisap ganja dalam tandas Istana Buckingham semasa menerima pingat mereka. 

Dalam kes The Beatles M.B.E. mereka yang membantah itu salah sebenarnya. Kebanyakan mereka itu sudah berumur dan sudah tentu tidak meminati lagu-lagu The Beatles di masa itu. Lagu-lagu 'Yesterday' dan 'Something' belum ada. Peminat The Beatles yang digelar Beatlemaniacs adalah remaja belaka. Ini termasuk saya yang berumur 15 tahun di tahun itu.

Tahun 1965 pula ialah tahun terakhir fasa pertama The Beatles di mana mereka masih membuat pertunjukan dan tema lagu mereka pula bersekitar tentang cinta. Selepas itu The Beatles memasuki fasa kedua mereka dengan tidak lagi membuat pertunjukan dan mengeluarkan lagu-lagu lebih serious dan tidak sekitar  bertema cinta. Ini bermakna jika mereka dianugerah M.B.E. pada tahun 1967 sudah tentu tiada yang membantah.      

Ini dibuktikan bila Paul McCartney menerima anugerah bergelar 'Sir' yang sama tarafnya dengan 'Tun' di Malaysia pada tahun 1997 tidak ada yang membantah.

Friday, December 9, 2016

Perpindahan yang menyusahkan


Saya telah berpindah syarikat telefon bimbit (telco) sebanyak dua kali tetapi dengan menggunakan nombor yang sama. Perpindahan yang pertama tidak memberi apa-apa masalah. Tetapi perpindahan yang kedua cukup membengangkan saya.

Masalah bermula bila saya cuba nak 'top-up' duit dalam telefon bimbit saya. Seperti biasa saya ingin membayar melalui perbankan internet. Tetapi bila sampai ke bahagian memasukkan nombor TAC (maaf saya tak tahu apa makna TAC) transaksi tergantung. Jenuh saya menunggu nombor TAC dihantar ke telefon saya tapi tak sampai-sampai. Sama juga kesnya bila saya hendak membayar bil melalui perbankan internet.

Saya pun menalipon syarikat telco yang baru dan jawapannya saya dikehendaki memberitahu pihak bank. Saya pun menalipon bank dan diberitahu saya  kena masukkan nombor telefon baru di mesin ATM walau pun nombornya adalah sama dengan nombor lama dan berdaftar dengan bank. Saya pun pergi ke mesin-mesin ATM di mana saya ada akaun dan memasukkan semula nombor telefon.

Sekali lagi saya gagal membuat apa-apa perbankan internet. Sekali lagi saya menalipon telco dan diberitahu saya kena memberitahu pihak bank bahawa saya telah bertukar telco telefon. Saya pun berbuat demiukian.

Saya hairan kenapa saya kena memberitahu mana-mana pihak bahawa saya sudah menukar telco telefon. Sekarang bila kita mengisi apa-apa borang biasanya kita dikehendaki memberi nombor telefon. Belum pernah saya nampak borang menghendaki kita memberitahu apa telco yang kita guna. Jadi saya tidak faham kenapa syarat ini diperlukan untuk perbankan internet.

Tetapi walau pun sudah mematuhi arahan-arahan yang menyusahkan itu hingga sekarang saya belum boleh membuat apa-apa perbankan internet. Syukurlah saya belum ada bil-bil yang tertunggak yang boleh menyebabkan apa-apa perkhidmatan dipotong.

Oleh itu nasihat saya kepada pembaca jika hendak menukar telco telefon fikir dua kali dahulu. 

Sunday, December 4, 2016

'Moto ini kuat makan minyak!'

Setelah beberapa lama guna kereta manual, empat tahun sebelum bersara saya putuskan untuk berpindah ke kereta auto. Kereta itu masih saya guna hari ini.

Tidak berapa lama selepas itu saya menumpang kereta manual kawan saya. Dari gaya saya meneliti keretanya kawan saya itu terus berkata 'Kalau nak beli kereta (jenama) ni beli yang manual, jangan beli yang auto'. Tambahnya lagi 'Kereta auto kuat makan minyak'.

Saya terkejut dengan kata-kata kawan saya ini atas beberapa sebab. Pertama mungkin dia tak sedar kereta baru saya bergear auto. Kedua saya tidak berminat hendak menukar kereta lagi. Tetapi yang paling mengejutkan saya ialah kenaifan (naiveness) kawan saya ini mengenai kereta.

Memang benar kereta auto lebih kuat makan minyak dari kereta manual. Tetapi mareka yang beli kereta auto tidak fikir itu semua. Mereka, seperti juga saya memikirkan keselesaan darinya. Contohnya tidak payah asyik menukar gear dan kaki kiri juga tidak payah digunakan.  

Beberapa bulan dulu kawan saya itu terjatuh dan beberaapa jari kakinya patah. Saya tidak pasti pula jari kaki kiri atau kanan. Sejak terjatuh itu kawan saya ini belum boleh membawa kereta. Tetapi jika jari-jari kaki kiri yang patah sudah tentu dia boleh membawa kereta auto.

Saya sudah melupakan kenaifan kawan saya itu sehingga beberapa hari yang lepas. Saya mengisi minyak skuter Modenas Elegan saya di satu stesen minyak Petronas. Di situ seorang atendan pam berbangsa Cina dalam umur lima puluhan (yang jarang-jarang kita jumpa di stesen minyak kepunyaan orang Melayu) bekata 'Ini moto kuat makan minyak'. Saya cuma mengangguk kerana tidak mahu membuang masa berdebat dengannya.

Sekali lagi saya jumpa seorang yang naif (naive) mengenai kenderaan. Kalau lah kereta auto dan skuter besar kuat makan minyak kenapa ramai yang membelinya? Kita jarang-jarang berjumpa kereta bukan auto sekarang. Skuter Modenas Elegan (yang sebenarnya jenama SYM) masih dijual kerana sudah tentu ada pembelinya.

Saya tidak mahu bercerita mengenai kereta auto kerana saya yakin kebanyakan pembaca blog saya ini mempunnyainya. Tetapi saya nak cerita sedikit tentang skuter Modenas Elegan saya tu.

Saya membelinya dua tahun sebelum bersara dan ia juga bergear automatik. Kedua-dua kaki saya bebas dari digunakan. Yang paling saya suka ialah saya boleh meletak barang-barang besar dikaki saya. Antaranya tong gas, CPU dan pencetak komputer. Bila ke pasar raya saya tidak perlu membawa kereta. Barang-barang yang dibeli boleh diletak dikaki dan tempat barang yang besar di bawah tempat duduk. Topi keledar juga boleh disimpan dalam tempat barang itu.

Dari itu saya tak kisah bila ada orang kata 'Moto ini kuat makan minyak'.