Saturday, May 28, 2016

Masih ada I S Johar dan Mehmood dalam drama TV Melayu....

Kebanyakan filem Hindustan dulu-dulu mempunyai satu atau dua karaktor lawak. Kalau di rumah pelawak atau 'joker' ini ialah khadam atau 'butler'. Di pejabat pula dia seorang budak pejabat atau 'office boy'. Walau pun bertaraf rendah mereka sering menjadi penasihat kepada hero dan banyak nasihat mereka diterima, terutama di bidang bercinta. Bila hero (dan kadang-kadang heroin) sugul 'joker' inilah yang menjadi penghibur.

Antara aktor yang sering membawa karaktor joker ini yang saya ingat ialah I S Johar dan Mehmood. Dari karaktor mereka juga timbul pelawak-pelawak filem Melayu seperti D Harris (bekas mertua P Ramlee) Aziz Sattar, Ibrahim Pendek, Wahid Satay dan S Shamsuddin.   

Pengasas siri Star Wars, George Lucas cuba mengenalkan karaktor lawak dalam Star Wars Episod I (yang dikeluarkan selepas Episod IV, V dan VI). Karaktor itu ialah Jar Jar Binks yang dilakonkan oleh aktor Ahmad Best. Tetapi idea ini menerima reaksi negatif dari penonton sehingga kataktor Jar Jar Binks cuma beraksi sedikit dalam Episod II dan akhirnya beraksi 'cameo' dalam Episod III.

Ini kerana dunia sekarang tidak lagi menerima karaktor 'joker' dalam filem atau TV. Walau pun saya tidak lagi menonton filem-filem Hindustan dan Melayu semasa, saya agak karaktor 'joker' melalui khadam dan budak pejabat itu tidak ada lagi. 

Saya juga tidak mengikuti drama TV tempatan. Tetapi bila melihatkan isteri saya sering menontonnya sehigga tergesa-gesa solat Maghrib, baru-baru ini saya menonton drama 'Duda Terlajak Laris' di TV3 yang mempuyai 26 episod.

Walau pun ada adegan yang tidak masuk akal (Zek tidak mengenali bekas isteri, bekas bapa mertua, bekas ibu mertua dan bekas teman perempuan yang sama-sama belajar di universiti), tidak reti bahasa (Idayu tetap datang berjumpa tunangnya Zek di pejabat walau pun sudah dihalau beberapa kali) dan tidak beretika (Zek merempuh bilk bedah Dr. Inas sedang doktor itu membedah gigi) adegan yang paling membengangkan saya ialah adanya karaktor pelawak atau 'joker' di pejabat Zek.

Di pejabat Zek bukan ada seorang 'joker' tetapi tiga orang sebenarnya. Ketiga-tiga 'jokers' ini (mungkin penerbit mendapat idea dari The Three Stooges) seolah-olah tidak ada kerja selain cuba melawak yang saya anggap tidak berjaya. Perkataan yang sering mereka sebut ialah 'boss' yang mengingatkan saya kepada perompak-perompak kedai emas dalam filem Nasib Do Re Mi.

Mungkin menyedari penonton langsung tidak ketawa dengan lawak bodoh mereka (sekurang-kurangnya saya dan isteri tidak ketawa langsung) di akhir cerita joker nombor dua dan joker nombor tiga ketawa berdekah-dekah depan joker nombor satu.   

Mungkin pengarah dan penerbit menjangka dengan cara ini penonton akan sama-sama ketawa. 

Minta maaf, saya tidak.  

Tuesday, May 24, 2016

Selamat tinggal 'pee one'.

Jika kita telefon 1300031300 kita akan dengar suara menyebut 'Welcome to pee one.......'. Itulah suara rakaman jika kita menalipon syarikat P1 jika kita memerlukan apa-apa pertolongan. Oh ya, P1 bermaksud Packet One, sebuah syarikat memberi perkhidmatan internet dan telefon. 

Dalam banyak-banyak rakaman suara bila saya menalipon mana-mana agensi, baik agensi kerajaan atau lain-lain, suara syarikat P1 adalah yang paling teruk. Suara yang menjawab seolah-olah seorang budak sekolah Tingkatan Tiga. Untuk betul-betul dapat bercakap dengan seorang pegawai P1 kita terpaksa mendengar suara budak Tingkatan Tiga tadi yang memberi arahan supaya kita menekan beberapa butang telefon kita. 

'Pee one' bermakna 'kencing satu'. Itulah yang saya kadang-kadang terasa selama dua tahun melanggani syarikat itu. Saya rasa dikencing, Sudahlah suara rakaman yang menjawab seperti budak sekolah, khidmat yang diberi juga dua kali lima. Kadang-kadang saya diminta menunggu beberapa minit lamanya sehingga saya terus tamatkan panggilan.

Saya melanggan khidmat P1 kerana diberitahu kelajuan internetnya mengalahkan TM Streamyx yang saya langgan sebelum itu. Ini ditambah lagi dengan janji mereka untuk meluaskan perkhidmatan ke seluruh negara. Salah satu pemancar mereka juga terletak betul-betul depan rumah saya.

Tetapi janji tinggal janji. Khidmat mereka tidak meluas pun. Contohnya tidak ada khidmat P1 di kampung saya di Jelebu, Negeri Sembilan dan kampung isteri saya di Merlimau, Melaka.

Pemancar depan rumah saya itu juga sering menimbulkan masalah kerana ia sering dipanah petir. Bila ini berlaku bukan sahaja saya terpaksa berbelanja menalipon mereka (dan mendengar suara budak sekolah menyebut 'Welcome to pee one....') kadang-kadang saya terpaksa berhadapan dengan tiada internet dan telefon beberapa hari. Tiada telefon tak apa kerana saya ada telefon bimbit. Tetapi ketiadaan internet amat membengangkan saya.

Syukurlah semua itu sudah berlalu. Saya telah menamatkan khidmat P1 mulai semalam walau pun saya terpaksa membayar sedikit denda. Saya telah beralih kepada TM Unifi yang khidmat internetnya terbukti lebih laju, 

Saya difahamkan P1 telah dibeli oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dan diberi nama baru Webe. Tidak lama lagi sebutan 'Welcome to pee one...' akan lenyap, Cuma saya harap janganlah suara orang yang sama digunakan untuk menjawab panggilan ke syarikat baru ini.


Friday, May 13, 2016

Antara Pete Best dengan Yazit Search.

Ramai tidak tahu bahawa pemain dram (drummer) asal The Beatles ialah Pete Best. Dipendekkan cerita semasa The Beatles hendak merakamkan lagu pertama mereka 'Love Me Do' pada tahun 1962, Pete Best telah disingkirkan dan diganti oleh Ringo Starr. Kemudian The Beatles telah mencipta kejayaan demi kejayaan tanpa Pete Best. Sehingga apabila ditanya di televisyen apakah perasaannya melihat fenomena tersebut, Pete Best telah menangis.

The Beatles pula diurus oleh Brian Epstein, seorang Yahudi yang sudah pasti menentukan Pete Best tidak boleh menuntut apa-apa dari kumpulan yang diurusnya. Tinggallah Pete Best hidup sebagai rakyat biasa sedangkan kawan-kawan lamanya menjadi 'superstars' dan disanjung seluruh dunia.

Pada tahun 1995 syarikat rakaman EMI telah mengeluarkan tiga CD The Beatles bertajuk 'Anthology' yang mengandungi lagu-lagu The Beatles dari mula-mula mereka menjadi kumpulan. Ini termasuk lagu-lagu di mana Pete Best bermain dram. Walau pun rakaman lama itu mutunya tidak berapa, peminat tegar The Beatles termasuk saya tetap membelinya. Hasil jualan CD itu Pete Best telah mendapat royalti berjumlah berjuta Pound Sterling.  

Akhirnya Pete Best menerima juga haknya yang tertangguh lebih tiga puluh tahun.

Kemudian saya pergi kepada kumpukan tanah air bernama Search. Sebelum itu saya meminta maaf jika tulisan saya ini salah fakta kerana saya tidak mengikut sangat perkembangan kumpulan-kumpulan muzik tanah air. Apa yang saya tulis ini ialah hasil dari apa yang saya baca di media massa.

Oleh kerana masalah cetak rompak dan rakaman melalui internet, pemuzik tanah air sekarang tidak boleh berharap semata-mata kepada royalti jualan CD. Mereka terpaksa membuat konsert untuk terus hidup. Kumpulan Search mula bermasalah dengan drummer mereka Yazid yang kurang sihat dan sudah tentu tidak boleh beraksi di konsert seperti drummer biasa. Sudah tentu doktor tidak membenarkannya.

Yazid pula tidak boleh disingkirkan seperti The Beatles menyingkirkan Pete Best. Bila Search beraksi bersama Yazid atau tidak Yazid tetap menerima bahagiannya. Maka timbullah isu saman menyaman antara mereka.

Cuma saya berharap  seperti juga Pete Best, Yazid akan menerima haknya tanpa melalui proses saman menyaman
        

Wednesday, May 4, 2016

Pengalaman Ke Taman Negara



Mandi di Lata Berkoh  (kredit gambar Zainal Abidin Ahmad)

Saya tertarik untuk pergi ke Taman Negara Malaysia setelah melihat filem 'Deliverance' arahan John Boorman dan dilakonkan oleh Burt Reynolds, Jon Voight, Ned Beatty dan Ronnie Cox. Filem itu mengenai empat orang kawan karib yang ingin melihat dan melayari satu sungai sebelum ia tenggelam akibat pembinaan satu empangan.

Itulah sebabnya dalam lawatan saya ke Taman Negara beberapa hari yang lepas pilihan pertama saya diantara beberapa pekej ialah menyusur Sungai Tahan dari muaranya di Sungai Tembeling sehingga Lata Berkoh dan balik. Bezanya dari filem 'Deliverance' ialah empat sekawan itu menurun sungai dengan mendayung kayak, sedangkan kumpulan saya sembilan orang menaiki perahu bermotor ke hulu dan hilir sungai.

Pengalaman menaiki perahu itu sambil melihat flora dan fauna semula jadi yang belum dirosakkan oleh manusia mengubatkan hati kami yang gagal menaiki 'Canopy Walk' pada paginya.

Saya tidak mahu mempromosi atau mengutuk Taman Negara hanya setelah berjaya menyusur sungai dan gagal menaiki 'Canopy Walk'. Cuma saya hendak menyatakan di sini beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki:


1. KEMUDAHAN TELEFON.

Chalet di mana kumpulan saya tinggal hanya memberikan nombor telefon Telekom Malaysia. (TM). Beberapa kali sebelum pergi saya telah menalipon nombor yang diberi tetapi tidak berjaya. Sesampai sahaja di sana saya diberitahu kemudahan telefon TM memang terputus sejak beberapa hari. Camno tu TM?

Laluan telefon bimbit juga hampeh. Telefon bimbit saya hampir sepanjang masa memberi notis 'EMERGENCY CALLS ONLY'.

Sepatutnya pihak kerajaan mengutamakan khidmat telefon di tempat pelancongan seperti Taman Negara.


2. KEMUDAHAN INTERNET.

Chalet saya memberi kemudahan Internet tetapi khidmatnya juga hampeh. Ini ditambah lagi dengan keasyikan kakitangan chalet sendiri melayari internet melalui modem yang setatutnya dikhaskan kepada tetamu mereka.

Sepatutnya ada peraturan melarang kakitangan hotel atau chalet menggunakan peruntukan internet yang sepatutnya diberi kepada tetamu mereka.


3. CHALET TIDAK BERKERUSI.

Belum pernah saya tinggal di hotel atau chalet tanpa kerusi. Bila saya tanya kenapa kerusi tak ada jawapannya kerusi habis dijahanamkan oleh Mat Salleh yang mabuk. Kenapa tidak sediakan kerusi yang tahan sepak terajang?


4. POTONG GILIRAN.

Seperti saya katakan kumpulan kami gagal naik ke 'Canopy Walk'. Sebabnya senang saja iaitu ada orang potong giliran. Bila kami sampai di bawah struktur 'Canopy Walk' kami diminta mendaftar dengan memberitahu berapa orang ada dalam kumpulan kami. Secara jujur saya daftar kumpulan saya seramai sembilan orang. Kami diberitahu akan dipanggil apabila giliran kami tiba.

Tetapi saya perhatikan ada kumpulan sebelum kami yang jumlahnya asyik bertambah. Ada satu kumpulan atas nama BUAYA asalnya cuma 7 orang. Tetapi ini bertambah menjadi 17, kemudian 27 dan akhirnya 37. Kesimpulan saya si BUAYA ini pemotong giliran professional dan menerima bayaran dari siapa yang ingin naik dahulu. Di samping itu permohonan saya untuk diberi laluan dahulu atas dasar WARGA EMAS tidak dilayan.

Jadi bila masa kumpulan saya dapat naik? Ini kerana jarak antara pejalan kali di 'Canopy Walk' ialah 10 meter. Setiap orang pula saya perhatikan bergambar dulu sebelum berjalan. Setelah membuat perkiraan saya batalkan saja program naik 'Canopy Walk' ini kerana kami hendak menyusur sungai pada petangnya.

Cadangan saya ialah kakitangan PERHILITAN iaitu jabatan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap Taman Negara hendaklah berhati-hati dengan orang seperti si BUAYA itu. Keutamaan kepada WARGA EMAS juga patut dipertimbangkan.

Sekian.