Sunday, October 30, 2011

Hobin Jang Hobin lagi.


Tidak adil jika saya tidak mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan kerana memenangi Piala Malaysia kali kedua dalam tempoh 3 tahun malam tadi. Semasa bermain di Liga Super mereka tidak meyakinkan dan jurulatih perlu ditukar. Akhirnya mereka seolah-olah mendapat momentum apabila berjaya ke pertandingan Piala Malaysia.

Entah macam mana di Malaysia ini memenangi pertandingan seperti Piala Malaysia dianggap lebih hebat dari memenangi pertandingan liga. Sedangkan pemenang liga itulah johan sebenar. Negeri Sembilan sendiri pernah menjadi juara Liga Super, tetapi tidak ramai yang ingat.

Final Piala Malaysia kali ini mempunyai kontroversi juga bila harga tiket dinaikkan dari RM 30 di tahun dulu-dulu ke RM 50. Akhirnya kedua-dua persatuan bolasepak menanggung kos RM 20 dan tiap-tiap penonton membayar RM 30 sahaja. Dari mana datangnya subsidi RM 20 itu tidak diberitau. 

Secara peribadi saya tidak setuju akan pemberian subsidi ini. Negara kita banyak sangat subsidinya, sampaikan tiket untuk pertandingan akhir sukan pun disubsidikan. Harap harap perkara subsidi tiket ini tidak dipolitikkan.

Selain isu tiket mahal keadaan padang permainan juga boleh dipertikaikan. Keadaan padang yang bertompok sana sini tidak sesuai langsung untuk satu final. Jelas nampak bola melantun tak tentu arah bila ditendang. Saya fikir jika keadaan padang baik lebih banyak gol boleh dijaringkan.

Walau bagaimana pun tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan. Hobin Jang Hobin lagi. 


Thursday, October 27, 2011

Naik ETS ke Ipoh

ETS dan saya di Stesen KTM Ipoh

Kaunter tiket di KL Sentral. Kaunter No. 4 sudah tentu untuk OKU.

Tiket ke Ipoh. Saya naik ETS Silver dengan bayaran RM 20.00 untuk warga emas.


Tiket balik ke KL. Saya naik ETS Gold. Mahal sedikit.

Dalam ETS. Ada tempat barang dan TV.

Ditunjukkan juga kelajuan tren dan waktu semasa.

Stesen KTM Ipoh. Pertama kali saya ke sini pada tahun 1971.


Bukti saya dah ke Ipoh.

Dengan tiba-tiba saya terfikir untuk menaiki tren baru yang dipanggil ETS ke Ipoh. ETS bererti Electric Train Service atau Khidmat Tren Elektrik. Sebab utama saya berhajat menaikinya ialah kerana saya sudah mempunyai Kad Warga Emas, di mana sebelum ini saya diberi diskaun 50%  apabila menaiki tren KTM Komuter. Tetapi saya sedikit kecewa apabila mendapat tahu untuk ETS warga emas hanya diberi diskaun 30%. 

Saya boleh menaiki ETS di Seremban pada pukul 11.00 pagi tetapi saya bercadang untuk menaiki tren yang bermula dari KL Sentral pada pukul 10.45 pagi. Dengan ini saya boleh berada di Ipoh lebih lama sebelum balik pulang. Tetapi kerana kesilapan teknikal saya sendiri, saya hanya menaiki KTM Komuter dari Seremban pada pukul 9.30 pagi dan saya terlepas tren ETS pukul 10.45 pagi itu. Terpaksalah saya menaiki ETS pukul 11.55 dari KL Sentral, sedangkan tren yang sama bermula dari Seremban.

Ada 3 jenis perjalanan ETS. Pertama dinamakan Platinum iaitu perjalanan dari KL Sentral terus ke Ipoh tanpa henti melainkan berhenti sekejap di stesen lama Kuala Lumpur. Tren ini mengambil masa 1 jam 58 minit. ETS kedua dipanggil Gold dari KL Sentral ke Ipoh dengan berhenti di 8 stesen sahaja. Masa perjalanan ialah 2 jam 16 minit. ETS ketiga dipanggil Silver iaitu dari Seremban ke Ipoh. Masa diambil dari Seremban ke Ipoh ialah 3 jam 32 minit dan dari Ipoh ke Seremban 3 jam 25 minit. Dari KL Sentral pula ETS Silver mengambil masa 2 jam 32 minit. ETS Silver berhenti di 19 stesen dari Seremban ke Ipoh.

Pada keseluruhannya saya berpuas hati dengan khidmat ETS ini. Ia berhenti di tiap-tiap stesen tepat seperti masa yang dijanjikan. Penumpang juga boleh mengetahui kelajuan tren yang diterakan di TV.

ETS berpotensi untuk membawa penumpang di laluan Ipoh - Kuala Lumpur untuk pergi ke KLIA. Pihak-pihak tertentu hendaklah mempromosikan perkara ini. Di samping itu KTMB hendaklah membaiki khidmat KTM Komuter untuk menyenangkan penumpang di laluan Kuala Lumpur - Seremban dan Kuala Lumpur - Sungai Gadut menggunakan ETS juga.

Disamping itu KTMB sepatutnya memberi diskaun 50% kepada warga emas seperti diberi untuk tren KTM lain. Sedangkan LRT dan Monorail Kuala Lumpur pun akan memberikan diskaun 50% untuk warga emas mulai 1 Januari 2012 nanti. Bayangkan buat masa ini saya hanya membayar RM 3.00 untuk KTM Komuter dari Seremban ke KL sedangkan untuk ETS Gold dari KL ke Ipoh saya membayar RM 27.00 atau sembilan kali ganda.

Tuesday, October 25, 2011

Kenapa tak rancang awal-awal? (Bahagian 2)

Pos ini ialah ekoran kepada pos saya sebelum ini. Saya tidak sangka pos saya itu telah memecahkan rekod bilangan pembaca pos saya sebelum ini. Ini kerana pos itu telah digunakan oleh beberapa orang blogger untuk tujuan tertentu. Ekoran itu saya fikir perlu untuk membuat penjelasan lanjut.

Sebenarnya saya sedang mencari seorang kawan yang telah terpisah sejak kami meninggalkan sekolah lebih 40 tahun yang lalu. Tiba-tiba saya ternampak sepasang jambatan yang menarik perhatian saya. Dengan pengetahuan yang ada saya tidak dapat menentukan yang mana satu dibina terlebih dahulu. Sudah tentu tidak logik jika kedua-dua jambatan diharap untuk digunakan kerana sudah pasti tidak ada yang akan ke jambatan gantung yang terhad muatan dan saiznya.

Rupa-rupanya jambatan berkembar itu mempuyai sejarah tersendiri. Jambatan gantung telah dibina di tahun 60an apabila saya dan kawan saya masih bersekolah. Jambatan ini pula merupakan sebahagian dari jalan pintas yang menghubungkan dua kampung. Sudah tentu di masa itu pihak berkuasa tidak mempunyai cukup peruntukan untuk membina satu jambatan besar yang boleh dilalui kenderaan berat. Oleh itu satu jambatan gantung memadai kerana di masa itu berapa orang sangat yang mempunyai kereta. Kalau hendak berkereta juga dari satu kampung ke kampung yang lagi satu kenalah menggunakan jalan yang jauh.

Berpuluh tahun kemudian jambatan gantung difikirkan tidak sesuai kerana sudah ramai penduduk dari kedua-dua kampung mempunyai kereta. Negara dan negeri pun telah bertambah maju dan sebuah jambatan yang boleh dilalui kereta telah dibina. Itu pun terhad kepada kenderaan berjumlah muatan 5 tan dan tinggi 3 meter. Mana tahu jika negara dan negeri bertambah maju lagi jambatan yang lebih besar akan dibina?

Perkara yang sama pernah berlaku di satu kampung di Mambau, Negeri Sembilan. Kampung itu juga pernah mempunyai satu jambatan gantung untuk laluan pejalan kaki, basikal dan motosikal untuk memudahkan penduduknya pergi be Bandar Seremban. Tetapi bagi mereka yang hendak ke pekan kecil Mambau atau menuju ke Port Dickson tidak perlu menggunakan jambatan gantung ini. 

Malangnya jambatan gantung ini telah disapu oleh air bah. Tapi musibah ini sebenarnya menguntungkan orang kampung kerana kerajaan telah menggantikan jambatan gantung dengan jambatan baru yang lebih besar dan boleh dilalui kereta. 

Berbalik kepada jambatan kembar tadi timbul soalan kenapa perlu dikekalkan jambatan gantung kerana secara logik ia tidak akan digunakan lagi. Kenapa perlu diturap jalan kecil yang menghubungi jalan besar dengan jambatan ini? Itulah yang menyebabkan saya mengemukakan soalan 'Kenapa tak rancang awal-awal?' 

Saya ada satu cadangan. Kekalkan sahaja jambatan gantung itu sebagai satu produk pelancongan. Saya fikir tidak banyak jambatan gantung yang masih ada di negara kita. Tetapi notis mengenainya hendaklah diletakkan di kiri kanan jambatan. Kalau perlu digazetkan sebagai bahan sejarah gazetkanlah.

Jika tidak ia akan menjadi bahan kontroversi yang akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.


Monday, October 24, 2011

Kenapa tak rancang awal-awal?

Dua jambatan cuma terasing 10 meter.

Jambatan gantung untuk pejalan kaki, basikal dan motosikal.

Jambatan biasa yang serba guna.

Banyak filem bertajukkan jambatan. Antaranya 'The Bridge on the River Kwai', 'The Bridge at Remagen' dan 'The Bridges of Madison County'. Kalau tak salah saya ada juga filem Melayu bertajuk 'Jambatan Maut'. 

Tetapi di satu kampung di Negeri Sembilan terdapat dua jambatan yang pelik juga. Pelik kerana mereka terletak bersebelahan dengan jarak pemisah 10 meter sahaja. Cuma mereka berbeza struktur. Yang satu ialah jambatan gantung yang hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki, basikal dan motosikal. Yang satu lagi pula jambatan biasa, cuma yang ini ketinggian kenderaan dihadkan kepada 3 meter dan berat kenderaan dan muatan kepada 5 ton.

Jika mereka terletak di tempat yang sibuk tak apa juga. Tetapi mereka terletak di satu kampung yang agak sunyi. Saya bukan seorang jurutera atau sebagainya dan melihat kedua-dua jambatan saya tidak pasti yang mana satu dibina dahulu. Tetapi mengikut logik sudah tentu jambatan gantung yang dibina dulu. Sesudah dibina tentu ada yang terfikir jambatan itu tidak memadai, oleh itu satu jambatan yang lebih besar dibina. Mungkin juga jambatan gantung itu boleh dilanda banjir, oleh itu paras jambatan baru dibina lebih tinggi sedikit.

Soalan saya, kenapa perkara seperti ini boleh terjadi? Kenapa kajian tidak dibuat sebelum jambatan dibina?   Semasa saya di sana ada juga beberapa motosikal yang lalu, tetapi mereka tidak menggunakan jambatan gantung. Ia sudah menjadi satu gajah putih yang tergantung sekarang. Kerana ia masih dijaga, dengan cat baru dan jalan yang baru sahaja diturap sebelahnya.

Bersambung ke Bahagian 2.

Wednesday, October 19, 2011

Duduk kat rumah lagi baik.

Malam tadi saya tengok dua perlawanan bola secara langsung di TV serentak. Satu melibatkan pasukan negeri saya Negeri Sembilan di Kuala Terengganu dan satu lagi melibatkan pasukan yang juga tetap di hati saya. Pasukan yang saya maksudkan ialah Selangor iaitu negeri di mana arwah ayah saya dilahir dan dibesarkan. 

Sudah tentu perhatian saya lebih kepada perlawanan melibatkan negeri saya. Tetapi sekali sekala saya menukar saluran TV untuk melihat perlawanan yang melibatkan pasukan Selangor. Di akhir perlawanan  perasaan saya bercampur antara suka dan duka. Saya gembira kerana Negeri Sembilan menang di tempat lawan dengan jaringan 2-4. Ini bermakna jika mereka kalah 0-2  atau 1-3 pun di Paroi nanti mereka tetap ke perlawanan akhir dengan pertolongan jaringan gol di tempat lawan.

Tetapi hati saya juga sedih melihat pasukan Selangor kalah 0-2 di tempat sendiri. Ini bermakna Selangor pula kena membuat jaringan sekurang-kurangnya 1-3 di tempat lawan untuk masuk pertandingan akhir. 

Tetapi yang menyedihkan saya juga ialah apabila melihat keadaan padang di Stadium Shah Alam di mana perlawanan di adakan. Rumputnya tidak hijau lagi dan ternampak tompok-tompok perang di sana-sini. Teringat saya lagi jika tidak ada pertukaran rancangan stadium yang sama juga akan menjadi tempat apa yang dinamakan Perhimpunan Sejuta Ummah pada hari Sabtu nanti. Saya terfikir jika sejumlah 25 pemain dan pengadil boleh meyebabkan keadaan padang begitu rupa bagaimana pula dengan sejuta orang?

Dari itu saya nasihatkan kepada penganjur supaya batalkan sahaja niat nak berhimpun di stadium itu. Ia hanya akan menambahkan ketegangan yang telah ada. Duduk di rumah lagi baik.

P.S. Saya tidak duduk di rumah di waktu itu kerana hendak ke Shah Alam juga. Tetapi bukan untuk membuang masa berhimpun. Saya ke majlis pernikahan adik kepada menantu saya. 


Saturday, October 15, 2011

Untuk seketika dia tidak kesaorangan.

Semasa aku melawat kawanku seperti di pos ini. dia sempat menjemputku untuk menghadiri majlis perkahwinan anak bongsunya. Aku kenal anak perempuannya ini semasa dia menjaga kawanku di hospital beberapa bulan dulu.

Mujur juga tempat di mana acara akad nikah diadakan cuma 1 kilometer jauhnya dari rumahku. Entah macam mana naluriku berkata aku harus datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan oleh kawanku. Keputusanku tepat kerana sebaik sahaja aku sampai jurunikah baharu sahaja memulakan majlis. Jurunikah ialah Imam kepada Masjid di mana acara nikah dijalankan. Seperti biasa aku mengambil gambar acara pernikahan ini.

Aku kagum dengan sikap kawanku. Dia tidak langsung menunjukkan tanda-tanda yang dia sekarang sudah disisih oleh isteri dan anak-anaknya dan dia sempat berjenaka dengan jurunikah. Akhirnya kekagumanku mencapai kemuncak apabila dia sendiri menjabat tangan menantunya dah menikahkannya dengan anaknya. Mungkin kerana tergamam dengan sikap mertuanya, menantunya tergagap dan terpaksa mengulangi penerimaan akad nikahnya sebanyak tiga kali.

Aku hairan kenapa masih ada wali-wali yang menyerahkan kepada jurunikah atau orang lain kewajipan menikahkan jagaan mereka. Beberapa bulan yang lepas aku melihat di Masjid yang sama seorang wali yang berupa abang kepada pengantin perempuan menyerahkan kewajipan ini kepada ayah kepada pengantin lelaki. Tak kah pelik tu. 

Selesai sahaja acara akad nikah jam digital di dinding pun berbunyi menandakan waktu Asar sudah masuk. Azan pun dilaungkan dan kami semua bersolat diimamkan oleh jurunikah tadi.

Selepas solat Asar kami beredar di serambi Masjid di mana satu jamuan ringan diadakan. Di situlah para jemputan yang amat terhad jumlahnya dijamu. Seperti yang diberitahu oleh kawanku acara perkahwinan anaknya selesai di situ juga. Tidak ada lagi apa-apa acara di pihak pengantin perempuan. Aku tidak pula bertanya sama ada pihak lelaki akan mengadakan acara berasingan.

Sebelum aku beredar balik aku sempat bertanya kawanku siapakah yang akan menghantarnya pulang ke rumah. Dia menjawab terpulanglah kepada sesiapa yang sudi.

Sebelum itu dia tidak kesaorangan, walau pun untuk seketika.
 

Thursday, October 13, 2011

Kito Soghupo!

Kopalo se dah kosong, sampai se tak tau apo yang nak ditulih di blog ni. Maso se nulih ni tajuk eh pun ontah apo. 

Malam tadi macam biaso se poi solat di sughau. Lopeh maghrib se pun duduk noghar ceghamah. Tak payah lah se boghi tau sapo yang boghi ceghamah tu. Tapi macam biasolah ceghamah tu tak sodap kalau tak ado coghito politik. Maso ni pulak oghang asyik coghito pasal bajet tahun dopan. Jadi penceghamah tu pun masuklah sikit coghito bajet tu.

Dio kato kalau sapo-sapo yang janjikan apo-apo dalam bajet untuk tujuan undi dio atau pati dio maso pilihanghayo dah buek salah. Itu rasuah namo eh. Se ado yo nonga sikit-sikit maso bajet itu dibontangkan itu haghi. Itu pun maso se bawak kogheto. Maso dah pencen ni se maleh nak donga cogjito bajet ni. Bukan banyak bona se dapek nanti. Tapi se sompek donga oghang macam se ni kalau naik LRT atau Monorail Kolo Lumpo dapek diskaun sotoghah ghogo tambang. Tapi yang se pasti yang montangkan bajet tu tak ado pulak sughuh se undi dio atau pati dio nanti.

Tibo-tibo se toghingat ado yo oghang yang janjikan sosatu sambe mintak kito undi pati eh. Kalau yang montangkan bajet tu janjikan duit dan padang futsal, oghang  ni janji lobih daghi tu. Dio janjikan syurgo.

Sokughang-kughang eh duit dan padang futsal yang dijanjikan bulih nampak. Tapi syurgo tu boleh dapek sonang-sonang ko? Se ni taklah pandai bona bab agamo ni, tapi se tau nak masuk syurgo tu taklah sosonang tulih huruf 'x' kek koghoteh undi. Lobih daghi tu.

Contoh eh ghamai orang yang se tau dah mampu nak buek Haji tapi sajo tak nak buek. 'Bolum ado soghu' jawab eh bila ditanyo. Tapi duit dah cukup. Setahu se lah oghang macam ni solagi dio bolum naik Haji Islam eh bolum cukup. Bilo Islam bolum cukup mano bulih masuk syurgo? Lotaklah boghapo banyak huruf 'x' pun kek koghoteh undi tu, tak dapek masuk syurgo do.

Oh maaf se, kalau banyak bona lotak huruf 'x' nanti ghosak pulak koghoteh undi tu.

Saturday, October 8, 2011

Kenalah berkorban sedikit.

Selama ini saya sungguh selesa menggunakan kad Touch 'n Go bila menaiki KTM Komuter, LRT dan Monorail Kuala Lumpur. Saya tidak perlu beratur untuk membeli tiket di kaunter tiket atau di TVM (Ticket Vending Machine). Menggunakan Touch 'n Go dengan Smart Tag di tol-tol lebuhraya tak payah ceritalah. 

Tetapi apabila saya diberi Kad Warga Emas oleh KTM dan mendapat kemudahan diskaun 50% tambang perjalanan, saya terpaksa beratur membeli tiket seperti orang lain. TVM  juga tidak berguna bagi saya. Tetapi saya anggap itu sebagai satu pengorbanan yang yang terpaksa saya lakukan untuk mendapatkan kemudahan itu. Sepeti kata orang putih 'No pain, no gain'. Tetapi saya masih dapat menggunakan kad Touch 'n Go apabila menaiki LRT dan monorail Kuala Lumpur.

Tetapi sekarang di bajet 2011 warga emas seperti saya juga diberi kemudahan diskaun 50% untuk tambang LRT dan Monorail Kuala Lumpur. Saya tidak tahu sama ada mereka akan mengeluarkan kad seperti Kad Warga Emas KTM atau tidak. Tetapi yang pasti saya juga kena beratur untuk membeli tiket seperti orang lain. 

Saya ada satu cadangan. Mengapa tidak diadakan satu jenis kad Touch 'n Go untuk warga emas juga? Dengan  menggunakan kad khas ini apabila digunakan di KTM, LRT atau Monorail diskaun 50% secara automatik diberi. Cuma saya takut ia disalahguna. Contohnya seorang warga emas meminjamkan kad khas Touch 'n Gonya kepada seorang warga gangsa atau perak.Yang lebih cerdik pula akan mengenakan sedikit bayaran.

Tetapi bagi saya tidak apalah jika saya kena berkorban sedikit.

  

Thursday, October 6, 2011

Akhirnya dia kesaorangan.

Di akhir filem The Godfather Part II karaktor utamanya Michael Corleone duduk di atas kerusi kesaorangan di luar rumahnya. Isteri dan anak-anaknya telah meninggalkannya. Ibu bapanya telah meninggal dunia. Kedua-dua abangnya telah mati dibunuh, abang keduanya dia sendiri yang membunuhnya. Tinggallah dia dijaga oleh adik perempuannnya yang menjadi balu akibat suaminya dibunuh oleh Michael juga. Mengikut pangarah filem itu Francis Ford Coppola, ia ingin menunjukkan Michael atau Godfather hidup kesaorangan sehingga akhir hayatnya.

Tetapi akibat pengaruh duit, beberapa tahun kemudian pengarah yang sama telah mengarahkan satu lagi episod filem Godfather di mana Michael Corleone telah berbaik semula dengan bekas isteri (yang sudah berkahwin lain) dan anak-anaknya.

Tanpa mengambil kira filem terakhir itu, begitulah nasib yang menimpa seorang kawan saya yang saya lawati semalam. Dia tinggal kesaorangan setelah isteri dan anak-anaknya meninggalkannya. Seperti Godfather ia  juga dijaga oleh seorang adik perempuannya, cuma bezanya adik perempuan ini masih beresuami. Satu perbezaan lagi ialah ia balik ke kampung tempat tumpah darahnya. Dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sini, katanya. Istana yang dibina dengan isteri dan anak-anaknya di bandar sedang dalam proses untuk dijual. 

Teringat juga saya kata-kata Godfather asal Vito Corleone iaitu ayah kepada Michael dalam filem Godfather pertama 'A man who does not spend time with his family is not a real man'. Ia bermakna lebih kurang 'Seorang lelaki yang tidak mengambil masa untuk bersama keluarganya bukan lelaki sebenar'. Saya tidak tahu sama ada kawan saya ini mengambil masa bersama keluarganya atau tidak sebelum ini. Tetapi sah tidak sekarang, walau pun bukan kehendaknya.. 

Cuma saya harapkan apa yang berlaku dalam filem The Godfather Part III akan berlaku padanya, iaitu ia berbaik semula dengan isteri dan anak-anaknya.

Monday, October 3, 2011

My Pulp Fiction

He knew from the beginning that she is somebody's wife but they become friends in cyberspace through a social website. They chatted through the internet almost every day but from their chats he realised that it was more than friendship she was looking after. There were times when the chats turned a little bit steamy but he managed to control them.

He later learned that she was having marital problems and she was determined to leave her spouse. She still is. Perhaps she was looking for somebody to fill the vacuum in her life. From the beginning he was giving signals that he is not the kind of person fit to fill the void. He is too old for that shit, borrowing Danny Glover's words from the Lethal Weapon  films. Nevertheless their friendship turned cordial and she regarded him like her own brother although he could not find words to describe her.

Eventually it turned out that she had found somebody she was looking for. She deactivated her social network account to the puzzlement of all her cyber space friends including initially him. But now that she has regarded him as he own brother she had created a new account with very limited friends, him included.

But his presence had created some misunderstanding. Her new beau got the message that her so called foster brother is actually her new beau. Her explanations were not heeded by by the beau. So she pleaded with him to explain things to her beau. 

Suddenly it downed to him that somebody's happiness depends very much upon him. She said she does not love him. It did not surprise him because his feelings towards her are reciprocal. She begged him to explain everything to her beau. 

That he did.