Saturday, June 1, 2019

MR. SAMY.

Gambar hiasan. Tak kena mengena dengan cerita.

SARJAN DETEKTIF

Mr. Samy (nama pendek) ialah seorang pesara Polis dan pangkat terakhirnya ialah Sarjan Detektif. Dari namanya kita tahu dia berbngsa India dan beragama Hindu. Saya mula kenal dengan Mr. Samy bila dia datang ke pejabat saya mengemukakan Tuntutan Perjalanan Perubatan. Dia ialah ahli NGO pesara di mana saya menjadi Setiausaha di peringkat Negeri Sembilan.

Mr. Samy dan isteri ialah pesakit jantung dan kedua-duanya menerima rawatan dari Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Sebagai pesara Persekutuan dia dan isteri menerima rawatan percuma dari IJN. Dia juga berhak membuat Tuntutan Perjalanan Perubatan, sebelum ini kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Pencen dan sekarang kepada Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP. Setiap permohonan saya hantar dengan surat iringan yang saya tandatangan. 

Mr. Samy boleh mendapat khidmat pejabat cawangan daerah NGO kami di tengah-tengah Bandar Seremban, tetapi dia memilih untuk pergi ke pejabat bahagian negeri. Saya tidak pernah bertanya kenapa dia memilih berjumpa saya, sedangkan pejabat cawangan daerah Seremban dikelolai oleh orang India, iaitu sebangsa dengannya.


SAMA-SAMA KE IJN

Seronok juga saya berkawan dengan Mr. Samy. Darinya saya dapat tahu bagaimana pihak polis membuat riskan dalam kes-kes jenayah. Kebetulan saya juga sering ke IJN mengiringi isteri. Cuma sebagai seorang pesara Pihak Berkuasa Tempatan saya membuat tuntutan di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). 

Mr. Samy tidak pernah mengadu mengenai tuntutannya melainkan di satu ketika. Dia menalipon saya mengatakan permohonannya ditolak oleh KWAP dan semua dokumen dipulangkan. Saya yang tidak berpuas hati terus memanggilnya ke pejabat untuk melihat apa yang tak kena.


DITUDUH MENGHANTAR DOKUMEN FOTOSTAT

Apa yang berlaku ialah pihak KWAP menuduhnya mengemukakan satu dokumen salinan fotostat dan bukan dokumen asal seperti disyaratkan. Dokumen yang dimaksudkan ialah 'time slip' yang dikeluarkan oleh IJN. Memang benar IJN menggunakan borang 'time slip' yang difotostat, tetapi borang itu telah diisi dengan tangan, ditandatangan dan dicop oleh pegawai farmasi. Dengan itu ia menjadi satu dokumen sah. 

Oleh kerana isian, tandatangan dan cop menggunakan dakwat hitam, pegawai KWAP yang rabun mata itu menganggap 'time-slip' itu difotostat. Saya hampir mengangkat talipon dan memarahi KWAP kerana kecuaian pegawai mereka. Mr. Samy pula sanggup melupakan saja permohonannya.

Saya tanya Mr. Samy kenapa dia mesti mengalah yang mengakibatkan dia rugi berpuluh ringgit, sedangkan dia tidak salah. Saya pun membalas surat surat KWAP itu atas kapasiti saya sebagai Setiausaha satu NGO pesara yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau ROS menyatakan peagawai mereka telah membuat satu keputusan yang silap.

Dari pengalaman itu saya nasihatkan Mr. Samy supaya menyediakan satu pen dakwat biru untuk digunakan oleh pegawai IJN bila mereka mengisi borang 'time slip'. Dengan ini tidak ada orang akan menuduhnya menggunakan dokumen difotostat. Saya juga tidak mendengar aduan dari Mr. Samy akan tuntutannya ini dan saya anggap ia telah disempurnakan.


DOMPET HILANG

Tiga hari lepas Mr. Samy datang ke pejabat dengan mengemukakan permohonan lagi. Seperti biasa saya menghantar permohonannya ke KWAP dengan surat iringan. Oleh kerana 'template' surat iringan  Mr. Samy sudah ada dalam komputer, saya hanya perlu mengubah bilangan surat dan tarikh.

Petangnya saya menerima panggilan telefon dari Mr. Samy. Melihat namanya terpampang di telefon, hati saya berdebar. Apa pula yang Mr. Samy mahu dari saya kali ini? Dengan cemas dia memberitahu dompetnya hilang bersama-sama dokumen seperti MyKad, Lesen Memandu, Kad Bank, wang RM 200 dan akhirnya Kad Pesara.

Dia telah membuat aduan polis, katanya. Dia ingin berjumpa saya pada esoknya untuk mendapatkan Kad Pesara baru. Saya jawab datanglah.

Dia tidak datang di hari yang dijanjikan, tetapi datang dua hari kemudian, atau semalam. Tetapi ada juga baiknya dia berbuat demikian.


MR. LETCHU

Ada di pejabat di masa itu ialah Bendahari NGO saya yang baru bernama Mr. Letchu (nama ringkas) berbangsa India. Mr. Letchu baru dilantik di jawatan itu satu bulan lepas. Sebelum itu dia menjadi Bendahari cawangan kami untuk Daerah Seremban. Seperti saya, Mr. Letchu juga berada di pejabat itu (Cawangan Seremban) setiap hari dan kami sering berhubung melalui telefon.

Mungkin kerana sudah biasa memberi khidmat, Mr. Letchu bertanya kepada Mr. Samy apa yang dia boleh buat. Mr. Samy menjawab ingin berjumpa saya untuk mendapatkan Kad Pesara baru. Kemudian mereka pun bercakap dalam Bahasa Tamil, tetapi saya tak kisah.

Sambil mereka berbicara, saya pun menalipon KWAP meminta mereka mengeluarkan Kad Pesara baru untuk Mr. Samy. Biasalah, KWAP akan bertanya adakah pesara ini sudah berpindah alamat. Akhirnya KWAP berjanji akan menghantar kad baru melalui pos. Mr. Letchu kemudian minta diri untuk pulang setelah mengucapkan 'Selamat Hari Raya' pada saya.

Tibalah masanya Mr. Samy menceritakan apa yang dibicarkannya dengan Mr. Letchu, walau pun saya tidak bertanya. Mr. Letchu bertanya kenapa Mr. Samy selama ini tidak pergi ke pejabat cawangan daerah Seremban untuk mendapat apa-apa khidmat.

Mr. Samy menjawab dia berpuas hati dengan apa En. Maarof buat kepadanya selama ini.   

No comments: