Wednesday, February 10, 2021

DIA MASIH CEREWET

Shammi Kapoor menyamar sebagai seorang bernama Khan

Semalam saya menonton satu filem Hindustan lama di NETFLIX. Filem bertajuk SINGAPORE, lakunan Shammi Kapoor dan Maria Menado. Shammi berlakun sebagai Shyam, tetapi di bahagian akhir filem terpaksa menyamar sebagai seorang penjahat bernama Khan. Untuk meyakinkan musuh-musuhnya dia terpaksa menyebut Ya Allah dan Assalamualaikum beberapa kali. 

Itu Khan dalam filem. Di sini saya ingin menceritakan mengenai seorang lagi Khan yang saya kenal. Seperti saya, Khan juga seorang pesara kerajaan. Bezanya ia tidak pernah berkahwin dan sekarang tinggal dengan keluarga saudaranya.

Saya kenal Khan berpuluh tahun dahulu lagi, kerana dia sering datang ke tempat saya cari makan, iaitu Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Malangnya kedatangannya tidak disenangi oleh setiap pegawai dan kakitangan yang dijumpanya. Kerana dia datang membawa aduan. Ada sahaja aduan yang dibawanya.

Satu hari setelah kecewa dengan layanan yang diberi oleh anak-anak buah saya terhadap aduannya, dia  berjumpa saya. Walau pun saya sudah biasa nampak dia berlegar-legar dalam pejabat saya membuat aduan, itulah kali pertama dia berjumpa empat mata dengan saya. 

Saya ingat isu yang hendak diadukannya besar sangat. Rupa-rupanya dia mengadu rumput-rumput yang dipotong oleh pekerja-pekerja MPS di depan rumahnya terbang masuk ke dalam kawasan rumah. Bila saya tannya apa dia mahu saya buat, dia minta supaya pekerja-pekerja itu masuk ke dalam kawasan rumahnya dan menyapu rumput-rumput itu keluar. 

Saya terus jawab, itu perkara remeh. Tak boleh ke En. Khan menyapunya sendiri keluar. Rumput ialah bahan boleh reput atau 'bio-degradable' dan tiada masalah jika dibuang ke longkang. Dia terus bertanya kalau kena pada rumah saya bagaimana. Saya jawab saya sapu sendiri dan itulah yang saya buat selama ini. Dia pun beredar.

Pertemuan pertama kali Khan dengan saya merupakan pertemuan kali terakhir kerana dia tidak berani lagi berjumpa saya selepas itu, walau pun kelibatnya tetap ada saya nampak berlegar di MPS.

Beberapa tahun yang lalu Khan datang ke pajabat NGO saya membawa satu isu persaraan. Dia terperanjat melihat saya yang menguruskan aduannya. Dia terpaksa menegur saya dan saya pun terpaksa melayannya seolah-olah pertembungan kami berpuluh tahun yang lalu di MPS tidak berlaku. Nasibnya baik kerana dia mendahului saya memasuki persatuan pesara kami, jika tidak saya akan mengsyorkan supaya orang seperti Khan ini ditolak permohonannya. 

Beberapa hari lepas saya menerima panggilan telefon dari Khan mengadukan duit pencennya tidak dimasukkan ke akaun bank oleh Kerajaan Malaysia. Saya terus faham akan masalah Khan. Kerana dia bersara bujang, pencennya dibayar melalui Skim B, di mana dia dikehendaki melapur diri ke bank tiap-tiap bulan. 

Masalah beratur lama di bank kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan Khan tidak ke bank untuk lebih dari tiga bulan, dan bank telah mengikut SOP wajib dengan memulangkan wang pencennya kepada Kerajaan Malaysia. 

Penyelesaian masalah Khan senang sahaja, iaitu dia kena tukar cara terima pencen kepada Skim A. Dengan cara itu dia tidak payah beratur di bank lagi. Saya setuju menolong Khan dalam isu ini dan oleh kerana Khan kurang sihat dan susah untuk bergerak, dia berjanji akan menghantar seorang anak buahnya untuk berjumpa saya. 

Itulah yang berlaku pagi tagi bila saya didatangi oleh anak buah perempuan Khan yang saya panggil Bibi sahaja di sini. Saya terus memberitahu Bibi bahawa saya telah kenal dengan bapa saudaranya ini berpuluh tahun yang lalu. Kemudian saya tanya Bibi soalan cepumas iaitu "Uncle ni cerewet tak"

Bibi terus menjawab "Amat cerewet". Dia kemudiaan menceritakan beberapa isu kecerewetan bapa saudaranya. Saya cuma dapat mencerikatan kepada Bibi isu rumput terbang itu sahaja. 

Sekian.