Friday, December 23, 2016

Mungkin mereka memang berharap untuk dipindahkan.


Siapa yang sering melalui Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan mungkin hairan kenapa penghujung jalan itu di Ampangan bemula di simpang tiga. Sedangkan penghujungnya di Jalan Sungai Ujung bermula di simpang empat. Malah simpang empat ini sedang dinaiktaraf kepada simpang bertingkat.

Di satu mesyuarat, mantan boss saya pernah bertanya kepada pemaju jalan itu kenapa ia dibina begitu. Jawapannya mereka hendak mengelakkan jalan itu melalui satu 'kampung' yang akan melibatkan bayaran pampasan yang tinggi.

Boss saya komen kenapa tidak ditanya kepada orang-orang 'kampung' tersebut terlebih dahulu? Mana tahu mereka memang berharap untuk dipindahkan. Tetapi apa-apa jawapan kepada komen itu tak berguna lagi, kerana jalan telah siap, walau pun lencongan untuk mengelakkan 'kampung' itu telah menyebabkan kesesakan lalulintas di waku petang apabila ramai pemandu yang tinggal di Ampangan dan sekitarnya balik dari kerja. Juga di hujung minggu bila ramai oang Lembah Kelang balik kampung ke Kuala Pilah, Jelebu dan Negeri Pahang. 

'Kampung' yang dimaksdukan bukanlah kampung dalam erti sebenar. Namanya Kampung Lee Siew Joo yang terdiri dari rumah-rumah teres satu tingkat yang dibina hampir setengah abad yang lalu. Kebanyakan penghuninya bukan Melayu. Mungkin ia diberi nama 'Kampung' dan bukan 'Taman' kerana ia terletak sebelah kampung-kampung Melayu.

Kenapa boss saya berkata ada kemungkinan orang-orang 'kampung' ini ingin dipindahkan. Kerana pembesaran Jalan Seremban - Kuala Pilah telah menyebabkan ia terletak terlalu hampir dengan jalan utama dan sudah tentu menerima gangguan bunyi dan sebagainya.

Sekarang saya ingin berpindah dari satu kampung di Seremban, Negeri Sembilan ke satu kampung di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Saya ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang hujung minggu yang lepas atas pelawaan anak dan menantu saya. Di depan hotel saya lihat kereta dengan nombor plet PP 1 dengan nama SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI P. PINANG ditulis bersama.

(Saya minta maaf jika fakta yang saya tulis seterusnya adalah salah, kerana ia datang dari pertanyaan saya sendiri kepada rakyat biasa dan bukan pihak berkuasa).

Saya tanya seorang pekerja hotel itu kenapa SS datang ke sini? Jawapannya Y.B. ingin berbincang dengan orang-orang kampung mengenai pampasan. Kampung yang dimaksudkan ialah seperti dalam gambar di atas yang betul-betul terletak depan hotel. Saya ambil gambar itu dari bilik hotel. Pampasannya pula ialah untuk cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil alih kampung itu untuk dimajukan.

Sudah tentu ada suara-suara yang membantah cadangan itu. Alasan mereka ialah kerajaan hendak menghapuskan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang. Tetapi jika diteliti betul-betul kampung tersebut tidaklah seperti kampung-kampung yang kita jumpa di Negeri Sembilan. Contohnya kampung saya di Jelebu mempunyai kawasan untuk dusun dan sawah.

Mungkin seperti di 'kampung' di Seremban itu, penduduk kampung di Teluk Kumbar ini pun memang berharap untuk dipindahkan.

Sekian. 

No comments: