Saturday, June 29, 2019

Saya dah buat semua tu.

Pegawai-pegawai JPA Pencen di pejabat lama saya pada tahun 2011.

Ahli-ahli persatuan menunggu untuk bertemu pegawai-pegawai JPA

Di waktu itu pejabat terletak di satu basement.

Dipanggil berjumpa Pengarah JPA Pencen di Putrajaya

Pegawai-pegawai JPA di pejabat baru kami pada tahun 2015. Ini antara kali terakhir mereka datang.


Bila saya menjadi ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) pada tahun 2011, aktiviti pertama saya ialah melihat ahli-ahli persatuan yang sudah tentunya pesara kerajaan bertemu dengan pegawai-pegawai Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam yang lebih dikenali sebagai JPA Pencen. Pertemuan ini dilakukan sebulan sekali di pejabat kami yang di masa itu terletak di 'basement' atau bawah tangga satu bangunan pejabat di Bandar Seremban.

Sudah tentu pegawai-pegawai persatuan saya yang mengaturkan pertemuan itu. Di masa itu saya tidak hendak ambil tahu apa yang dikehendaki oleh kawan-kawan pesara saya dari JPA Pencen. 

Bila saya dilantik menjadi Setiausaha persatuan di peringkat Negeri Sembilan pada 1 Januari 2014 saya secara langsung terlibat dengan pertemuan ini. Di masa itu juga kami sudah berpindah ke premis sendiri di tingkat atas satu rumah kedai di Taman A.S.T, Seremban. Cuma saya hairan kenapa ahli-ahli saya sanggup menunggu sehingga sebulan untuk mendapat penyelesaian terhadap masalah mereka. Kerana saya lihat hampir semua masalah mereka (yang direkod dalam satu buku nota) saya boleh bantu selesaikan. 

Saya pun membuat hebahan kepada ahli-ahli saya bahawa mereka boleh berjumpa saya pada bila-bila masa di pejabat untuk menyelesaikan masalah mereka termasuk apa-apa masalah yang mereka ingin JPA Pencen selesaikan. Saya fikir apa guna saya duduk di pejabat yang mempuyai kemudahan telefon, mesin faks dan satu set komputer yang mempuyai kemudahan internet jika perkara-perkara remeh mengenai pesara saya tidak boleh selesaikan.

Sejak itulah kehadiran ahli-ahli saya di sessi pertemuan dengan pegawai-pegawai JPA Pencen turun mendadak sehingga saya dipanggil oleh Pengarah Bahagian Pencen di masa itu di pejabatnya di Putrajaya. Beliau risau kerana kehadiran pesara telah menurun dari lebih kurang 20 orang sebulan kepada 10 orang sahaja. Saya tidak kuasa hendak memberitahunya bahawa sebab utama ahli-ahli saya sudah kurang bertemu pegawai-pegawainya ialah kerana kerja-kerja mereka telah saya ambil alih. Beliau kemudian memutuskan untuk mengurangkan kekerapan pegawai-pegawainya berjumpa kami dari sebulan sekali sehingga dua bulan sekali.
  
Akhirnya di akhir tahun 2015 JPA Pencen telah memberhentikan terus sessi pertemuan dengan ahli-ahli persatuan saya apabila mendapati cuma ada 5 ahli yang datang berjumpa pegawai-pegawai mereka. Jika sesiapa meragui statistik yang saya beri itu, sila datang ke pejabat saya untuk mengesahkannya.

Bagi saya, ketiadaan pegawai-pegawai JPA bertemu dengan ahli-ahli saya tidak jadi masalah. Saya boleh menyampaikan masalah ahli-ahli saya kepada mereka melalui telefon, faks, Email, Facebook dan akhirnya WhatsApp. Ini ditambah lagi bila banyak tugas JPA Pencen teleh diambil alih oleh Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya. 

Dua hari lepas saya menerima hebahan melalui Facebook dan WhatsApp bahawa JPA Pencen akan menubuhkan Kaunter MyPesara di pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan tiap-tiap negeri melainkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Sabah dan Sarawak. 

Tugas-tugas Kaunter MyPesara pula lebih kurang sama dengan apa yang saya buat selama lima tahun enam bulan yang lalu. Malah kerja saya lebih dari itu. Sebagai contoh Kaunter MyPesara (seperti hebahan mereka) tidak menerima tuntutan perjalanan perubatan dan tuntutan alat perubatan sedangkan saya menerimanya.

Kata orang 'Imitation is the best form of flattery' atau tiruan itu adalah bentuk kepujian yang terbaik. Saya mengalu-alukan penubuhan Kaunter MyPesara itu walau pun ia berupa 'Imitation' atau tiruan kepada apa yang saya telah lakukan selama ini. 

'Flattery' atau kepujian? Tak payahlah. 

Tuesday, June 4, 2019

You' Never Walk Alone

Jordan Henderson menjulang 'telinga besar'.

Saya mula suka kepada lagu 'You'll Never Walk Alone' bukan kerana melodi atau liriknya, tetapi kerana penyanyinya. Saya mula mendengarnya dinyanyikan oleh Gerry Marsden dari kumpulan Gerry and The Pacemakers pada tahun 1965 semasa saya berumur 15 tahun.

Saya menyukai Gerry and The Pacemakers secara kebetulan. Ini kerana kumpulan itu diurus oleh Brian Epstein yang juga mengurus kumpulan The Beatles. Brian Epstein juga mengurus kumpulan Billy J Kramer and The Dakotas dan penyanyi solo Cilla Black.

Kesemua kumpulan dan penyanyi yang saya sebut itu berasal dari Liverpool, England. Saya fikir jika Brian Epstein memilih kumpulan hebat The Beatles untuk diurus, tentulah kumpulan atau penyanyi lain yang diuruskannya hebat belaka.

Ini terbukti kepada Cilla Black dan Gerry and The Pacemakers. Billy J Kramer tidak menyerlah sangat dan mereka mengharapkan lagu-lagu ciptaan John Lennon dan Paul McCartney dari The Beatles.

Malah The Beatles dan Gerry and The Pacemakers pernah berkongsi satu lagu iaitu 'How Do You Do It' yang dicipta oleh Mitch Murray dari England  dan masih hidup. Lagu itu mula dikenalkan kepada The Beatles tetapi mereka menyanyikannya secara sambil lewa. Bila lagu itu dinyanyikan oleh Gerry and The Pacemakers ia menjadi 'top'.

Lagu 'You'll Never Walk Alone' dicipta oleh orang Amerika, Rogers and Hammerstein untuk musikal 'Carousel'. Ramai penyanyi kemudian merakamkan lagu itu, termasuk Elvis Presley dan Frank Sinatra. Tetapi lagu itu mendapat nafas baru bila dinyanyikan oleh Gerry and The Pacemakers dengan iringan orkestra George Martin, iaitu orang yang sama menerbitkan lagu-lagu The Beatles.

Gerry and The Pacemekers juga pencipta dan penyanyi lagu 'You've Got What  Like' yang diberi lirik Melayu oleh A Rahman Hassan dan diberi tajuk 'Tak Mengapa'. Jadi lagu 'Tak Mengapa' itu barasal dari Liverpool sebenarnya. 

Saya meminati pasukan bolasepak Liverpool kerana pengaruh The Beatles juga. Bagi saya pasukan ini menjadi penyambung kepada minat saya terhadap kumpulan hebat itu dan kawan-kawan yang berkongsi pengurus dengan mereka.

Tidak hairanlah jika Liverpool F.C. memilih lagu 'You'll Never Walk Alone' sebagai lagu tema mereka. Tak apalah jika lagu itu bukan ciptaan orang Liverpool atau England. Lagu 'Negara Ku' pun bukan ciptaan orang Malaysia.

Di setiap perlawanan bolasepak Liverpool, lagu 'You'll Never Walk Alone' akan dinyanyikan oleh penyokong mereka. Kemuncaknya ialah beberapa malam lepas setelah Liverpool memenangi kejohanan Uefa Champions League. 

Kali ini bukan sahaja penyokong-penyokong, tetapi pemain-pemaian dan jurulatih berbagai bangsa mereka yang sama-sama menyanyikannya. Ini selepas mereka menerima piala yang dipanggil 'big ears' atau telinga besar oleh ketua pasukan mereka Jordan Henderson. 

Di hari esoknya lagu itu berkumandang lagi di Liverpool bila 'big ears' diarak disekeliling bandar pelabuhan itu bila skuad Liverpool dan penyokong-penyokong mereka merayakan kejayaan Liverpool memenanginya kali ke enam.

Jauh di Malaysia ini saya tidak menyesal meminati The Beatles dan kawan-kawan mereka dari Liverpool dan kemudiannya menyokong pasukan bolasepak Liverpool. 

Saturday, June 1, 2019

MR. SAMY.

Gambar hiasan. Tak kena mengena dengan cerita.

SARJAN DETEKTIF

Mr. Samy (nama pendek) ialah seorang pesara Polis dan pangkat terakhirnya ialah Sarjan Detektif. Dari namanya kita tahu dia berbngsa India dan beragama Hindu. Saya mula kenal dengan Mr. Samy bila dia datang ke pejabat saya mengemukakan Tuntutan Perjalanan Perubatan. Dia ialah ahli NGO pesara di mana saya menjadi Setiausaha di peringkat Negeri Sembilan.

Mr. Samy dan isteri ialah pesakit jantung dan kedua-duanya menerima rawatan dari Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Sebagai pesara Persekutuan dia dan isteri menerima rawatan percuma dari IJN. Dia juga berhak membuat Tuntutan Perjalanan Perubatan, sebelum ini kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Pencen dan sekarang kepada Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP. Setiap permohonan saya hantar dengan surat iringan yang saya tandatangan. 

Mr. Samy boleh mendapat khidmat pejabat cawangan daerah NGO kami di tengah-tengah Bandar Seremban, tetapi dia memilih untuk pergi ke pejabat bahagian negeri. Saya tidak pernah bertanya kenapa dia memilih berjumpa saya, sedangkan pejabat cawangan daerah Seremban dikelolai oleh orang India, iaitu sebangsa dengannya.


SAMA-SAMA KE IJN

Seronok juga saya berkawan dengan Mr. Samy. Darinya saya dapat tahu bagaimana pihak polis membuat riskan dalam kes-kes jenayah. Kebetulan saya juga sering ke IJN mengiringi isteri. Cuma sebagai seorang pesara Pihak Berkuasa Tempatan saya membuat tuntutan di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). 

Mr. Samy tidak pernah mengadu mengenai tuntutannya melainkan di satu ketika. Dia menalipon saya mengatakan permohonannya ditolak oleh KWAP dan semua dokumen dipulangkan. Saya yang tidak berpuas hati terus memanggilnya ke pejabat untuk melihat apa yang tak kena.


DITUDUH MENGHANTAR DOKUMEN FOTOSTAT

Apa yang berlaku ialah pihak KWAP menuduhnya mengemukakan satu dokumen salinan fotostat dan bukan dokumen asal seperti disyaratkan. Dokumen yang dimaksudkan ialah 'time slip' yang dikeluarkan oleh IJN. Memang benar IJN menggunakan borang 'time slip' yang difotostat, tetapi borang itu telah diisi dengan tangan, ditandatangan dan dicop oleh pegawai farmasi. Dengan itu ia menjadi satu dokumen sah. 

Oleh kerana isian, tandatangan dan cop menggunakan dakwat hitam, pegawai KWAP yang rabun mata itu menganggap 'time-slip' itu difotostat. Saya hampir mengangkat talipon dan memarahi KWAP kerana kecuaian pegawai mereka. Mr. Samy pula sanggup melupakan saja permohonannya.

Saya tanya Mr. Samy kenapa dia mesti mengalah yang mengakibatkan dia rugi berpuluh ringgit, sedangkan dia tidak salah. Saya pun membalas surat surat KWAP itu atas kapasiti saya sebagai Setiausaha satu NGO pesara yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau ROS menyatakan peagawai mereka telah membuat satu keputusan yang silap.

Dari pengalaman itu saya nasihatkan Mr. Samy supaya menyediakan satu pen dakwat biru untuk digunakan oleh pegawai IJN bila mereka mengisi borang 'time slip'. Dengan ini tidak ada orang akan menuduhnya menggunakan dokumen difotostat. Saya juga tidak mendengar aduan dari Mr. Samy akan tuntutannya ini dan saya anggap ia telah disempurnakan.


DOMPET HILANG

Tiga hari lepas Mr. Samy datang ke pejabat dengan mengemukakan permohonan lagi. Seperti biasa saya menghantar permohonannya ke KWAP dengan surat iringan. Oleh kerana 'template' surat iringan  Mr. Samy sudah ada dalam komputer, saya hanya perlu mengubah bilangan surat dan tarikh.

Petangnya saya menerima panggilan telefon dari Mr. Samy. Melihat namanya terpampang di telefon, hati saya berdebar. Apa pula yang Mr. Samy mahu dari saya kali ini? Dengan cemas dia memberitahu dompetnya hilang bersama-sama dokumen seperti MyKad, Lesen Memandu, Kad Bank, wang RM 200 dan akhirnya Kad Pesara.

Dia telah membuat aduan polis, katanya. Dia ingin berjumpa saya pada esoknya untuk mendapatkan Kad Pesara baru. Saya jawab datanglah.

Dia tidak datang di hari yang dijanjikan, tetapi datang dua hari kemudian, atau semalam. Tetapi ada juga baiknya dia berbuat demikian.


MR. LETCHU

Ada di pejabat di masa itu ialah Bendahari NGO saya yang baru bernama Mr. Letchu (nama ringkas) berbangsa India. Mr. Letchu baru dilantik di jawatan itu satu bulan lepas. Sebelum itu dia menjadi Bendahari cawangan kami untuk Daerah Seremban. Seperti saya, Mr. Letchu juga berada di pejabat itu (Cawangan Seremban) setiap hari dan kami sering berhubung melalui telefon.

Mungkin kerana sudah biasa memberi khidmat, Mr. Letchu bertanya kepada Mr. Samy apa yang dia boleh buat. Mr. Samy menjawab ingin berjumpa saya untuk mendapatkan Kad Pesara baru. Kemudian mereka pun bercakap dalam Bahasa Tamil, tetapi saya tak kisah.

Sambil mereka berbicara, saya pun menalipon KWAP meminta mereka mengeluarkan Kad Pesara baru untuk Mr. Samy. Biasalah, KWAP akan bertanya adakah pesara ini sudah berpindah alamat. Akhirnya KWAP berjanji akan menghantar kad baru melalui pos. Mr. Letchu kemudian minta diri untuk pulang setelah mengucapkan 'Selamat Hari Raya' pada saya.

Tibalah masanya Mr. Samy menceritakan apa yang dibicarkannya dengan Mr. Letchu, walau pun saya tidak bertanya. Mr. Letchu bertanya kenapa Mr. Samy selama ini tidak pergi ke pejabat cawangan daerah Seremban untuk mendapat apa-apa khidmat.

Mr. Samy menjawab dia berpuas hati dengan apa En. Maarof buat kepadanya selama ini.