Monday, August 10, 2020

BIARKAN ORANG MUDA DENGAN IDEA MEREKA.


 Gambar hiasan sahaja.

1. DUA HARI LEPAS

Dua hari lepas saya melihat satu dokumentari di TV bertajuk 'SAD HILL UNEARTHED'. Terjemahan terus berbunyi 'BUKIT SEDIH DIBONGKAR' tetapi maksudnya bukan begitu. 'SAD HILL' ialah nama tapak perkuburan dalam filem klasik 'THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' yang diterbitkan pada tahun 1966. 

Peminat filem itu, termasuk saya yang sudah menontonnya berpuluh kali tahu 'SAD HILL' ialah tempat tersoroknya harta karun yang menjadi rebutan 'The Good', 'The Bad' dan 'The Ugly'. Di penghujung filem, mereka bertiga bertembung tiga penjuru dalam apa yang dipanggil 'Mexican Standoff' di mana sepatutnya seorang sahaja yang menang. Untuk mengetahuinya, carilah DVD filem tersebut.

Di tahun 2015 beberapa orang peminat filem yang kebanyakannya masih kecil atau belum lahir semasa filem itu diterbitkan telah mencari lokasi perkuburan olok-olok tersebut. Filem "THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' menggambarkan keadaan di Amerika Syarikat tetapi dibuat penggambaran (shoot) di Spain. 

Mungkin keadaan perkuburan di Amerika tidak sama dengan Spain. Oleh itu penerbit filem terpaksa membina satu tapak perkuburan olok-olok. Untuk tujuan itu kru filem telah mendirikan satu  'SAD HLL'. Tetapi setelah pengambaran tamat, ia dan bangunan-bangunan lain ditinggalkan begitu sahaja.  

Sudah tentu peminat-peminat filem itu terperanjat besar melihatkan 'SAD HILL' yang 'Made in Spain' tu sudah menjadi semak samun. Mereka pun memulakan projek membongkar semula (unearth) tapak itu. 

Setelah beberapa bulan 'SAD HILL' telah dipulihkan seperti yang dilihat dalam filem. Ini termasuk meletakkan nama-nama ARCH STANTON dan UNKNOWN di mana salah satu darinya menjadi tempat sorokan harta karun rebutan itu. 

Untuk merasmikan 'SAD HILL UNEARTHED', mereka menjemput seberapa ramai mereka yang terlibat dalam filem itu yang masih hidup, kebanyakannya bekas tentera Spain.  

Tetapi orang nombor satu yang patut turut sama di upacara tersebut menolak jemputan mereka. Orang itu ialah pelakun, pengarah dan penerbit filem Clint Easwood yang memegang karaktor 'The Good' dalam filem tersebut. Kebetulan antara 'The Good', The Bad', dan 'The Ugly', cuma Clint Eastwood masih hidup. Pengarah filem, Sergio Leone pula sudah meinggal dunia di usia 60 tahun pada tahun 1999.

Penganjur ingin Clint Eastwood melakunkan semula watak 'The Good' dalam babak 'Mexican Standoff' di tapak 'SAD HILL' yang sudah dipulihkan. Tetapi Clint menolak atas alasan usia. Terpaksalah tiga orang muda melakunkan adegan itu dengan Clint Easwood melihat secara 'live video' dari rumahnya di Amerika. 


2. SEMALAM

Semalam saya hadir di Mesyuarat Agung satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO. Sejak NGO ini di tubuhkan lebih 30 tahun yang lalu, ia diterajui oleh cuma seorang sahaja. Di setiap pemilihan sebelum ini tidak ada yang berani menentangnya.

Di tahun-tahun kebelakangan ini NGO ini agak malap. Anak-anak muda kurang berminat menyertainya. Memandangkan keadaan ini, saya sendiri yang pernah menjadi Setiausaha telah berundur lebih setahun yang lepas untuk memberi peluang kepada orang muda.

Tetapi nampaknya isyarat saya ini tidak terbaca oleh ketua NGO. Walau pun sebelum Mesyuarat Agung sudah ada ura-ura dan tanda-tanda dari golongan muda untuk mengambil alih, dia seolah-olah tidak mengindahkannya. Malah buku Mesyuarat Agung dilampirkan dengan risalah 'kejayaan'nya semasa dia masih muda berpuluh tahun  yang lalu.

Ucapannya pula yang sepatutnya menceritakan apa yang telah dibuat oleh NGO dalam setahun yang lepas, sekali lagi menceritakan 'kejayaan'nya berpuluh tahun lalu. Tetapi strateginya ini dapat dibaca oleh golongan muda. 

Dipendekkan cerita, di pemilihan semasa Mesyarat Agung semalam dia dikalahkan oleh golongan muda. 

Mungkin dia bukan peminat Clint Eastwood. 

1 comment:

WakJemi said...

Assalam....sy Norazmi bin Wagiman....seorang yg bukan muda sgt..telah menyertai NGO itu sejak 90an lagi...in sha Allah kami akan jalankan tanggungjawab dgn sebaik mungkin....