Friday, August 28, 2020

MENCARI ALIAS


SELAMAT DATANG KE RANTAU. Itu gambar lama. Pihak Berkuasa Tempatan masih Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Dua jambatan yang menghubungi Kg. Linsum dan Kg. Siliau di Rantau.

Inilah gambar yang menggerakkan saya mencari Alias. Saya terpaksa padamkan tulisan di tiang elektrik itu untuk menjaga identiti keluarga Alias. 


Ini dia kawan saya Alias.

Tugas saya mencari Alias bermula lebih sepuluh tahun yang lalu. Alias ialah kawan se kelas saya di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak antara tahun-tahun 1962 hingga 1967. Dia berasal dari Kg. Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. Tetapi semenjak meninggalkan sekolah di penghujung tahun 1967 saya tidak bertemu lagi dengan Alias hinggalah semalam, 27 Ogos 2020.

HASHIM

Terdapat seorang lagi kawan saya dari Siliau bernama Hashim. Saya sering berjumpa Hashim selepas keluar sekolah, tetapi malangnya dia telah meninggal dunia akibat sakit jantung lebih 20 tahun yang lalu. Dia meninggal dunia di Indonesia semasa menguruskan perniagaannya. 

Saya menyertai kawan-kawan sama sekolah menunggu ketibaan jenazah Hashim di Siliau dan kemudian sama-sama mengiringi jenazahnya ke makam untuk dikembumikan. Di antara kawan-kawan yang saya jumpai di pengkebumian Hashim ialah Salleh yang berasal dari Kg. Linsum, bersebelahan Kg. Siliau. 

Salleh tinggal sebilik dengan saya di tahun 1967 dan itu juga merupakan kali pertama dan terakhir saya berjumpa dengannya selepas keluar sekolah. Salleh meninggal dunia lebih setahun lalu di kampung isterinya di Kelantan. Alias tidak balik ke kampung semasa pengkebumian Hashim.

Beberapa bulan selepas pemergian Hashim, saya sekali lagi ke Kg. Siliau, kali ini menghantar pengantin yang berupa anak lelaki kepada seorang jiran saya di Taman Paroi Jaya, Seremban. Saya perhatikan rumah pengantin perempuan betul-betul di belakang rumah keluarga arwah Hashim. 

Bila saya ceritakan ini kepada tuan rumah, mereka berkata pengantin perempuan ialah anak buah Hashim. Kemudian mereka mengenalkan saya kepada emak dan isteri Hashim. Bila saya ceritakan kepada emak Hashim yang saya ialah kawan sekolah anaknya, dia terus memeluk dan mencium saya sambil menangis. 

Ini tidak menghairankan kerana kami yang sama-sama makan nasi kawah semasa bersekolah menganggap diri kami sebagai adik beradik selama-lamanya. Emak Hashim tahu sangat akan perkara ini, jadi tidak hairanlah jika dia menganggap saya sebagai anaknya. Tetapi pemergian Hashim juga menyulitkan saya untuk mengetahui di mana Alias berada. 

HUSIN

Lebih sepuluh tahun yang lalu, bila sahaja mendapat nombor telefon seorang lagi kawan sekolah saya bernama Husin, saya terus menghubunginya. Saya tahu dia berasal dari Merlimau, Melaka, iaitu kampung isteri saya. Dia berkata akan balik kampung semasa Hari Raya Aidilfitri tahun itu. Saya berjanji akan berjumpa dengannya di kampung.

Bila berjumpa, baru saya tahu yang Husin ialah anak murid kepada arwah mertua saya di sekolah rendah. Dia juga satu kelas dengan Syukur, sepupu isteri saya. Husin juga bertanyakan di mana kawan-kawan kami sekarang. Saya telah menjawab semua soalan Husin, melainkan satu iaitu "Di mana Alias sekarang?". Saya terus jawab tidak tahu.

DI MANA ALIAS?

Sejak itu bila berjumpa dengan kawan-kawan satu sekolah, saya bertanya soalan yang sama. Tetapi tidak seorang pun yang boleh memberi jawapan atau petunjuk, sehinggalah beberapa bulan yang lalu. 

Kawan se kelas kami Md. Shah menghantar gambar Alias beserta satu nombor telefon. Tetapi bila saya penggil nombor itu beberapa kali, ia tidak berjawab.

Sebulan yang lalu saya pergi ke Kg. Linsum, Rantau dan berjumpa dengan seorang lelaki yang cuma muda setahun dari saya. Dia kenal dengan Hashim dan Salleh dan dia tahu kedua-duanya sudah meninggal dunia. Tetapi dia tidak kenal dengan Alias. Kerana hari sudah petang saya tidak meneruskan perjalanan ke Kg. Siliau. 

SUNGAI MENJADI PEMISAH

Seperti saya kata, kampung-kampung Linsum dan Siliau adalah bersebelahan. Mereka dipisahkan oleh Singai Linggi, iaitu sungai terbesar di Negeri Sembilan. Untuk berpuluh tahun, penghubung kedua-dua kampung tersebut ialah satu jambatan gantung yang boleh muat pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja.

Tetapi semenjak Tok Mat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, sebuah jambatan yang boleh muat kereta telah dibina di sebelah jembatan gantung tersebut. Untuk tujuan nostalgia jambatan gantung tidak dirobohkan.

TIANG 15454

Dalam saya berfikir bila hendak ke Kg. Siliau untuk mencari Alias, saya mendapat satu idea bila meneliti gambar yang dikirimkan oleh kawan saya Md. Shah. Alias tersenyum bersebelahan satu tiang elektrik. Seperti tiang-tiang elektrik lain ia mempunyai nombor rujukan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Di bawah sekali tertulis 15454 iaitu nombor panggilan kecemasan TNB. Saya terus berkata "Jika saya dapat pastikan di mana tiang itu dicacakkan, mungkin saya akan dapat cari di mana Alias".

KE PORT DICKSON

Dua hari lepas, kawan pesara saya Hj. Zainal dari Port Dickson ingin belanja saya dan kawan-kawan pesara yang lain untuk minum pagi di Port Dickson. Saya terus berfikir untuk "membunuh tiga ekor burung dengan satu batu".  Pertama, dapat minum percuma. Kedua, melihat tempat mesyuarat jawatankuasa persatuan pesara saya di Port Dickson pada minggu hadapan. Ketiga, teruskan mencari Alias.

BINGO

Saya mengagak abjad yang ditulis di tiang elektrik TNB dalam gambar  Alias ialah nama satu taman perumahan di Rantau. Dengan menggunakan Waze di telefon pintar, saya dipandu ke taman tersebut. Bingo, tekaan saya tepat. Tiang elektrik pertama saya lihat di taman itu mempunyai abjad yang sama seperti di gambar. Tugas seterusnya ialah mencari tiang sebenar. Pengalaman saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu membantu dalam hal ini.

Apabila saya sampai ke tiang yang dicari, saya pastikan keadaan sekeliling adalah sama seperti di gambar. Yang tidak ada cuma Alias sendiri. 

"ASSALAMUALAIKUM"

Saya perhatikan rumah di belakang tiang itu ditutup. Tetapi kehadiran sebuah kereta  yang menghalang pintu pagar masuk ke rumah  menyakinkan saya ada penghuni di dalamnya. Saya pun mengucapkan "Assalamualaikum" sambil menggoyang pintu pagar. Tidak beberapa lama, timbul muka seorang perempuan di pintu rumah. Saya terus bertanya "Ini rumah En. Alias ..... ke?".  

Perempuan itu bertanya saya siapa. Saya terus menjawab yang saya ialah kawan satu kelas dengan Alias di SDAR. Saya tunjukkan gambar Alias kepadanya dengan memberitahu saya dapat gambar itu dari seorang lagi kawan se kelas kami. Bila dia bertanya macam mana saya tahu gambar itu diambil di depan rumahnya, saya terus merujuk kepada tiang elektrik sebelah saya.

PENCARIAN BERAKHIR

Dia pun menerangkan yang Alias ialah abang kandungnya dan sekarang berada di Kg. Siliau. Tetapi oleh kerana telefon abangnya cuma telefon biasa (tidak boleh menunjukkan 'location' dan tidak mempunyai WhatsApp) dia mencadangkan abangnya itu berjumpa saya di rumah itu sahaja. Tidak berapa lama kemudian Alias pun datang. Maka sempurnalah tugas saya mencari Alias selama ini.

Sementara menunggu Alias datang, adiknya menceritakan bagaimana gambar Alias di sebelah tiang elektrik itu tercipta. Katanya dia berbesan dengan seorang bekas pelajar SDAR juga. Dia ialah junior kami di SDAR Seremban. Gambar itu diambil semasa majlis kahwin anaknya di mana Alias dan besannya itu menyedari mereka sama sekolah. Besannya itulah yang menyebarkan gambar itu kepada kawan-kawan nasi kawah kami, termasuk kawan saya Md. Shah. 

Jawapan mengapa panggilan telefon saya kepada Alias tidak dijawab ialah kerana nombor telefon Alias sudah bertukar.

BUAPAK

Banyak cerita yang saya dan Alias bincangkan. Alias balik ke kampungnya setelah bersara, walau pun dia mempunyai rumah di mana dia akhir bekerja. Dia sekarang dilantik menjadi 'buapak' di kampungnya. 

Alias menggeleng kepala bila saya ceritakan ramai kawan-kawan nasi kawah kami yang ditanyanya sudah meninggalkan kami. Malah dia tidak tahu bahawa Salleh yang berasal dari Kg. Linsum yang berjiran dengan kampungnya sudah meninggal dunia. 

Pengajaran dari pertemuan saya dengan Alias setelah berpisah selama 53 tahun ialah "Hargailah kawan-kawan kita semasa mereka masih hidup". 

Monday, August 10, 2020

BIARKAN ORANG MUDA DENGAN IDEA MEREKA.


 Gambar hiasan sahaja.

1. DUA HARI LEPAS

Dua hari lepas saya melihat satu dokumentari di TV bertajuk 'SAD HILL UNEARTHED'. Terjemahan terus berbunyi 'BUKIT SEDIH DIBONGKAR' tetapi maksudnya bukan begitu. 'SAD HILL' ialah nama tapak perkuburan dalam filem klasik 'THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' yang diterbitkan pada tahun 1966. 

Peminat filem itu, termasuk saya yang sudah menontonnya berpuluh kali tahu 'SAD HILL' ialah tempat tersoroknya harta karun yang menjadi rebutan 'The Good', 'The Bad' dan 'The Ugly'. Di penghujung filem, mereka bertiga bertembung tiga penjuru dalam apa yang dipanggil 'Mexican Standoff' di mana sepatutnya seorang sahaja yang menang. Untuk mengetahuinya, carilah DVD filem tersebut.

Di tahun 2015 beberapa orang peminat filem yang kebanyakannya masih kecil atau belum lahir semasa filem itu diterbitkan telah mencari lokasi perkuburan olok-olok tersebut. Filem "THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' menggambarkan keadaan di Amerika Syarikat tetapi dibuat penggambaran (shoot) di Spain. 

Mungkin keadaan perkuburan di Amerika tidak sama dengan Spain. Oleh itu penerbit filem terpaksa membina satu tapak perkuburan olok-olok. Untuk tujuan itu kru filem telah mendirikan satu  'SAD HLL'. Tetapi setelah pengambaran tamat, ia dan bangunan-bangunan lain ditinggalkan begitu sahaja.  

Sudah tentu peminat-peminat filem itu terperanjat besar melihatkan 'SAD HILL' yang 'Made in Spain' tu sudah menjadi semak samun. Mereka pun memulakan projek membongkar semula (unearth) tapak itu. 

Setelah beberapa bulan 'SAD HILL' telah dipulihkan seperti yang dilihat dalam filem. Ini termasuk meletakkan nama-nama ARCH STANTON dan UNKNOWN di mana salah satu darinya menjadi tempat sorokan harta karun rebutan itu. 

Untuk merasmikan 'SAD HILL UNEARTHED', mereka menjemput seberapa ramai mereka yang terlibat dalam filem itu yang masih hidup, kebanyakannya bekas tentera Spain.  

Tetapi orang nombor satu yang patut turut sama di upacara tersebut menolak jemputan mereka. Orang itu ialah pelakun, pengarah dan penerbit filem Clint Easwood yang memegang karaktor 'The Good' dalam filem tersebut. Kebetulan antara 'The Good', The Bad', dan 'The Ugly', cuma Clint Eastwood masih hidup. Pengarah filem, Sergio Leone pula sudah meinggal dunia di usia 60 tahun pada tahun 1999.

Penganjur ingin Clint Eastwood melakunkan semula watak 'The Good' dalam babak 'Mexican Standoff' di tapak 'SAD HILL' yang sudah dipulihkan. Tetapi Clint menolak atas alasan usia. Terpaksalah tiga orang muda melakunkan adegan itu dengan Clint Easwood melihat secara 'live video' dari rumahnya di Amerika. 


2. SEMALAM

Semalam saya hadir di Mesyuarat Agung satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO. Sejak NGO ini di tubuhkan lebih 30 tahun yang lalu, ia diterajui oleh cuma seorang sahaja. Di setiap pemilihan sebelum ini tidak ada yang berani menentangnya.

Di tahun-tahun kebelakangan ini NGO ini agak malap. Anak-anak muda kurang berminat menyertainya. Memandangkan keadaan ini, saya sendiri yang pernah menjadi Setiausaha telah berundur lebih setahun yang lepas untuk memberi peluang kepada orang muda.

Tetapi nampaknya isyarat saya ini tidak terbaca oleh ketua NGO. Walau pun sebelum Mesyuarat Agung sudah ada ura-ura dan tanda-tanda dari golongan muda untuk mengambil alih, dia seolah-olah tidak mengindahkannya. Malah buku Mesyuarat Agung dilampirkan dengan risalah 'kejayaan'nya semasa dia masih muda berpuluh tahun  yang lalu.

Ucapannya pula yang sepatutnya menceritakan apa yang telah dibuat oleh NGO dalam setahun yang lepas, sekali lagi menceritakan 'kejayaan'nya berpuluh tahun lalu. Tetapi strateginya ini dapat dibaca oleh golongan muda. 

Dipendekkan cerita, di pemilihan semasa Mesyarat Agung semalam dia dikalahkan oleh golongan muda. 

Mungkin dia bukan peminat Clint Eastwood. 

Saturday, August 1, 2020

Huruf X

 X7 bermakna ini pokok yang ke tujuh akan ditumbangkan

 Ini di pokok X7 di Jalan Mutiara Galla, 70200 Seremban. Pandanglah pokok yang sudah berumur berpuluh tahun ini puas-puas sebelum ia ditumbangkan.  


Pokok X8 sudah ditebang.


 
Pokok-pokok sudah ditebang.

Pokok-pokok di seberang sana pun ditebang.

Apakah huruf yang paling popular sekarang? Bukan A, E, I, O atau U. Huruf yang paling popular di dunia sekarang ialah huruf X. Kita boleh nampak huruf X di mana-mana. Contohnya di barisan kerusi menunggu di klinik dan hospital. Malah di tiap-tiap permaidani masjid dan surau di seluruh Malaysia ada terpampang huruf X. Saya sudah lama tidak masuk ke panggung wayang. Mungkin di situ pun banyak ternampak huruf X.

Tetapi ada juga manusia jahil yang tidak faham akan penggunaan huruf X. Maka diletaknya huruf X di setiap pintu tandas kedua, keempat, keenam dan kiraan seterusnya di tandas-tandas awam.

Siapa yang tidak tahu mengapa huruf X terdapat di mana-mana sekarang bermakna dia tidak mengikut perkembangan zaman. Oleh itu tidak payahlah saya menerangkannya. Huruf X pula paling senang ditulis atau ditampal. Ia cuma memerlukan dua pita (tape) yang dipotong sama panjang dan boleh dibeli di kebanyakan kedai seperti kedai buku, kedai DIY, kedai RM 2.10 dan pasaraya.  Kemudian pita ditampal melintang seperti huruf X.

Sebenarnya huruf X tidak terdapat dalam persuratan Melayu. Kalau tidak kenapa kita tidak menulis paksa, laksa dan seksa sebagai 'paxa', 'laxa' dan 'sexa'. Bukankah bunyinya sama? Malah perkataan paling popular 'sex' ditulis 'seks' dalam Bahasa Melayu. Malah ada yang menulis 'X-Ray' sebagai eksray. 

Cuma kawan-kawan NK (nasi kawah) saya yang menulis Laksamana sebagai Laxamana. Oh ya, saya pernah tinggal di Rumah Laxamana semasa bersekolah asrama penuh dulu.

Huruf X banyak maknanya. Filem-filem yang dianggap lucah diberi kategori X. Bila kita hendak menyembunyikan identiti seseorang, kita sering memanggilnya Mr. X. Cuma bila seorang perempuan itu dipanggil Miss X atau Madame X, mungkin ia disalah erti.

Petak X di tengah-tengah jalan bererti tiada kenderaan boleh berhenti di atasnya, walau pun perintah ini sering tidak dipeduli. Dalam teks (text) ringkas X juga bermakna tidak. Contohnya, 'X de' bermaksud tidak ada. 

Tetapi ada juga huruf X diletak sebagai hukuman. Huruf X yang selalunya ditulis dengan cat berwarna merah di pokok-pokok bermakna pokok itu telah diberi hukuman tebang. Pihak berkuasa tentu ada sebab kenapa menjatuhkan hukuman begitu kepada pokok-pokok. Gambar-gambar di atas menceritakannya.

Sekian.