Tuesday, November 21, 2017

"Adakan pejabat kerajaan di sini".

UTC Negeri Sembilan di Ampangan, Seremban

Lebih 20 tahun yang lalu semasa masih bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) saya diminta mendapatkan maklum balas dari peniaga-peniaga, kebanyakannya berniaga makanan, di gerai-gerai yang dibina oleh kami di Ampangan, Seremban. MPS meminta mereka memberi cadangan bagaimana hendak memajukan perniagaan mereka. Antara maklum balas yang saya terima ialah "Adakan pejabat kerajaan di sini".

Memang benar sekurang-kurangnya di Bandar Seremban, gerai-gerai yang dibina berhampiran pejabat-pejabat kerajaan berdaya maju. Lihat sahaja gerai-gerai sebelah Pejabat Daerah Seremban lama dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Sehinggakan walaupun Pejabat Daerah tersebut sudah berpindah ke Seremban 2 gerai-gerai yang tinggal itu masih berniaga, walau pun mungkin pelanggannya sudah berkurangan.

Ini kerana dua sebab. Pertama kakitangan kerajaan suka melepak di gerai-gerai dan kedua pelanggan  suka 'isi perut' dahulu sebelum berurus dengan mana-mana jabatan kerajaan. 

Satu masa dulu Jabatan Pengankutan Jalan atau JPJ mengharamkan kantin atau kafeteria di pejabat mereka di seluruh negara. Ini kerana pada pendapat Ketua Pengarah mereka di masa itu kantin-kantin menjadi tempat di mana perbincangan yang melibatkan rasuah di adakan. Mungkin juga rasuah dilakukan di kantin-kantin tersebut. Saya tidak tahu sama ada pengharaman itu masih berjalan atau tidak.

Untuk mengisi kekosongan tersebut MPS telah membina beberapa buah gerai di Taman Bukit Emas di sebelah pejabat JPJ Negeri Sembilan. Mungkin sekarang ada orang bertanya kenapa terdapat beberapa gerai tersorok di taman perumahan tersebut. Jawapannya tidak lain tidak bukan untuk memberi khidmat kepada pegawai-pegawai JPJ dan pelanggan mereka. 

Di Ampangan terdapat apa yang dipanggil Pusat Penjaja Ampangan yang baru dibina semula dengan kemudahan-kemudahan moden. Tetapi entah kenapa perniagaannya merosot di kebelakangan ini. Saya ada jawapannya sendiri, tetapi untuk menjaga imej MPS di mana saya cari makan dulu saya tidak mahu mendedahkannya. 

Di depan Pusat Penjaja itu pula terdapat apa yang dulunya dipanggil Plaza Ampangan yang dibina oleh apa yang dipanggil UDA untuk Urban Development Authority. Perniagaan didalamnya melainkan satu Pasaraya agak merosot di kebelakangan ini walau pun kompleks itu telah ditukar nama kepada Plaza Angsana. Saya tidak tahu sama ada UDA masih berfungsi atau tidak kerana telah lama tidak terdengar mengenainya.

Saya tidak tahu idea ini datang dari siapa, tetapi sekarang Plaza Ampangan yang kemudian bertukar nama kepada Plaza Angsana sekarang telah menjadi UTC atau Urban Transformation Centre Negeri Sembilan. Ia mula beroperasi semalam, 20 November 2017 dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib pada 30 November nanti. 

Dalam lawatan saya semalam saya dapati bukan sahaja ia menempatkan jabatan-jabatan kerajaan seperti JPJ, Imigresen dan Jabatan Pendaftaran, terdapat syarikat-syarikat seperti Tabung Haji, Telekom Malaysia dan Syarikat Air Negeri Sembilan atau SAINS di situ. Ada jabatan-jabatan kerajaan masih belum beroperasi tetapi diharapkan apa-apa masalah dapat diselesaikan sebelum perasmian pada 30 November nanti. Kalau tidak 'Mano Tok Mat (Menteri Besar Negeri Sembilan) nak lotak muko dopan Dato' Seri Najib nanti?.

Berbalik kepada tajuk pos saya ini. Jelaslah cadangan salah seorang peniaga di Ampangan, Seremban lebih 20 tahun lalu menjadi kenyataan sekarang. Dengan ujudnya UTC Negeri Sembilan ini diharapkan akan menjadi situasi menang-menang kepada kedua-dua Pusat Penjaja Ampangan dan Plaza Ampangan/Angsana.

Cuma saya berharap MPS lebih tegas terhadap peniaga-peniaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap keujudan UTC ini. Maklum sajalah belakang UTC itu kawasan kampung. Sudah tentu ada yang berhajat untuk mendirikan gerai-gerai haram. Di harap MPS dapat membenteras mereka dari mula lagi. Jika tidak usaha mengadakan pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya di Ampangan akan "Mengabihkan bogheh" sahaja terhadap peniaga-peniaga di Pusat Penjaja Ampangan.  

Monday, November 20, 2017

"Saya tak dapat keluarkan duit pencen."


Beberapa hari lepas saya menerima panggilan telefon dari seorang perempuan mengadu dia tidak dapat mengeluarkan duit pencen suaminya. Katanya suaminya sedang terlantar di hospital dan tidak dapat pergi ke bank untuk mengeluarkan duit pencennya. Saya sangka suaminya memilih untuk menerima duit pencen melalui Skim B di mana dia terpaksa pergi ke bank tiap-tiap bulan. Saya pun memberikan nombor telefon Kumpuan Wang Persaraan atau KWAP kepada pemanggil itu.

Pagi tadi saya didatangi sendiri oleh isteri pesara tersebut. Setelah melayari laman web JPA Pencen saya dapati suaminya telah memilik untuk menerima pencen melalui Skim A di mana dia boleh mengeluarkan duit pencen bila-bila dia mahu. Masalahnya di sini pesara ini tidak mempunyai Kad ATM. Dia mengeluarkan duit melalui buku akaun. Saya fikir ini masalah bank dan bukan masalah yang boleh diselesaikan oleh KWAP. Walau bagaimana pun saya cuba menalipon KWAP.

KWAP memberitahu dalam kes ini pemohon kena mengisi Borang JPA.BP.CAB.003 di mana pencen akan dibayar kepada waris atau wakil melalui waran. Saya pun muat turun borang itu melalui internet dan memberikannya kepada pemohon. Untuk mencepatkan proses saya nasihatkannya untuk pergi sendiri ke pejabat KWAP di Cyberjaya. Inilah pertama kali saya berhadapan dengan kes seperti ini.

Kemudian timbul lagi satu masalah, kerana pesara dikehendaki menurunkan tandatangan di atas borang. Mengikut pemohon, suaminya tidak sedar diri dan adalah mustahil baginya untuk menurunkan tanda tangan. Saya sekali lagi menalipon KWAP dan diberitahu dalam kes ini cap jari pesara boleh digunakan.

Komen saya:

Memang ramai orang takut mempunyai Kad ATM. Alasannya mereka takut ditipu dan sebagainya. Tetapi bila terjadi kes macam di atas bukankah menjadi satu masalah dan menyusahkan orang yang kita sayang?

Saya masih ingat semasa saya dihantar berlatih di Japan pada tahun 2004 saya menyerahkan Kad ATM kepada isteri saya beserta dengan nombor PIN sekali. Bukan itu sahaja, saya serahkan telefon bimbit saya dan memintanya membuka setiap masa dan menjawab apa-apa panggilan.

Sekian. 

Sunday, November 19, 2017

"Boleh tidak saya tukar bank?"


Dua minggu lepas saya didatangi seorang pesara yang ingin saya menyelesaikan masalahnya. Jika hendak tahu sila klik sambungan ini. Semalam pula saya menerima panggilan telefon dari seorang anak pesara yang mempunyai masalah yang sama. Tetapi dia hanya bertanya dan ingin mendapat jawapan dari saya.

Dia bertanya bolehkah seorang pesara itu menukar bank di mana duit pencennya disalurkan? Saya jawab boleh  dengan satu syarat. Syaratnya ialah pesara itu tidak terikat dengan pembayaran pinjaman dengan salah satu dua bank yang memberi pinjaman kepada pesara. Bank menyebut pinjaman itu sebagai pembiayaan peribadi.

Dia menjawab itulah masalahnya sekarang kerana ibunya, seorang pesara telah memohon pinjaman dari salah satu dua bank tersebut. Duit itu kemudian diberinya kepada seorang lain yang memerlukan. Pihak ketiga itu pada mulanya membayar balik amaun yang dipotong dari pencen ibunya. Tetapi sekarang orang yang ditolong itu telah menghilangkan diri. Sekarang ibunya ingin mengelak dari potongan bulanan oleh bank tersebut dengan menukar bank.

Saya nyatakan lagi jika sebelum ini pesara yang memohon pinjaman itu menggunakan bank lain untuk bayaran pencen, mereka disyaratkan menukar bank kepada bank yang memberi pinjaman itu. Sudah tentu permohonannya untuk menukar bank kali ini tidak mungkin diluluskan.

Pemanggil pun mengucapkan terima kasih atas penjelasan saya.

Thursday, November 16, 2017

Naik bas F500.


Pagi tadi saya naik bas F500. Ini ialah bas khas untuk penumpang dari Bandar Seremban yang hendak ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Jalan Rasah dan tempat-tempat antaranya. Berikut ialah kronoloji perjalanan saya. Semua masa jam di waktu pagi.
  • 9.02 bas mula bertolak dari KM Plaza, Jalan Tuanku Munawir, Seremban dengan 9 penumpang termasuk saya. Ramai orang Seremban tidak tahu Tuanku Munawir ialah ayahanda kepada Yang Di Pertuan Besar sekarang, Tuanku Muhriz.
  • 9.04 bas mengambil penumpang di Pasaraya The Store Baru, Jalan Tuanku Munawir. Kemudian bas belok kanan ke Jalan Dr. Krishnan dan pergi ke arah utara melalui Jalan Dato' Bandar Tunggal.
  • 9.07  bas mengambil penumpang di Pejabat Pos Utara. Ikut jadual rasmi bas sepatutnya menuju utara lagi ke simpang Jalan Haji Hamid dan membuat pusingan U depan restoran KFC. Tetapi bas belok kanan ke Jalan  Kapitan Tam Yeong dan seterusnya ke Jalan Yam Tuan. 
  • 9.09 bas tersekat di Persimpangan Jalan Yam Tuan - Jalan Dato' Abdul Malik kerana dihalang oleh sebuah kereta yang berhenti sebelah garisan kuning. Sukurlah pemandu bas sabar orangnya. Setelah tersekat dalam dua minit bas membelok ke kiri menuju kawasan Taman Tasik Seremban. Bas melalui bulatan Istana Hinggap dan kemudian menuju belakang bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Saya perhatikan tiada perhentian bas atau 'bus stop' di kawasan ini.
  • 9.12 bas lalu depan bangunan MPS. Bas sepatutnya berhenti di 'bus stop' sebelah MPS, tetapi ia jalan terus kerana tiada penumpang menunggu.
  • 9.13 bas berhenti sebelah restoran A&W untuk menurunkan seorang penumpang. Dia mungkin hendak ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
  • 9.18 bas sampai ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Jalan Rasah. Semua penumpang melainankan seorang perempuan dan saya, turun. Bas tidak berpusing balik tetapi meneruskan perjalanan ke sebelah dapur HTJ. Seorang penumpang naik di sebelah asrama jururawat. Bas kemudian membuat pusingan U di depan Klinik Kesihatan Jalan Rasah dan menuju ke Bandar Seremban. 
  • 9.21 bas berhenti di 'bus stop' sebelah Klinik Kesihatan, menurun dan mengambil seorang penumpang.
  • 9.24 penumpang yang naik di Klinik Kesihatan tadi turun di Stesen KTM Seremban.
  • 9.25 bas sampai ke tempat asal, KM Plaza dan saya pun turun. 
Masa perjalanan saya ialah 23 minit. Ini mungkin di waktu pagi bila kenderaan kurang. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya ambil dalam perjalanan. Maaf, mutu gambar tidak sepertinya.  

Saya bergambar sebelah bas F500.

Bas menunggu penumpang sebelah bangunan KM Plaza, Jalan Tuanku Munawir, Seremban. Kenderaan masih kurang di jalan. Beberapa hari lepas jalan ini dinaiki air, tetapi tidak menjadi masalah kepada bas F500.

Tiket saya untuk perjalanan 'round trip'. Saya lupa bertanya sama ada warga emas dikenakan separuh harga.

Walau pun bas dalam bandar ia mempunyai 40 tempat duduk, tidak seperti bas bandar biasa.

Di simpang Jalan Yam Tuan - Jalan Dato' Abdul Malik. Kereta putih itu menghalang jalan terus ke sebelah kiri. Bas akan naik bukit melalui Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan.

Pandangan belakang Majlis Perbandaran Seremban. Lebih tujuh tahun dulu kereta saya sama-sama diletak di situ.

Bas membelok ke Lorong Khalsa untuk masuk semula ke Jalan Yam Tuan.

Pandangan bangunan Yayasan Negeri dan Wisma Punca Emas yang sudah hilang punca.

Dewan Perbandaran Seremban. Selain bangunan MPS utama, ini juga tempat kerja saya lebih tujuh tahun yang lalu.

Kompleks Seremban Prima dari Jalan Rasah.

Projek PR1MA dalam pembinaan.

Penumpang ini turun di 'bus stop' pertama di HTJ, agaknya untuk ke Pusat Rawatan Harian.

Hampir semua penumpang turun di 'bus stop' utama HTJ, sebelah bangunan Klinik Pakar.

Penumpang ini naik di 'bus stop'sebelah Klinik Kesihatan Jalan Rasah.

Dia kemudian turun di stesen KTM Seremban.

Bas sudah sampai kembali di sebelah KM Plaza.

Selfie sebelum meninggalkan bas dan pergi kerja.

Komen saya:

  1. Agak terlalu awal untuk mengatakan sama ada khidmat bas ini berjaya atau tidak. Mungkin ramai yang tidak tahu bas ini bukan sahaja untuk ke Hospital Tuanku Jaafar, tetapi untuk mereka yang hendak ke Wisma Negeri, Wisma Persekutuan, Majlis Perbandaran Seremban, Masjid Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Stesen KTM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  2. Mereka yang mempunyai kereta lebih memilih meletakkan kereta di padang letak kereta HTJ dan kemudian menaikki bas 'shuttle' percuma ke hospital sebenar.
  3. Perhentian bas atau 'bus stops' perlu dibina di kawasan Taman Tasik Seremban untuk mereka yang ingin ke Wisma Negeri, Wisma Persekutuan, KWSP dan MAINS. 
  4. F500 tidak masuk ke Terminal 1 Seremban walau pun ia hanya bersebelahan dengan KM Plaza. Mereka yang biasa dengan Terminal 1 sepatutnya dihebahkan mengenai bas ini, jika ia belum dibuat lagi.
Sekian.

Tuesday, November 7, 2017

"Apa boleh saya dapat jika masuk persatuan?"

"Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country". Terjemahannya "Jangan tanya apa negara boleh buat untuk anda, tanyalah apa yang anda boleh buat untuk negara".

Itulah antara yang disebut oleh mendiang John F. Kennedy semasa ucapan pertamanya pada 20 Januari 1961 setelah dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat atau U.S.A.. Semasa itu saya baru memasukki dalam Darjah 6 Sekolah Kebangsaan.

Saya sering ditanya oleh mereka yang ingin berjinak dengan badan bukan kerajaan (NGO) saya  apakah yang mereka boleh dapat jika menjadi ahli?  Untuk pengetahuan, NGO saya ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM. Saya ialah Setiausaha NGO itu di peringkat Negeri Sembilan.

Apabila saya menerima soalan begitu, saya terus memberi jawapan berasaskan kepada ucapan Presiden Kennedy itu. Saya jawab jangan tanya apa yang boleh kita dapat dari persatuan, tapi tanyalah apa yang kita boleh buat untuk persatuan.

Pagi tadi saya didatangi di pejabat oleh seorang pesara kerajaan lelaki Melayu. Sambil bertanyakan soalan yang sama seperti di atas, dia seolah-olah ingin sangat menjadi ahli. Saya syak dia mempuyai masalah dan ingin saya menyelesaikan masalahnya.

Sebenarnya saya sudah banyak menolong menyelesaikan masalah bukan sahaja ahli NGO saya, tetapi mereka yang bukan ahli. Ada masalah mereka yang saya tolong selesaikan melalui percakapan telefon sahaja. Jadi saya terus tanya apa masalah yang dihadapinya. Mungkin masalahnya  kecil sahaja dan memerlukan dia menjadi ahli.

Dia terus menceritakan telah ditipu dengan sejumlah besar duit ganjaran pencennya dipindahkan oleh seseorang melalui perbankan internet. Yang peliknya perpindahan itu dilakukan melalui telefon bimbitnya sendiri di depan matanya. Sedangkan dia sendiri tidak tahu menggunakan perbankan internet. Ia dilakukan oleh si penipu dan dia seolah-olah dipukau ketika itu.

Dia kemudian membuat laporan polis setelah sedar ditipu. Tetapi dia mengsyaki pihak polis telah dirasuah oleh si penipu kerana tidak mengambil tindakan apa-apa. Tambahnya dia ingin pergi ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ini. 

Kemudian dia bertanya saya soalan cepumas, iaitu apakah bantuan yang boleh dibuat oleh NGO saya terhadapnya. Saya terus menjawab bahawa kami bukan pihak berkuasa. Kami adalah satu pertubuhan sosial. Masalahnya lebih bersifat peribadi dan bukan masalah prosedur pencen dan sebagainya. Jika pihak berkuasa tidak boleh buat apa-apa, siapalah kami?

Saya terus teringat kepada satu seminar anjuran Pendaftar Pertubuhan atau R.O.S. di mana saya hadir. Penceramah menerangkan Jawatankuasa mana-mana NGO berhak menolak mana-mana permohonan menjadi ahli tanpa memberi alasan. 

Agaknya orang semacam inilah yang patut ditolak permohonan menjadi ahli. Tujuannya semata-mata untuk mendapat sesuatu dan bukan untuk memberi.

Ingatan saya juga terus pergi kepada seorang kawan baik saya, seorang lelaki Cina. Dia ini walaupun lebih muda dari saya, tidak mempunyai kad ATM. Walau pun mempunyai telefon bimbit pintar dan komputer peribadi, tidak mahu menggunakan perbankan internet. Jawapannya senang sahaja, iaitu dia takut kena tipu.