Monday, September 28, 2015

Segalanya 'on time' - Bahagian 3.

Setelah berada di Kluang selama empat jam kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru dengan Ekspress Rakyat yang bermula dari Butterworth. Nombor perjalanan ialah 1 dan oleh kerana ia bergerak ke selatan ahli-ahli MRFC memanggilnya '1 down'.


Ini dia '1 down'. Ia tiba beberapa minit 'before time'.  Kami sempat bergambar di hadapan loko, tetapi oleh kerana syarat-syarat KTMB saya tidak dapat menyiarkannya di sini.
Ia ditarik oleh 25105 PULAU JEREJAK. Di alam nyata Pulau Jerejak terletak sebelah Pulau Pinang.

Saya berada dalam koc Kelas 2 serba baru. Sejuuuuuk menggigil saya.

Segala maklumat ada di TV ini.

Kami dah sampai ke JB Sentral. Inilah rupa koc baru yang saya naiki tadi.

25105 PULAU JEREJAK sudah berpindah dari hadapan ke belakang. Ia akan menarik '1 down' ke Kempas, Johor tanpa penumpang supaya koc-koc dibersihkan dan sebagainya sebagai persediaaan perjalanan akan datang. Pemandu cuma perlu memusingkan kerusi ke arah bertentangan kerana alat-alat kawalan berada di sisinya.

Kami bergambar ramai di sebelah 24125 MEGAT TERAWIH. Gambar dengan ihsan Noor Harun.

Megat Terawih sedang bergerak 'on time' menarik Tren Timuran No. 26 dari JB Sentral ke Gua Musang, Kelantan.


Antara loko yang menunggu di JB Sentral 

Ini satu lagi

Bukti saya sudah sampai ke JB Sentral 

Akhirnya saya menaiki koc tidur Tren Sutera No. 24 dari JB Sentral ke Seremban. Tren meneruskan perjalanan ke Ipoh, Perak. Sebenarnya saya mendapat katil di atas, tetapi kebetulan seorang perempuan China ingin bertukar tempat dengan saya. 

Begitulah cerita saya pergi ke JB Sentral dari Seremban menaiki tren. Segalanya mengikuti masa atau 'on time' seperti dijanjikan oleh KTMB dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka. Walau bagaimana pun ada beberapa kelemahan yang patut KTMB baiki seperti berikut:

  1. Sistem menempah tiket melalui telefon hendaklah dibaiki. Contohnya saya menempah untuk Kelas 1 awal-awal lagi tetapi diberitahu tempat sudah habis. Tetapi di hari perjalanan banyak pula tempat yang kosong.
  2. Koc-koc lama patut di baiki. Contohnya pintu automatik di koc-koc lama Kelas 2 tidak berfungsi. Akibatnya hawa dingin tidak terasa apabila pintu asyik terbuka. Begitu juga kisahnya di koc tidur. Pintu yang tidak tertutup mengganggu tidur saya apabila asyik terhidu asap rokok dari perokok yang menghisap rokok antara koc. 
  3. Dalam hal ini saya perhatikan lebih berbaloi duduk di koc ekonomi baru dari koc Kelas 2 lama. 
Sekian.



Friday, September 25, 2015

Segalanya 'on time' - Bahagian 2

Semasa berhenti di Genuang saya pun sempat mengambil gambar tren yang saya naiki. Sebenarnya banyak gambar yang saya ambil. Tetapi untuk menghormati syarat-syarat yang ditetapkan oleh KTMB saya tidak boleh menyiarkannya di sini.


Tren tidak boleh lari lebih dari 30 km/j di sini.

Inilah loko atau kepala tren No. 25110 yang saya ambil gambar dari koc paling depan di pos sebelum ini.

PULAU PINANG namanya.

Panjaaaaaang tren ini. Ada 12 koc lebih kurang.




Kami juga berhenti seketika di sini kerana 'ahead of time'. Saya lupa nama stesen ini.


Labis

Paloh

Kami dah sampai Kluang dengan papan nama baru dan lama.

Mereka bergerak ke stesen

Itu platform 2 sebenarnya. Ia tentu berubah apabila program trek berkembar Gemas - Johor Bahru dilaksanakan.
Ini yang saya kata saya tidak dapat menyiarkan semua gambar-gambar yang saya ambil dalam perjalanan ini. 

Jika ke Kluang tidak sah jika tidak singgah di restoran Kluang Rail Cofee ini. Semasa dibuka ia sentiasa penuh.

Sehingga ia terpaksa membuat tambahan di luar, sudah pasti dengan kebenaran KTMB dan mungkin Majlis Daerah Kluang.

Ini pandangan dalam restoran yang sentiasa penuh.

Tidak sah jika saya tidak berselfie dalam restoran ini. Kami singgah empat jam di Kluang dan saya masuk ke restoran ini dua kali.

Akhirnya kami bergambar dengan Ketua Stesen yang duduk di kiri satya itu. Gambar dengan ihsan Shukry Chukik.

Bersambung.......

Thursday, September 24, 2015

Segalanya 'on time' - Bahagian 1.

Bila meneliti pos-pos lama, baru saya sedar tepat satu tahun dulu saya telah menaiki kereta api (sepelas ini saya sebut tren) ke Johor Bahru dengan isteri saya Salmah. Kali ini saya ke Johor Bahru sekali lagi dengan kawan-kawan saya di kumpulan yang dinamakan Malayan Railway Fans Club (MRFC) atau Kelab Peminat Keretapi Tanah Melayu. 

Bila saya tahu adanya kelab tersebut saya tidak teragak-agak menjadi ahlinya. Saya mula naik kereta api sejak berumur 12 tahun dan sejak itu tidak melepaskan peluang menaikinya. Berikut adalah cerita bergambar perjalanan saya ke Johor Bahru dengan keretapi dan balik.


Bila berada di stesen Seremban tidak sah rasanya jika tidak mengambil gambar KTM Komuter. Ini ialah set EMU 6 koc buatan negara China. Ia baru datang dari Rawang dan akan meneruskan perjalanan ke Senawang dan Sungai Gadut.

Sedang saya mundar mandir di platform 1 saya ternampak sahabat pesara saya ini. En. Yaacob Khan ialah pesara KTMB dan telah lama jadi ahli MRFC.

Bila tren saya tiba saya mengambil gambar video. KTMB menamakannya Ekspress Peninsular. Sila lihat video di sini. Tren tiba 3 minit sebelum waktu di jadual. Oleh itu ia boleh berhenti lama sedikit.



Sebenarnya tempat duduk yang diberi untuk saya di Kelas 2 menghala ke belakang. Saya pun berpindah ke tempat duduk menghala ke hadapan ini.


Stesen Rembau. Tren saya berhenti di sini.

Selepas Rembau saya pun pergi mencari geng MRFC. Rupa-rupanya mereka berkumpul di koc buffet ini. Seronok juga duduk di sini sambil berbual dan melihat pandangan sekeliling.


  Lagi pandangan di koc buffet. Di sini juga saya mendapat tahu ada koc Kelas 1 di tren ini. Saya pun mencari koc tersebut yang terletak sebelah koc buffet ini.

Bila sampai ke koc Kelas 1 saya lihat banyak tempat kosong sedangkan apabila saya menalipon untuk mendapatkan tiket jawapannya tempat duduk di Kelas ini sudah habis. Saya bertanya dengan dua staff KTMB di situ dan jawapan mereka mungkin saya menempah terlalu awal (1 bulan). Mereka berkata saya boleh menaik taraf kelas jika mahu dengan membayar perbezaan harga tiket. Memandngkan tren sudah hampir dengan Pulau Sebang, saya pun terus duduk di Kelas 1 tanpa membayar apa-apa.

Tetapi tidak apa, KTMB. Saya tidak kekal duduk di sini. Seperti juga geng MRFC, saya mundar mandir di dalam tren (perangai yang saya mulakan sejak berumur 12 tahun). Apabila tren berhenti saya turun mundar mandir di stesen pula.

Jentera KTMB di stesen Pulau Sebang, Melaka. Stesen ini baru dibina semula dari nama asalnya Tampin. Nama barunya ditulis PULAU SEBANG (TAMPIN). Ia terletak di negeri Melaka.

Batang Melaka, satu lagi stesen baru, juga terletak di negeri Melaka.

Inilah penghujung mundar mandir saya. Itu kepala atau loko (locomotive) yang menarik tren ini. Nombor sirinya 25110 dan namanya akan saya beritahu kemudian.

Itu stesen lama Gemas. Di awal sejarah Keretapi Tanah Melayu stesen ini cukup sibuk. Lihat juga trek-trek baru menghala ke stesen beru.

Kami sudah sampai ke Gemas dan berhenti seketika di platform 4. Tidak sah jika saya tidak turun di stesen ini. Geng saya pun turun.

Stesen Segamat dengan papan nama baru seperti si stesen-stesen antara Gemas dengan Padang Besar.

Stesen Genuang masih dengan papan nama lama yang mengandungi nama-nama stesen sebelahnya. Kerana kami tiba 'before time' tren berhenti seketika di sini untuk berselisih dengan tren Ekspress Rakyat dari selatan.

Sila klik di sini untuk melihat Ekpress Rakyat lalu.

Bersambung......

Friday, September 18, 2015

Antara peraturan, pelajaran tinggi dan akal.

Bila tidak ada OKU di atas tren, apa salahnya orang biasa duduk di sini?

Biasanya perkataan atau ayat dalam Bahasa Melayu lebih panjang dari terjemahannya dalam Bahasa Inggeris. Saya mencari terjemahan untuk 'common sense' dan saya terjumpa 'akal'. Tepat sekali, 'common sense' dalam Bahasa Melayu ialah 'akal'.

Kisah bermula apabila seorang kawan saya di laman sosial menghantar gambar seorang bukan OKU duduk di tempat duduk bersimbol OKU dalam tren KTM Komuter. Saya terus komen 'Apa salahnya, saya pum selalu duduk di situ apabila tiada OKU atas tren'. Kemudian timbullah komen-komen yang menentang dan menyokong tindakan saya itu.

Memang saya pernah duduk di tempat duduk bersimbol OKU di KTM Komuter. Ini setelah memastikan tiada OKU sepanjang tren tersebut. Saya rasa bodoh jika membiarkan saja tempat duduk itu kosong sedangkan saya terpaksa berdiri. Saya senaraikan di sini beberapa kes dalam ingatan saya di mana saya memilih akal dari mematuhi peraturan.

  1. Semasa baru mempunyai kereta, dua pupu saya mengajar saya menggunakan akal semasa memandu. Di selekoh yang kita pasti tiada kereta di hadapan, kita boleh melanggar peraturan dengan melintasi garisan berkembar, dengan syarat tiada polis berhampiran. Dengan cara itu kita memendekkan perjalanan tanpa banyak memusing roda steering. Saya pun menggunakan kaedah ini apabila berada di selekoh yang banyak terdapat di daerah saya di Jelebu, Negeri Sembilan. Malangnya banyak selekoh di Jelebu  sekarang sudah diluruskan.
  2. Pernah beberapa kali saya dapat tempat duduk menghala ke belakang di keretapi. Saya pun gunakan akal dan mencari tempat duduk menghala hadapan yang kosong. Orang KTM tak marah pun bila saya jelaskan kenapa.
  3. Beberapa tahun lalu saya ditempatkan di tempat duduk paling hadapan di dalam koc tren ke Johor Baharu. Walau pun menghadap hadapan, tiada tingkap di tepi saya. Saya pun beralih ke tempat duduk bertingkap walau pun terpaksa berpindah beberapa kali. Bagi saya tidak guna naik tren jika tidak menikmati pandangan luar.
  4. Lebih setahun yang lepas saya naik tren malam dari Tumpat ke Bahau. Di stesen Tumpat kawan-kawan rombongan saya beratur hendak mandi di bilik air. Saya perhatikan bilik air untuk OKU tidak digunakan dan juga tiada OKU antara penumpang. Saya pun mandi di situ, diikuti oleh kawan-kawan lain. Tidak ada pegawai KTM yang menegur.
  5. Baru dua minggu lepas dalam tren ETS dari Kuala Lumpur ke Butterworth saya perhatikan dua tempat duduk bersebelahan di hadapan saya kosong. Saya pun pindah ke situ menjadikan saya dan isteri duduk selesa di dua kerusi tiap-tiap seorang. Saya terasa bodoh membiarkan tempat duduk itu kosong.
Dalam kes di KTM Komuter tadi bila saya kata pernah duduk di kerusi untuk OKU seorang kawan Facebook saya berkata dia tidak sangka yang saya ni yang difikirnya berpelajaran tinggi berperangai begitu. Saya jawab saya tidak berpelajaran tinggi, tetapi saya menggunakan akal atau 'common sense'.

Sekian. 

Friday, September 11, 2015

Kalau nak buat, buat. Jangan cakap.

Cerucuk itu ditanam oleh Dato' Seri Najib 367 hari yang lalu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan kepada mereka yang berkenaan tugas mereka belum selesai.

Dalam filem 'The Good, the Bad and the Ugly', si Ugly. seorang penjenayah yang 'WANTED' atau dikehendaki telah terperangkap sedang mandi bogel oleh seorang pemburu upahan atau 'bounty hunter' di satu bangunan usang. Si 'bounty hunter' mengacu pistolnya kepada si Ugly dan berkata lebih kurang "Dulu kau tembak tangan kanan aku sampai kena potong. Tapi sekarang aku dah mahir menembak dengan tangan kiri.....". 'Baaaaang', tiba-tiba si Ugly menembak si 'bounty hunter' dan menjawab "If you gotta shoot, shoot. Don't talk" atau "Kalau nak tembak, tembak. Jangan cakap". 

Tepat satu tahun dua hari lepas saya hadir di upacara perasmian projek apa yang dipanggil PR1MA SEREMBAN SENTRAL di Bukit Tembok, Seremban. Kalau nak tahu lebih lanjut sila klik di sini. Saya cuma mahu ulangi apa yang saya dengar diucap oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. Katanya dia tidak mahu upacara pecah tanah yang biasa dilakukan apabila merasmikan mana-mana projek. Banyak tanah telah dipecahkannya tetapi projek lewat atau tidak bermula. Oleh itu kali ini dia sendiri telah meminta diadakan upacara menanam cerucuk, supaya projek ini akan terus bermula.

Betul juga kata PM kita tu. Tanah yang dipecah akan bertaup semula selepas 367 hari. Tetapi cerucuk yang di tanam sekurang-kurangnya mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa kerja mereka belum selesai. Sila lihat gambar di atas. Begitu sekali kesungguhan Perdana Menteri kita.

Tetapi sesiapa yang pergi ke tapak projek itu sekarang akan nampak hanya satu cerucuk yang ditanam oleh DS Najib itu sahaja. Tidak ada cerucuk atau pembinaan lain. Ini bermakna projek belum bermula seperti dikehendaki oleh Dato' Seri Najib.

Saya tahu persediaan untuk satu projek besar seperti PR1MA SEREMBAN SENTRAL mengambil masa. Ini termasuk penyediaan pelan-pelan, pengambilan tanah dan yang paling penting kelulusan pihak-pihak berkuasa. Tetapi dari apa yang dipamerkan semasa perasmian itu seperti lukisan dan model, seolah-olah menunjukkan butir-butir itu sudah dibereskan. 

Sebaliknya jika lukisan dan model itu hanyalah untuk mengabui mata Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad Hasan dan manusia biasa seperti saya, tidak kah 367 hari masa yang terlalu lama untuk menyediakan pelan-pelan baru, mengambil tanah dan mendapat kelulusan?

Sedangkan tuan  tanah hanya satu iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Saya perhatikan mereka telah pun mengosongkan tanah mereka dan membina depoh EMU di selatan tapak projek. 

Akhirnya saya balik kepada kata-kata si Ugly tadi "If you gotta shoot, shoot. Don't talk". Dalam kes ini saya pula berkata "Kalau nak buat (projek), buat. Jangan cakap". 'Cakap' di sini termasuk penghebahan di media massa, sepanduk dan kain rentang.

Sekian.

Monday, September 7, 2015

Bila peraturan lebih penting dari keuntungan.

Notis 

 Pandangan lepas notis

Berapa sangat kereta boleh diletak di sini?

Semasa saya bekerja dulu ada seorang pengurus kompleks perniagaan di bandar Seremban yang namanya bermula dengan Paul, kalau tak salah. Dia berbangsa Cina dan saya terus lupa nama keluarganya. Saya perhatikan banyak kereta diletak di luar petak di luar kompleksnya sedangkan kompleks itu menyediakan petak letak kereta yang cukup tetapi berbayar.

Bila saya tanya Paul kenapa dia tidak mengambil tindakan terhadap kereta-kereta berkenaan jawapannya ialah 'Tak apa, kereta-kereta itu (yang diletak tak ikut peraturan) memberi gambaran kompleks saya popular. Dari itu lebih ramai orang akan datang ke kompleks saya'.

Itulah jawapan seorang yang lebih memikirkan keuntungan dari peraturan. Bagi Paul biarlah kompleksnya rugi berpuluh ringgit sehari dari bayaran letak kereta, tetapi dia untung beribu ringgit dari jualan produknya.

Tetapi lain pula ceritanya di stesen keretapi Senawang. Sebelum itu saya ingin cerita sedikit mengenai stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Senawang. 

Senawang ialah antara dua stesen keretapi baru di Seremban. Yang satu lagi Sungai Gadut. Lokasinya agak tersuruk tetapi peminat keretapi seperti saya tetap mencarinya. Ia mempunyai dua tempat letak kereta di timur dan barat stesen. Tetapi saya memilih yang sebelah barat kerana lebih dekat dengan rumah saya walau pun bilangan petak di situ amat terhad dibandingkan dengan yang di sebelah timur.

Seperti Paul saya memilih stesen Senawang dan tidak Seremban semata-mata kerana ekonomi walau pun ia terletak lebih jauh. Letak kereta di Senawang adalah percuma sedangkan di Seremban (dan Sungai Gadut) bukan sahaja dikenakan bayaran tetapi ditambah dengan GST lagi. Walau pun saya kena bayar tiket lebih .20 sen jika hendak ke utara dari Senawang keuntungannya berganda.

Itu jugalah agaknya yang difikirkan oleh mereka yang memilih stesen Senawang. Tetapi jika KTMB mengenakan bayaran letak kereta di sana, saya terpaksa mengucapkan 'Selamat tinggal Senawang'.   

Semalam saya ke Kuala Lumpur dengan KTM Komuter dan seperti biasa saya memandu ke Senawang. Tetapi saya dikejutkan dengan Notis seperti di atas. Memang selama ini saya tidak pernah jumpa petak kosong apabila meletak kereta di Senawang kerana petak terhad. Jadi saya terpaksa meletak di luar petak, tetapi tidaklah mengganggu atau menghalang.

Seperti saya kata tadi stesen Senawang tersuruk. Meletak kereta di luar petak tidak mengganggu pihak lain seperti di Seremban contohnya.

Tetapi jelas pihak KTMB atau ketua stesen Senawang tidak berfikir seperti Paul. Mungkin apabila orang ramai melihat kereta diletak melimpah di stesen Senawang mereka berfikir ramai orang naik KTM Komuter (satu-satunya tren yang berhenti di stesen ini). Dari itu lebih ramai orang menggunakan keretapi sebagai 'mode of transportation'.

Tetapi jika peraturan lebih penting dari keuntungan nampaknya saya dan pengguna-pengguna lain teraksa memandu jauh dan meletak di sebelah timur stesen itu.

Saturday, September 5, 2015

Not on time this time / Last train to Seremban

Pos ini bukanlah untuk menjatuhkan nama baik Keretapi Tanah Melayu Berhad atau KTMB. Jika dilihat dari pos-pos saya sebelum ini saya memang peminat keretapi termasuk keretapi yang dikendalikan oleh KTMB.

Kisah bermula bila KTMB mengumumkan khidmat tren Electric Train Service atau ETS ke Padang Besar. Saya sudah beberapa kali menaiki ETS dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan kali ini saya tidak melepaskan peluang menaiki tren yang sama ke destinasi baru itu.

Saya memilih untuk tinggal dua malam di Seberang Jaya, Pulau Pinang di mana saya menjadi ahli satu kelab percutian. Oleh itu stesen yang saya pilih ialah Butterworth. Untuk menyukupkan syarat, di hari kedua saya meneruskan perjalanan ke Padang Besar dan menaikki tren yang sama ke Butterworth.

Dengan sampainya saya ke Padang Besar bermakna saya telah melalui seluruh laluan KTMB di Semenanjung Malaysia dari Johor Bahru ke Tumpat dan dari Gemas ke Padang Besar.

Saya lihat salah satu moto KTMB ialah 'On time every time'. Di hari pertama dan kedua perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Butterworth kemudian ke Padang Besar saya dapati KTMB menepati janji mereka itu sampai ke tiap minit.

Tetapi di hari ketiga apabila saya hendak balik ke Kuala Lumpur janji ini tidak ditepati. Gambar-gambar yang saya poskan di sini menceritakan segala-galanya.



Apabila turun dari Stesen Butterworth ke trek di bawah saya perhatikan ada tren baru menunggu. Rupa-rupanya inilah tren ETS Kelas 93 yang baru dibeli oleh KTMB. Dari gambar di atas jam sudah pukul 5.40 petang tetapi tren belum bergerak. Mengikut jadual ia sepatutnya bergerak tepat pada 5.38 petang. 2 minit 'behind time'.

Tetapi saya dan isteri sabar menunggu.

Di antara Parit Buntar dengan Taiping tren bergerak 107 km/h, sedangkan kelajuan biasa ialah lebih 140 km/h. Bila nak sampai ni?


Antara Tapah Road dengan Tanjong Malim 122 km/h. Masih perlahan walau pun trek baru.

Akibatnya hanya sampai ke Tanjong Malim pukul 8.43 malam sedangkan mengikut jadual pukul 8.10 malam. Sudah 33 minit 'behind time'.

Sudahlah lewat, tandas pula rosak!

Masih dekat Bank Negara, pukul 10.02 malam, sepatutnya sudah sampai ke destinasi.

Tak sabar nak turun.

Mereka juga tak sabar nak turun.

Pukul 10.12 malam baru sampai ke Stesen KL Sentral, sepatutnya 9.15 malam. 57 minit 'behind time'. Di atas tren tidak ada langsung pengumuman tren akan sampai lewat. Cuma pengumuman sudah direkod seperti 'Terima kasih kerana memilih KTMB' dan 'Destinasi seterusnya, Tanjong Malim'. Pengumuman di atas untuk mereka yang menanti penumpang sebenarnya.

Akibat tren lewat saya nyaris-nyaris terlepas KTM Komuter ke Seremban. Akhirnya naik 'Last train to Seremban'. Dalam sejarah saya naik KTM Komuter, belum pernah lagi naik tren terakhir ke Seremban.

Sekian.